Selasa, 25 November 2008

SECEBIS BICARA

Melihat kembali kepada akar kehidupan, secara fitrahnya manusia akan tidak akan dipisahkan daripada bidang keilmuan. Pencarian dan penerokaan ilmu dalam dunia sarwajagat memerlukan penelitian dan pemerhatian yang mendalam. Tuntutan menekuni sesuatu disiplin ilmu menjadi perkara yang utama dan pastinya tuntutan ilmu yang haqq (benar) perlu mendasari hati nurani setiap insan. Apa yang nyata, Islam sudah menyediakan garis-garis serta batas-batas dalam menuntut ilmu yang hakiki. Pemilihan mekanisme yang betul akan meletakkan kerangka pemikiran pada satu landasan yang tepat agar tidak terpesong dari jalan kebenaran.

Terjahan kepelbagaian bentuk ilmu yang kini bukan sahaja mampu mencengkam corak pemikiran masyarakat, malah mengubah sama sekali budaya dan gaya kehidupan seharian berkiblatkan kepada sesuatu bangsa atau negara lain. Transformasi keperibadian yang terbentuk hasil daripada alihan pemikiran yang diterima akan menghasilkan masyarakat atau bangsa yang pudar identiti dirinya. Hasilnya, lahirlah masyarakat yang mempunyai pelbagai jalur dan gaya pemikiran dan peribadi hingga tiada pegangan yang kompak dalam membangunkan tamadun bangsanya sendiri. Sedar atau tidak, ini semua bermula dengan pengetahuan yang dibina oleh segolongan pemikir yang tujuan asasnya hanya untuk merobohkan keperibadian sesuatu bangsa itu. Inilah perkara yang paling merugikan jika timbul kekeliruan dalam menanggapi sesuatu pemikiran dan idea.

Mungkin ada di antara kita sering buat bena tak bena dan kerap kali keliru tentang pengertian ilmu, yang nyata sekali membawa maksud yang tinggi nilainya dalam kehidupan. Kekeliruan yang timbul kerana penilaian bertumpukan kepada sumber dan asas yang dangkal. Hal ini boleh memesongkan pegangan seseorang itu terhadap sesuatu bidang ilmu itu sendiri. Terpanggil saya untuk berkongsi pengertian ilmu menurut pandangan Imam Ghazali dalam bukunya Pembebas Dari Kesesatan terjemahan Abdullah bin Nuh seperti yang dinyatakan berikut :

"Erti ilmu yang sesungguhnya itu ialah tersingkapnya sesuatu dengan jelas, sehingga tak ada lagi ruangan untuk ragu-ragu, tak mungkin salah atau keliru; tak ada di hati tempat untuk itu. Keamanan dari bahaya salah atau keliru harus diperkuat dengan keyakinan demikian rupa sehingga andaikata disangkal oleh seorang yang sakti, yang misalnya dapat merubah tongkat menjadi ular, namun demikian itu tak akan menimbulkan ragu-ragu sedikit pun juga terhadap keyakinan tadi. Apa yang diketahui bila tidak seperti di atas, dan apa pun yang aku yakini, bila tidak seyakin itu, maka yang demikian bukanlah ‘ilmu’ yang patut menjadi pegangan dan tidak ada rasa aman di dalamnya. Dan setiap ilmu tidak memberi rasa aman demikian, bukanlah ilmu yang yakin"

Lihatlah pengertian ilmu yang dikemukan oleh Imam Ghazali ini dengan mata hati, bukan dengan fikiran yang telah dinodai dengan titik hitam. Kadang kala saya juga tidak faham, mengapa begitu mudah untuk kita meletakkan sesuatu nilai ilmu atau menyamakannya dengan ilmu yang tidak selayaknya dipanggil ilmu. Itu suatu perbuatan yang langsung tidak sepatutnya berlaku dalam konteks kemajuan pemikiran pascamoden kini. Mungkin, inilah detik bermulanya era pembangunan masyarakat dan bangsa yang mula membunuh tamadun ilmu itu sendiri. Sungguh menyedihkan.

Bingkisan kata ini saya letakkan di meja belajar saya. Termenung saya memikirkan, bentuk ilmu yang bagaimana harus saya pilih buat bekalan di dunia dan di akhirat kelak? Keamanan dan keyakinan ilmu yang bagaimana saya perlu saya dampingi dalam menerokai erti kedewasaan? Adakah saya akan tersesat dalam hutan ilmu yang merimba? Saya yakin, inilah permulaan bagi setiap pengembaraan dan perjalanan dalam mencari erti ilmu sebenar. Pencarian yang ditemani dengan perjuangan berani pastinya akan membawa kepada sebuah kejayaan.

Dengan tenang saya buka lembaran kitab suci al-Quran, Allah berfirman dalam surah Ali-Imran, ayat 8 yang antara lain bermaksud:

"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau berikan petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engaku; kerana Engkaulah Maha Pemberi (kurnia)"

Aku senantiasa berharap lindungan dan keredhaan-Mu dalam perjalanan mencari diri. Lindungilah aku dari ilmu yang tidak bermanfaat dan hindarilah aku dari jalan kesesatan.

2 ulasan:

alfaiz263 berkata...

Ilmu tanpa amal ibarat pohon kering yang tiada buah. Inilah pepatah arab yang masyhur dan mudah analoginya. Sia-sia saja ilmu yang ada tapi tidak digunakan sebetulunya khasnya untuk mengharap redho Tuhan. Orang yang berilmu tapi tidak beramal dengannya lebih berat laknat tuhan berbanding orang yang tidak berilmu tapi bergelumang dosa.. Sekadar peringatan untuk pedoman kita bersama.

Zarif Hassan berkata...

Salam Sdr,
benar kata saudara. Itulah keperibadian yang baik. Selain berilmu dan beramal, kita juga harus berpesan-pesan pada kebenaran dan kesabaran. Terima kasih tanda ingatan. Semoga kita senantiasa diberkati-Nya.