Rabu, 5 Mei 2010

PUTARAN GANAS SUFASTAIYYAH

Rencana ini merupakan nukilan  Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud.

Tujuan agama ialah untuk memastikan insan memperolehi ilmu dan keyakinan akan hakikat-hakiakt seperti Tuhan, manusia dan peranan, kehidupan dan matlamat terkahirnya, kewujudan dan sebagainya serta menunjukkan cara-cara yang sah bagi menguruskan hubungan antara insan dengan segala hakikat-hakikat ini. Agama Islam sebagai agama terakhir yang mempunyai kitab tanzilan dan contoh manusiawi yang komprehensif dan perfect meletakkan ilmu dan keyakinan akan hakikat ini sebagai summum bonum keagamaan. Justeru itu martabat manusia disandarkan kepada keprihatinan yang mendalam akan kehadiran Allah s.w.t (taqwa dan khasyat) yang berakar pada kedalaman ilmu. Tidak ada ruang untuk syak dan ragu. Sebaliknya hasil-hasil agama kebudayaan dan sistem falsafah tertinggi ciptaan manusia daripada zaman Yunani purba sehingga kini diibaratkan sebagai pengalaman orang buta memahami hakikat seekor gajah.

Akidah Islamiah menentang keras sikap dan aliran yang boleh meruntuhkan ilmu dan keyakinan akan hakikat-hakikat yang wujud mengikut martabatnya masing-masing, yang dipelopori oleh pelbagai jenis golongan sufastaiyyah. Golongan berpengaruh ini bermula secara rasminya di Yunani pada abad ke-5 dan awal ke-4 S.M. melalui pemikiran-pemikiran Protagoras, Hippias, Prodicus, Gorgias dan lain-lain sehinggalah kepada pelbagai golongan pasca-modenis zaman ini. Ciri-ciri pemikiran mereka yang terpenting ialah keraguan akan ilmu dan keyakinan tentang segala hakikat. Mereka begitu berpengaruh dalam bidang diplomasi, perundangan, politik, dan pendidikan, memindahkan pencarian ilmu dan kebenaran hakiki kepada keraguan, pandangan-pandangan relatif dan terutamanya kepada penguasaan kemahiran dan ketrampilan dalam menyampaikan pandangan untuk mempengaruhi pandangan audience semasa dan setempat. Kebenaran hakiki tidak wujud, semua adalah realtif pada diri seseorang, kumpulan sosiobudaya, tempat dan zaman, dan lain-lain lagi. Agama Islam dan tamadunnya diasaskan kepada pengisbatan ilmu mengikut martabat dan darjatnya masing-masing. Justeru itu al-Nasafi (m. 1142M) dan al-Taftazani (m. 1387M) telah merakamkan penolakan akidah Islam terhadap golongan sufastaiyyah ini. Di Alam Melayu Nuruddin al-Raniri (m. 1658M) dan Syed Naquib al-Attas meneruskan perjuangan menegakkan ciri terpenting akidah Islamiah dan pandangan alam serta tamadunnya.

Tampak jelas sekali ciri-ciri sufastaiyyah ini merupakan ciri-ciri berbahaya kerana kesemuanya bakal menolak ilmu dan keyakinan akan Ketuhanan yang Maha Esa, dasar-dasar agama, akhlak keagamaan, malah tentang kewujudan alam emfiris juga. Cendekiawan Islam zaman ini yang diamanahkan memimpin umat haruslah sedar akan keluasan lautan dan kehalusan pengaruh sufastaiyyah ini. Aliran-aliran ini sedang berkembang pesat di kalangan manusia moden dan umat Islam, khasnya dari golongan cendekiawan daripada pelbagai bidang. Antara contoh rambang :

· Golongan pertama yang meragui sebarang hakikat dengan alasan bahawa ilmu tentang hakikat sesuatu tidak dapat diketahui. Soal selidik ke atas 112 profesor teologi di AS pada awal 1980-an mendapati bahawa 99% mempercayai akan kewujudan Tuhan, 88% mempercayai kehidupan abadi sesudah mati, dan 50% mempercayai kewujudan neraka. Pada pertengahan 1994 Gereja England telah melucutkan jawatan seorang vikar kerana secara terbuka mengulang ucapan Giogas hampir 2500 tahun dahulu bahawa Tuhan tidak wujud; jika wujud sekalipun kita tidak boleh mengetahui-Nya. Lebih menarik lagi ialah 65 paderi gereja tersebut menyangkal perlucutan jawatan vikar itu dengan alasan bahawa tindakan tersebut telah merosakkan tradisi toleransi gereja sekian lama! Kewujudan secara nyata golongan ini dari kalangan masyarakat Islam sukar dipastikan kerana sebab kelemahan yang sedia dimaklumi. Tetapi golongan Murjiah moden di kalangan umat islam semakin kelihatan yang mengatakan bahawa kita tidak patut membuat hukuman tentang iman atau kufur kerana hal sedemikian itu bersifat personal dan internal, dan sukar diketahui.

· Golongan sufastaiyyah yang kedua kelihatan bagai cendawan selepas hujan. Golongan ini meletakkan kebenaran mutlak, tetapi relatif dan subjektif. Pertama sekali golongan sekular humanis yang sebenarnya mengulangi Protagoras bahawa manusia adalah penentu segala-galanya. Melalui demokrasi, pegangan golongan awam telah diangkatkan sebagai kebenaran. Melalui kaedah ini golongan kaji masyarakat dan politik muncul sebagai pentafsir dan penggubal nilai-nilai dan kepentingan awam manakala media massa dijadikan wasilah terpenting pemerataan faham ini. Justeru suara awam telah ditafsir dan diaktakan oleh golongan pengkaji sosial dan politik, pandangan kedua-dua golongan ini kelihatan tertonjol sebagai kebenaran, terutama dalam masyarakat yang tidak mempunyai saluran-saluran maklumat awam yang pelbagai. Masyarakat luar tidak dibenarkan membuat penilaian atas norma-norma dalaman masyarakat tempatan keranan mereka harus menghormati kebenaran-kebenaran setempat.

Jika seseorang pemimpin mengutamakan peranan agama apabila berhadapan dengana agamawan, mementingkan kewangan apabila bercakap kepada golongan korporat, meninggikan seni pada golongan seniman, memuji sukan dihadapan ahli sukan, tanpa meletakkan sesuatu aspek atau kegiatan itu pada tempatnya yang wajar, maka beliau telah terperangkap dalam penjara sufastaiyyah. Semua aspek dan kegiatan diletakkan ditempat yang sama. Umat akan keliru.

Sufastaiyyah jenis kedua ini juga kelihatan dalam aliran yang mendakyahkan bahawa semua agama itu sama pada hakikatnya (transcendent unity of religious). Mereka mengatakan, antara lain bahawa ibadat dan syariah hanyalah bentuk-bentuk lahiriah yang berbeza; tetapi pada tahap batin atau hakikatnya semua agama itu sama belaka. Agama Islam benar bagi orang Islam, manakal agama-agama lain benar bagi pengikut mereka masing-masing. Kebanyakan daripada penyokong-penyokong faham ini adalah orang-orang Barat yang memeluk agama Islam dan murid-murid Islam mereka. Mereka sanggup membelakangkan ajaran-ajaran al-Quran yang cukup jelas bahawa Allah Taala sendiri yang Maha Tahu mengarah Rasul-Nya menegaskan dalam surah al-Kafirun 1-5, kepada orang bukan Islam bahawa objek penyembahan dan agama masing-masing adalah berlainan. Fahaman persamaan agama ini ditonjolkan kerana dipengaruhi fahaman relativisme Sufastaiyyah tadi, secara langsung atau tidak, menganggap semua agama termasuk Islam, adalah hasil kebudayaan manusia belaka. Ada yang mungkin menganggap bahawa semua agama itu datangnya dari Allah Yang Maha Esa, tetapi tafsiran-tafsiran berbeza mengikut bahasa dan kebudayaan masing-masing. Premis awal hujah ini diterima Islam tentunya tetapi premis keduanya itu tidak betul kerana jika sumbernya sama, sudah pasti syariah dan ibadat juga pada dasarnya sama. Perbezaan tentang konsep tuhan, sama ada Tuhan itu Esa, atau dua atau tiga bukanlah satu perbezaan kecil (minor details) tetapi perbezaan paling dasar: antara tauhid dan syirik! Motif penganut transcendent unity of religious ini mungkin di dorong oleh kemahuan kewujudan semangat tasamuh dan muhibah di kalangan para pengikut pelbagai agamayang begitu sukar dirasai sepanjang sejarah Barat. Tetapi hal sedemikian tidak timbul dalam sejarah Islam seperti yang telah diakui sendiri oleh Thomas Arnold, Arnold Toynbee, Marshall Hodgson dan lain-lain lagi.

Golongan sosio-evolusionis dan Marxist yang tidak dapat menanggalkan kulit Islamnya telah mengutarakan pandangan-pandangan yang meletakkan kebenaran sebagai sesuatu yang terbatas zaman, budaya atau kelas sosial yang berkuasa. Dalam konteks pemikiran ini Islamisasi disamakan dengan peribumisasi. Islam di negara Arab berbeza dengan Islam di India atau di Indonesia. Mereka tidak sedar perbezaan bahasa, barangan makanan, bentuk dan warna pakaian, serta perkara-perkara adat tidak membezakan Islam sebagai agama. Hakikatnya persamaan di kalangan umat Islam dari pelbagai bahasa, budaya dan status sosial adalah jauh lebih banyak dan lebih fundamental jika dibandingkan dengan perbezaan-perbezaan yang digemburkan.

Sebahagaian dari cendekiawan wanita Islam (dan lelaki juga) telah mula mempersoalkan bahawa perundangan keluarga Islam contohnya, benar hanya pada zaman Rasulullah s.a.w. dan mempunyai aspek-aspek yang menzalimi status sebenar wanita kerana semua pengasas mazhab fikah dan teologi dari kaum lelaki! Golongan ini gagal membuktikan bahawa kezaliman sistematis yang mereka khayalkan itu berlaku kerana jantina ahli-ahli fikah. Sedangkan yang jelas kelihatan ialah kesilapan-kesilapan dalam hukum fikah (yang sentiasa diawasi oleh golongan ilmuwan sepanjang zaman) berlaku kerana kesilapan tafsiran, fakta, logika, atau kaedah-kaedah ilmiah lain. Pokok pangkalnya adalah ilmu dan keadilan bukan jantina.

Dari kalangan pemimpin orang-orang Islam terdapat mereka yang menimbulkan keraguan terhadap sesuatu tradisi ilmiah secara total. Contohnya, ada orang yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. mungkin tersilap kerana beliau juga seorang manusia. Mereka tidak sedar bahawa al-Quran sendiri menegaskan bahawa dari segi lahiriahnya (bashari) Rasulullah s.a.w. sama seperti kebanyakan manusia tetapi martabat kerohanian, keintelektualan, dan akhlakiah Baginda adalah yang teragung. Kesilapan Baginda adalah insignifant untuk membangkitkan satu gerakan menilai kebenaran kandungan sunah dan hadisnya. Ada juga pemimpin umat yang meminta agar al-Quran ditafsirkan kembali kerana para mufassirun terdahulu mungkin tersilap kerana mereka adalah manusia. Sebenarnya kegiatan tafsir dibuat sepanjang zaman berdasarkan dorongan kerohanian dan ilmiah seseorang cendekiawan besar untu pentafsiran-pentafsiran yang mendalam dari pelbagai sudut, bagi memimpin zaman, bukan untuk dipimpin oleh kehendak-kehendak politik dan zaman sentiasa berubah. Kesilapan-kesilapan yang terdapat tidak menimbulkan keraguan akan keseluruhan tafsir-tafsir muktabar itu. Kenyataan-kenyataan yang berkali-kali daripada pemimpin umat dalam keadaan sistem pendidikan dan sosial umat tidak menggalakkan lahirnya para ulama yang berupaya membuat kerja berat ini telah menimbulkan “tafsiran-tafsiran” baru dan karya-karya yang cukup mengelirukan. Tradisi ilmiah agama serta pencapaian tamadunnya menjadi tidak bermakna bagi umat moden yang kononnya menghadapai masalah-masalah baru yang tidak pernah timbul sebelumnya. Urutan logika dari aliran sufistaiyyah ini akan membataskan pengharaman terhadap penggunaan arak, daging babi dan kegiatan homoseks contohnyakepada keterbatasan teknologi pemakanan, perubatan dan rawatan seperti yang lazim berlaku dalam masyarakat lain. Ilmu Allah Yang Tidak Terbatas dan hikmah Rasul-Nya yang Terpimpin akan diperkosai oleh keangkuhan akal manusia yang masih mencari-mencari.

Jawapan bagi kedangkalan fikiran kaum sufastaiyyah ini telah pun dijawab oleh cendekiawan Islam terdahulu dengan mudah dan profound: bahawa mereka sebenarnya munafik, yakni tidak mengisbatkan pegangan sendiri. Bagaimana boleh mereka berpegang dengan begitu tegas kepada keraguan yang mereka sendiri ragukan? Bagaimana mungkin mereka mahu menyebarkan faham mereka yang relatif kepada individu dan golongan lain kerana ini menafikan faham relativisme? Golongan sufastaiyyah pada zaman moden ini mendapat dukungan mesra dari pendukung pasca–modenis secara rasmi atau tidak. Akibat terkahir yang telah lama kelihatan ialah keruntuhan kewibawaan yang sah dalam bidang keilmuan, keagamaan dan akhlak, termasuklah kewibawaan al-Quran dan Rasulullah s.a.w. sendiri. Segala kriteria yang sah akan dibatalkan, dan digantikan dengan hujah-hujah yang boleh diterima oleh golonmgan awam buat sementara waktu. Dalam keadaan ini golongan sufastaiyyah ini, seperti juga pada zaman Yunani Purba dahulu, boleh menangguk di air keruh dengan menampilkan diri sebagai ahli dan mereka akan menjualkan aneka macam kemahiran dan ketrampilan. Pendidikan bukan untuk memperolehi ilmu dan kebenaran tetapi sebagai satu komoditi dan alat untuk memanjat tangga status sosial, untuk memenangi polemik dan untuk menjadi pemimpin.

Tiada ulasan: