Selasa, 26 Mei 2009

PPMN 2009: PERTEMUAN IDEALISME SEGAR

Perhimpunan penulis Muda Nasional kali ke-2 yang telah diadakan pada 22-24 Mei 2009 sememangnya satu anjuran kolektif yang cukup bermakna. Perhimpunan kali ini telah menampilkan muka-muka penulis muda yang baru di ranah perjuangan sastera tanah air. Syabas dan tahniah buat semua persatuan, badan atau organisasi terutamanya PENA yang telah membanting tulang dan bekerjasama dalam usaha untuk membangunkan dunia penulisan nasional.

Kemelut tentang sekat ukur atau limitasi yang diberikan kepada golongan penulis muda dan penulis tua itu mungkin menimbulkan sedikit pertikaian di kalangan penulis nasional. Ada juga segelintir penulis yang serius memandang dikotomi itu. Seolah-olah ada hitam dan putih. Kadang kala menimbulkan pergeseran pendapat dan peribadi. Namun, perincian tentang dikotomi umur itu tidak pula pernah jelas dah rinci. Tapi pada pandangan saya, soal umur hanya angka dan tidak pernah sesekali memisahkan hubungan seseorang penulis dengan aktiviti tulisan apatah lagi dengan persekitarannya. Jadi pemisahan itu mungkin sekadar memudahkan penelitian dan pembicaraan terhadap skop penulis nasional yang skalanya terlalu luas dan lebar.

Hadir di PPMN 2009 memang saat yang bermakna. Di sanalah, saya melihat rakan-rakan yang rata-ratanya tidak dikenali masih segar dan bernafsu dengan idea dan semangat. Pembentangan kertas kerja juga dilihat relevan dengan temanya "Perjuangan Penulis Muda: Arah dan Cabaran". Tema ini sememangnya sangat relevan untuk dijadikan pangkal perbicaraan dan argumentasi di PPMN 2009. Di sinilah, boleh dikatakan pertemuan idealisme yang segar berlaku. Maklumat dan idea yang dibawa ketengah oleh pembentang memang bernas. Namun kadang kala masih ada juga yang boleh dipertikaikan.

Bertemu dengan rakan baharu juga merupakaan saat yang menggembirakan. Saya sering membaca tulisan Arif Atan di media cetak khususnya, dan di PPMN 2009 ini saya dapat bertemu dengannya dan bertukar pandangan tentang beberapa perkara. Begitu juga dengan saudara Ali Atan (penyoal yang aktif di dalam dewan), seorang yang ramah dan berfikiran terbuka. Di sinilah kami mengenal peribadi, bertukar pandangan, beramah mesra dan mencari idea-idea yang baru dalam pandangan kolektif dalam bidang sastera khususnya. Pendapat yang segar dan bernas inilah yang membangkitkan nafsu intelektual saya. Begitu juga dengan kawan-kawan yang lain yang turut hadir di sana. Salam perkenalan buat semua rakan-rakan baharu.

Perhimpunan seperti inilah yang membuatkan dunia sastera tanah air semakin teguh dan bersinar. Bukanlah bermakna dengan berhimpun sahaja bidang sastera itu terangkat menjulang tinggi. Namun, pertemuan ini membingkiskan bibit persaudaraan yang akan menghasilkan pertemuan dan pertukaran pandangan tentang dunia sastera. Mungkin dari situlah tercetusnya ilham untuk terus berkarya dan mengangkat intelektualisme mengikut kecenderungan dan aliran masing-masing.

Saya sering berdoa semoga kita akan dipertemukan sekali lagi di lain pertemuan. Mudah-mudahan PPMN 2009 ini memberi suntikan untuk penulis muda untuk terus berkarya. Sekalung tahniah sekali lagi buat semua pihak yang bertanggungjawab dalam melihat secara serius kepentingan penglahiran penulis muda di persada seni tanah air.

3 ulasan:

Wahyu Budiwa Rendra berkata...

salam ziarah sdr.zarif. tentu pertemuan menyuntik semangat dan menyubur idea/ilham penulisan. terima kasih mengunjungi blog saya. (,")

marzni berkata...

salam, aku rasa nyesal la plak tak dpt join PPMN 2009 huhuhu aku memang tak dpt nk g sebab teknikal xpe nanti ada kelapangan len leh aku join ko n rakan-rakan penulis ye prof zarif

Zarif Hassan berkata...

Salam saudara Rendra,
InsyAllah, mudah-mudahan semangat itu sentiasa subur dan mekar

MArzni,
tula, aku dah suruh hang jalan kaki je. Melaka bukan besar pun.Berenang pun boleh sampai puteri resort tu..kehkehkeh