Rabu, 1 Julai 2009

PERCAYA, FAHAM DAN YAKIN

Membaca penyelidikan berkaitan dengan sejarah Islam memang menyeronokkan. Seakan membawa kita kembali ke zaman silam yang penuh dengan keistimewaan yang telah jauh memisahkan landskap pemikiran kita sekarang. Penyelongkaran oleh sarjana-sarjana yang membuat kajian untuk mengembalikan kebenaran sememangnya perlu agar perkara yang haqq dapat ditemui semula.

Ilmu sejarah dapat digunakan bagi menyelesaikan satu persoalan dalam sejarah tamadun manusia. Inilah peranan ilmu sejarah yang membimbing manusia untuk kembali berfikir dan mengasosiasikan dengan konteks milieu. Ilmu sejarah merangsang minat ingin tahu, mengajak kita berfikir bagi mendalami sesuatu kejadian yang boleh diteladani atau sebaliknya. Ringkasnya, ilmu sejarah ini penting dan berperanan memberi makna dan erti kepada kita sebagai refleksi untu kemajuan tamadun pada masa akan datang.

Membaca buku ‘Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain’ memang memberi pengetahuan yang luas tentang sejarah. Penulisan buku ini juga dilihat sebagai satu usaha murni bagi membongkar sejarah silam, dan sekiranya diterima oleh banyak pihak, maka penulisan ini telah merungkai satu polemik sejarah yang berkurun lamanya menjadi tanda tanya. Buku ini juga membolehkan anda kembali melakukan retrospeksi terhadap apa yang sebenarnya berlaku dan boleh saya katakan mampu mengheret pembaca melakukan introspeksi terhadap perjalanan hidup manusia sebagai khalifah di muka Allah SWT.

Jika saudara berminat, saudara boleh sahaja dapat di kedai-kedai buku berhampiran. Di dalamnya terdapat pelbagai sejarah yang mungkin telah tertimbus lantaran dimanipulasikan oleh pihak lain. Namun, saya tidak bertujuan memerikan apa yang terdapat dalam buku ini. Cuma saya suka berkongsi tentang apa yang telah ditimbulkan oleh penulis berkaitan percaya dan faham. Tidaklah dikonstruksikan secara luas dalam buku ini tentang ‘percaya’ dan ‘faham’. Hanya berkaitan pada kisah Nabi Ibrahim. Namun, pada saya, sedikit sahaja sudah membawa kita ke alam pemikiran yang merimba.

Di bawah ini terdapat cuplikan daripada buku tersebut tentang percaya dan faham yang pada saya agak menarik untuk diamati;

Antara banyak-banyak kisah Nabi Ibrahim yang dapat diambil iktibar, penulis mahu berkongsi mengenai peristiwa apabila Nabi Ibrahim meminta Allah supaya menunjukkan kepadanya bagaimana sesuatu yang mati itu dihidupkan . Maka Allah bertanya, apakah beliau tidak percaya? Lalu beliau menjawab, sudah tentu tetapi hanya supaya beliau lebih memahami.

Maka Allah memerintahkan beliau supaya mengambil empat jenis burung iaitu merak, ayam jantan, merpati dan helang. Selepas itu, beliau perlu menyembelih keempat-empat ekor burung itu dan cincang dagingnya lalu diletakkan pada empat bukit yang berbeza. Kemudian beliau memanggil burung itu kesemuanya. Maka ketika itu Nabi Ibrahim menyaksikan bagaimana Allah menyatukan tulang-belulang mereka lalu diselaputi dengan daging dan akhirnya diliputi oleh kulit dan ditumbuhkan bulu. Maka berterbanganlah mereka ke arah Nabi Ibrahim.

Daripada kisah itu, kita mendapat sekurang-kurangnya dua pengajaran. Pertama adalah berdasarkan kiasan empat ekor burung yang dicincang-cincang dagingnya itu. Ia membawa erti yang pada burung-burung tersebut terdapat sifat yang keji. Kita sebagai manusia perlu memelihara diri daripada sifat tersebut.

Contohnya, jika dirujuk pada burung merak, ia memiliki sifat sombong dan bangga diri disebabkan kecantikan bulunya yang berwarna-warni hingga dapat menarik perhatian sesiapa yang melihat. Maka kita perlu menjauhi sifat sedemikian. Bagi sifat buruk ayam jantan pula adalah kegilaannya mengawan tanpa mengira masa dan tempat. Sikap buruk itu perlu kita hindari.

Seterusnya, burung merpati mempunyai sifat paling digemari dalam kalangan masyarakat sedunia iaitu malas. Sekiranya diperhatikan, burung merpati adalah burung yang paling lewat mencelikkan mata pada waktu pagi sedangkan burung-burung yang lain sudah pun sibuk bekerja keras. Akhir sekali adalah keburukan sifat burung helang yang suka menyambar. Ini dapat dikiaskan kepada sikap sesetengah orang yang gemar mencuri termasuklah ‘menyambar’ hak orang lain, meragut barang individu lain, merampas harta bukan miliknya dan yang seangkatan dengannya.

Pengajaran yang kedua pula dapat kita lihat adalah sikap Nabi Ibrahim yang sudah beriman, namun masih berusaha memahami sesuatu dengan lebih mendalam lagi. Maka, terdapat suatu perbezaan ketara antara ‘kepercayaan’ dan ‘kefahaman’. Ini bermaksud terhasil dikotomi antara percaya dan faham pada sesuatu perkara. Contohnya, apakah kita percaya kepada al-Quran? Maka jelas jawapannya adalah ya. Tetapi, apakah kita memahami al-Quran? Penulis berpandangan, kita tentu memberikan jawapan yang berbeza daripada sebelumnya. Pendek kata, kita perlu berusaha secara berterusan bagi mengkaji pembentangan kebenaran daripada al-Quran setelah kita beriman dengannya.

Pada saya, penelitian tersebut memang teliti dan membawa kesan kepada kehidupan. Alam yang terbentang luas membawa makna yang begitu luas. Tidaklah Allah ciptakan sesuatu makhluk itu sia-sia dan tidak membawa apa-apa pengertian dalam kehidupan kita. Renungan terhadap sesuatu kejadian ini perlu dilakukan sebagai pemangkin kepada kehidupan yang membawa kesinambungan pemikiran akal yang sihat dan mencetuskan spiritual yang tinggi dalam konteks percaya dan faham.

Dalam kehidupan percaya itu membawa makna secara terus kepada beriman. Bukanlah semata-mata percaya di tahap pengetahuan. Tetapi perlulah diikuti dengan penyerahan sebulat hati nurani terhadap perkara yang kita percaya. Hal ini menyentuh dimensi kerohanian dan spritualitas yang menjadi teras kepada kepercayaan tersebut. Penyerahan seluruh jiwa raga itu membuktikan keimanan yang sungguh-sungguh tanpa ragu-ragu. Jika keraguan timbul biar pun sedikit maka kepercayaan itu belum mencapai pada tahap yang sempurna.

Usaha Nabi Ibrahim itu dilihat sebagai bukti manusia yang sentiasa melengkapkan dirinya konteks keilmuan. Walaupun kepercayaan sudah sebulat hati, namun Nabi Ibrahim berusaha untuk memahami sesuatu itu dengan sangat mendalam. Kedalaman itu membawa kepada ketelitian. Setelah dibuktikan, barulah Nabi Ibrahim benar-benar faham. Saya percaya bahawa kefahaman itu telah menimbulkan satu lagi aspek yang lain iaitu keyakinan. Keyakinan itu puncak kepada suatu kepercayaan dan kefahaman. Itulah petanda bahawa tahap itu merupakan tahap yang paling asas untuk membentuk aspek kejiwaan serta keperibadian yang utuh.

Pada zaman ini, anak-anak disuruh belajar membaca al-Quran, tetapi sayangnya tidak pernah untuk diajak untuk memaknai kandungan al-Quran itu sendiri. Kepercayaan sebenarnya perlu diikat dengan kefahaman agar kerangka asas pemikiran itu kukuh dan tidak longgar. Setelah kerangka pemikiran yang berasaskan tauhid itu sudah kejap, maka tiada masalah dalam merungkaikan satu masalah. Mudah untuk kita mengklasifikasikan sesuatu ilmu atau idea itu berada di tahap mana dan di mana perlu diletakkan atau dibuang terus dalam kehidupan.

Begitu juga dengan kisah burung-burung yang menjadi kiasan itu. Harus dijadikan iktibar. Inilah peranan sejarah dalam memberikan pengajaran dalam kehidupan seharian. Sayangnya, pemimpin kita hari ini tidak mahu melihat kepada sejarah. Lebih sayang, malas untuk membaca. Mahu membina masyarakat intelektual. Tetapi dasar negara langsung tidak menyentuh aspek keintelektualan. Malah memacukan negara ke arah hedonisme semata-mata.

Dan bila kita melihat tentang kemelut PPSMI, apakah memang pemimpin kita tidak percaya dan faham sekaligus yakin bahawa bahasa Melayu bukan sahaja sebagai bahasa ilmu dan komunikasi dalam sistem pendidikan, malah menjadi sebagai mekanisme penyatuan masyarakat majmuk dalam mencapai kehidupan yang harmoni. Tidakkah mereka perlu menyelak sejarah tentang kehebatan dan keagungan bahasa Melayu yang menjadi alat kepada penyampaian agama Islam di tanah Melayu ini dan mengubah kebudayaan dan sosioekonomi ke arah yang selesa seperti yang kita nikmati kini?

Kadang kala saya terfikir bahawa pemimpin kita ini sudah melengkapkan diri sebagai merak, ayam jantan, burung merpati dan helang dalam mentadbir negara ini. Astagfirullah…

1 ulasan:

Mohd Ali Atan berkata...

Mengikut barat, bahasa ditakrifkan bersifat arbitrari yakni sewenang-wenangnya. Dan takrifan itu digunapakai dalam sistem pendidikan di negara kita. Walhal mengikut Prof Dr Sanat Mat Nasir (APM,UM) berkata bahasa itu makhluk dan fitrahi. Ia mempunyai landasannya yang berkaitan dosa dan pahala. Ini selari dengan pendapat Choamsyk seorang yahudi berkata bahasa adalah cerminan hati. Dlm penelitian Prof Sanat, bahasa rabbani. Bahasa yang sewenang2nya itu pula adalah bahasa syaitan. Namun sayangnya orang Melayu lemah hati dan akal.Sebab itu lah gagal memahami hakikat bahasa.