Khamis, 26 Januari 2012

PRASYARAT DAN SYARAT : SIRI I

Duduk berbicara di kedap kopi sambil membincangkan hal semasa memang menarik. Santai dan tidak terlalu serius terpulang pada subjek yang dibicarakan. Semalam seorang rakan bersungut tentang kenaikan harga barang hingga dia bertanya tak adakah barang yang boleh didapati dengan harga yang murah dan kalau boleh percuma lagi bagus. Saya tergelak kecil . Seorang rakan lain menyambut dan berkata "Bro, mana ada barang percuma dalam dunia ni. Nak buang najis sendiri di shopping complex pun kena bayar!". Sekali lagi saya tersenyum dan berfikir sejenak.

Saya tertarik dengan jawaban balas rakan saya itu. Kita memahami bahawa pusat membeli belah yang dibangunkan pemaju matlmatnya mencari keuntungan. Untuk memaksimumkan keuntungan, pemaju perlu ada strategi yakni menyediakan kemudahan prasarana yang terbaik disamping perkhidmatan yang sedapat mungkin memenuhi kepuasan pelanggan agar pelanggan berasa selesa untuk berbelanja seklaigus menarik lebih ramai lagi pelanggan. Ini bermakna soal menyediakan ruang kebersihan peribadi (baca : tandas) perlu diutamakan dan seharusnya ia percuma dan tiada dikenakan bayaran dalam menggunakannya. Ini bermakna ada syarat untuk menggunakannya yang ditetapkan oleh sesuatu pihak.

Ya, syarat. Dalam konteks diatas, perkara yang perlu difahami bahawa adanya prasyarat dan syarat itu sendiri. Prasyarat adalah bayaran manakala syarat adalah garis panduan yang ditetapkan kepada pengguna dalam menggunakan sesuatu perkara. Sebagai contoh lain, A mahu membeli telefon genggam. Prasyarat bagi Ali untuk membeli telefon idamannya adalah dengan menyediakan duit secukupnya sebagai bayaran kepada peniaga. Dan selepas memiliki telefon, A perlu mematuhi syarat atau garis panduan penggunaan telefon berdasarkan maklumat dalam buku manual pengguna yang dibekalkan. Itu bagi melayakkan Ali tahu dan memahami bagaimana fungsi telefonnya itu.

Jadi, prasyarat adalah perkara yang penting dan perlu diutamakan. Kemudian memenuhi syarat sebagai keberkesanan memahami sesuatu sistem itu. Kedua-dua perkara ini bukan sahaja berlaku pada contoh di atas, malah ia berlaku dalam semua perkara termasuklah soal pengetahuan, kefahaman dan ilmu. Semua perkara itu sebenarnya mempunyai prasyarat dan syarat tersendiri yang perlu dimaklumi batas dan had maknawinya.

Bagi mereka yang sering melepak di kedai kopi, barangkali mereka pernah berbicara akan suatu subjek yang begitu asing dan tidak difahami. Mungkin kita juga menghadapi perkara yang sama bila mendengar bicara rakan kita tentang sesuatu topik/konsep/istilah yang begitu asing dan tidak pernah didengari sebelum ini. Mungkin juga perkara itu baru bagi kita dan sukar untuk difahami. Kadangkala kita cuba memahaminya tetapi masih juga tidak mampu. Akhirnya kita terpaksa diam dan tidak mencampuri perbicaraan itu. Mengapa jadi begitu?

Jawapannya ada dalam soal prasyarat dan syarat itu sendiri. Tetapi prasyarat bagi memahami bicara yang tidak difahami itu bukan dengan bayaran (baca : wang) tetapi dengan adanya butir-butir maklumat dan kefahaman tentang sesuatu perkara. Sebagai contoh, kita mengandaikan terdapat dua orang mekanik kereta yang arif lagi luas pengalaman dalam pekerjaannya. Mekanik kereta (A) berbual tentang komponen kereta dengan seorang mekanik kereta yang lain (B). Maka B tiada masalah untuk memahami perbicaraan A kerana dia mempunyai maklumat berkenaan komponen kereta itu juga. Maka perbualan itu tidak berlaku kesenjangan atau pertentangan. B dapat memahami maklumat A dengan baik. Jika hadir seorang petani (C) yang sememangnya tidak mengetahui tentang hukum hakam bidang automatif ditengah-tengah perbicaraan mereka, maka C pastinya terpingga-pingga kerana tidak mempunyai pengetahuan dan maklumat tentang subjek yang dibicarakan. Maka, tak hairanlah jika C tidak akan berbual dan diam sahaja atau lebih berani dia akan bertanya soalan kepada A dan B untuk memahami subjek perbicaraan mereka.

Waktu di sekolah dahulu, antara cerita yang masyhur adalah kisah Isaac Newton dan buah epal. Cikgu saya memberitahu tentang hukum graviti dengan mengaitkan kisah ini. Newton dikatakan sedar akan adanya hukum graviti apabila sebiji epal jatuh ke atas kepala. Dari soal itu, dia mengamati bahawa adanya tarikan graviti yang menarik epal untuk jatuh ke bumi. Dari pemgamatannya dia membuat penyelidikan lanjut berkait dengan hukum graviti.

Dalam peristiwa itu, kita perlu bertanya beberapa persoalan. Adakah setiap buah epal yang jatuh ke atas tubuh seseorang itu yang membangkitkan kesedaran? Adakah epal perkara yang perlu diperhatikan? Kalau di Malaysia, jika Newton melepak di kebun durian, barangkali Newton akan ditimpa durian dan Newton boleh mati! Jadi bukan buah soal. Daya tarikan itu yang menjadi subjek penelitian Newton. Tetapi benarkah daya jatuh epal itu sekonyong-konyong dengan mudah membuatkan Newton tahu akan adanya hukum graviti? Kalau begitu, Newton bukanlah yang pertama tahu tentang hukum graviti kerana sebelum Newton telah ramai pemetik epal yang pernah ditimpa epal sewaktu di ladang epal!!! Tapi tiada seorang pun dalam ramainya pemetik epal itu sedar akan adanya hukum graviti waktu epal jatuh ke atas mereka. Mengapa Newton boleh sedar adanya graviti?

Prasyarat. Ya. Prasayarat pengetahuan atau sering disebut prerequisite knowledge. Yang pasti Newton sudah punya prasyarat pengetahuan atau maklumat berkaitan tentang graviti. Maka sebab itu Newton boleh sampai kepada bahawa adanya daya tarikan graviti pada epal itu. Hal ini tidak berlaku pada si pemetik epal kerana mereka tidak mempunyai maklumat berkaitan graviti. Oleh itu, keadaan itu tidak dapat dihubungjalinkan dengan konsep graviti. Newton mampu melakukannya. Maka sebab itu prasyarat pengetahuan memerlukan kita mempunyai - paling tidak pun sedikit - maklumat berkaitan sesuatu perkara agar dapat digabungjalinkan untuk menimbulkan kefahaman. Para pemetik epal tadi tidak ambil pusing tentang hukum graviti bukan kerana dia tak tahu konsep bahawa epal akan jatuh ke bumi tetapi sebab ia tiada maklumat asas kepada konsep graviti.

1 ulasan:

Muhammad Adli Abdul Aziz berkata...

Assalamualaikum Warahmatullah

Izinkan saya meninggalkan sedikit jejak di "pondok" tuan ini.

Setuju dengan tuan bahawa prasyarat untuk memahami sesuatu perkara memerlukan kepada maklumat asas.

Begitu juga dengan faham agama.Kalau kita ingin faham agama kita perlukan kepada maklumat asas dari Al-Quran dan hadis. Dan seorang guru diperlukan untuk menjelaskan lagi tentang konsep yang terkandung didalamnya seperti yang Tuan SN Al-Attas lakukan dalam menerangkan tentang faham Ilmu, Ad-Din dan sebagainya.

Namun hari ini berapa ramai umat Islam yang faham Al-Quran dan Hadis?

Dikebanyakkan rumah pasti ada kitab Al-Quran. Namun berapa ramaikah yang ada kitab Hadis? Kalau ada Al-Quran pun, apakah isi rumahnya membaca dan faham maknanya, takwil dan tafsirnya? Kitab Hadis di Masjid pun kurang. kalau ada kitab Hadis, itu pasti jemaah Tabligh yang sumbangkan.

Pada saya, prasyarat bagi seorang muslim yang ingin memahami agamanya perlulah ada sedikit kefahaman Al-Quran dan Hadis dan syaratnya adalah perlunya guru yang mampu menjelaskan.