Khamis, 8 April 2010

DEBAT : DIMANAKAH FUNGSINYA?

Pertandingan debat yang "berprestij" sudah lama wujud di negara ini. Selalunya pertandingan sebegini mensasarkan golongan muda seperti murid-murid di peringkat sekolah dan mahasiswa di universiti. Kalau yang tidak "berprestij" pun ada juga. Diberikan nama debat ala kedai kopi. Mungkin sedikit tidak formal (boleh hentak-hentak meja atau boleh genggam penumbuk di bawah meja macam sajak Lutfi) berbanding yang "berprestij". Tetapi caranya tetap berhujah dan beragumentasi. Tetapi mungkin tidak semua argumentasi, kebanyakan hanya deskriptif berpunca dari hafalan.

Sewaktu saya masih dalam pengajian ijazah pertama, saya pernah utarakan dan berbincang bersama beberapa orang rakan dan 'pendebat' universiti (saya bukan pendebat universiti) tentang fungsi debat ini. Apakah sebenarnya yang ingin dicapai melalui aktiviti perdebatan yang sering kali mendapat dianjurkan oleh pelbagai pihak. Rata-rata mereka mengatakan bahawa ini adalah aktiviti yang sihat, mampu menambahkan 'keyakinan'(?), membuang rasa malu di hadapan khalayak ramai dan menambahkan pengetahuan.

Malah ada sesetangah daripada rakan-rakan sangat menyanjung tinggi golongan pendebat ini. Mereka sangat petah berhujah tanpa mengira khalayak. Kepetahan berkata itu mampu mempesonakan ramai hati dengan lenggok bahasa yang sesuai dengan konteks. Ya, mungkin ada betulnya. Tak hairanlah ramai pendebat universiti selalunya diberikan ruang untuk mengisi kapasiti sebagai "tenaga penggerak" kepimpinan mahasiswa tidak kira di peringkat kolej atau universiti.

Sejak dari itu saya terus memerhati dan berfikir tentang apa sahaja yang berkaitan dengan aktiviti debat. Pada waktu itu juga, saya sudah tidak menerima bahawa aktiviti debat ini menguntungkan malah merugikan semata-mata. Saya kira ada beberapa sebab dan persoalan yang pernah saya ajukan, antaranya :

Pertama
Mengapakah semasa perdebatan tidak boleh digunakan hujah menggunakan ayat al-Quran dan Hadis? Bukankah kita apa sahaja yang kita lakukan di alam raya ini berpandukan al-Quran dan Hadis? Sebagai seorang muslim ilmu yang benar hanya datang dari Allah SWT dan untuk mencapai kebenaran itu salurannya hanyalah melalui al-Quran dan Hadis. Ternyata, penolakan penggunaan sebarang ayat al-Quran dan Hadis itu seperti suatu kegiatan sekular. Ya, sekular!!!

Kedua
Langsungan dari aktiviti sekular tersebut, jadi apakah yang mereka lakukan? Adakah sekadar omongan kosong atau aktivti belajar "berleter" yang tidak mendatangkan manfaat? Ya. itulah selayaknya kerana mereka telah menolak kebenaran seawal yang mungkin. Tidak keterlaluan untuk saya simpulkan bahawa mereka hanya berbicara tentang perkara yang bathil (sia-sia).

Ketiga
Jika dalam berdebat itu salah satu pihak diberi tajuk yang sememangnya dianjurkan dalam Islam sebagai contoh tajuk ini, 'Kesederhanaan itu Kunci Kepada Kehidupan' (tajuk ini pernah menjadi digunapakai dalam pertandingan debat sewaktu saya bersekolah tingkatan 3), yang mana dalam Islam sememangnya dianjurkan gaya hidup wasatiah. Jadi kalau pihak pembangkang yang berada di posisi kontra, pastinya akan menentang tajuk ini dengan seadanya. Tidakkah usaha ini dilihat sebagai "menegakkan benang yang basah"?. Dan yang lebih parah, jika kemenangan milik pihak pembangkang, kita boleh melihat kemenangan yang palsu sudah ditegakkan!

Keempat
Apakah kayu ukur kemenangan dalam berhujah tersebut? Fakta? Maklumat? Kemahiran menyusun buah fikir atau permainan kata-kata semata-mata? kekemasan pakaian atau fikiran? dan paling teruk jika kemenangan dijulang atas keterpengaruhan faktor rupa paras. Kalau ilmu kayu ukuran, itu adalah penipuan semata-mata kerana ilmu itu martabatnya tidaklah sama dengan fakta, maklumat dan pengetahuan. Jadi, dimana ukurannya?

Kelima
Bukankah kita hidup sebagai insan yang berhutang ada tanggungjawab yang perlu ditunaikan? Setiap gerak laku itu mahu atau tidak perlu mencari keredhaan-Nya. Dalam berdebat, pendebat akan cuba memanipulasikan maklumat dengan kata-kata berselit helah hujahan yang bijak untuk kemenangan berkata-kata. Kemenangan berkata-kata ini bagi memenangi hati juri dan khalayak. Kalau kemenangan berkata-kata itu demi meruntuhkan kepalsuan tidak mengapa. Yang jelas, kepalsuan itu dimanipulasikan untuk membenamkan kepalsuan yang lain.


Saya kira, lima pertanyaan dan pernyataan saya di atas cukup membuatkan saya tidak mahu menyokong mana-mana aktiviti debat yang dianjurkan atas tiket pertandingan sebegitu. Saya teringat kata-kata Hasmora di Facebook, "kalau kita tahu mati itu bukan main-main, kita tidak akan bermain-main dengan hidup". Mudah, ringkas dan sarat makna. Jadi aktiviti debat tidak pernah memisahkan kita di alam lain, tetap hidup pada kehidupan yang sama. Malaikat akan terus menghitung amalan tanpa kita sedar.

Aktiviti sebegini yang kita sogokkan kepada anak-anak muda yang masih segar dan bertenaga, dipisahkan mereka dengan paksi agama, lalu diberikan kepalsuan semata. Dan janganlah pelik jika dewasa ini kita melihat banyak orang berbicara secara tidak jujur dan palsu kerana golongan yang lahir daripada aktiviti ini dipandang tinggi oleh masyarakat. Mereka layak menjadi pemimpin. Malah ada yang memegang jawatan di organisasi raksaksa kini. Mereka mahir bercakap. Mahir berhujah. Mahir juga menipu. Kini, Pemimpin kencing berdiri, rakyat kencing menari-nari!!!

Dari satu segi, debat ini juga semacam suatu diskriminasi terhadap golongan kurang upaya iaitu golongan yang bisu dan pekak. Sepanjang hidup saya, belum pernah saya dengar ada pertandingan debat untuk golongan begini. Tetapi saya lebih bersyukur kalau mereka tidak terlibat kerana tiada apa yang mereka dapat kecuali keletihan menunjukkan isyarat dan simbol bagi memberi makna hujahan mereka.

Islam tidak pernah menganjurkan debat untuk dipertandingkan atau kemashyuran. debat berfungsi untuk membela kebenaran. Membela agama dari tercemar. Menurut Imam al-Ghazali, dalam Munziq Min al-Dhalal, Allah telah melahirkan golongan Mutakalimun (ahli kalam). Dengan lincahnya mereka bergerak membela sunnah Rasulullah dengan bersenjatakan perdebatan, ungkapan-ungkapan yang teratur dan begitu sistematik sekali. Mereka telah berjaya mendedahlan tembelang dan kesamaran yang sengaja direka oleh ahlul al-bid'ah itu, yang jelas bertentangan dengan sunnah Rasulullah.

Ternyata fungsi debat sudah berbeza dengan fungsi debat yang difahami sekarang. Malah debat yang difahami kini hanya jauh terpisah dengan agama. Fungsinya kononnya mengajar individu untuk lebih hebat berdialektik. Dialektik pun ada tahapnya. Tidak sembarangan hingga hilang adabnya. Kebebasan berfikir hanya dalam ruang lingkup yang ditetapkan. Bukan semua perkara boleh diselesaikan dengan akal semata-mata.

Islam telah menganjurkan syura dalam kehidupan. Ini lebih baik berbanding berdebat. Untuk menyelesaikan masalah bukanlah melalui debat. bukankah kita perlu bermusyawarah seperti yang terdapat dalam ayat ali-Imran 159 dan asy-Syura 38, demi menjaga kebaikan semua pihak. Musyawarah adalah cerminan yang padu dalam budaya Islam. Menurut Prof Wan Mohd Nor, sejarah telah menurunkan bukti bahawa Baginda Rasulullah S.A.W selalu membincangkan isu-isu penting dengan para sahabatnya dan kerap kali menerima pandangan mereka.

Buat masa kini, debat sudah hilang fungsinya yang sebenar. Yang tinggal hanyalah kegiatan yang penuh pura-pura dan palsu. Maaf kepada individu (guru sekolah) semasa saya praktikal di sekolah kerana menolak permintaan mereka untuk membantunya mengajar murid dalam aktiviti itu. Saya punya pegangan sendiri. Tiada jalan tengah dalam hal ini. Tiada kelabu.

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

al-Quran, An-Nissa : 59 (4)

Tiada ulasan: