Selasa, 4 Mei 2010

SEKADAR BERKONGSI BICARA


Hampir separuh hari saya menikmati pencerahan minda di Wacana Fahaman Pluralisme yang berlangsung di UIA tempoh hari. Satu program yang menguntungkan hati dan minda. Sangat bermanfaat dan penting untuk seluruh umat Islam. Syabas saya ucapkan kepada MUAFAKAT, HAKIM DAN JAIS yang telah bekerjasama dengan baik kerana berjaya menganjurkan program sebegini rupa.

Program ini sepatutnya mendapat penyertaan yang ramai kerana maudhuk perbincangan yang ingin dikupas begitu signifikan dengan keadaan umat Islam pada hari ini. Perbincangan juga melibatkan hal usul dan akidah. Kehadiran juga agak memberangsangkan. Sepatutnya politikus-politikus juga seharusnya turun padang untuk menyertai tetapi saya tidak nampak kelibat mereka di sana. Mungkin letih berkempen masih tak habis agaknya!

Program ini dihadiri oleh empat panel pembentang yang sememangnya ahli dengan mauhdhuk perbincangan. Dr. Anis Malik Thoha dengan kertas kerjanya bertajuk Ciri-Ciri Fahaman Pluralisme. Memang menarik. Dr Anis menyatakan bahawa pluralisme adalah “anak sah” yang lahir dari “rahim” demokrasi. Selain itu Dr. Anis juga menyatakan pentingnya kita menggunakan sesuatu istilah. Tidak memborong sesuka hati kerana istilah bukanlah sekadar istilah, tetapi mengandungi falsafah disebalik istilah itu sendiri.

Dr Anis menghujahkan bahawa pluralisme bukanlah hanya toleransi agama, malah penekanan pluralisme lebih kepada “kesamaan” dan “kesetaraan” dalam segala hal termasuk “beragama”. Dr Anis menyatakan ada beberapa ciri-ciri utama untuk mengenalpasti pluralisme antaranya ialah :

· Kesetaraan dan persamaan
· Liberalisme dan kebebasan
· Relativisme
· Reduksionisme
· Eksklusivisme

Apa yang menarik perhatian saya bahawa kajian Dr Anis agak mendalam dan teratur. Saya agak ketinggalan membaca buku yang bertajuk Trend Pluralisme Agama : Satu Tinjauan Kritis. Saya baru sahaja sempat memilikinya dan sedang menghadamnya, Insha-Allah saya akan berkongsi satu hari nanti setelah habis membaca bukunya itu.

Ustaz (Dr.) Muhammad `Uthman El-Muhammady pula membentangkan kertas kerja bertajuk Beberapa Isu Dalam Pluralisme Agama – Satu Pengamatan Ringkas. Saya beranggapan bahawa idea kertas kerja ini sudah ditulis oleh Ustaz `Uthman terlebih dahulu (Klik di sini). Kemudian Ustaz `Uthman mengembangkannya dengan lebih jelas. Sepatutnya Dato Seri Anwar Ibrahim patut turun pada ke program ini. Masyarakat mahu dengar juga hujahnya berkaitan isu pluralisme ini (walaupun sudah terang lagi bersuluh). Saya juga naik hairan dengan orang PAS yang mendiamkan diri berkaitan hal ini. Ini soal akidah. Perkara yang penting.

Ustaz `Uthman juga menasihatkan kita agar kita tidak terperangkap dengan muslihat-muslihat pihak luar dan jangan sampai terperusuk ke dalam lubang biawak. Budaya label-melabel juga harus ditinggalkan kecuali ia sesuai dengan neraca intelektual arus perdana umat. Akhirnya ustaz `Uthman menyatakan kita harus kembali kepada wacana arus perdana umat kahira ummatin ukharijat linnas, yang hakikatnya tidak ada wacana yang mengatasi kebenaran biarpun datang dari

Pembentangan ketiga pula oleh Dr. Mohd Farid Mohd Shahran. Ini antara penceramah saya senang sekali dengan gaya penyampaiannya. Tenang, mudah dan jelas. Denga kertas kerja bertajuk Akidah Islam dan Fahaman Pluralisme Agama. Dr. Mohd Farid mempersolakan jika kesatuan berlaku ditahap transenden mengapa tidak berlaku kesatuan akhlakiyah? Ini menimbulkan kekeliruan. Secara logik akal, mustahil jika sumbernya sama, sudah pasti syariah dan ibadat juga pada dasarnya sama.

Selain itu juga, Dr. Mohd Farid menghujahkan bahawa Barat tidak layak mengajar kita tentang toleransi kerana masyarakat Islam lebih dahulu mema’nai erti toleransi dengan hidup berjiran sesama masyarakat yang berlainanan agama. Berbeza dengan cara hidup Barat. Surah al-Kafirun sudah menjelaskan bahawa Islam mengiktiraf kewujudan kepelbagaian agama akan tetapi islam tidak menerima kebenaran relatif semua agama seperti yang dianjurkan pluralisme.

Pluralisme juga mengikut pandangan Dr. Mohd Farid bertentangan dengan akidah dan prinsip Islam malah bertentangan dengan prinsip akal yang sihat. Ini kerana akal tidak boleh menerima dua hakikat yang sama benar akan tetapi saling bertentangan untuk wujud di satu masa. Ini bertentangan dengan prinsip asas dalam logik iaitu the principle of non-contradiction. Dr. Mohd Farid menghujahkan ada lima perkara yang menjadi selalunya menjadi persoalan dalam pluralisme iaitu Salvation of Religion, Kebenaran, Ketuhanan, Kerasulan dan Fitrah.

Dan akhir sekali pembentangan dari Dr. Syamsuddin Arif. Saya sangat terkesan dengan pembentangan Dr Syamsuddin. Memang menarik dan menjentik minda saya. Dengan tajuk Interfaith Dialogue: ‘Kuda Troy’ dari Vatikan?, pembentangan ini memang membuka ruang perbincangan yang panjang. Panel ini dimaklumkan mampu menguasai bahasa Hebrew. Panel ini telah membuka tembelang gerakan gereja Kristian yang menggunakan dialog antara agama sebagai mekanisme untuk menyebarkan agama Kristian kepada masyarakat agama lain.

Melalui kertas kerjanya, panel ini mendedahkan bahawa Gereja Katholik mengakui bahawa ada kebenaran di agama lain yang merupakan pantulan cahaya kebenaran kepada seluruh umat manusia tetapi menegaskan pendirian bahawa Jesus Kristus ialah satu-satunya jalan [keselamatan], satu-satunya kebenaran dan satu-satunya kehidupan yang hanya dengannya manusia dapat hidup beragama secara utuh dan sempurna. Di sinilah tersirat ambivalensi Gereja : di satu sisi mengesankan perubahan sikap dari eksklusif kepada inklusif, tetapi di sisi lain tetap menyakini bahawa keselamatan hanya boleh diraih oleh pemeluk Kristian. Seperti kata St. Cyprianus: “Salus extra ecclesiam non est, tak ada keselamatan diluar gereja”.

Dialog antaragama yang diusahakan oleh pihak gereja itu sebenarnya merupakan agenda halus agar seluruh manusia menjadi ‘anak-anak Tuhan Bapak di Sorga’. Inilah pakej terbaru Kristianisasi yang di kelabui dengan misi perdamaian, kemanusiaan dan persaudaraan. Dan matlamat Kristianisasi ini sudah semakin melebarluas. Kertas kerja ini bagus disebarluaskan agar masyarakat faham akan matlamat interfaith dialogue ini sebenarnya. Saya perturunkan sudutan akhir kertas kerja ini yang untuk kita hayati bersama :

Maka penting digarisbawahi bahawa dialog antaragama mengandungi beberapa andaian dan harapan. Pertama, setiap peserta dikehendaki menganggap semua partisipan sama statusnya. Kedua, peserta dialog sejak awal beranggapan bahawa keyakinan agama lain belum tentu salah. Dengan kata lain, patisipan sadar atau tanpa sadar dis...untikkan paham relativisme, bahawa semua agama boleh jadi benar. Ketiga, peserta dialog biasanya bermohon menegenpikan maslaah-masalah pokok yang menjadi titik-sengketa, seraya mengedepankan masalah remeh temeh yang mereka anggap sebagai titik-temu agama-agama. Apa yang ingin dicapai dari dialog? Selesai dialog diarapkan para peserta tidak hanya saling memahami teapi 'saling mengakui' dan mau menyakini kebenaran agama lain! Bagi orang Islam yang menyertai dialog semacam ini diharapkan supaya membuang jauh-jauh keyakinan kepada Islam sebagai satu-satunya agama yang benar. Pendek kata Dialog antara agama pada intinya akan menguntungkan misi Gereja untuk mengkristenkan dunia.

Saya suka dengan kata-kata Dr Syamsuddin yang menjawab pertanyaan Prof Sidek Baba, “kita bisa berkongsi fikiran, tetapi fikiran kita tidak bisa bertukar bukan?” (lebih kurang macam itulah kalau saya tak silap). Kita perlu jelas dan berani menyatakan kebenaran dan jangan sesekali menjadi pragmatik hingga sanggup mengorbankan akidah. Dalam Islam sememang tiada persamaan dengan agama-agama lain. Itu jelas. Yang menjadi perlu dinyatakan kepada penganut agama-agama lain ialah kejelasan perbezaan bukan persamaan antara Islam dengan agama lain.

Perbincangan tentang perkara usul sebegini tidaklah membawa kepada konklusi yang begitu cepat. Banyak khilaf yang timbul pada hari tersebut. Persoalan istilah, soal cendekiawan Islam yang terperangkap dikantung pluralisme yang mana membawa kesan pada masayarakat, persoalan interfaith dialogue, dan pelbagai lagi. Tetapi saya fikir soal istilahlah yang paling penting sekali. Inilah yang perlu dihuraikan dengan teliti mengikut ru’yat al-Islam lil wujud. Moderator juga berjanji akan diadakan program tentang pluralisme selama 3 hari 3 malam untuk menbincangkan permasalahan pluralisme ini.

Saya bersyukur kerana mendapat kefahaman dan pencerahan minda dan hati melalui program itu. Sekurang-kurang program sebegini menambahkan kefahaman yang lebih jelas kepada saya tentang pluralisme yang sememangnya bahaya dan mula menyerang masyarakat Islam di Malaysia kini. Semoga Allah s.w.t memberikan kekuatan iman kepada seluruh umat Islam agar mampu mendepani rintangan musuh-musuh Islam pada masa akan datang.

Amin.

Tiada ulasan: