Rabu, 30 Jun 2010

WACANA ILMIAH : HAKIM



KOLOKIUM SEHARI :
"ISLAM AND SECULARISME"


"This book was originally dedicated to the emergent Muslim, for whose hearing and understanding it was indeed meant, in the hope that they would intelligently prepared, when their times come, to weather with discernment the pestilential winds of secularization and with courage to create necessary changes in the realm of our thinking that is still floundering in the sea of bewilderment and self-doubt."
- Prof. Dr. Syed. Muhammad Naquib al-Attas (1993)


TARIKH :
24 JULAI 2010

MASA :
9 PAGI HINGGA TAMAT PROGRAM

TEMPAT :
AUDITORIUM AKADEMI MAS, SS7, KELANA JAYA

TIKET :
PROFESIONAL - RM 250.00
PELAJAR (VALID ID) - RM 150.00

HARGA ISTIMEWA AKAN DIBERIKAN TERHADAP PEMBELIAN SEBELUM 15 JULAI 2010. TIKET BOLEH DIPEROLEHI MENERUSI www.wia.my.
DAN
TEMPAT ADALAH TERHAD

EMAIL :
seminar@wia.my

TEL :
03 - 7710 0996

Ahad, 27 Jun 2010

KESETARAAN, KESAMAAN, EQUALITY

Wacana kesetaraan dan kesamaan sudah menjadi fenomena yang menggila. Ramai yang memekik dan menjerit dalam apa sahaja ruang tiada kira bertulis atau lisan dalam mencari erti kesamaan dan kesetaraan. Tidak kira dari golongan profesional berjangkit ke masyarakat awam. Dari pelbagai aspek semuanya disentuh tidak kira jasmaniyah dan rohaniyah. Semuanya perlu setara dan "balance".

Kadang kala ada yang terperangkap dengan kuantiti, semuanya mahu sama. Contohnya bilangan golongan lelaki dan perempuan yang masuk ke IPTA harus sama. Tiada boleh terkurang mana-mana pihak. Barulah "balance" kononnya. Ada juga yang tersangkut dalam perhitungan hak (pemilihan). Semuanya harus berkadar rata. Dalam hal femenisme, pertikaian hak ini sangat jelas melangit bumi.

Dahulu selalu bertanya, adakah kita semua manusia sama? Tiadakah perbezaan kita antara manusia ini?
Saya ingin berkongsi perihal kesetaraan dan kesamaan ini dengan satu peristiwa yang pernah di alami sendiri oleh Prof. Syed Muhammad Naquib. Kita mungkin boleh menangkap sesuatu dari peristiwa itu dan menghubungkaitkan ma'na adil yang sememangnya berkait rapat dengan kesetaraan dan kesamaan.

Beliau berkata :

Saya teringat pada kira-kira tahun 1968 begitu, waktu saya menjadi Dekan Fakulti Sastera Universiti Malaya, ada demonstrasi yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa. Pimpinannya bukan Muslim. Demonstrasi itu telah menimbulkan masalah dan saya diminta supaya tolong menyelesaikannya. Masalah itu timbul asal usulnya daripada Fakulti Ekonomi. Suatu hari ada pelajar datang dengan motosikal. Dia meletakkan motosikalnya di tempat parking lot kereta profeso. Apabila profesor itu datang, dia lihat motosikalnya telah disingkir jauh. Dia marah. Dia ambil batu lalu dicalarkannya kereta itu. Apabila profesor keluar dan melihat keretanya begitu, dia marah, siapa yang buat ini? Jadi, akhirnya masalah itu melarat-larat sehingga ramai pelajar jadi marah, sampai mereka buat demonstrasi.

Apabila saya diminta tolong menyelesaikan masalah itu, saya panggil wakil persatuan. pelajar itu pun datang ke bilik saya. Dia datang itu pun dengan cara yang garang sedikit. Hisap rokok. Saya kata, "Jangan hisap rokok." Dia tak mhu ikut. Akhirnya saya terpaksa jadi macam sarjan mejar, dan dengan gaya perintah saya kata " Stop smoking. Put it down." Dengan cara seperti itu dia terperanjat sikit, dia berhenti merokok. "Sit down." saya perintah lagi. Dia duduk, tetapi dia angkat kaki sebelah. saya kata, "Put your foot down." Dia ikut. Lepas itu saya pun bertanya kepadanya sebab-sebabnya. Dia berkata, "Are we not equal?" Saya mengatakan, "Who told you that we are equal?" Dia berkata, "That's what we are taught."

Jadi ini, yang salah itu siapa? Profesor-profesor itu yang mengajar mereka begitu. Saya diam. Lepas itu saya berkata lagi, "No. We are not all equal. That's all wrong teaching." "Oh, no." jawabnya. "We are all equal. We are all human being ..." dan macam-macam lagi, "So why can't i put my motorcycle there?" Saya katakan, "No, we are not equal. I'll prove it now. Now you take my place, you become the Dean of Art, and let me get your book, I'll attend your lectures. You give my lectures." Dia teragak-agak. saya berkata lagi, "Do it now!" Akhirnya dia berkata, "No Sir, I can't do that." "Ha, therefore we are not equal," kata saya.


Jelas bahawa tiada sama tahap peringkat seseorang manusia itu. Walaupun kisah atas ini bersandarkan kepada jawatan, tetapi hal kesetaraan dan kesamaan tidak mungkin sama sesama manusia. Mustahil akan sama sahaja semua status manusia ini. Dan di sisi Islam, orang yang paling bertaqwa itu tinggi darjatnya berbanding dengan mereka yang banyak melakukan kefasadan.

Dari segi biologi mungkin terdapat persamaan, tetapi tahap ukuran manusia ini bukan pada hal tersebut. Sedangkan tanda yang terdapat pada ibu jari setiap individu juga berbeza, inikan pula tahap ketaqwaan jika dibandingkan. Sebabnya itu golongan ulama' dan ilmuwan yang berlandaskan pada kebenaran dalam Islam itu terletak jauh di atas hierarkinya dengan masyarakat biasa.

Prof. Syed Naquib Al-Attas juga pernah mejelaskan bahawa dalam pemikiran orang yang tidak bertamadun pun terdapat beberapa hierarki. Boleh selak halaman 211 pada buku yang ditulis oleh Prof. Wan Moh Nor dalam Falsafah dan Amalan Pendidikan Prof. Naquib. Oleh itu, konsep adil itu penting difahami sebagai asas pemikiran. Barulah hasilnya pada tempat yang benar.

Dalam dunia sastera, hal keseteraan dan kesamaan ini sangat dekat, dalam erti kata wacana femenisme. Kadangkala kasihan melihat "mereka" yang tiada betul-betul memahami apakah yang dijunjung dalam erti faham femenisme itu. Macam "trend" pula. Tiada pula memahami hujung pakal, ditebuk pula ditengah-tengah. Kemudian digunapaki sebagai kaedah satu disiplin kajian dan dijaja dengan bangganya. Lebih memalukan dihidangkan sebagai santapan kuliah. Hasilnya seperti yang kita boleh lihat daripada peristiwa di atas tadi.

Dalam Islam sudah jelas tentang hal ini. 'Perbezaan' dan 'Pembezaan" dua perkara yang terlentang lebar jurangnya. Kita sedia maklum terdapat perbezaan yang hakiki secara jasmaniyah antara lelaki dan perempuan. Islam mengakui perkara ini tetapi tiada pula dalam faham Islam itu membeza-bezakan antara lelaki dan perempuan hingga menurunkan taraf mana-mana pihak.

Janganlah menjadi seperti ketam mengajar anak-anaknya berjalan. Mudah-mudahan, satu hari dibukakan jalan agar "kelompok" ini dapat belajar bagaimana berjalan "lurus" dan mengajar anak-anaknya dengan baik.

Sabtu, 26 Jun 2010

RENUNGAN DALAM MENITI PERJALANAN

Sejak di bangku sekolah menengah, saya agak rajin membaca cerpen dan novel. Pada waktu itu saya tiada berkecenderungan untuk membaca puisi. Yang kerap kali saya dengar puisi adalah puisi ciptaan Usman Awang, Guru O Guru, itu pun kerana setiap tahun di bacakan di pentas khalayak pada Hari Guru. Saya pernah juga membaca satu kumpulan puisi (saya terlupa siapa pengarangnya) dan saya tidak berminat kerana tidak faham akan apa yang cuba disampaikan. Mungkin kerana saya tidak mempunyai pemahaman yang kuat untuk menganalisis sesebuah karya puisi. Jadi saya lebih cenderung untuk memilih cerpen dan novel pada ketika itu.

Saya masih ingat kumpulan cerpen yang pertama saya baca ialah Doa Kerana Kebenaran, pengarangnya Burhanuddin CD. Dan novel pertama ialah Laungan Kebebasan, cerita berkisarkan tentang perjuangan Nelson Mandela. Kedua-duanya menarik minat saya untuk terus membaca karya sastera. Sejak itu, saya sering meminjam cerpen atau novel untuk bawa pulang ke rumah. Ada juga yang tak sempat dikembalikan kerana sudah rosak teruk akibat tertumpah kopi di atasnya. Hinggalah saya masuk ke universiti, saya masih terus meminati membaca karya sastera.

Saya bukanlah individu yang datang dari latar belakang sastera. Cuma saya meminati sastera. Saya juga tidak didedahkan dengan pembelajaran secara serius berkaitan sastera sewaktu di sekolah kecuali komsas. Apabila berpeluang masuk ke universiti, saya baru didedahkan dengan pembelajaran sastera yang lebih dalam. Barulah saya tahu bahawa sastera ini luas rupanya. Tiadalah hanya sekadar pada karya kreatif sahaja. Ada juga berbentuk serius seperti kritikan sastera. Di universiti juga saya mula menghadam karya kreatif berbentuk puisi dan pelbagai cabang yang lain. Saya mula seronok apatah lagi terdapat banyak bahan bacaan yang lebih luas di perpustakaan universiti.

Korpus bacaan yang terbuka luas membuatkan saya tertanya-tanya. Mengapa begitu banyak karya kreatif dihasilkan di merata dunia? Adakah menulis karya kreatif ini penting hingga menarik ramai individu untuk menulis karya kreatif? Saya sendiri tidak mampu menjawab pertanyaan sendiri. Saya berfikir mustahil saya mampu membaca semua karya kreatif dan menghabiskan hidup saya dengan membaca karya kreatif. Oleh itu saya mula bersifat selektif. Saya mula menyelak nama-nama besar sahaja. Saya mula membaca secara serius karya-karya mereka. Saya mula lihat ada sedikit "kekuatan" berbanding karya yang ada di jual di Petronas atau kedai-kedai buku biasa.

Walaupun terdapat "kekuatan" tetapi masih menimbulkan kekeliruan apabila saya membaca. Saya pernah ajukan kekeliruan saya kepada arwah Prof Othman Kelantan sewaktu mengajar saya tetapi jawapannya masih tidak memuaskan hati saya. Sejak itu saya mula mencari "pemikiran" tentang sesebuah karya. Saya mula menyelak kritikan terhadap karya sastera. Saya mula berminat dengan bidang kritikan sastera. Saya mula membaca lebih banyak tentang kritikan sastera. Dan saya terdedah dengan pelbagai teori yang kadang kala begitu payah untuk memahaminya.

Terdapat banyak gaya dan sudut pandang yang digunakan dalam mengkritik. Saya mula membuka jendela minda untuk belajar teori-teori yang digunapakai dalam bidang kritikan. Nyata perkara tersebut menuntut masa dan ketekunan yang dalam. Pada tahun kedua di universiti, saya berpeluang duduk di dalam kelas Dr. Zariat. Subjek yang saya ambil Teori dan Kritikan Sastera. Saya kira ini peluang saya untuk memahami disiplin kritikan sastera dengan lebih baik.

Sebelum masuk ke kelas Dr. Zariat, saya pernah membaca karya Prof Naquib Al-Attas yakni Islam dalam Sejarah dan kebudayaan Melayu. Saya agak pening membaca buku itu pada awalnya kerana gaya bahasanya lain daripada buku yang biasa saya baca. Oleh itu saya tidak habiskan pembacaan saya terhadap buku tersebut.

Dalam kelas Dr. Zariat, beliau sering menyebut nama Prof. Naquib. Saya kira mungkin Prof Naquib ini pasti hebat orangnya. Saya akui saya tiadalah mengakui autoriti Prof Naquib sebelum itu. Habis sahaja kelas, saya mula mendapatkan kembali buku Islam dalam Sejarah Kebudayaan Melayu. Rupanya buku itu memang mengandung pemikiran yang hebat sekali. Sejak itu, saya mula menjejaki karya Prof. Naquib dan mula membacanya hingga sekarang. Karya beliau Islam and Secularisme ternyata memberangsangkan. Jelas Prof Naquib memang seorang ilmuwan yang luar biasa. Syukurlah saya dipertemukan dengan bahan bacaan yang begitu. Sangat berfaedah dan menguntungkan saya dalam mencari kerangka faham yang utuh untuk meneruskan ranjau dalam kesusasteraan Melayu yang masih dalam penerokaan saya.

Saya agak mengkagumi cara Dr. Zariat memecah dan merungkaikan sesuatu permasalahan dengan kemas dan menyakinkan. Saya akui saya tertarik dengan kekemasan cara hujahannya. Saya berazam menuntut kekemasan cara berfikir begitu. Dari situlah saya mula belajar banyak perkara dengan lebih jelas dan teratur. Saya juga akui Dr. Zariat banyak membantu saya untuk memahami dunia sastera yang luas itu dengan menggenakan kerangka faham yang betul agar tiada ksilapan dalam pemahaman.

Saya juga mula kenal dengan Gagasan Persuratan Baru janaan Mohd Affandi Hassan. Saya cuba memahami PB dengan serius. Ternyata PB juga dijana Affandi dengan baik dan saya kira apa yang dianjurkan oleh beliau itu mahu membawa masyarakat kita kembali kepada tradisi Islam yang jauh sudah terpisah. Mahu menghidupkan kembali tradisi persuratan Islam. Saya mula membaca kritikan Prof. Ungku Maimunah dan Dr. Zariat dan membandingkan dengan kritikan yang lain. Nyata lebih bertenaga dan memberikan kejelasan dalam penghuraian. Saya mula berminat dengan cara penghuraian dan penjelasan mereka menulis kritikan.

Sepanjang pengalaman saya membaca karya kreatif, sememangnya banyak penulis tersangkut dengan ideologi yang tidak langsung membawa faedah malah ada yang menyesatkan akidah sama sekali!!! Saya kira saya sudah banyak membuang masa dengan membaca karya kreatif yang picisan selama ini. Baguslah juga saya mengambil pendirian untuk bersikap selektif. Jimat masa dan tenaga. Tiada terbuang dengan membaca novel yang tebal tetapi rupanya khayalan yang merugikan.

Kini saya mula faham akan adanya keretakan, rekahan dan ketempangan dunia sastera. Mungkin benar kata rakan saya, apa yang orang sastera boleh buat sekarang ini? Hidup dengan cerita angan-angan dan khayalan? Baca puisi sampai kering air liur untuk mangsa Palestin? Saya tiada termampu menjawab soalan saudara buat masa kini. Insha-Allah saya akan cuba buat sesuatu dalam dunia pendidikan sastera kelak. Mudah-mudahan renungan ini membawa saya ke jalan kejayaan yang tidak menyimpang dari kebenaran, keadilan dan kebaikan.

Khamis, 17 Jun 2010

BUKAN NASIB BRO!!!

Musim bola sepak sudah bermula dengan temasya Piala Dunia yang sedang berlangsung kini. Jelasnya mendapat perhatian yang melangit dari segenap masyarakat tanpa mengira kelas. Yang jelas, saya bukanlah penggemar aktiviti bola sepak sebagai sukan kegemaran malah saya juga tidak pandai bermain bola sepak. Sekadar memenuhi tuntutan atau pelawaan rakan-rakan dan saya manfaatkan untuk berjumpa rakan-rakan yang terkadang lama tidak berjumpa lantaran kesibukan kerja harian.

Sejak dahulu lagi bila bersantai dalam kalangan rakan-rakan yang begitu ramai menjadi "jurulatih luar padang" dan ada kategori "encik tahu" (gelaran bagi individu yang serba tahu), saya hanya mendiamkan diri kerana "mereka" mempunyai fakta dan maklumat yang banyak berbanding saya. Lebih eloklah saya diamkan diri sahaja dan mendengar analisis serta hujah "mereka". Seronok juga bila mendengar cara mereka menganalisis dan yang paling tidak seronok ada yang bergaduh hingga tidak bertegur sapa lagi hanya kerana tidak sependapat!!!

Selalunya "mereka" menumpukan analisis pada percaturan strategi, kekuatan dan kebolehupayaan pemain dan pelbagai faktor lain seperti pengadil, cuaca, fizikal padang, fizikal bola dan lain-lain. Pelbagai hujah dan idea tentang corak permainan yang menentukan menang kalah sesebuah pasukan. Tetapi sering sahaja saya dengar hujah tentang "NASIB". Saya tergelak juga apabila "mereka" telah puas meneliti dan menganalisis akhirnya hujah mereka tersungkur lalu tersimpul pada erti kata "NASIB".

Pada perkiraan saya, "mereka" mungkin silap. Istilah "NASIB"tidak boleh digunapakai dalam hujah mereka sebenarnya. Betulkan menang kalah sesuatu pasukan disebabkan "NASIB"? Saya kira tiada kena mengena dengan nasib. Semua perkara yang berlaku dalam permainan bola sepak iti sudah diaturkan. Jika ada jurulatih sesebuah pasukan yang kalah atau seri mengatakan bahawa nasib tidak menyebelahi mereka, saya kira itu kenyataan yang tidak berasas dan lemah.

Sebelum perlawanan dimulakan, jurulatih sudah pasti mengatur taktik terlebih dahulu. Terpulanglah mahu menyerang atau bertahan, itu mengikut kebijaksanaan jurulatih yang tahu akan kekuatan pasukannya. Strategi juga diatur. Siapa yang perlu masuk terlebih dahulu dan siapa sebagai gantian. Semua ini sudah dicermati oleh jurulatih terlebih dahulu sebelum pasukannya turun ke padang. Bolehkah ini dikatakan "NASIB"?

Pastinya corak permainan menentukan menang kalah sesuatu pasukan. Corak permainan pula ditentukan oleh pemain. Pemain sudah tentu tahu peranan dan posisi mereka masing-masing diikut dengan strategi yang telah diaturkan oleh jurulatih mereka. Jika mahukan corak permainan yang bermutu, strategi bijak, dan akhirnya kemenangan, perlulah kesepaduan jurulatih dan pemain. dan kemenangan juga bukan "NASIB".

Pemain bola sepak yang turun ke padang semuanya terlatih. Bukan mereka yang baru sepak bola dua tiga hari. Mereka sudah diajar dengan teknik bermain dengan betul dan menjalani latihan dengan giat. Jadi, penyerang sudah belajar bagaimana mahu menjaringkan gol! Dan kalau mereka gagal memanfaatkan peluang di hadapan gol, itu bukan "NASIB", itu kesalahan penyerang itu sendiri. Begitu juga dengan pemain yang berada di posisi yang lain.

Bola sepak adalah permainan yang memerlukan teknik dan taktik. Kalau kesalahan mahu diletakkan pada sesuatu pasukan. Lihatlah pada teknik dan taktik, bukan "NASIB". Kepada "mereka", terimalah hakikat bahawa kemenangan dan kekalahan sesuatu pasukan itu BUKAN NASIB. Dan tiba-tiba saya teringat kata-kata Dr Roselan, lebih kurang begini, "sekarang ini ramai orang tak tahu malu, sarung jersi pasukan, menjerit macam apa, tetapi bila suruh menyepak bola, semuanya kaki bangku". Saya akan masih tertawa biarpun piala dunia akan terus bersilih ganti mengingatkan kata-kata itu.