Ahad, 16 September 2012

SECANGKIR KOPI DAN MATLAMAT PENDIDIKAN

Saya duduk berseorangan di kedai kopi. Saya lebih gemar memilih sunyi dan bersendiri kerana mahu memberi ruang kepada diri saya membaca dan merenung sedikit. Pada kebiasaannya saya akan bertemankan secangkir kopi, bahan bacaan, dan senyuman. Saya akan memilih kedai yang paling ramai tidak dilawati orang kerana ia memberikan saya ruang. Ya, saya perlukan ruang untuk lari dari penipuan masyarakat disekeliling saya. Cukuplah dengan membaca, kopi dan tersenyum sewaktu merenungfikir, itulah bahagia yang sekejap saya perolehi.

Kali ini, saya memilih suratkhabar sebagai peneman. Saya jarang membeli suratkhabar kerana disitulah penipuan boleh mengganggu fikiran saya. Jika ada keperluan yang mendesak, saya hanya pergi ke perpustakaan dan membacanya disana. Tetapi hari ini, saya membelinya untuk mengetahui suatu perkara yang penting. Penting kerana ia subjek yang melingkari kehidupan saya. Dengan subjek itu saya belajar, dan subjek itulah saya mengajar. Pendidikan. Itulah subjeknya. Dan lebih khusus, saya cenderung dengan bahasa dan sastera melayu.

Khabar dari suratkhabar itu menyatakan perubahan dalam pendidikan berlaku lagi. Agendanya besar. Beberapa perkara dalam pendidikan digarisbawahi dan rencana dasar ini telah dilakukan dengan tertib. Maksud saya, ada suatu kumpulan yang berusaha membentuknya. Dan kumpulan tersebut dari kalangan mereka yang “siuman”. Kebiasaannya idea dari sejumlah sang akademik membayangi rencana ini. Ia agenda yang dirancang, dan ia bukanlah suatu kebetulan seperti anak kecil yang jatuh ketika lari. Kita tahu, setiap rancangan memerlukan kesepakatan. Yang pasti bukan kesepakatan ego kerana ego orang akademik besar dan sukar diruntuhkan walaupun mereka salah lagi keliru. Kesepakatan ini dari subjektif menjadi objektif. Tatacara sebegini di dalam Islam telah lama dipraktikkan. Para ahli dan ulama’ berhimpun menyatakan pandangan peribadi atau ijtihad dan kemudiannya disimpulkan menjadi suatu ijma’. Ijma’ tersebut harus dihormati dan dipegang oleh sekalian umat. Tetapi lain halnya dengan rencana pendidikan tadi. Saya percaya yang menjadi panel bukanlah yang ahli atau ulama’. Oleh itu ia bukanlah mutlak dan rencana itu masih boleh dipertikaikan atas kelemahannya dimana-mana.

Saya menghirup kopi dan terus menekuni khabar itu. Saya terhenti seketika dari membaca. Ada sesuatu yang menarik pada kopi saya. Pada mulanya hangat, kini berubah menjadi suam. Dan saya tahu, ia akan menjadi sejuk pabila tiba masanya. Saya berfikir dan merenung minuman saya dalam-dalam. Ada perkara yang menarik perhatian saya. Pertama, dari panas, ia berubah menjadi suam. Dari suam, ia akan berubah menjadi sejuk. Jika ia dipanaskan kembali, ia akan panas dan jika ditambahkan ais, ia akan sejuk (bukan keadaan sejuk yang pertama) dan menyegarkan. Perubahan pada sifat pada kopi saya itu membawa saya kepada suatu perkara. Dari suatu perkara, sesuatu sifat itu boleh berubah kepada suatu sifat yang lain, yang memberikan suatu konsep yang baharu. Yang menjadi pertanyaan saya, adakah perubahan akan terus berlaku? Tidak, kerana keadaan kopi saya tidak akan menjadi panas kembali dan tidak akan menjadi sejuk jika tidak ditambah ais. Maka, saya katakan perubahan itu bertahap dan ia akan berhenti pada suatu takahnya.

Kesimpulan itu saya pegang dan saya akui benarnya kerana diluar kedai itu terdapat sebatang pokok. Pokok apabila sampai ke tahap matangnya, ia berhenti untuk tumbuh (ini asal kata bagi pertumbuhan). Mana ada pokok yang meninggi hingga mencium dada langit? Ada, pokok itu pokok imaginasi, seperti yang diceritakan dalam Jack and Beanstalk. Tetapi kita tidak harus keliru antara imaginasi dan intelektual. Lukisan boleh lahir daripada imaginasi yang kuat serta kreativiti juga. Namun, lukisan bukan suatu perkara intelektual. Jika lukisan kita katakan satu perkara yang berintelektual, maka orang purba yang tinggal di gua itu berintelektual. Kesimpulan ini kurang siuman dan bakal mengundang lebih banyak kekeliruan.

Sekarang, bagaimana pula dengan pendidikan? Samakah ia dengan kopi saya tadi? Adakah perubahan yang baharu menuju kepada suatu tujuan akhir yang tetap? Perkara yang mendasar untuk dinilai adalah, apakah perubahan ini membawa kebaikan dan adakah ia membawa manfaat atau sebarang “nilai yang kekal dan mutlak”. Apa yang saya perhatikan, perubahan yang dilakukan bersifat sementara dan ia menuju kepada suatu masa yang ditetapkan; belum sempat menuju kepada masa yang ditetapkan, ombak perubahan yang baharu datang semula. Perubahan yang baharu inilah antara salah satu ombak yang menghempas pantai pendidikan kita sekali lagi. Pada maklumat tadi, jangkamasa yang dirancangtetapkan mengambil masa yang agak panjang. Saya percaya, jika perubahan yang melibatkan jangka masa yang panjang, sudah pasti berdiri atas nilai yang universal dan mutlak bagi mengelak ombak perubahan datang ditengah-tengah perlaksanaan. Adakah ia benar perubahan kali ini berdiri pada nilai universal yang mutlak? Saya akan rungkai ia pada masa minum kopi di lain tempat. Ia suatu yang besar dan saya perlukan ruang yang lebih luas untuk itu.

Kopi saya berubah lagi. Suamnya kini semakin beransur hilang. Ia berubah sekali lagi. Tetapi ia tetap kopi. Adakah ini bermaksud ia kemutlakan itu wujud? Memang benarkah terdapat nilai yang mutlak dan benar sepanjang zaman? Saya teringat perdebatan antara Mortimer J. Adler dan Bertand Russell dalam suatu seminar di mana Adler cuba mempertahankan bahawa memang terdapat nilai yang mutlak tetapi sayangnya Russell tidak mampu menangkis jawab premis Adler. Malah Adler mengatakan bahawa Russell hanya berjenaka bodoh dikhalayak ramai kerana tidak mampu menumbangkan hujahnya. Kemudiannya, Adler dicabar pula oleh seorang rakan Bertand Russell Saya tidak ingin panjangkan soal perdebatan itu kerana ia boleh dibaca melalui tulisan Adler di dalam Reforming Education: The Opening of the American Mind. Cuma apa yang ingin saya katakan, seorang yang bukan Muslim percaya bahawa adanya nilai yang mutlak dan tidak berubah-ubah. Bagaimana dengan kita?

Saya melipat suratkhabar itu dan saya merasakan cukup dengannya. Saya mahu berfikir. Saya merenung kembali perjalanan akademik saya dalam bidang pendidikan. Saya diajarkan banyak perkara tetapi hampir kesekaliannya tidak berma’na. Saya terimbas kembali saat belajar di ijazah pertama. Pabila tamat menuju ke pengakhiran pengajian dalam bidang pendidikan, saya bertanya kepada ramai rakan. Apakah yang kau perolehi selama ini; bersediakah kau menjadi alim yang bijaksana; benarkah kau telah menguasai disiplin ilmu yang benar untuk kau ajarkan kepada muridmu; sanggupkah kau memegang amanah ilmu yang dipertanggungjawabkan atasmu kelak; dan pelbagai lagi. Jawapannya yang saya terima, rata-rata mereka masih keliru tentang matlamat mereka diajar dan belajar. Mereka bagaikan kotak yang sedang dicop dengan tulisan “guru”, “pendidik”, “cikgu’ dan lain-lain dan kemudiannya kotak itu kosong bakal dipenuhi dengan isian. Isian itu bukan ditentukan oleh mereka, tetapi oleh insan yang berkepentingan.Tetapi bukan semuanya begitu,sungguh pun banyak.

Sejak itu, saya tahu, ada kerosakan dan kelompangan yang sangat besar dalam pendidikan. Waktu itu, saya berusaha mencarinya. Saya tahu terdapat sarjana yang telah menghuraikan perkara ini sejak dahulu lagi. Namun kini, saya hanya mahu tahu apa matlamat pendidikan sebenarnya? Mengapa rakan-rakan saya dari pelbagai bidang pendidikan menjadi sekian rupa hingga hilang daya untuk mengetahui apa matlamat mereka terjun ke dalam bidang pendidikan dan kemudiannya menjadi guru? Saya ditakdirkan berada lebih lama di bidang pendidikan, pada peringkat yang lebih tinggi. Maka usaha saya berterusan hingga kini. Saya berjumpa pelbagai rupa insan akademik dalam bidang pendidikan dan bukan pendidikan. Saya bertanya bagi mencari jawapan.  Ternyata kekeliruan dan kejahilan pada rakan-rakan saya sebenarnya diwarisi dari pensyarah mereka yang datang dari pelbagai lapangan. Mereka juga sebenarnya jahil dan tidak tahu menahu langsung tentang matlamat pendidikan. Selama ini, mereka berpura-pura dengan sedikit keberanian dihadapan kelas, untuk berdusta dan kemudiannya berlagak seolah-olah berilmu. Mereka telah berlaku khianat atas amanah ilmu yang dipertanggungjawabkan atas diri mereka. Mereka jugalah yang akhirnya mengelirukan murid mereka sehingga ramai yang terkorban menjadi mangsa kekeliruan. Tidakkah mereka berasa bersalah sedikit pun? Itu mereka perlu jawab dan paling penting mereka wajib perbetulkan kesilapan mereka.

Saya merenung pada soal matlamat. Matlamat mesti membayangkan soal hala tuju. Mustahil seseorang itu berbicara tentang matlamat tetapi mengenepikan sama sekali soal hala tuju. Ia dua perkara yang tidak boleh dipisahkan. Secara mudahnya, jika kita renung akan ma’na matlamat itu, maka tertayang dalam fikiran kita tentang satu perkara yang dirancang untuk dicapai. Maka ia juga membayangkan satu tujuan dan kita berusaha mencapainya. Saya percaya matlamat tidak boleh bersifat sementara kerana ma’na asalinya tidak membenarkan ia bersifat demikian. Ia mesti kekal dan mutlak. Tidak berubah-ubah sifatnya. Dan dengan tinjaun akal, maka saya percaya saya sudah sedar akan apa itu matlamat pendidikan. Ia mesti kekal dan berpenghujung, bukan sebuah persinggahan. Tetapi betulkah?

Ya, matlamat itu pasti. Dan ia tidak boleh bersifat kabur dan ia mesti jelas. Dari mana asal istilah matlamat ini? Matlamat berasal daripada perkataan alamat. Bukankah alamat ini suatu yang biasa bagi setiap insan sehari-hari. Alamat membayangkan petanda dan suatu perkara yang mempunyai tanda. Ia juga sering dirujuki sebagai suatu tanda peringatan. Kita boleh faham secara jelas alamat itu adalah tanda yang membekaskan ingatan. Sebagai contoh, alamat rumah seseorang sudah menayangkan kepada kita sebagai tanda pada sesuatu tempat. Ia terletak pada suatu ruang. Itu jelas. Ini mengisyaratkan bahawa alamat sesuatu tempat itu menjadi tanda yang boleh diingati kedudukannya kerana ia bersifat menetap. Sebagai contoh yang lebih khusus, saya mahu menuju ke suatu tempat. Pastinya saya sudah tahu ke mana arah tujuan yang saya akan pergi kerana saya telah mempunyai alamatnya dan yang paling penting, tempat tersebut sudah pasti berada di sana. Maka, pabila saya pergi ke sana, maka saya akan sudah pasti akan menjumpai tempat itu berdasarkan pengenalan dan pengetahuan saya akan dimana tempat tersebut berada. Ini bermakna tempat yang saya tujui itu mutlak menetap di sana. Ia tidak boleh berubah-ubah.

Begitu juga dengan matlamat, ia sewajarnya membayangkan suatu keadaan yang tidak boleh berubah kerana ia lahir dari matlamat. Bayangkan kalau ia berubah, maka satu keadaan yang menghairankan lagi membingungkan akan berlaku. Contohnya, saya sampai ke tempat yang saya ingin tuju. Lebih tepat, saya mencari sebuah kedai kopi. Tetapi kedai kopi tersebut tidak ada disitu. Maka saya akan berasa pelik dan hairan.Dengan rasa yang bingung dan keliru, sudah pasti saya akan bertanya kepada penduduk yang berada disitu satu persatu bagi kedai kopi terseubt. Maka saya akan berpusing-pusing untuk bertanya. Ada sesuatu yang boleh diperhatikan pada proses pertanyaan saya itu. Nanti saya kemukakan. Yang pasti, alamat tidak benar akan membuat saya hilang arah dan punca. Saya akan keletihan dalam pencarian. Maka, betullah kata Guru saya, “tiada gunanya saya ke Mekah, kalau kedudukan Mekah sering berubah”.

Saya mencicip kopi yang sedikit pahit. Saya menarik nafas dan terus berfikir. Maka, setiap matlamat itu harus menuju ke arah suatu yang tetap. Sebagai seorang Islam, maka matlamat akhir kehidupan adalah mencari keredhaan Allah SWT dan mencapai kebahagiaan di akhirat kelak. Bukankah kita telah diingatkan berulangkali bahawa dunia ini tempat tumpangan yang sementara dan akhiratlah kekal selama-lamanya? Maka matlamat pendidikan kita haruslah menuju ke arah mencapai kebahagian di akhirat tanpa menafikan kebahagiaan di dunia juga perlu dicapai. Kita tidak boleh jatuh ke lembah ekstrim. Apabila kita mengatakan bahawa matlamat pendidikan itu menuju ke arah kebahagiaan di akhirat, bukanlah bermaksud menolak aspek keduniaan seterusnya. Ini hujah yang sangat lemah. Kita boleh menjawab dengan mudah. Aspek keduniaan juga diutamakan dalam Islam dengan melihat pada soal solat. Kita solat (termasuk juga ibadah yang lain) di dunia, bukan di akhirat. Di akhirat, segala perilaku serta amal kita dihitung disana. Maka, tak hairanlah Imam Al-Ghazali menyatakan “orang yang bijak akan memilih dua daripada satu”.

Renung akal saya tidak terhenti kepada soal alamat sahaja. Saya terus bertanya. Alamat datang dari istilah apa pula? Alamat berpuncasal dari istilah alam. Dan alam itu juga merupakan akar kata bagi ilmu. Takrifan tentang alam dan ilmu itu sebagai tanda bukanlah asing dalam Islam. Ia telah dihuraikan oleh banyak sarjana. Maka tiada pertentangan antara istilah alamat, alam dan ilmu. Sekarang saya sedar, matlamat bukan sahaja bersifat mutlak tetapi ia juga membayangkan pada soal ilmu. Tak hairanlah seseorang yang mempunyai banyak pengALAMan itu mempunyai banyak ilmu. Orang tua selalu berpesan, belajar dari mereka yang berpengalaman. Dan pesan itu kini membuat saya semakin sedar akan ma’nanya. PengALAMan bukanlah semata-mata suatu pengetahuan tentang tatacara yang telah dilakukan oleh seseorang insan yakni latihan yang berulangkali tanpa berpandukan ilmu yang benar. PengALAMan itu merupakan latihan amali dan rohani seseorang terhadap sesuatu perkara yang berdasarkan ilmu. Tanpa ilmu, pengalaman hanya akan menjadi latihan memperkasakan tubuh bukan rohani.

Saya memejam mata, dan saya berasa sesuatu yang segar dalam kefahaman saya. Betapa sesuatu matlamat itu tidak boleh sementara dan berubah-ubah, dan diturut serta dengan ilmu yang benar. Saya juga tersedar, mengapa selama ini, perubahan pendidikan yang saya jelakan diatas sering berlaku. Rupanya ia sama seperti proses saya mencari alamat tersebut. Mereka salah memahami pada soal matlamat dan akhirnya mengundang kecelakaan yang dahsyat dalam pendidikan. Mereka berpusing-pusing mencari arah dan hala tuju yang sebenar. Maka tidak hairanlah proses mencari itu telah membawa mereka mengubah dan terus mengubah dasar pendidikan kerana tiada matlamat yang jelas. Walhal ia telah ada, cuba mereka menafikannya. Mereka telah menafikan hak akhirat sebagai satu matlamat sebenar lalu menggantikannya dengan matlamat yang menuju kebodohan dan kecelakaan buat sekalian umat.

Dan sekarang saya harus bertanya, adakah matlamat pendidikan itu benar-benar sama dengan apa yang saya taakul kan? Atau bertentangan sama sekali. Atau saya mungkin salah? Itu mustahil. Kerana apa yang saya bayangkan itu sememangnya jelas dan menimbulkan keyakinan pada saya. Yakin tidak boleh berdiri tanpa ilmu dan begitu juga sebaliknya. Tetapi, mengapa kebanyakan pensyarah tidak cuba mendekatkan murid-muridnya dengan Islam dan aspek akhirat? Akhirnya, saya yakin dengan kesimpulan yang saya buat, mereka juga keliru dan tidak tahu menahu tentang matlamat pendidikan. Mereka zalim pada amanah mereka. Sebenarnya bukan mereka tidak mahu memikirkan hal ini, cuma mereka tidak layak dan tidak mampu untuk memikirkan perkara yang begitu senang untuk difikirkan. Merekalah pemimpin palsu yang tidak menjelaskan perkara yang benar kerana mereka tidak tahu apa itu kebenaran. Kebenaran adalah relatif pada mereka. Itulah jalan mudah bagi mengelakkan mereka menjelaskan seseuatu perkara dengan sebenar-benarnya. Mereka menyerahkan tafsiran kepada soal persendirian. Merekalah guru palsu yang senantiasa menipu dan minta dihormati. Kasihan mereka. 

Saya bangun dan dengan tidak sengaja, saya terlanggar cawan kopi lalu ia tumpah pada suratkhabar saya. Sayu pula sebab dari akhbar itu saya peroleh maklumat yang memungkinkan saya merenung panjang tadi. Tetapi saya tiada pilihan dan sayu itu segera hilang kerana keyakinan telah mengatasinya. Saya yakin bahawa matlamat pendidikan yang tertayang di dalam akhbar itu bukanlah matlamat yang saya ta'kulkan. Saya buang suratkhabar itu dan saya terus membayar harga kopi. Saya berlalu pergi untuk kembali ke ruang yang menyesakkan tetapi dengan senyuman. Kerana bersama saya ada matlamat yang telah berubah rupacita ma'nawinya.

Rabu, 9 Mei 2012

HERACLITUS, PERUBAHAN DAN PENJIPLAK

Dalam dunia falsafah Yunani, Heraclitus yang datang dari kelompok Elea merupakan sosok tubuh yang sering tidak ketinggalan dirujuki oleh pengkaji. Subjek yang sering dibahaskan berkaitan Heraclitus berkaitan penisbian nilai atau sering juga dikenali dengan istilah relativisme.

Heraclitus (504 S.M) percaya bahawa perubahan atau pengaliran sentiasa berlaku dan ia merupakan ciri asas atau ciri asli alam ini. Pendapat Heraclitus ini sebenarnya bergantung kepada soal pandangan zahir terhadap alam. Padanya, semua perkara dan benda bergerak dan berubah dan tiada yang kekal. Tiada yang menetap diam begitu sahaja.

Nyata pandangan Heraclitus bertentangan dengan pandangan Parmenides yang menjelaskan bahawa ia langsung tidak percaya kepada apa yang dilihat melainkan kepada kebenaran akal sahaja yakni rasionalisme. Ini kerana Parmenides beranggapan perubahan sebenar tidak wujud dan tiada benda yang berubah menjadi suatu benda yang lain.

Walaupun begitu, pandangan Heraclitus lebih diraikan kerana keadaan sekeliling sememangnya berubah menuturi keadaannya asalinya. Secara hakikatnya, perubahan merupakan gerak daya dalam sesuatu perkara yang menuju kepada suatu bentuk konsep berdasarkan konteks yang ditanggapi. Soal perubahan lebih mendapat tempat dalam pemerhatian dan dibahaskan dari pelbagai penjuru kefahaman lebih-lebih lagi dalam konteks kemodenan kini. Tambahan pula ia diasosiasikan dengan perihal kemajuan dan pembangunan yang seringkali melibatkan soal material dan soal rohani juga tiada kurang juga dibicarakan.

Berbalik pada pandangan Heraclitus itu, Heraclitus telah sampai kepada idea bahawa semua asas alam ini adalah perubahan dengan memerhatikan pengaliran air di sungai. Akhirnya dari daya pemerhatiannya, Heraclitus mengungkapkan "it is impossible to step twice into the same stream" atau "adalah mustahil untuk memijak atau melangkah dua kali ke dalam sungai yang sama". Dengan kata lain, jika seseorang memasukkan kakinya ke dalam sungai kali pertama, dan kemudia mahu memasukkan kakinya buat kali kedua; maka celupan kedua itu tidak sama dengan celupan pertama kerana air di dalam sungai sentiasa mengalir dan mustahil celupan pertama akan mengenai pada air yang sama pada celupan kedua. Maka sebab itulah Heraclitus menyatakan bahawa semua benda berubah dan tiada yang menetap kekal.

Maka fahaman ini merasuk jauh ke dalam kalbu manusiawi. Semua perkara perlu berubah dan terus bergerak. Maju dan terus maju. Jika berada di takuk lama atau mengamalkan kaedah yang lama dianggap lapuk dan kolot. Dan fahaman ini bukanlah hidup di tamadun Yunani malah berkembangluas dan kemudiannya dihidupkan kembali oleh ahli falsafah lain seperti Epicurus, Thommas Hobbes, Hume, Jeremy Bentham dan John Stuart Mill yang berkait rapat dengan soal keseronokan dan Hedonisme. Dalam disiplin sastera juga, barah ini telah lama hinggap dan membunuh kefahaman ramai pengarang dan sasterawan.

Soal pengaruh fahaman Heraclitus ini tiada perlu dinafikan tetapi persoalan yang perlu ditanyakan adalah, benarkah fahaman itu benar? Adakah semua perkara perlu diubah agar dilihat cocok dengan situasi semasa? Kalau diterima pakai fahaman itu, maka soal rohani juga harus diubah setiap masa. Benarkah iman dan iktiqad diri perseorangan Muslim harus diubah setiap masa agar sesuai dengan konteks semasa? Mustahil kerana ia boleh mendatangkan kufur sama sekali dalam pandangan alam Islam. 

Seperti yang telah disentuh tadi, perubahan juga berkait rapat dengan soal pembangunan. Prof Wan Mohd Nor Wan Daud telah menanggapi soal pembangunan ini dengan kritis sekali. Dengan mendalami soal memahami perubahan yang membawa kepada pembangunan, Prof Wan telah melihat dari sisi pertentangan ma'na pembangunan itu sendiri iaitu kemunduran atau mundur. Dalam hal ini, Prof Wan terus menyelar bahawa kemunduran itu bukanlah satu perkara yang negatif ataupun tidak baik, malah ia kadangkala memberikan kebaikan. Sebagai contoh, beliau menyatakan bahawa air pasang dan surut, kedua-duanya baik dalam keadaan tertentu. Begitu juga dengan dalam peperangan dan acara sukan, mengundur itu merupakan salah satu teknik , helah atau rancangan dalam menuju kemenangan. Sebagai tambahan, jika kita dapat memerhati tumbuh-tumbuhan, apabila ia sudah matang ia akan berhenti dari 'membangun' dan membesar. Begitulah keadaannya bahawa setiap yang bertentangan dengan perubahan itu bukanlah suatu tidak baik.

Fahaman Heraclitus ternyata mentah dan dangkal sama sekali. Hanya dengan memerhatikan sungai yang mengalir itu lalu mencetuskan fahaman perubahan itu bukanlah suatu yang membanggakan. Ada banyak perkara yang perlu ditanya. Yang paling asas, ke mana benda yang berubah dan mengalir itu hendak menuju? Apakah matlamatnya? Apa yang perlu diubahnya? Harus juga ingat, perubahan akan membawa bersama soal perubahan nilai dan fungsi jika tiada kena pada tempatnya. Dan paling penting, jika perubahan mahu dilakukan, persoalan yang perlu ditanyakan, adakah kita sudah menyiapakan diri dan bersedia untuk menghadapi perubahan tersebut?

Perbahasan Heraclitus tentang perubahan bukanlah suatu yang konteks penghujahan yang kukuh dan ia boleh dijawab dengan hujah yang lebih menyakinkan. Cuba kita alihkan pandangan kepada awan dan bertanya, mengapa awan bergerak? Awan bergerak sebenarnya disebabkan belakangnya terdapat tabir langit yang menetap. Kalau tabir langir tidak menetap, maka kita tidak akan lihat awan itu bergerak. Dua benda yang sama-sama bergerak tidak akan kelihatan. Contoh lain seperti kereta bergerak. Kereta bergerak kerana jalanraya menetap dan tidak berubah-ubah setiap masa. Sebab itu boleh kelihatan akan kereta itu bergerak. Jika jalanraya bergerak dan berubah-ubah dan kereta bergerak, maka tiada pergerakan yang jelas kita akan lihat.

Sama seperti sungai, sungai mengalir dan berubah kerana ada tebing yang menetap. Ini bermakna kefahaman Heraclitus itu salah dan tidak betul. Heraclitus hanya lihat sungai tanpa melihat konteks keseluruhannya. Dari satu bahagian kecil ia membesarkan menjadi sesuatu yang besar. Dan kesalahan yang paling besar adalah penerimaan idea perubahan Heraclitus yang kecil itu sebagai suatu yang besar dan disanjung tinggi. Jelas sekali menjengkelkan.

Kefahaman perubahan Heraclitus ini berkembang dan mustahil ia tidak merasuk ke dalam disiplin sastera. Peniruan konsep dan idea dari Barat bukanlah suatu yang asing dalam konteks di Malaysia. Bukannya tidak boleh dicontohi apa yang baik, tetapi daya penyaringan itu menjadi daya yang terpenting bukan sekadar memborong sesuka rasa. Soal peniruan bukanlah suatu yang baharu dan persoalan mimesis ini sudah ditimbulkan perbahasannya sejak Plato dan Aristotle lagi. Seperti yang saya katakan dalam sastera juga fahaman ini diterima pakai oleh sasterawan. Begitu banyak pengakuan yang boleh dilihat dari tulisan autobiografi sasterawan sendiri dan telah hadir sekian banyak soal perubahan nilai yang terlimpat dalam kandungan tulisan sasterawan negara.

Inilah golongan penjiplak yang menjadi penyambung tradisi Barat yang telah banyak mengelirukan kefahaman kesusasteraan itu sendiri dengan menyatakan perubahan itu sebagai suatu yang alamiah. 

Tak perlu dideretkan pelbagai contoh. Yang paling jelas idea ini dapat dilihat dalam sajak A. Samad Said diberi tajuk Ombak. Sajaknya pendek dan berbunyi begini :

Ombak yang menjamah
kakiku sekali
takkan dapat
kukenali lagi.

*Dipetik disini 

Kalau Heraclitus menggunakan sungai , A. Samad Said menggunakan ombak. Jelas sekali peniruan ini diamalkan oleh A. Samad Said dan dengan yakin, beliau sendiri mengakui mempraktikkan konsep peniruan ini apabila beliau menyatakan bahawa "seseorang penulis terpaksa meminjam dan menyalin daripada kehidupan". Ombak sebagai simbol perubahan yang digunakan oleh Pak Samad itu jelas sekali membayangkan betapa dia juga menyanjung soal relativisme nilai yang boleh dilihat dalam karya yang masyhur iaitu Salina. Maka jika sesiapa yang membaca Salina akan mendapati perubahan nilai yang tidak menentu hala dan jika bolehlah dilihat pada laporan panel anugerah sastera yang menyatakan "Daripada segi inilah beliau membawa pembaharuan kerana beliau lebih suka membawa aliran-aliran Barat seperti realisme atau naturalisme (dan realisme baru kemudiaannya seperti dalam Langit Petang atau Daerah Zeni), dan mengisahkan segala peristiwa sebagai pemerhati yang terperinci, daripada sebagai moralist yang memberikan penilaian peribadinya terhadap watak-watak dan kisah-kisan mereka

Jika diteliti sajak A. Samad Said itu, mungkin terdapat tanggapan lain yang menyatakan bahawa sesuatu peluang itu tidak akan muncul untuk kali kedua. Tetapi dari sudut perlambangan ada logiknya jika ditanyakan mengapa 'ombak'? Mengapa tidak istilah lain yang memberi kefahaman yang lebih sesuai dengan soal peluang atau sesuatu perkara yang bermanfaat boleh disimbolkan digunakan bagi memperlihatkan kefahaman sebegitu. Ombak sememangnya sering dikaitkan dengan keganasan. Dayanya jelas bertenaga menuturi fitrah alam sehingga mampu menenggelamkan dan memamah daratan yang luas.

Apa yang lebih jelas, kefahaman berkaitan sajak A. Samad Said ini sangat dekat dengan konsep yang direnungkan oleh Heraclitus. Jika ada pihak yang menyangka sajak itu ringkas dan padat makna, maka janganlah terus diperbodohkan dengan mainan kata kerana dari segi kandungannya ia telah dahulu diutarakan oleh Heraclitus. Sama ada ia kebetulan atau ia telah dijiplak, ia boleh ditanya sendiri kepada sasterawan tersebut dan dalam mengakhiri hal ini saya kemukan suatu pantun yang saya cuplik dari nukilan Prof Wan Mohd Nor Wan Daud :

Cupak dalam pemberasan
Letak peti dalam perahu
Nampak tiada terkesan
Dalam hati siapa yang tahu

Wallahu'alam.

Khamis, 26 Januari 2012

PRASYARAT DAN SYARAT : SIRI I

Duduk berbicara di kedap kopi sambil membincangkan hal semasa memang menarik. Santai dan tidak terlalu serius terpulang pada subjek yang dibicarakan. Semalam seorang rakan bersungut tentang kenaikan harga barang hingga dia bertanya tak adakah barang yang boleh didapati dengan harga yang murah dan kalau boleh percuma lagi bagus. Saya tergelak kecil . Seorang rakan lain menyambut dan berkata "Bro, mana ada barang percuma dalam dunia ni. Nak buang najis sendiri di shopping complex pun kena bayar!". Sekali lagi saya tersenyum dan berfikir sejenak.

Saya tertarik dengan jawaban balas rakan saya itu. Kita memahami bahawa pusat membeli belah yang dibangunkan pemaju matlmatnya mencari keuntungan. Untuk memaksimumkan keuntungan, pemaju perlu ada strategi yakni menyediakan kemudahan prasarana yang terbaik disamping perkhidmatan yang sedapat mungkin memenuhi kepuasan pelanggan agar pelanggan berasa selesa untuk berbelanja seklaigus menarik lebih ramai lagi pelanggan. Ini bermakna soal menyediakan ruang kebersihan peribadi (baca : tandas) perlu diutamakan dan seharusnya ia percuma dan tiada dikenakan bayaran dalam menggunakannya. Ini bermakna ada syarat untuk menggunakannya yang ditetapkan oleh sesuatu pihak.

Ya, syarat. Dalam konteks diatas, perkara yang perlu difahami bahawa adanya prasyarat dan syarat itu sendiri. Prasyarat adalah bayaran manakala syarat adalah garis panduan yang ditetapkan kepada pengguna dalam menggunakan sesuatu perkara. Sebagai contoh lain, A mahu membeli telefon genggam. Prasyarat bagi Ali untuk membeli telefon idamannya adalah dengan menyediakan duit secukupnya sebagai bayaran kepada peniaga. Dan selepas memiliki telefon, A perlu mematuhi syarat atau garis panduan penggunaan telefon berdasarkan maklumat dalam buku manual pengguna yang dibekalkan. Itu bagi melayakkan Ali tahu dan memahami bagaimana fungsi telefonnya itu.

Jadi, prasyarat adalah perkara yang penting dan perlu diutamakan. Kemudian memenuhi syarat sebagai keberkesanan memahami sesuatu sistem itu. Kedua-dua perkara ini bukan sahaja berlaku pada contoh di atas, malah ia berlaku dalam semua perkara termasuklah soal pengetahuan, kefahaman dan ilmu. Semua perkara itu sebenarnya mempunyai prasyarat dan syarat tersendiri yang perlu dimaklumi batas dan had maknawinya.

Bagi mereka yang sering melepak di kedai kopi, barangkali mereka pernah berbicara akan suatu subjek yang begitu asing dan tidak difahami. Mungkin kita juga menghadapi perkara yang sama bila mendengar bicara rakan kita tentang sesuatu topik/konsep/istilah yang begitu asing dan tidak pernah didengari sebelum ini. Mungkin juga perkara itu baru bagi kita dan sukar untuk difahami. Kadangkala kita cuba memahaminya tetapi masih juga tidak mampu. Akhirnya kita terpaksa diam dan tidak mencampuri perbicaraan itu. Mengapa jadi begitu?

Jawapannya ada dalam soal prasyarat dan syarat itu sendiri. Tetapi prasyarat bagi memahami bicara yang tidak difahami itu bukan dengan bayaran (baca : wang) tetapi dengan adanya butir-butir maklumat dan kefahaman tentang sesuatu perkara. Sebagai contoh, kita mengandaikan terdapat dua orang mekanik kereta yang arif lagi luas pengalaman dalam pekerjaannya. Mekanik kereta (A) berbual tentang komponen kereta dengan seorang mekanik kereta yang lain (B). Maka B tiada masalah untuk memahami perbicaraan A kerana dia mempunyai maklumat berkenaan komponen kereta itu juga. Maka perbualan itu tidak berlaku kesenjangan atau pertentangan. B dapat memahami maklumat A dengan baik. Jika hadir seorang petani (C) yang sememangnya tidak mengetahui tentang hukum hakam bidang automatif ditengah-tengah perbicaraan mereka, maka C pastinya terpingga-pingga kerana tidak mempunyai pengetahuan dan maklumat tentang subjek yang dibicarakan. Maka, tak hairanlah jika C tidak akan berbual dan diam sahaja atau lebih berani dia akan bertanya soalan kepada A dan B untuk memahami subjek perbicaraan mereka.

Waktu di sekolah dahulu, antara cerita yang masyhur adalah kisah Isaac Newton dan buah epal. Cikgu saya memberitahu tentang hukum graviti dengan mengaitkan kisah ini. Newton dikatakan sedar akan adanya hukum graviti apabila sebiji epal jatuh ke atas kepala. Dari soal itu, dia mengamati bahawa adanya tarikan graviti yang menarik epal untuk jatuh ke bumi. Dari pemgamatannya dia membuat penyelidikan lanjut berkait dengan hukum graviti.

Dalam peristiwa itu, kita perlu bertanya beberapa persoalan. Adakah setiap buah epal yang jatuh ke atas tubuh seseorang itu yang membangkitkan kesedaran? Adakah epal perkara yang perlu diperhatikan? Kalau di Malaysia, jika Newton melepak di kebun durian, barangkali Newton akan ditimpa durian dan Newton boleh mati! Jadi bukan buah soal. Daya tarikan itu yang menjadi subjek penelitian Newton. Tetapi benarkah daya jatuh epal itu sekonyong-konyong dengan mudah membuatkan Newton tahu akan adanya hukum graviti? Kalau begitu, Newton bukanlah yang pertama tahu tentang hukum graviti kerana sebelum Newton telah ramai pemetik epal yang pernah ditimpa epal sewaktu di ladang epal!!! Tapi tiada seorang pun dalam ramainya pemetik epal itu sedar akan adanya hukum graviti waktu epal jatuh ke atas mereka. Mengapa Newton boleh sedar adanya graviti?

Prasyarat. Ya. Prasayarat pengetahuan atau sering disebut prerequisite knowledge. Yang pasti Newton sudah punya prasyarat pengetahuan atau maklumat berkaitan tentang graviti. Maka sebab itu Newton boleh sampai kepada bahawa adanya daya tarikan graviti pada epal itu. Hal ini tidak berlaku pada si pemetik epal kerana mereka tidak mempunyai maklumat berkaitan graviti. Oleh itu, keadaan itu tidak dapat dihubungjalinkan dengan konsep graviti. Newton mampu melakukannya. Maka sebab itu prasyarat pengetahuan memerlukan kita mempunyai - paling tidak pun sedikit - maklumat berkaitan sesuatu perkara agar dapat digabungjalinkan untuk menimbulkan kefahaman. Para pemetik epal tadi tidak ambil pusing tentang hukum graviti bukan kerana dia tak tahu konsep bahawa epal akan jatuh ke bumi tetapi sebab ia tiada maklumat asas kepada konsep graviti.

Sabtu, 14 Januari 2012

SUDARA PUNYA JAWABAN?

Ada beberapa perkara yang wajar untuk direnungkan dalam konteks pendidikan Kesusasteraan Melayu kini. Yang sering terdengar adalah bagaimana mahu menjadikan pendidikan sastera Melayu menjadi satu disiplin yang "laku" sebagaimana hangatnya disiplin sains dan teknologi - tidak kira di sekolah atau universiti. Maka banyaklah yang berbicara, dalam usaha nak bangkitkan sastera ini. Seminar, persidangan, konferens, meja bulat dan banyak lagi perbincangan diusahakan dalam nak bangkitkan pendidikan sastera, tapi sastera masih lagi dipandang sepi dan masih "tak laku". Subjek sastera banyak ditutup di sekolah-sekolah. Sekolah yang menawarkan subjek sastera pun berapa kerat sahaja. Senang cerita bilangannya semakin hari semakin kerdil dan yang ambil sastera Melayu pula sering dikatikan dengan yang bermata merah. Alahai, ...... (sambunglah ikut keluhan sudara atau sudara punya jawaban bagi keluhan ini?).

Secara umum, rata-rata penggiat sastera (pemuisi, cerpenis, novelis) Melayu agak ramai. Buktinya, bukan susah sangat nak jumpa buku puisi, antologi cerpen dan novel-novel di Malaysia ini. Tapi yang paling popular memang genre novel. Nak murah ada, mahal pun ada. Pilihlah ikut kemampuan. Masuk stesen minyak pun boleh jumpa. Kalau ikut trend sekarang ini, banyak cerita soal cinta cintun. Putus cinta, kekasih lari atau dilarikan (?), kena kahwin paksa oleh mak ayah, cinta terlarang oleh halangan-halangan dan banyak lagi. Tak kurang juga ada yang label karya begini karya tak berkualiti. Betulkah? Sudara punya jawaban?


Kualiti ke tak, itu memang persoalan. Nak tahu kena baca dululah, baru boleh letak nilai. Point yang paling penting adalah karya-karya kreatif yang begini memang berlambak-lambak. Tapi semuanya terukkah? Tak ada yang bagus ke? Ada tak kajian serius yang boleh dikatakan komprehensif untuk disandarkan sebagai dapatan dan pegangan sebelum nak hukum semua karya ini bagus atau tak bagus? Kalau dah berlambak-lambak, macam mana nak ukur semuanya? Ada tak kayu ukur yang mudah untuk golongkan karya sebegini ke kelas yang betul? Sudara punya jawaban?


Kalau dalam pendidikan sastera di sekolah, soal pemilihan teks paling banyak sekali jadi isu hangat, tapi sekejap sahaja. Khalayak mula-mula bising, selepas itu senyap dah. Malas nak bersuara. Penat nak cakap. Hangatnya bermusim macam hangat-hangat tahi ayam. Kalau datang musim pertukaran teks maka banyaklah isu yang timbul. Teks siapa terpilih, berkualiti ke tak, kalau tak berkualiti macam mana boleh jadi teks wajib, dan macam-macam suara keluar lepas teks dah terpilih. Bak kata pepatah, rumah dah siap, pahat masih berbunyi. Kenapa masalah ini berlaku setelah begitu lama penggunaan karya sastera dalam pendidikan dilangsungkan? Sudara punya jawaban?


Masakan pokok bergoyang kalau angin tak bertiup kencang. Kalau ramai yang heboh berkata teks sastera yang digunakan di sekolah tak bagus, apa kita bisa diam saja juga? Atau bicara kita hangatnya sekerat-kerat? Maka, adakah novel yang dipilih sama dengan novel yang berlambak-lambak atau novel yang setaraf dengan novel di stesen pam minyak sahaja? Siapa yang bertanggungjawab untuk memilih teks sastera semua ini? Mereka pernah menjawab kesemua teriak pertanyaan di akhbar-akhbar tentang kualiti teks terpilih? Atau sudara punya jawaban?


Apa garis panduan memilih yang digunakan untuk memilih kesekalian teks-teks yang terpakai di sekolah-sekolah buat hadaman akal murid-murid? Pernah kalian jumpa di mana-mana kriteria atau tersorok sahaja di fail-fail peribadi sebagai dokumen sulit dan rahsia? Soalnya selarikah kriteria yang digunakan sebagai kayu ukur dengan kandungan teks yang terpakai? Kalau ikut resepsi kritikal pembaca maka boleh kita kata tak selari dan ada yang jauh bertentangan. Tapi kriteria pun kita tak pernah nampak, bagaimana nak bicara. Sudara punya jawaban?


Kalau pihak penilai tak kemukakan apa kriteria yang digunakan untuk memilih teks maka untuk apa dan bagaimana sesuatu kritikan terhadap teks itu didasari? Omongan? Ocehan? Shakk atau zann? Kalau bukan itu semua maka apa lagi. Jadi kalau ada pihak mahu ketengahkan jalan untuk bicara tentang kerangka kayu ukur atau kriteria, yang tidak bertentangan dengan matlamat pendidikan, maka kenapa ada khalayak yang bising dan membenci? Sudah habis fahamkah kerangka ukur yang diketengahkan? Atau masih lagi bicara tentang beromong-omong kosong dan masih tidak puas bermain dan memekik tanpa landasan? Salahkah mengetengahkan kerangka ukur yang baik dan mencabar pihak yang sepatutnya mengetengahkan kayu ukurnya untuk pemilihan teks tersebut, tapi tak pernah diketengahkan pun sebenarnya? Maka, dimana silapnya? Katanya ini zaman hujah bertemu dengan hujah, jadi apa inilah yang berlaku kini. Atau sudara punya jawaban?


Bagaimana pendidikan sastera nak dipandang tinggi kalau karya yang disogokkan sebagai kandungan pelajaran adalah karya yang memandulkan pemikiran, penuh dengan sifat negatif, penuh dengan kepalsuan, dangkal dan sebagainya. Tak hairanlah ibu bapa tidak menggalakkan anak-anak mereka mengambil sastera Melayu, penuh dengan kefasadan tanpa menolak ada yang lihat kepada soal utilitarianisme. Bila sastera dipinggirkan oleh masyarakat, khalayak sastera marah; katanya sastera subjek yang meninggikan kemanusiaan. Suaranya sering melengking menyatakan bahawa sastera penting. Namun, hakikatnya kandungan teks seolah-olah tak sebanding dengan lengkingan suara mereka itu. Apa yang mereka perjuangkan sebenarnya? Sudara punya jawaban?


Maka, apa lagi yang tinggal. Tertipu dan terbodohlah akan "khalayak sastera" yang begitu senang dipermainkan oleh mereka sekarang yang sedang enak bermain patgulipat. Terserlahlah bentuk bayang-bayang oleh "khalayak sastera" akan kilauan realiti semu. Maka "khalayak sastera" pun terjangka-jangka dalam keraguan dan terus berteriak sambil berpusing-pusing bermain permainan tradisi Nenek-nenek Si Bongkok Tua. Maka hairanlah orang yang diluar sana yang sedar, melihat kegembiraan mereka berteriak sambil bermain lalu mereka tertanya-tanya, mereka bermain permainan apakah itu kerana dalam zaman serba canggih ini, permainan ini sudah tidak terpakai lagi. Atau sudara punya jawaban?

Selasa, 10 Januari 2012

MUSLIM DERITA MASALAH ILMU?


Artikel direncanakan oleh DATUK DR. SYED ALI TAWFIK AL-ATTAS, Penasihat Yayasan Al-Bukhari merangkap Penasihat Persidangan Antarabangsa Gerakan Kesederhanaan Global 2012. Dipetik dari sumber di sini.
________________________________________

Pada hakikatnya di zaman sekarang, mereka yang menderitai masalah mengenai ilmu ialah kaum Muslimin sendiri, sedangkan pandangan alam Islam tidak menderitai masalah mengenai ilmu. Yang demikian, bagaimana keadaan tersebut terhasil?

Suatu hadis yang diriwayatkan oleh al-Bayhaqi adalah berkenaan tiga golongan manusia yang bertanggungjawab merosakkan serta membatilkan ilmu; yang pertama merupakan golongan al-Juhhal; yang kedua adalah golongan pelampau; dan yang ketiga merupakan golongan mereka yang mencuri fikiran daripada orang lain tanpa merujuk kepada mereka.


Satu daripada makna juhhal merujuk kepada mereka yang jahil, yang kurang berilmu, tetapi bersifat baik. Ini bermakna bahawa kekurangan tersebut boleh diatasi dengan didikan, asuhan, dan ajaran yang sesuai.


Tetapi satu lagi jenis merujuk kepada mereka yang bukan sahaja kurang berilmu, tetapi bersifat bongkak, dengki, degil, dan iri hati. Golongan inilah yang disebut sebagai al-Sufaha'. Mereka tidak bersifat baik; maka kekurangan ilmu yang mentakrifkan mereka di dalam golongan al-Juhhal tidak boleh diatasi kerana mereka degil menerima apa yang benar, disebabkan sifat bongkak dan dengki.


Begitulah faham istilah 'jahil' merujuk kepada golongan Jahiliyah sebelum kedatangan agama Islam. Istilah Jahiliyah tersebut tidak sahaja merujuk kepada kekurangan dari segi ilmu; kebanyakan daripada mereka mempunyai ilmu terutama sekali dalam bidang bahasa, syair dan sebagainya. Mereka tidak bersifat jahil dalam erti kata kekurangan ilmu, akan tetapi mereka jahil dalam erti kata berdegil dalam menerima hakikat.


Berkenaan golongan pelampau, ia merujuk kepada mereka yang pada hakikatnya tidak berada di titik pertengahan di antara dua. Ia merujuk kepada mereka yang melampau dalam soal melebihi had (extremism of excess) atau yang melampau dalam soal mengurangi had (extremism of defect).


Golongan yang pertama, yakni yang disifatkan sebagai mereka yang melampau dalam soal melebihi had, tidak semestinya merujuk kepada pelampau dalam soal agama, bahkan ia juga merujuk kepada pelampau dalam soal dunia. Oleh yang demikian, sifat melampau tidak semestinya berkaitan dengan soal agama tetapi juga berkaitan dengan suatu sifat keterlaluan dengan dunia.


Mereka yang selalu bercakap mengenai perkara perkara berkaitan dengan dunia sambil menyerang agama juga merupakan golongan pelampau yang tergulung dalam golongan yang kedua, yakni mereka yang melampau dalam soal mengurangi had. Oleh yang demikian, boleh disifatkan bahawa mereka yang tidak sama sekali percaya kepada Tuhan, juga merupakan mereka yang terkandung di bawah golongan pelampau.


Kemudian daripada itu, golongan mereka yang mencuri fikiran daripada orang lain tanpa merujuk kepada mereka. Akhirnya fikiran yang benar dan baik menjadi batil.


Zaman kita sekarang, ketiga-tiga golongan tersebut wujud dengan luasnya dalam dunia Muslim; orang yang jahil telah mengaku diri mereka sebagai berilmu dan rakyat jelata telah membawa masalah mereka kepada orang yang jahil untuk diberi penghakiman, dan orang yang jahil telah memberi penghakiman yang batil dan juga telah menimbulkan kebatilan, dan inilah yang membawa kepada kaum Muslimin menderitai masalah mengenai ilmu.


Walaupun terdapat ulama, masyarakat tidak dapat mengenali mereka seolah-olah ulama-ulama tersebut telah dikeluarkan oleh kerana mereka telah dihalang oleh golongan jahil yang kemudiannya mengambil alih dan mewarisi takhta pimpinan. Keadaan tersebut lebih merujuk kepada pimpinan keilmuan dalam bidang-bidang seperti agama, ilmiah, kebudayaan, dan sebagainya.


Apabila merujuk kepada istilah melampau, semestinya wujud dua keterlaluan. Dalam bahasa Melayu, istilah 'melampau' diguna pakai; yang bermaksud melampaui batas kebenaran; melampau dalam soal agama dan melampau dalam soal dunia, melampau dalam soal melebihi had dan melampau dalam soal mengurangi had.


Pada hakikatnya faham istilah kesederhanaan tiada kena mengena dengan faham dan erti kata moderation yang dianjurkan oleh golongan Barat dan para pengikutnya. Sekiranya kaum Muslimin menggunakan istilah moderation, ia diguna pakai hanya supaya golongan Barat memahami apa yang dibincangkan oleh kita, kaum Muslimin; tetapi ini tidak bermakna bahawa kaum Muslimin bersetuju dengan faham yang dianjurkan oleh pandangan Barat.


Sebenarnya, tidak wujud faham yang dianjurkan oleh pihak Barat sebagai 'Islam moderate', seolah-olah agama Islam itu sendiri mengandungi jenis yang boleh disifatkan sebagai melampaui batas kesederhanaan. Yang telah melampaui batas kesederhanaan ialah sesetengah kaum Muslimin, dan oleh yang demikian, hendaklah mereka dikembalikan ke atas landasan yang adil dan benar.


Keadilan dan hikmah berkongsi maksud dan makna yang akrab, mendalam lagi tidak terpisahkan. Keadilan dicitakan berturutan dengan hikmah. Justeru, tanpa adanya hikmah, keadilan semata-mata tidak mungkin dapat difahami, apatah lagi dizahirkan. Apa agaknya penunjuk-penunjuk keadilan?


Seperti gambaran yang telah kami berikan lebih awal, singgahsana tempat keadilan bertakhta adalah ilmu yang sebenar; justeru, satu daripada penunjuk terpenting erti keadilan tadi adalah ilmu yang betul. Ilmu tersebut bukanlah dalam erti yang mujarrad tetapi sebaliknya, pengamalan dan hala-tuju ilmu. Justeru, wajar dipertanyakan, ilmu mengenai apa?


Jelas bahawa yang dimaksudkan adalah ilmu mengenai tempat yang betul bagi sesuatu bernisbah kepada dirinya sendiri dan bernisbah kepada yang lain-lainnya. Demikian, akhirnya, takhta yang menjadi sandaran segalanya adalah ilmu.


Dari sini, bolehlah kita usulkan bahawa pengamalan dan hala tuju ilmu sebagai penunjuk bagi keadilan. Bagaimana untuk mengukur penerapan dan kegunaan ilmu? Jawapannya, melalui kegiatan aqliah yang dizahirkan melalui amalan; sekiranya kegunaan tersebut menghala kepada kebebalan dan kekeliruan, kezaliman telah terhasil. Sebaliknya, sekiranya kegunaan tersebut menuju kebenaran dan pemecahan masalah sambil membawa kepada faham yang bermakna, maka keadilan atau kesederhanaan telah tertunai. Terhakisnya kesederhanaan atau keadilan disebabkan terhakisnya ilmu.


Masalah yang melanda golongan Muslim berpunca daripada kerosakan dan kebatilan ilmu. Kita tidak dapat mengatasi masalah tersebut melalui medan siasah, ataupun melalui penggubalan undang-undang. Hanya melalui pendidikan dan seterusnya peradaban dapat kita memahami Islam, kaum Muslimin, dan tamadun Islam.


Kita harus mempunyai iradah siasi supaya menghidupkan semula zaman kegemilangan tamadun dengan mengasaskan sebuah Maktabah atau Perpustakaan Ilmiah Kebangsaan. Malaysia, malah seluruh Asia Tenggara tidak mempunyai sebuah maktabah atau dalam kata lain perpustakaan yang boleh dibandingkan dengan maktabah-maktabah yang terdapat di dunia Barat.


Kita tidak mempunyai rujukan-rujukan yang banyak, terutamanya rujukan-rujukan dalam bentuk manuskrip, dan kita tidak mempunyai kemudahan-kemudahan untuk tujuan-tujuan tersebut. Jadi, bagaimana Malaysia hendak menjadi pusat pendidikan antarabangsa sedangkan keperluan yang paling asas tersebut tidak wujud?


Dalam kata lain, dengan ketiadaan sebuah maktabah yang menyeluruh, yang menjadi khazanah yang menyimpan rujukan-rujukan agung, tiada kecenderungan untuk para ulama supaya datang ke Malaysia; natijahnya para pelajar tidak akan berhasrat untuk menyertai universiti-universiti di Malaysia.


Walaupun pada awalnya Malaysia telah memulakan usaha-usaha mengumpul dan menyimpan manuskrip, malangnya usaha-usaha tersebut nampaknya telah reda disebabkan kita sendiri tidak mempunyai 'budaya belajar'.


Hakikatnya Malaysia ada menyimpan sejumlah manuskrip yang amat bernilai, tetapi ketiadaan 'budaya belajar' tersebut dan juga ketiadaan buku yang mengandungi senarai penuh yang lengkap dengan butir-butir dalam susunan yang tertentu dan dengan huraian untuk tiap-tiap satunya, telah menyekat impian Malaysia untuk menjadi pusat pendidikan antarabangsa.


Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum, budaya, bahasa dan agama. Sekiranya Malaysia berjaya mengasaskan sebuah maktabah tersebut, ia pasti menjadi sebuah maktabah yang tidak ada tolak bandingnya. Bagi menjayakan sebuah maktabah seperti yang disebutkan itu, suatu usaha daripada kerajaan dan badan-badan korporat diperlukan kerana modal yang diperlukan adalah tinggi.


Dengan pengorbanan daripada badan-badan tersebut, ia mampu dibiayai oleh hasil sumber-sumber asli Malaysia yang kaya dengan minyak dan hasil-hasil sumber asli yang lain. Sekiranya Malaysia mengambil langkah yang tekun supaya membudayakan budaya belajar yang berasaskan tertubuhnya sebuah maktabah ilmiah yang menyeluruh, yang serba lengkap dengan manuskrip dan tulisan-tulisan nadir dalam semua bidang ilmu daripada setiap tamadun agung, ia pasti menyumbang kepada pembangunan Malaysia dari segi dasar-dasar perancangan dan juga usaha-usaha menghalang tafsiran-tafsiran keterlaluan.