Isnin, 18 Januari 2010

KERUSI DAN SEBUAH PERTANYAAN


Sabtu malam yang lepas, saya dan seorang rakan makan di sebuah restoran di Bangi. Kami di minta oleh pelayan restoran untuk duduk di meja yang agak panjang walaupun kami hanya berdua. Meja tersebut sepatutnya dipenuhi dengan mereka yang datang dalam kumpulan yang ramai.

Sedang kami sedang makan dan rancak berbual, tiba-tiba seorang budak lelaki datang ke meja kami dan bertanya kepada saya, "Bang, ada orang duduk tak?" sambil tangannya memegang kerusi. Saya cuma diam dan menggelengkan kepala. Kemudian lelaki tersebut terus pergi bersama kerusi yang di pegangnya tadi.

Saya memandang rakan dengan muka yang agak kehairanan. Kawan saya terus mengaju tanya "Mengapa kau ni?". Saya pun menjawab, "Kau ada nampak sesiapa ke duduk di atas kerusi yang ditanya oleh budak tadi? Aku rasa aku tak nampak sesiapa pun duduk atas kerusi tadi. Takkan dia akan tanya kalau dia pun tak nampak ada orang duduk di situ? Kalau dah tau tak ada orang kenapa dia tanya ada orang ke tak duduk di situ."

Dalam pada itu, saya terus berfikir, adakah cara dia bertanya soalan yang salah? Jadi apakah yang betulnya? Biasa saja saya jumpa keadaan ini di mana-mana kedai makan yang saya hadiri, tetapi kali ini pertanyaan budak itu mengajak saya berfikir.

Kawan saya tergelak panjang dan berkata itulah budaya masyarakat Melayu. Selepas itu dia menambah, "Barangkali budak tadi nampak makhluk lain agaknya." Kami terus menikmati makan malam dalam waktu hujan yang lebat sambil memerhati di kerusi lain yang masih kosong, takut-takut ada yang menyertai makan malam bersama kami.

hehehe...

6 ulasan:

MARSLI N.O berkata...

satu malam, saya berdua dengan anak remaja saya makan di restoren. Sekejap dia ke tandas dan meninggalkan kerusi di sebelah saya kosong.

Muncul sepasang remaja. Duduk di meja di depan saya. Di situ hanya satu kerusi. Tanpa sepatah bertanya, kerusi di sebekah saya disentap si gadis.

Keluar dari tandasa dan kembali ke meja, anak remaja saya terpinga melihat kerusinya telah tiada.

Tidakkah sangat bersopan si gadis yang menarik kerusi di sebelah saya tanpa sepatah pun bertanya itu ?

Bukankah?

MARSLI N.O

zamzuri_mustapha berkata...

Aku fikir dia bertanya kerana takut-takut orang yang duduk di kerusi tu pergi ke tandas atau singki.

Zarif Hassan berkata...

Tuan Marsli,

Itu tanda-tanda insan yang kehilangan adab. Tetapi saya kira masyarakat sekarang mengambil mudah setiap perkara dan malas berfikir.

Tidak berfikir sebelum menanyakan sesuatu soalan itu penting agar kita tidak dilihat seperti bertanya tentang perkara yang jelas?

Soal adab dan bahasa perlu ditekankan. Itulah seharusnya yang berlaku.

Zarif Hassan berkata...

Zamzuri,

Ya, aku juga fikirkan begitu. Tetapi pada hemat aku, lelaki tersebut tidak melihat konsep dan konteks dengan betul. Mungkin dia menepati konsep tetapi mengabaikan konsep.

Bahaya bukan jika berlaku "keselekehan dalam berfikir"?

hehehehe...

zeticome berkata...

bukan ke sepatutnya lelaki itu bertanya : "boleh saya ambil kerusi ini?"..

Zarif Hassan berkata...

Long,

Mungkin itulah yang selayaknya....