Sabtu, 7 Mac 2009

BERJUANGLAH MAHASISWA!!!

Saya pulang ke kota ilmu dengan tergesa-gesa kerana mahu turut serta dalam Malam Kenduri Puisi anjuran junior saya di Rumah Pena. Saya pergi seorang diri sahaja. Walaupun agak terlambat, tapi majlis masih lagi hangat dengan bacaan puisi daripada banyak pihak. Sempat saya menghubungi saudara Hasmora untuk turut serta pada malam itu. Dia menyatakan dia akan datang tetapi mungkin lambat sedikit kerana ada urusan yang perlu dibereskan.
Syukurlah adik-adik junior dapat menjayakan majlis ini dengan baik. Mudah-mudahan usaha menggiatkan aktiviti sastera ini diteruskan dan yang lebih penting ia dilakukan dengan ikhlas tanpa ada paksaan atau sekadar melakukan demi kepentingan peribadi (???). Nyata juga terlihat kelibat Pak Arbak Othman. Kami berbual dan berjenaka tentang tenaga orang tua dengan orang muda. Ramai juga penggiat sastera yang hadir di sana antaranya saudara Aminhad, Naffi Mat, Rahimidin Zahari, dan Lutfi (sekadar menyebut beberapa nama).

Bacaan puisi malam itu seakan membuat saya tidak sabar menanti hari esok. Semasa menghayati bacaan puisi, saya sempat berbual dan bertanya kepada Dato' Baha Zain tentang rapat umum pada esok hari. Katanya, perlu lihat kepada keadaan dan jangan bertindak terburu-buru. Jangan terlalu maju kehadapan. Baca suasana dan persekitaran. Dato' Baha percaya beribu-ribu pejuang akan terus maju ke istana negara esok walaupun telah diharamkan berhimpun di sana. Di akhir perbualan kami, Dato' Baha sempat bertanya ramaikah mahasiswa yang akan turun dari UPM? Saya hanya tersenyum dan menjawab mungkin ramai dan mungkin sedikit bilangannya.

Pertanyaan Dato Baha Zain itu benar-benar memukul fikiran saya. Teringat akan penglibatan mahasiswa nanti. Bukankah sejarah di Indonesia telah membuktikan bahawa golongan mahasiswa ini merupakan kelompok yang telah menumbangkan kerajaan diktator Suharto pada suatu masa dahulu. Nyata suara mahasiswa bukan suara terpinggir dan sia-sia. Saya berharap agar mahasiswa dan rakan-rakan dari UPM akan terus bangkit dan berjuang menentang dasar PPSMI yang langsung tidak menguntungkan mana-mana pihak kecuali manusia yang buta sejarah dan ketamadunan bangsa.

Teringat juga saya sajak SN Usman Awang dalam buku Keranda 152 ada menyatakan ikrar pelajar tentang kesediaan untuk dibakar dadanya. Ahh, gelombang mahasiswa dahulu dan kini mungkin berbeza. Jika dahulu gelombangnya beralun-alun, kini hanya berkadar rata sahaja. Malah boleh dikatakan hanya segelintir sahaja mahasiswa yang berani menongkah arus demi menyatakan kebenaran dan mencabar kepalsuan. Yang selebihnya, pemikiran mereka telah dikudakan oleh pihak tertentu.
Buat mahasiswa yang masih tergantung roh Melayu dalam diri, majukanlah diri ke istana negara esok. Sama-sama kita memanifestikan penentangan terhadap sistem pendidikan yang telah dinodai oleh pengkhianat bangsa. Semoga perjuangan nanti membawa titik perubahan hingga mampu mencelikkan mata lapisan masyarakat bahawa mahasiswa kini tidak lagi berdiam diri dan tidak membiarkan sesekali bahasa dan bangsa menjadi mangsa atas kebebalan pemimpin Melayu itu sendiri.

Ayuh, teruskan perjuangan buat sekalian mahasiswa. Juga buat teman dan sahabat. Mari kita abadikan kasih dan cinta kepada bahasa yang sedang dihitung hayatnya. Jumpa di sana.


MAHASISWA
(Dari khemah Pemogokan)

Mahasiswa dari kota tanah air
bangunlah!
angkat matamu dari buku
lampaui dinding lampaui tembok
semua menunggu
mengajakmu
bersama ke tengah jalan raya kota.
Lihat betapa temanmu telah berdiri di sini
sebarais dengan kami
para buruh dan petani di Jalan Sungai Besi
sederap belajar dari hidup berani.
Lepaskan tangan halus kekasih di tasik
atau bersamanya berjalan ke Parlimen
kerana tenagamu dengan ilmu di dada
akan merombak erti hidup sebuah negara.

(Usman Awang, 1961)

Jumaat, 6 Mac 2009

DOA DAN RESTU

Jarang sekali ibu meleraikan ikatan kepercayaan di dadanya tentang rapat umum yang berlaku di mana-mana. Mungkin atas alasan ketidakpercayaan atau pun dibayangi kebimbangan yang kuat terhadap keselamatan lantaran situasi dan kesannya. Sejak dari dahulu lagi ibu tidak pernah menggalakkan dan menyukai anaknya menyertai atau mendekati mana-mana rapat umum. Jangan kata mahu meminta kebenaran untuk menyertai, malah menyebut tentang perkara itu juga boleh mengundangkan sungutan yang panjang.

7 Mac 2009. Ya, tarikh yang bakal melakar sejarah di tanah ini. Mengingkatkan kembali pesan dan peribadi ibu, saya berbelah bahagi. Saya yakin ibu tidak akan melayan permintaan saya. Mustahil saya dapat hadirkan diri di sana. Namun, jika saya pergi tanpa pengetahuannya seakan saya membelakanginya. Saya perlu restu dan doa darinya. Seminggu sudah saya kandungkan perasaan ini dalam diri. Mahu atau tidak, saya perlu zahirkan perasaan ini. Sangat perlu.

Lantas, semasa pulang ke rumah. Saya langsung terus berkata dengan jujur dan penuh harapan. Saya tenung matanya. Bonda kaget. Riak wajahnya berubah serta-merta. Saya seakan sudah mendapat jawapan yang saya sudah jangka dari dahulu lagi. Tiada rundingan. Tiada perbicaraan. Noktah. Pastinya jawapan yang diberikan akan menenggelamkan seluruh harapan. Saat itu, saya seakan mengharap matahari tegak berdiri pada malam hari. Boleh juga dikatakan seperti mahu menghadirkan tulang ke lidah. Dan pertanyaan itu tergantung begitu sahaja.

Semasa makan malam, bonda menghuraikan segalanya. "Kau sudah besar, nak. Sekian lama ibu membesarkan kau bukan dengan kekerasan mahupun keangkuhan. Malah dengan penuh kelembutan, kesabaran serta kasih sayang. Kau belajar juga sudah tinggi berbanding ibu. Ibu yakin akalmu pasti sudah bijak menangkap yang mana hitam, yang mana putih. Andai jalan itu yang kau pilih, pastinya ia datang dari akal yang waras dan sihat. Dan kalau itulah kata hatimu, pergilah. Hanya doa yang dapat aku beri.Jagalah perlakuan. Jagalah tutur kata. Berhimpunlah dengan sopan. Jangan melakukan kekasaran. Jangan sesekali kau keterlaluan. Elakkan kebencian. Ibu yakin kau pergi atas nama kasih sayang pada bahasa, bangsa dan agamamu. Tegakkanlah rukun bangsa dan budaya. Ingat, sejak dari kecil ibu mahu kau mendahului yang lain. Pastikan kau dihadapan dan terus maju. Dan jangan sesekali menyesal atas perbuatanmu!"

Sebak saya menelan butir-butir bicara daripada bonda. Ya Allah, Engkau makbulkan doaku. Syukurlah. Untuk sekian kalinya ibu mengikat saya dengan restu ke tempat yang dibencinya satu tika dahulu. Di atas meja makan itu, hati saya berbicara " Tunggulah pengkhianat bangsa, aku akan maju disana bersama doa dan restu ibuku!"