Sabtu, 11 April 2009

LMPK : SELANGKAH TERSASAR, BURUK PADAHNYA...

Hampir beberapa bulan saya tidak mengemaskini blog saya lantaran beberapa perkara yang perlu saya hadapi untuk menghadapi cabaran yang mendatang. Saya perlu perkemaskan diri dengan persiapan yang cukup dan ampuh agar setiap langkah saya sentiasa berada di jalan yang benar. Saya terlepas beberapa perkara yang menarik dalam milieu di negara ini. Dari soal bahasa, pertukaran pucuk pimpinan, pergelutan siasah yang tidak pernah akan habis dan bermacam-macam lagi. Ini membuatkan saya agak kecewa. Namun saya percaya walaupun sehelai daun yang gugur ke muka bumi ini semuanya atas ketentuan Allah SWT dan saya perlu akur atas perkara yang berlaku.

Latihan Mengajar Praktikum dan Kaunseling (LMPK). Itulah perkara yang membawa saya ke lembah yang paling takut dan menjadikan saya semakin berhati-hati. Saya terasa seakan mahu pergi berperang dan perlu menyiapkan pelbagai kelengkapan agar tidak tersungkur di medan peperangan kelak. Dalam hati ini, mungkin inilah perjuangan permulaan bagi seorang pendidik. Barangkali juga inilah pengukur kebolehupayaan seseorang untuk dinilai samada layak untuk menjadi pendidik atau tidak. Jadi, kami dinasihatkan agar bersiap sedia untuk dicampak ke negeri bersejarah dengan membawa kegusaran hati yang mendalam. 

Saya pernah menyuarakan pendapat kepada beberapa orang rakan tentang kegusaran dan kerisauan yang berculang-caling di dada ini, mereka nyata bersetuju dengan fikiran saya. Rupanya kami berkongsi rasa yang sama. tetapi bagaimana agaknya ingin melampiaskan kegusaran ini? Saya juga tidak tahu. Tetapi saya terfikir sejenak, mengapa saya perlu gusar, takut, risau dan merintih nasib sendiri kerana saya yang memilih haluan untuk menjadi begini. Suka atau tidak suka , itu bukan pokok persoalannya. Apa yang penting, saya dan rakan-rakan yang lain perlu bersama-sama melakukan satu transformasi dan revolusi ke atas diri sendiri untuk mengubah nasib anak bangsa yang sudah perlu dikembalikan pemikiran mereka ke landasan yang benar. Kekacauan dan kekeliruan dalam sistem pendidikan kini mengheret kami ke gelanggang kesulitan lantaran perlu bekerja keras mengubah 'pemikiran beku' anak bangsa yang telah diindoktrinasikan dengan bancuhan kerangka pendidikan yang dangkal. 

Persiapan dari segi fizikal, material, rohani, intelektual dan sebagainya perlu diberi perhatian agar menghadapi segalanya dengan penuh mutmainnah dan mardiyah. Teringat pada nasihat pensharah kami, Dr. Roselan kepada saya, " Setelah lama bermain dengan teori, kini kami perlu mempraktikkannya dan yang paling penting belajar bagaimana mahu mengurus manusia dengan baik ". Frasa 'mengurus manusia' itu benar-benar membawa saya ke pelbagai sudut pemikiran. Apakah sebenarnya yang perlu diurus pada manusia itu? Peribadi atau perlakuannya? Bagaimana pula dengan cara berfikir dan menanggap sesuatu perkara? Adakah itu juga perlu dititikberatkan dalam mengurus manusia? Adakah benar seperti yang diperkatakan kebanyakan orang, mengurus lembu sekandang lebih mudah dari mengurus seorang manusia?.

Tetapi saya yakin bahawa peribadi seseorang itulah perkara utama yang harus dilihat baik-baik. Benar kata HAMKA dalam bukunya bertajuk Peribadi, " Dua puluh ekor kerbau pedati, yang sama gemuknya sama kuatnya, sama pula kepandaiannya menghela pedati, tentu harganya pun tidak pula berlebih berkurang. tetapi 20 orang manusia yang sama tingginya, sama kuatnya, belum tentu sama "harganya". Sebab bagi kerbau tubuhnya yang berharga. Bagi manusia peribadinya. " Ini tidaklah bermakna bahawa cara fikiran dan interpretasi seseorang boleh ditolak ketepi hingga memandang peribadi semata-mata. Cara seseorang berfikir juga perlu diuruskan agar tiada kesilapan menggunakan kerangka pemikiran yang bertunjangkan agama Islam. Peribadi itu perlu menjadi induk dan disokong kuat oleh gaya pemikiran (subordinat) seseorang individu itu sendiri bagi melahirkan insan yang berketrampilan.

Ahh, belum lagi melangkah ke alam pendidik, tetapi gambaran dan bayangan tanggungjawab yang perlu digalas sudah memenuhi ruang akal. Namun, semua itulah dugaan yang perlu saya dan rakan-rakan terima. Allah SWT telah berfirman dalam al-Quran, ' Allah tidak mentaklifkan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya' (al-Baqarah :286). Sememangnya itu wajar dan bersesuaian dengan kemampuan diri saya dan rakan-rakan. Namun, dalam kerisauan dan kegusaran saya ini, ada juga rakan-rakan yang tidak cakna tentang perkara itu. Dengan tenang mereka berkata, "Alah mudah saja, kita ajar je. Kita kan dalam latihan. Nama pun latihan mengajar. Kalau salah itu perkara biasa dan nanti ada orang betulkan la". 

Saya tidak terperanjat dengan beberapa rakan saya itu. Memang ada rasionalnya. Tetapi mendidik bukan seperti bekerja di kilang. Kalau tersalah mungkin barang yang dihasilkan kurang sempurna dan boleh dibuang begitu sahaja. Bagaimana pula dengan mendidik anak bangsa. Jika tersalah mengasuh dan memberi didikan, bolehkan dibuang begitu sahaja seperti barangan tadi. Bayangkan, sekali kita memberi pemahaman yang salah kepada pelajar, pastinya akan diingati dan dijadikan contoh oleh pelajar. Barang kali lebih ditakuti, pelajar akan mengamalkan hingga ke akhir hayat tentang perkara itu. Ini kerana jika seorang guru memukul anak muridnya hingga lebam, kesannya akan hilang sekejap sahaja. Lain pula jika seorang guru menghentak akal anak muridnya dengan sesuatu idea, natijahnya idea itu akan berbekas sampai ke akhir hayat mereka. Percayalah. 

Ingatlah wahai rakan. Tidak semudah itu untuk membuat kesilapan. Tunjuk ajar dan bimbingan memang sangat diperlukan. Tetapi tidak perlu hingga sampai membuat silap barulah meminta tunjuk ajar. Janganlah kita tersalah asuhan dan didikan. Takut yang musnah adalah anak bangsa kita sendiri. Merekalah harapan kita pada masa akan datang dan janganlah membinasakan sedikit kenikmatan mereka di alam persekolahan. Marilah kita hadirkanlah kasih sayang dalam diri kerana daripada sifat itulah, kita cuba meletakkan empati kepada anak murid. Mudah-mudahan Setiap perjuangan saya dan rakan-rakan akan sentiasa diberkati-Nya. Mari kita kejutkan semangat membara yang sudah lama tidur dalam diri. Kita balutkan dengan kain kecekalan dan selendang ketabahan. Selamat berjuang dan meratah nasib sendiri di dunia yang serba cabaran. 

Mungkin ada sedikit bekalan kata yang boleh dibawa oleh saya dan rakan-rakan untuk ke medan perjuangan kelak. Semoga kata-kata penyair Iqbal ini menjadi senjata untuk membina kemandirian yang utuh, " Orang yang berwatak kuat, yang menguasai diri sendiri akan menikmati setiap nasib yang datang kepadanya. Jika dunia ini tak selaras dengan hasratnya, dia akan menggempur langit angkasa ".