Ahad, 16 September 2012

SECANGKIR KOPI DAN MATLAMAT PENDIDIKAN

Saya duduk berseorangan di kedai kopi. Saya lebih gemar memilih sunyi dan bersendiri kerana mahu memberi ruang kepada diri saya membaca dan merenung sedikit. Pada kebiasaannya saya akan bertemankan secangkir kopi, bahan bacaan, dan senyuman. Saya akan memilih kedai yang paling ramai tidak dilawati orang kerana ia memberikan saya ruang. Ya, saya perlukan ruang untuk lari dari penipuan masyarakat disekeliling saya. Cukuplah dengan membaca, kopi dan tersenyum sewaktu merenungfikir, itulah bahagia yang sekejap saya perolehi.

Kali ini, saya memilih suratkhabar sebagai peneman. Saya jarang membeli suratkhabar kerana disitulah penipuan boleh mengganggu fikiran saya. Jika ada keperluan yang mendesak, saya hanya pergi ke perpustakaan dan membacanya disana. Tetapi hari ini, saya membelinya untuk mengetahui suatu perkara yang penting. Penting kerana ia subjek yang melingkari kehidupan saya. Dengan subjek itu saya belajar, dan subjek itulah saya mengajar. Pendidikan. Itulah subjeknya. Dan lebih khusus, saya cenderung dengan bahasa dan sastera melayu.

Khabar dari suratkhabar itu menyatakan perubahan dalam pendidikan berlaku lagi. Agendanya besar. Beberapa perkara dalam pendidikan digarisbawahi dan rencana dasar ini telah dilakukan dengan tertib. Maksud saya, ada suatu kumpulan yang berusaha membentuknya. Dan kumpulan tersebut dari kalangan mereka yang “siuman”. Kebiasaannya idea dari sejumlah sang akademik membayangi rencana ini. Ia agenda yang dirancang, dan ia bukanlah suatu kebetulan seperti anak kecil yang jatuh ketika lari. Kita tahu, setiap rancangan memerlukan kesepakatan. Yang pasti bukan kesepakatan ego kerana ego orang akademik besar dan sukar diruntuhkan walaupun mereka salah lagi keliru. Kesepakatan ini dari subjektif menjadi objektif. Tatacara sebegini di dalam Islam telah lama dipraktikkan. Para ahli dan ulama’ berhimpun menyatakan pandangan peribadi atau ijtihad dan kemudiannya disimpulkan menjadi suatu ijma’. Ijma’ tersebut harus dihormati dan dipegang oleh sekalian umat. Tetapi lain halnya dengan rencana pendidikan tadi. Saya percaya yang menjadi panel bukanlah yang ahli atau ulama’. Oleh itu ia bukanlah mutlak dan rencana itu masih boleh dipertikaikan atas kelemahannya dimana-mana.

Saya menghirup kopi dan terus menekuni khabar itu. Saya terhenti seketika dari membaca. Ada sesuatu yang menarik pada kopi saya. Pada mulanya hangat, kini berubah menjadi suam. Dan saya tahu, ia akan menjadi sejuk pabila tiba masanya. Saya berfikir dan merenung minuman saya dalam-dalam. Ada perkara yang menarik perhatian saya. Pertama, dari panas, ia berubah menjadi suam. Dari suam, ia akan berubah menjadi sejuk. Jika ia dipanaskan kembali, ia akan panas dan jika ditambahkan ais, ia akan sejuk (bukan keadaan sejuk yang pertama) dan menyegarkan. Perubahan pada sifat pada kopi saya itu membawa saya kepada suatu perkara. Dari suatu perkara, sesuatu sifat itu boleh berubah kepada suatu sifat yang lain, yang memberikan suatu konsep yang baharu. Yang menjadi pertanyaan saya, adakah perubahan akan terus berlaku? Tidak, kerana keadaan kopi saya tidak akan menjadi panas kembali dan tidak akan menjadi sejuk jika tidak ditambah ais. Maka, saya katakan perubahan itu bertahap dan ia akan berhenti pada suatu takahnya.

Kesimpulan itu saya pegang dan saya akui benarnya kerana diluar kedai itu terdapat sebatang pokok. Pokok apabila sampai ke tahap matangnya, ia berhenti untuk tumbuh (ini asal kata bagi pertumbuhan). Mana ada pokok yang meninggi hingga mencium dada langit? Ada, pokok itu pokok imaginasi, seperti yang diceritakan dalam Jack and Beanstalk. Tetapi kita tidak harus keliru antara imaginasi dan intelektual. Lukisan boleh lahir daripada imaginasi yang kuat serta kreativiti juga. Namun, lukisan bukan suatu perkara intelektual. Jika lukisan kita katakan satu perkara yang berintelektual, maka orang purba yang tinggal di gua itu berintelektual. Kesimpulan ini kurang siuman dan bakal mengundang lebih banyak kekeliruan.

Sekarang, bagaimana pula dengan pendidikan? Samakah ia dengan kopi saya tadi? Adakah perubahan yang baharu menuju kepada suatu tujuan akhir yang tetap? Perkara yang mendasar untuk dinilai adalah, apakah perubahan ini membawa kebaikan dan adakah ia membawa manfaat atau sebarang “nilai yang kekal dan mutlak”. Apa yang saya perhatikan, perubahan yang dilakukan bersifat sementara dan ia menuju kepada suatu masa yang ditetapkan; belum sempat menuju kepada masa yang ditetapkan, ombak perubahan yang baharu datang semula. Perubahan yang baharu inilah antara salah satu ombak yang menghempas pantai pendidikan kita sekali lagi. Pada maklumat tadi, jangkamasa yang dirancangtetapkan mengambil masa yang agak panjang. Saya percaya, jika perubahan yang melibatkan jangka masa yang panjang, sudah pasti berdiri atas nilai yang universal dan mutlak bagi mengelak ombak perubahan datang ditengah-tengah perlaksanaan. Adakah ia benar perubahan kali ini berdiri pada nilai universal yang mutlak? Saya akan rungkai ia pada masa minum kopi di lain tempat. Ia suatu yang besar dan saya perlukan ruang yang lebih luas untuk itu.

Kopi saya berubah lagi. Suamnya kini semakin beransur hilang. Ia berubah sekali lagi. Tetapi ia tetap kopi. Adakah ini bermaksud ia kemutlakan itu wujud? Memang benarkah terdapat nilai yang mutlak dan benar sepanjang zaman? Saya teringat perdebatan antara Mortimer J. Adler dan Bertand Russell dalam suatu seminar di mana Adler cuba mempertahankan bahawa memang terdapat nilai yang mutlak tetapi sayangnya Russell tidak mampu menangkis jawab premis Adler. Malah Adler mengatakan bahawa Russell hanya berjenaka bodoh dikhalayak ramai kerana tidak mampu menumbangkan hujahnya. Kemudiannya, Adler dicabar pula oleh seorang rakan Bertand Russell Saya tidak ingin panjangkan soal perdebatan itu kerana ia boleh dibaca melalui tulisan Adler di dalam Reforming Education: The Opening of the American Mind. Cuma apa yang ingin saya katakan, seorang yang bukan Muslim percaya bahawa adanya nilai yang mutlak dan tidak berubah-ubah. Bagaimana dengan kita?

Saya melipat suratkhabar itu dan saya merasakan cukup dengannya. Saya mahu berfikir. Saya merenung kembali perjalanan akademik saya dalam bidang pendidikan. Saya diajarkan banyak perkara tetapi hampir kesekaliannya tidak berma’na. Saya terimbas kembali saat belajar di ijazah pertama. Pabila tamat menuju ke pengakhiran pengajian dalam bidang pendidikan, saya bertanya kepada ramai rakan. Apakah yang kau perolehi selama ini; bersediakah kau menjadi alim yang bijaksana; benarkah kau telah menguasai disiplin ilmu yang benar untuk kau ajarkan kepada muridmu; sanggupkah kau memegang amanah ilmu yang dipertanggungjawabkan atasmu kelak; dan pelbagai lagi. Jawapannya yang saya terima, rata-rata mereka masih keliru tentang matlamat mereka diajar dan belajar. Mereka bagaikan kotak yang sedang dicop dengan tulisan “guru”, “pendidik”, “cikgu’ dan lain-lain dan kemudiannya kotak itu kosong bakal dipenuhi dengan isian. Isian itu bukan ditentukan oleh mereka, tetapi oleh insan yang berkepentingan.Tetapi bukan semuanya begitu,sungguh pun banyak.

Sejak itu, saya tahu, ada kerosakan dan kelompangan yang sangat besar dalam pendidikan. Waktu itu, saya berusaha mencarinya. Saya tahu terdapat sarjana yang telah menghuraikan perkara ini sejak dahulu lagi. Namun kini, saya hanya mahu tahu apa matlamat pendidikan sebenarnya? Mengapa rakan-rakan saya dari pelbagai bidang pendidikan menjadi sekian rupa hingga hilang daya untuk mengetahui apa matlamat mereka terjun ke dalam bidang pendidikan dan kemudiannya menjadi guru? Saya ditakdirkan berada lebih lama di bidang pendidikan, pada peringkat yang lebih tinggi. Maka usaha saya berterusan hingga kini. Saya berjumpa pelbagai rupa insan akademik dalam bidang pendidikan dan bukan pendidikan. Saya bertanya bagi mencari jawapan.  Ternyata kekeliruan dan kejahilan pada rakan-rakan saya sebenarnya diwarisi dari pensyarah mereka yang datang dari pelbagai lapangan. Mereka juga sebenarnya jahil dan tidak tahu menahu langsung tentang matlamat pendidikan. Selama ini, mereka berpura-pura dengan sedikit keberanian dihadapan kelas, untuk berdusta dan kemudiannya berlagak seolah-olah berilmu. Mereka telah berlaku khianat atas amanah ilmu yang dipertanggungjawabkan atas diri mereka. Mereka jugalah yang akhirnya mengelirukan murid mereka sehingga ramai yang terkorban menjadi mangsa kekeliruan. Tidakkah mereka berasa bersalah sedikit pun? Itu mereka perlu jawab dan paling penting mereka wajib perbetulkan kesilapan mereka.

Saya merenung pada soal matlamat. Matlamat mesti membayangkan soal hala tuju. Mustahil seseorang itu berbicara tentang matlamat tetapi mengenepikan sama sekali soal hala tuju. Ia dua perkara yang tidak boleh dipisahkan. Secara mudahnya, jika kita renung akan ma’na matlamat itu, maka tertayang dalam fikiran kita tentang satu perkara yang dirancang untuk dicapai. Maka ia juga membayangkan satu tujuan dan kita berusaha mencapainya. Saya percaya matlamat tidak boleh bersifat sementara kerana ma’na asalinya tidak membenarkan ia bersifat demikian. Ia mesti kekal dan mutlak. Tidak berubah-ubah sifatnya. Dan dengan tinjaun akal, maka saya percaya saya sudah sedar akan apa itu matlamat pendidikan. Ia mesti kekal dan berpenghujung, bukan sebuah persinggahan. Tetapi betulkah?

Ya, matlamat itu pasti. Dan ia tidak boleh bersifat kabur dan ia mesti jelas. Dari mana asal istilah matlamat ini? Matlamat berasal daripada perkataan alamat. Bukankah alamat ini suatu yang biasa bagi setiap insan sehari-hari. Alamat membayangkan petanda dan suatu perkara yang mempunyai tanda. Ia juga sering dirujuki sebagai suatu tanda peringatan. Kita boleh faham secara jelas alamat itu adalah tanda yang membekaskan ingatan. Sebagai contoh, alamat rumah seseorang sudah menayangkan kepada kita sebagai tanda pada sesuatu tempat. Ia terletak pada suatu ruang. Itu jelas. Ini mengisyaratkan bahawa alamat sesuatu tempat itu menjadi tanda yang boleh diingati kedudukannya kerana ia bersifat menetap. Sebagai contoh yang lebih khusus, saya mahu menuju ke suatu tempat. Pastinya saya sudah tahu ke mana arah tujuan yang saya akan pergi kerana saya telah mempunyai alamatnya dan yang paling penting, tempat tersebut sudah pasti berada di sana. Maka, pabila saya pergi ke sana, maka saya akan sudah pasti akan menjumpai tempat itu berdasarkan pengenalan dan pengetahuan saya akan dimana tempat tersebut berada. Ini bermakna tempat yang saya tujui itu mutlak menetap di sana. Ia tidak boleh berubah-ubah.

Begitu juga dengan matlamat, ia sewajarnya membayangkan suatu keadaan yang tidak boleh berubah kerana ia lahir dari matlamat. Bayangkan kalau ia berubah, maka satu keadaan yang menghairankan lagi membingungkan akan berlaku. Contohnya, saya sampai ke tempat yang saya ingin tuju. Lebih tepat, saya mencari sebuah kedai kopi. Tetapi kedai kopi tersebut tidak ada disitu. Maka saya akan berasa pelik dan hairan.Dengan rasa yang bingung dan keliru, sudah pasti saya akan bertanya kepada penduduk yang berada disitu satu persatu bagi kedai kopi terseubt. Maka saya akan berpusing-pusing untuk bertanya. Ada sesuatu yang boleh diperhatikan pada proses pertanyaan saya itu. Nanti saya kemukakan. Yang pasti, alamat tidak benar akan membuat saya hilang arah dan punca. Saya akan keletihan dalam pencarian. Maka, betullah kata Guru saya, “tiada gunanya saya ke Mekah, kalau kedudukan Mekah sering berubah”.

Saya mencicip kopi yang sedikit pahit. Saya menarik nafas dan terus berfikir. Maka, setiap matlamat itu harus menuju ke arah suatu yang tetap. Sebagai seorang Islam, maka matlamat akhir kehidupan adalah mencari keredhaan Allah SWT dan mencapai kebahagiaan di akhirat kelak. Bukankah kita telah diingatkan berulangkali bahawa dunia ini tempat tumpangan yang sementara dan akhiratlah kekal selama-lamanya? Maka matlamat pendidikan kita haruslah menuju ke arah mencapai kebahagian di akhirat tanpa menafikan kebahagiaan di dunia juga perlu dicapai. Kita tidak boleh jatuh ke lembah ekstrim. Apabila kita mengatakan bahawa matlamat pendidikan itu menuju ke arah kebahagiaan di akhirat, bukanlah bermaksud menolak aspek keduniaan seterusnya. Ini hujah yang sangat lemah. Kita boleh menjawab dengan mudah. Aspek keduniaan juga diutamakan dalam Islam dengan melihat pada soal solat. Kita solat (termasuk juga ibadah yang lain) di dunia, bukan di akhirat. Di akhirat, segala perilaku serta amal kita dihitung disana. Maka, tak hairanlah Imam Al-Ghazali menyatakan “orang yang bijak akan memilih dua daripada satu”.

Renung akal saya tidak terhenti kepada soal alamat sahaja. Saya terus bertanya. Alamat datang dari istilah apa pula? Alamat berpuncasal dari istilah alam. Dan alam itu juga merupakan akar kata bagi ilmu. Takrifan tentang alam dan ilmu itu sebagai tanda bukanlah asing dalam Islam. Ia telah dihuraikan oleh banyak sarjana. Maka tiada pertentangan antara istilah alamat, alam dan ilmu. Sekarang saya sedar, matlamat bukan sahaja bersifat mutlak tetapi ia juga membayangkan pada soal ilmu. Tak hairanlah seseorang yang mempunyai banyak pengALAMan itu mempunyai banyak ilmu. Orang tua selalu berpesan, belajar dari mereka yang berpengalaman. Dan pesan itu kini membuat saya semakin sedar akan ma’nanya. PengALAMan bukanlah semata-mata suatu pengetahuan tentang tatacara yang telah dilakukan oleh seseorang insan yakni latihan yang berulangkali tanpa berpandukan ilmu yang benar. PengALAMan itu merupakan latihan amali dan rohani seseorang terhadap sesuatu perkara yang berdasarkan ilmu. Tanpa ilmu, pengalaman hanya akan menjadi latihan memperkasakan tubuh bukan rohani.

Saya memejam mata, dan saya berasa sesuatu yang segar dalam kefahaman saya. Betapa sesuatu matlamat itu tidak boleh sementara dan berubah-ubah, dan diturut serta dengan ilmu yang benar. Saya juga tersedar, mengapa selama ini, perubahan pendidikan yang saya jelakan diatas sering berlaku. Rupanya ia sama seperti proses saya mencari alamat tersebut. Mereka salah memahami pada soal matlamat dan akhirnya mengundang kecelakaan yang dahsyat dalam pendidikan. Mereka berpusing-pusing mencari arah dan hala tuju yang sebenar. Maka tidak hairanlah proses mencari itu telah membawa mereka mengubah dan terus mengubah dasar pendidikan kerana tiada matlamat yang jelas. Walhal ia telah ada, cuba mereka menafikannya. Mereka telah menafikan hak akhirat sebagai satu matlamat sebenar lalu menggantikannya dengan matlamat yang menuju kebodohan dan kecelakaan buat sekalian umat.

Dan sekarang saya harus bertanya, adakah matlamat pendidikan itu benar-benar sama dengan apa yang saya taakul kan? Atau bertentangan sama sekali. Atau saya mungkin salah? Itu mustahil. Kerana apa yang saya bayangkan itu sememangnya jelas dan menimbulkan keyakinan pada saya. Yakin tidak boleh berdiri tanpa ilmu dan begitu juga sebaliknya. Tetapi, mengapa kebanyakan pensyarah tidak cuba mendekatkan murid-muridnya dengan Islam dan aspek akhirat? Akhirnya, saya yakin dengan kesimpulan yang saya buat, mereka juga keliru dan tidak tahu menahu tentang matlamat pendidikan. Mereka zalim pada amanah mereka. Sebenarnya bukan mereka tidak mahu memikirkan hal ini, cuma mereka tidak layak dan tidak mampu untuk memikirkan perkara yang begitu senang untuk difikirkan. Merekalah pemimpin palsu yang tidak menjelaskan perkara yang benar kerana mereka tidak tahu apa itu kebenaran. Kebenaran adalah relatif pada mereka. Itulah jalan mudah bagi mengelakkan mereka menjelaskan seseuatu perkara dengan sebenar-benarnya. Mereka menyerahkan tafsiran kepada soal persendirian. Merekalah guru palsu yang senantiasa menipu dan minta dihormati. Kasihan mereka. 

Saya bangun dan dengan tidak sengaja, saya terlanggar cawan kopi lalu ia tumpah pada suratkhabar saya. Sayu pula sebab dari akhbar itu saya peroleh maklumat yang memungkinkan saya merenung panjang tadi. Tetapi saya tiada pilihan dan sayu itu segera hilang kerana keyakinan telah mengatasinya. Saya yakin bahawa matlamat pendidikan yang tertayang di dalam akhbar itu bukanlah matlamat yang saya ta'kulkan. Saya buang suratkhabar itu dan saya terus membayar harga kopi. Saya berlalu pergi untuk kembali ke ruang yang menyesakkan tetapi dengan senyuman. Kerana bersama saya ada matlamat yang telah berubah rupacita ma'nawinya.

2 ulasan:

Tetamu Istimewa berkata...

Salam perkenalan. Ziarah meneguk ilmu.

Zarif Hassan berkata...

Salam perkenalan buat saudara juga. Semoga ada manfaatnya.