Khamis, 23 Mei 2013

MENGHADAPI CABARAN SEKULARISME

Artikel ini merupakan petikan ucapan penerimaan Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas di atas perlantikan beliau ke Kerusi al-Ghazali di ISTAC pada 14 Disember 1993. Ucapan asal disampaikan dalam bahasa Inggeris dan boleh dilihat di dalam buku Commemorative Volume On The Conferment of The al-Ghazali chair of Islamic Thought. Terjemahan ini diusahakan oleh Dr. Baharudin Ahmad, Fellow Penyelidikan Kanan ISTAC. Artikel ini telah pun disiarkan dalam majalah Dewan Masyarakat, Mac 1994, halaman 14-16,23(sambungan).

Andai terdapat kesalahan ejaan dimana-mana dalam bahagian ini, saya bertanggungjawab penuh terhadap kesalahan tersebut dan mohon dimaklumkan untuk pembetulan. Sekian

____________________________  


MENGHADAPI CABARAN SEKULARISME
OLEH : PROF. DR. SYED MUHAMMAD NAQUIB AL-ATTAS


Tiada penghormatan yang lebih besar yang pernah dianugerahkan kepada saya berbanding penganugerahan istimewa dipilih sebagai sarjana Islam pertama di Dunia Islam kii menduduki Kerusi Pemikiran Islam yang dimuliakan dengan nama al-Ghazali.

Sesungguhnya belia itu merupakan manusia yang dianugerahi hikmah dan dilimpahkan dengan ilmu yang sebenar. Sinar cahaya ilmu dan hikmah yang memancar dari akal kalbunya menerangi suasana ilmiah sehingga dapat memisah  serta membezakan yang benar dari yang palsu, yang hakiki dari yang khayali, yang tulen dari yang tiruan. Segala sumbangan dan khidmatnya dalam bidang intelektual dan spiritual dalam agama dan budaya meliputi ufuk pemikiran dan tamadun Islam seluruhnya sedemikian besar serta meluas hingga diterima dan diiktiraf oleh Umat yang tahu mengenang jasanya sepanjang masa. Beliau dihidup di zaman kekeliruan pemikiran dan kekacauan intelektual di kalangan umat Islam, iaitu kekacauan dan kekeliruan yang berpunca dari peresapan pemikiran asing yang menular secara diam-diam ke dalam alam pemikiran dan sistem kepercayan Islam, dibawa masuk oleh mereka yang mengelar diri sebagai ahli falsafah dan oleh pengikut-pengikut mereka, dan juga oleh golongan penyelewang agama dengan berbagai bentuk dan jenis penyelewengan. Zaman kita kini juga sedemikian keadaannya, dimana kita sentiasa menghadapi cabaran pemikiran akibat kehidupan kita kini, yang dikelilingi dan dijangkiti oleh pelbagai penyakit menular dari kuman faham falsafah Barat moden serta dasar-dasar sains, teknologi yang lahir darinya dan ideologi yang disebarkannya, yang berusaha menyeludup menjalar ke dalam segala sistem nilai hidup, akhlak, pemikiran dan kepercayaan serta keseluruhan cara hidup kita, sebagai daya usaha yang bersungguh-sungguh bagi membawa perubahan yang melampau yang lebih bersesuaian dengan dengan pandangan hidup sekular mereka sendiri. Walaupun cabaran yang kita hadapi di zaman ini jauh lebih genting, jauh lebih meluas dan tersebar serta memerlukan pengubatan yang segera berbanding dengan terdapat di zaman al-Ghazali, namun segala tunjuk ajar serta pengubatan yang dikemukakannya di zaman lampau adalah sebenarnya sungguh berguna dan berkaitan.

Kira-kira dua puluh tahun yang lalu saya telah pun menulis tentang kekeliruan ilmu di kalangan masyarakat Islam kini, dan masalah ini masih berleluasa di kalangan kita serta masih belum diteliti dan difahami dari sudut pandangan yang wajar. Tujuan saya menjelaskan masalah umat Islam kini ialah untuk memberi amaran kepada umat Islam supaya bersedia dari segi akal fikiran bagi menghadapi segala cabaran daripada gelombang besar wabak sekularisasi yang kini melanda kita, dan supaya umat Islam kini harus berani mewujudkan perubahan yang perlu dalam alam pemikiran agar tidak terus terumbang-ambing dalam gelombang syak dan keraguan kepada diri sendiri. Nilai-nilai sekular dan segala keadaan yang diramalkan dahulu akan berlaku di Dunia Islam kini telah pun berlaku, dan semakin merebak serta ganas akibat kelalaian yang berterusan di kalangan umat Islam memahami sifat serta akibat wabak sekularisasi, iaitu sekularisasi sebagai program falsafah. Penentangan kita kepada semua yang bersifat sekular tidak sewajarnya disalah fahami sebagai penentangan kita terhadap negar-negara atau kerjaaan kaum Muslimin kini yang mengelar mereka atau digelar sebagai ‘sekular’ – dengan syarat negara atau kerajaan itu sendiri tidak melibatkan diri dengan usaha ke arah mensekularisasikan negara mereka sebagai satu program falsafah. Terdapat kekeliruan di kalangan kaum Muslimin kini yang menyalah fahami ‘negara sekular’ itu sebagai pasangan lawan kepada negara teokratik atau negara agama. Disebabkan Islam tidak memisahkan antara yang kudus dengan yang duniawi, maka betapa pula dapat dibezakan antara negara ‘teokratik’ dengan negara sekular? Sebuah negara Islam sebenarnya tidak sepenuhnya teokratik dan tidak pula sepenuhnya sekular. Sebuah negara Islam yang menggelar negaranya ‘sekular’ atau dinyatakan oleh orang lain sebagai ‘sekular’ tidak seharusnya memisahkan alam tabii dari makna-makna rohaniah; tidak semestinya menafikan nilai-nilai agama dan menafikan kepentingan sifat-sifat akhlakiah terpuji dalam kepimpinan politik serta kehidupan kemasyarakatan; tidak semestinya menentang  kebenaran agama dan pendidikan agama. Akan tetapi sebaliknya, proses falsafah dan saintifik yang saya namakan ‘sekularisasi’ itu sememangnya mesti melibatkan pemisahan makna-makna rohaniah dari alam tabii, menolak segala nilai serta kemurniaan agama dari politik dan masyarakat, dan menafikan kekekalan nilai dalam akal serta perlakuan manusia.

Di zaman kita kini arah serta aliran sejarah nampaknya ditentukan oleh sains dan teknologi kuasa-kuasa besar bersama nilai yang disebarkan oleh falsafah serta cita-cita politik yang mendasari nilai tersebut. Di dalam sistem nilai ini terdapat pemisahan yang asasi antara kebenaran dan hakikat dan antara kebenaran dan nilai. Nilai-nilai baru dan berubah-ubah kini dianjurkan untuk menggantikan nilai-nilai kekal yang terdapat dalam agama. Nilai-nilai baru itu tadi melahirkan pandangan hidup yang bertentangan dengan pandangan hidup agama, dan yang mudah meresapi kehidupan yang serong yang memang digemari oleh  masyarakat awam yang tidak menyedari nasib malang sebenar yang ditempoh olehnya. Oleh kerana masyarakat awam menggemari kehidupan yang sedemikian maka nilai-nilai yang mereka anuti dianggap sebagai nilai-nilai umum yang dikongsi bersama, dan kemudiannya dikelirukan pula dengan nilai-nilai sejagat. Pada hakikatnya nilai-nilai umum yang dikongsi bersama yang boleh dianggap sebagai nilai-nilai sejagat hanyalah nilai-nilai yang asalnya tumbuh dari agama. Inilah nilai-nilai yang hakiki dan kekal, tidak bersifat nisbi dan berubah. Dengan yang demikian maka apa yang didakwa kononnya sebagai nilai-nilai bersama yang melayani kehidupan serong tidak semestinya dikelirukan dengan nilai-nilai sejagat.

Kita menyatakan bahawa agama tidak bertentangan dengan sains. Tetapi ini tidak bermakna bahawa agama menyetujui semau kaedah saintifik moden dan falsafah sains. Oleh kerana tidak ada sains yang bebas dari nilai maka kita harus meneliti secara akliah dan menyelidiki segala nilai dan keputusan yang diambil serta tedapat dalam sains moden, atau apa-apa dasar pemikiran yang dipercayai oleh sains moden, juga segala anggapan-anggapan dan tafsiran yang dibuat oleh sains tersebut. Kita tidak seharusnya, tanpa usul periksa dan berfikir panjang menerima setiap teori serta falsafah yang baru muncul di alam sains moden tanpa telebih dahulu memahami kesan yang akan dibawanya, dan tanpa terlebih dahulu menyelidikan kesahihan nilai-nilai yang dibawa oleh teori-teori tersebut. Islam memiliki sumbernya tidak sendiri perihal pengakuan terhadap kebenarannya dan tidak memerlukan teori falsafah atau sains bagi membuktikan kebenaran yang dikemukakannya. Lebih dari itu, Islam tidak menganggap perlu untuk takut kepada pencapaian sains yang boleh menyangkal kesahihan kebenarannya, kerana yang demikian itu tidak mungkin.

Kita tidak menolak bahawa sains dan teknologi moden telah membawa banyak faedah kepada manusia, namun tidak ada sesiapa pun yang dapat menafikan bahawa sains moden itu juga membawa banyak kesengsaraan. Ini disebabkan idea pembangunan yang dianjurkan dan menguasai alam pemikiran sains moden tidak mempunyai tujuan akhir dan terbuka kepada perubahan yang berterus-terusan buta arah tujuan. Dikatakan buta arah tujuan kerana walaupun perubahan itu dirancang oleh manusia yang membuat perubahan itu. “Mereka yang mempunyai akal tetapi tidak berfikir, bermata tetapi tidak melihat, bertelinga tetapi tidak mendengar” (Q.7:179). Idea moden tentang pembangunan saling bersandar dengan kepercayaan evlousi hayat. Dalam perkaitannya dengan pandangan terhadap kehidupan manusia ia boleh ditakrifkan sebagai “mengaktifkan dan menjadikan nyata terjelma segala yang terkandung dalam kelengkapan yang ada pada manusia haiwani”. Tetapi sesungguhnya manusia itu bukan sekadar diri haiwani sahaja; kemanusiaan itu lebih dari kehaiwanan. Kekeliruan dan kesengsaraan yang muncul akibat teori ini ialah hasil dari pemisahan antara kebenaran dan hakikat dan antara kebenaran dan nilai. Tanpa keseimbangan antara kebenaran dan nilai seperti yang terkandung dalam ajaran agama, maka pasti akan berlaku kemelesetan mutu dalam kehidupan, menghilangkan darinya makna dan nilai hidup itu sendiri. Dengan itu, agama perlu terus memastikan keseimbangan itu dalam kehidupan manusia. Oleh itu maka kita tidak boleh mengasingkan diri dari perkembangan sains dan teknologi. Kita harus melibatkan diri dengan proses tersebut bagi meneliti dan mempelajari serta memahami prinsip-prinsip bidang ini; bagi berdaya memastikan sejauh mana bersesuaian atau bercanggahnya dengan tamadun kita sendiri; bagi mampu membuat piihan yang betul tentang penerimaannya ke dalam cara hidup kita. Pemisahan antara bidang-bidang sains, kemanusiaan dan keagamaan tidak harus dibenarkan kerana ia akan menyekat atau menyukarkan perbincangan yang membawa faedah bersama antara yang satu dengan yang lain.

Pertembungan kita dengan sekularisasi bukan merupakan masalah yang berkaitan dengan Islam sahaja. Ia merupakan masalah yang dihadapi oleh semua agama besar bangsa manusia. Dengan itu kami menyeru kepada semua mereka yang empunya pandangan batin di kalangan penganut agama besar bangsa manusia untuk bersatu padu sesama kita berdasarkan nilai-nilai dan pengalaman kita bersama untuk menghadapi musuh kita yang sama itu jua.

Masalah kita yang paling utama ialah masalah kerosakan ilmu. Ini terjadi akibat keadaan keliru di kalangan kita sendiri dan hasil dari pengaruh falsafah, sains dan ideologi tamadun dan budaya Barat moden. Kekeliruan intelektual lahir sebagai hasil dari perubahan dan keterbatasan makna bagi konsep-konsep utama kehidupan yang asalnya berpunca dari Wahyu. Akibat kekeliruan intelektual ini terlihat dalam keruntuhan moral dan budaya, yang merupakan pertanda kemerosotan ilmu, nilai serta iman dalam agama. Jika kekeliruan ini dibiarkan berterusan, maka pandangan hidup yang berasaskan hakikat kebenaran wahyu akan semakin digantikan dengan pandangan hidup yang berlandaskan andaian-andaian dan kesimpulan-kesimpulan umum yang dianjurkan oleh sains dan falsafah sekular dengan bantuan teknologi yang lahir dari andaian dan kesimpulan tersebut. Perubahan dan keterbatasan makna konsep-konsep utama seperti yang dinyatakan bukan sahaja berlaku di kalangan kita, tetapi juga di kalangan masyarakat berbagai agama dan budaya hasil dari penyebaran sekularisme sebagai program falsafah, yang menpengaruhi pemikiran dan diri manusia hingga terjebak ke dalam sangkar kekeliruan ilmu yang menawan kalbu dan akal dalam krisis makna diri. Krisis ini akhirnya tersebar luas akibat penyebaran sistem pendidikan yang disekularisasikan, yang menimbulkan penyimpangan akal, kalau pun tidak pemutusan terus, dari akar-akar sejarah pemikiran yang diasaskan dengan kukuh oleh generasi lampau, para ilmuwan nan bijaksana, atas dasar-dasar yang dihidupkan oleh agama. Harus terlihat kepada kita bahawa masalah yang kita hadapi kini begitu besar sehngga meliputi banyak unsur-unsur asasi kehidupan kita sehinggakan ia tidak dapat diatasi dengan sewenang-wenangnya melalui tindakan undang-undang atau politik belaka. Hukum dan undang-undang dan ketertiban dalam masyarakat hanya dapat mengambil tempatnya yang wajar apabila pengenalan mengenai kebenaran dapat membezakannya dari kepalsuan, dan pengenalan mengenai yang hak dapat membezakannya dari yang batil; dan pengenalan ini harus pula diperiakan dengan amal sebagai pengakuan kepada pengenalan itu. Ini hanya dapat dicapai dengan ilmu dan dengan cara yang betul menyebarkan ilmu itu. Oleh yang demikian kita tidak harus membuangkan tenaga mencari jalan ke arah mengatasi masalah kita ini dengan meraba-raba di lorong-lorong sempit perundangan dan hukum-hakam; sebaliknya menumpukan tenaga menangani masalah yang asasi yang akhirnya merujuk kepada pemahaman dan penghayatan yang betul akan agama serta pandangan hidup dan asas agama itulah yang merujuk terus kepada permasalahan pokok yang melibatkan manusia, ilmu dan matlamatnya dalam kehidupan serta untung nasibnya yang hakiki kelak.

Proses mencapai ilmu tidak dinamakan ‘pendidikan’ kecuali apa yang dituntut itu mengandung matlamat moral yang menghidupkan di dalam diri yang menuntut apa yang saya namakan adab.  Adalah sukar mendpatkan satu istilah yang tepat di dalam bahasa Inggeris bagi perkataan adab yang berasal dari bahasa Arab itu, iaitu satu istilah yang muncul maknanya dari tradisi Islam. Ia sebenarnya merujuk kepada perlakuan yang betul yang terbit dari disiplin diri yang berlandaskan ilmu yang terpancar dari hikmah. Untuk memudahkan perbincangan saya hanya menterjemahkan adab sebagai ‘perlakuan yang betul’. Terdapat hubungan dalaman antara makna dengan ilmu. Saya mentakrifkan ‘makna’ sebagai tempat suatu di dalam sesuatu sistem itu menjadi jelas dan difahami. ‘Tempat’ pula sebenarnya dirujuk kepada tempat yang betul dan wajar di dalam sesuatu sistem; dan sistem di sini dirujuk kepada sistem konseptual al-Quran seperti yang diperjelaskan sebagai satu pandangan hidup melalui Sunnah dan dikemukakan untuk penggunaan manusia oleh agama. Ilmu ialah sampainya makna ke dalam din, atau diri mencapai makna, dan ini bermaksud mengenali tempat sesuatu dalam kejadian yang membawa kepada mengenali kedudukan Tuhan dalam martabat kewujudan semesta. Namun ilmu sedemikian itu sahaja tidak membawa kepada pengertian pendidikan kecuali pengenalah sebenar akan kedudukan sesuatu itu dijelmakan dengan pengakuan – yakni dengan pengikraran dan pelaksanaan amal di dalam diri – akan hakikat dan kebenaran yang telah dikenali. Pengakuan memerlukan perbuatan yang sesuai dengan pengenalan. Adab atau perlakuan yang betul mengandung perlakuan yang sedemikian. Dengan yang demikian, pendidikan bermaksud peresapan adab ke dalam diri. Apabila adab terjelma di dalam setiap diri individu masing-masing pada tempatnya di dalam masyarakat, maka terpancar apa yang dikatakan keadilan sedangkan kadilan itu sendiri ialah pancaran hikmah yang berpunca dari kandil nubuwah yang memberikan si penerimanya keupayaan untuk mengenali kedudukan sesuatu pada tempatnya yang betul. Keadaan sesuatu itu berada pada tempatnya yang betul itulah yang saya maksudkan dengan keadilan; dan adab ialah perlakuan yang penuh sedar akan keadaan diri yang meletakkan diri pada tempat yang betul. Dari satu segi menurut tafsiran ini adab adalah pencaran dari hikmah ; dan apabila memperkatakan masyarakat maka adab ialah keadaan adil di dalamnya. Adab, ditafsirkan setepat-tepatnya, ialah pernyataan keadaan adil pancaran dari hikmah. Hikmah itu sendiri terdiri dari dua jenis: ilmi dan amali, yang mana sebahagiannya dicapai sekali gus melalui jalan intuitif, dan sebahagian lagi iaitu secara tidak langsung melalui pembelajaran.

Dari tafsiran di atas terhadap konsep-konsep utama dalam Islam, yang kesemuanya bertemu ke dalam konsep ilmu, maka adalah jelas bahawa makna kesemua konsep-konsep itu berhubung kait antara satu sama lain, terutamanya makna-makna yang tertumpu kepada pengertuan ‘tempat yang betul’ yang menunjukkan kepada keadaan adil di dalam sesuatu sistem serta hubungan sesuatu kepada keadaan adil itu. Keadaan adil dan tersusun dalam kedudukan bermartabat ini meliputi seluruh kejadian, sama ada kejadian zahir mahupun kejadian mental. Apa yang saya maksudkan dengan martabat kejadian manusia seluruhnya, bukanlah seperti yang disalah fahami sebagai martabat yang direka cipta oleh manusia, dan dikenakan pula ke dalam struktur masyarakat seperti sistem kasta, atau struktur sistem kerahiban atau apa-apa bentuk kedudukan bermartabat di dalam masyarakat menurut sistem kelas. Martabat yang saya maksudkan bukanlah sesuatu yang dikenakan ke dalam struktur masyarakat; sebaliknya ia adalah sesuatu yang terdapat dalam fikiran dan terjelma dalam sikap dan tingkah laku. Sesuatu yang tercerna dalam fikiran itu pula bukanlah sesuatu yang dicipta oleh manusia berdasarkan ukuran kekuasaan, kekayaan ataupun nasab keturunan tetapi berdasarkan ukuran al-Quran, iaitu ilmu, kesempurnaan akliah dan sifat-sifat akhliah terpuji. Apabila akal mengenali hakikat bahawa ilmu dan kewujudan semesta itu bermartabat menurut tahap dan kedudukan masing-masing, ada apabila sikap dan tingkah laku menuruti melalui perlakuan apa yang dikenali oleh akal itu, maka penyesuaian pengakuan ini dengan pengenalan sehingga diri mengambil tempatnya bersesuaian dengan perakuannya, maka inilah yang dinamakan adab. Tetapi apabila akal gagal mengenali martabat dan kedudukan ilmu serta kewujudan, mengacau-bilaukan martabat yang sah di dalam kejadian alam dan diri, maka dikatakan keadaan itu sebagai kerosakan ilmu. Kerosakan ilmu itu terbayang dalam kezaliman sehingga apa yang dikatakan ‘tempat yang betul’ tidak lagi terbayang pada akal atau terlihat pada kejadian dan dengan itu berlaku kehilangan adab.

Kehilangan adab, akibat kebinasaan ilmu, menjadikan keadaan subur bagi melahirkan pemimpin yang palsu pada semua peringkat kehidupan kerana kehilangan adab bukan sahaja bermakna kebinasaan ilmu tetapi juga kehilngan daya mengenal dan memilih pemimpin yang sebenar. Disebabkan keliaran intelektual yang muncul akibat keadaan sedemikian maka orang awam menjadi menentu kepada keputusan-keputusan yang melibatkan ilmu dan meletakkan diri mereka ke martabat autoriti di dalam persoalan ilmu. Dengan itu takrif yang jelas tentang sesuatu menjadi kabur dan berganti dengan slogan semboyan kosong yang digembar-gemburkan sebagai konsep mengandung faham ilmiah. Kegagalan mentakrif; mengenal dan memastikan, dan akhirnya menyelesaikan masalah melahirkan masalah-masalah yang palsu dan tidak muncul sebenar-benarnya; kejadian mempermudahkn penyelesaian masalah kepada jalan keluar politik, sosioekonomi dan hukum semata-mata semakin  menjadi kenyataan. Tidaklah memeranjatkan jika keadaan sedemikian menjadi ladang yang subur bagi munculnya golongan pelampau beraneka jenis yang menjadikan kejahilan sebagai modal akal mereka.

Bagi menggambarkan apa yang saya boleh maksudkan dengan adab, kita boleh mengambil contoh drii sendiri. Diri atau jiwa terbahagi kepada dua aspek: yang satu mirip menuruti perlakuan yang terpuji, bersifat akali, taat kepada perjanjiannya dengan Tuhannya; yang satu lagi mirip perbuatan jahat, bersifat haiwani, mmelupai perjanjiannya dengan Tuhannya. Yang pertama kita namakan diri akali dan yang kedua kita nama diri haiwani. Apabila diri akali memenangi diri haiwani dan menguasai yang jahat itu, maka diri akal ini telah meletakkan diri haiwani itu pada tempatnya, dan begitu juga ia telah meletakkan dirinya pada tempat yang wajar. Dengan cara ini seseorang itu meletakkan dirinya dan sesautu yang bernisbi kepada dirinya pada tempat yang wajar. Inilah adab kepada diri. Kemudian hubungan diri kepada keluarga dan setiap ahli keluarga; apabila seseorang berlaku baik kepada ibu bapa dan orang tuan dengan ikhlas dan berendah diri, dengan kasih sayang, hormat, mengambil berat terhadap mereka dan bermurah hati kepada mereka, maka seseorang itu meletakkan dirinya bertepatan dengan tempat dirinya dalam keluarganya. Inilah adab kepada keluarga. Apabila sifat-sifat baik itu juga ditunjukkan kepada guru, kawan dan rakan, masyarakat setempat, masyarakat seluruhnya, pemimpin, maka ini menunjukkan kedudukan diri seseorang berhubung dengan mereka yang disebutkan tadi. Ini mempamerkan perlakuan yang membayangkan adab terhadap mereka. Dan lagi apabila sesorang itu mengenakan perkataan yang betul pada tempat yang betul pula, supaya maknanya menjadi jelas dan difahami, dan demikian juga denga ayat dan rangkap kata yang teratur sebagai prosa dan puisi, maka ia menjadi bahasa persuratan atau kesusasteraaan. Maka ini adalah adab terhadap bahasa. Kemudian, apabila seseorang meletakkan pokok-pokok dan batu, bukit, sungai, lembah dan tasik, haiwan dan tempat tinggalnya pada tempat masing-masing secara betul, maka demikian itu adab terhadap alam tabii dan persekitarannya. Demikian juga dengan kediaman seseorang, apabila seseorang itu meletakkan segala alat perkakasan dan hiasan pada tempatnya yang wajar hingga muncul harmoni di sana – maka itu adab terhadap rumah dan perabot rumah tangga. Demikian juga apbila warna, bentuk  dan bunyi dikenakan pada tempat yang betul dan masing-masingnya sehingga melahirkan kesan yang menarik dan kemerduan bunyi maka seseorang itu berlaku adab terhadap seni lukis dan seni bunyi-bunyian. Ilmu juga sedemikian sifatnya pada semua cabang dan bahagiannya: ada yang lebih utama kepada kehidupan dan nasib diri dari yang lainnya. Setiap satu cabang ilmu itu perlu dinilai menurut martabatnya dan isinya. Jika seseorang membahagikan cabang-cabang ilmu itu menurut isi dan sifatnya dengan mendahulukan yang penting dan membelakangkan yang kurang penting maka seseorang itu malakukan adab terhadap ilmu.

Dari gambaran yang telah dikemukakan tadi maka harus jelas kini bahawa adab mensyaratkan adanya ilmu; ianya ilmu yang hasil dari hikmah; ia menjelaskan tujuan menuntut ilmu; ia juga merupakan aktiviti dalaman dan luaran jiwa atau diri yang terpancar dari nilai moral dan etika dan sifat-sifat terpuji; punca asalnya bukanlah dari falsafah atau sains tetapi dari kebenaran yang diwahyukan yang mengalir dari agama.

Dengan itu tidakkah wajar bagi kita merenung akan apa yang telah diperkatakan tadi tentang adab, dan pertimbangkan pula adakah apa yang telah diperkatakan itu bersesuaian dengan apa yang sedang berlaku disekeliling kita; air dan udara dan sungai kita, bukit bukau dan lembah dan tumbuh-tumbuhan kita, haiwan dan hutan belantara kita, bangunan dan jalan raya dan tempat tinggal kita, bahasa dan kesusasteraan kita dan seni kita, keluarga dan diri kita sendiri – adakah ini semua bersesuaian dengan adab?

Kini kita sekali lagi berada di persimpangan sejarah dan fajar kesedaran peribadi Islam menyingsing menguak luasan saujana umat Islam kini. Hanya apabila kesedaran ini muncul sepenuhnya dan mentari ilmu bersinar kembali maka kita kan menyaksikan kemunculan di antara kita putera dan puteri yang matang dari segi dan mampu dari segi spiritual dan intelektual memainkan peranan masing-masing dengan hikmah dan penuh keadilan menegakkan kebenaran. Mereka akan tahu bahawa mereka perlu kembali kepada tradisi para ilmuwan dan bijaksana pemikir Islam zaman lampau yang meletakkan asas keilmuan berdasarkan al-Quran dan Sunah Rasul Yang Suci agar dapat memperoleh pedoman dari ajaran zaman lampau itu yang meberi kekuatan intelektual dan spiritual bagi menangani cabaran di hari muka; mereka akan sedar bahawa mereka tidak harus meniru, dan sekadar mengurang atau menokok tambah, apa yang telah dihasilkan oleh tamadun Barat moden, tetapi sebaiknya harus mengembalikan dengan kekuatan ilmu, daya berfikir sendiri, iradah dah imaginasi yang tajam, apa yang telah hilang perihal tujuan serta sasaran hidup, sejarah, nilai, sifat akhlakiah kaum Muslimin yang terkandung dalam ilmu mereka pada asalnya, kerana segala yang hilang tidak akan kembali dengan meniru membabi buta atau dengan teriakan semboyan ‘pembangunan’ yang kini sedang menggema; mereka akan berdaya melihat dengan nazar hati nurani bahawa Islam tidak dapat disesuaikan dengan segala peristiwa yang beralku kini yang telah menyimpang dari jalan yang benar, mereka akan merumus dan dan menjelaskan serta mentakrifkan faham-faham baru mengenai negara dan pemerintahan, mengenai sifat pembangunan yang tepat dan sesuai dengan kehendak dan tujuan Islam. Kebangkitan mereka ini tidak sahaja bergantung kepada perjuangan fizikal, tetapi yang lebih penting lagi, kepada pencapaian ilmu yang betul, berdaya tahan, yakin dan berpandangan jauh serta berani melahirkan perubahan dalam sejarah. Kita sendirilah yang mesti menentukan arah dan aliran sejarah kita, dan tidak boleh membiarkan orang lain memaksakan sejarah mereka kepada kita.

Tiada ulasan: