Khamis, 4 Disember 2008

SEPUCUK SURAT BUAT GURU

[Ku tulis dengan sepenuh hati sebagai suatu renungan akal, yang kadang-kala dibayangi penuh dengan perasaan]

Assalamualaikum wbt.

Salam sejahtera buat guruku, semoga senantiasa sihat atas kehendak-Nya. Sejuta penghargaan padamu, yang selalu mengajar saya tentang erti ketekunan, kesabaran, kegigihan, jujur, ikhlas dan berpegang kuat pada buhul agama dalam menjejaki dan meneroka keluasan makna ilmu. Namun, dalam perjalanan mencari erti dan nilai ilmu hakiki, terkadang saya tergelincir dan jatuh. Itu sememangnya lumrah, juga satu kepastian yang nyata. Kepastian yang sudah dijanjikan-Nya buat sekalian makhluk yang bernyawa. Setiap perjuangan pasti diselitkan dengan dugaan dan cabaran. Jika terkadang saya terlampau dalam melewati batas-batas perkara itu. Maaf saya pinta, keampunan saya harapkan.

Benar kata Hamka, ‘emas tak setara dengan loyang, sutera tak sebangsa dengan benang’. Begitulah tinggi rendah ukuran pengalaman dan kehebatan antara guru dan anak didiknya. Tidak akan pernah setara walau diukur dengan sekeping kertas yang meletakkan pangkat dan darjat. Apatah lagi jika mahu diukur dengan nilai sebuah ilmu. Jauhnya tak terjangka. Tiada terhitung taranya. Ilmu kami ini ibarat semangkuk air tawar yang dicurahkan ke dalam lautan yang mahaluas. Guru tempatnya di atas dan disanjung. Bukan kerana kehebatan berkata, bukan juga kerana bentuk paras rupanya, tapi kerana nilai ilmu yang tiada peri. Itulah hakikat yang perlu diakui tanpa perlu diragui.

Terima kasih wahai guru. Mengajar kami agar menyanjung ilmu. Ternyata kemarahanmu itu tanda kebodohan kami, keberanganmu tanda kebiadapan kami, dan kejengkelanmu itu tanda kami sudah hilang nilai jati diri. Tapak tangan yang kerdil ini saya luaskan, saya panjatkan doa kesyukuran pada Ilahi. Masih ada insan yang punya hati yang luhur dan ikhlas menegur dan membina saya agar sedar bahawa hati ini sudah jauh tidak terarah. Itulah erti ilmu yang sebenar dalam kehidupan nyata. Semoga guru senantiasa berada dalam lindungan keberkatan-Nya atas pengorbanan yang tidak pernah meminta pada secebis balasan dan ihsan.

Guruku, ilmu itu satu yang perlu ada pada tiap-tiap diri insan. Ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Jika ia jatuh ke tanah yang tandus, tumbuhlah ia kerana ilmu kerdurjanaan, kedustaan, dan penuh kepalsuan. Tetapi jika ia jatuh kepada tanah subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, kejujuran dan keterpujian. Saya pohon agar jangan dibiarkan ia jatuh ke tanah yang tandus. Biarlah ia subur dan mekar di tanah-tanah yang suci ini. Ajari dan berikanlah kami tentang ilmu yang haq dan pasti. Biar ia subur pada kemudian hari. Supaya anak bangsa terbela dan tidak tercela atas nilai-nilai ilmu itu nanti.

Guru, saya juga insan yang mengerti hati dan budi. Guru telah banyak bertanam budi pada hati anak-anak bangsa ini. Ucap apa lagi yang mampu kami beri. Kata apa lagi yang mampu kami kongsi atas kegembiraan ilmu yang tersemai pada dada dan kotak fikiran ini. Hanya ucapan terima kasih dan doa kami sahaja yang mampu mengiringi. Dan itu hanyalah sekecil penghargaan yang tidak terlawan dengan pemberian ilmu daripada seorang guru. Tidak pernah bisa melangkaui walau sekelumit ilmu yang dihamparkan buat saya dan rakan-rakan. Akhir kata, saya jika suatu tika dahulu, pernah tercalit barang sedikit kemarahan, kebencian, keberangan, kelukaan, kedukaan dan setara dengannya pada hati nuranimu, saya pohon agar diikat kesemuanya dan dibuang jauh-jauh dari hatimu agar keberkatan itu sentiasa erat mendampingi kami. Terima kasih atas segalanya guru. Doakan kami menemui sinar pada hari depan yang cerah seperti dijanjikan oleh-Nya. Insha-Allah.

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki,
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

1 ulasan:

Kamariah Kamarudin berkata...

Salam Sdr Zarif
Catatan ini mengingatkan saya tentang pengalaman musim kampus yang lalu. Dan ia masih kekal dalam simpanan saya; mudah-mudahan luhurnya perjuangan dan kudusnya keikhlasan seorang murid yang berbudi, saya mendoakan yang baik-baik sahaja buat anak didikan saya. selamat maju jaya dalam apa sahaja yang diceburi!