Khamis, 15 April 2010

MENJENGAH SILAM DAN MENCARI SINAR FAHAM KEBENARAN

Setelah habis membaca buku Atas Nama Kebenaran Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal Edisi Kedua, hasil kritis Dr. Kahlif Muamar, air mata saya bergenang. Ada sesuatu yang membekas di hati. Secara jujur, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Dr. Khalif Muamar kerana tulisannya membawa manfaat, bukan retorik, bukan juga sekadar cerita atau perkongsian. Benarlah apa yang telah dikatakan oleh Prof. Dr. Wan Mohd Nor bahawa Dr. Khalif Muamar sememangnya mempunyai kesungguhan ilmiah dan keprihatinan seirus terhadap masalah umat. Cantuman kedua-dua ini menghasilkan suatu usaha yang sangat baik.

Seingat saya, buku ini saya jumpa seawal tahun 2009. Waktu itu buku baru hendak disusun di rak buku kedai buku Popular di Batu Pahat. Saya membelek-belek dan terpikat dengan tajuknya. Atas Nama Kebenaran. Tajuknya saja mencuit hati saya untuk membaca buku ini. Kemudian saya membaca tulisan Dato' Dr Siddiq Fadzil di bahagian belakang yang mengatakan bahawa buku ini wajar dicatatkan sebagai a must read book di bahagian belakang buku, membuatkan saya mahu membelinya. Sayangnya, pada ketika itu, saya terlupa bahawa saya tidak membawa wang yang cukup. Kecewa juga saya waktu itu.

Setelah saya memperolehinya pada PBAKL 2010, saya terus menguliti buku ini. Buku ini membuatkan saya tidak bergerak dari meja dan mengekori saya hingga ke tempat tidur. Walau bagaimana pun, ada sedikit kecewa kerana terdapat beberapa helai muka surat yang kosong dan mengganggu pembacaan saya. Silap saya juga tidak meneliti kondisi buku tersebut terlebih dahulu. Saya cuba mencari buku tersebut di perpustakaan UPM, untuk saya buat salinan muka surat yang hilang agar jelas pembacaan saya. Nyata kecewa. Tetapi saya bersangka baik mungkin dalam urusan pembelian walaupun dah lewat satu tahun lebih (untuk edisi kedua, yang edisi pertama pun tak ada!!!).

Pada pandangan saya, Dr. Khalif Muamar telah berusaha mempertahankan kebenaran Islam melalui pendedahannya terhadap kekeliruan umat Islam terhadap agamanya sehinggakan mereka terpedaya dengan idea-idea Barat yang sememangnya bertujuan menghancurkan Islam. Golongan Islam Liberal yang telah banyak mengelirukan melalui dokonstruksi Shari'ah, pluralisme agama, hermeneutika, kebebasan berijtihad, kesetaraan gender, seksualiti dan pelabagai lagi. Berdasarkan kepada kebebasan pendapat, relativisme dan subjektivisme, mereka telah menafikan kebenaran mutlak atau hakiki. Dr. Khalif Muamar telah mematahkan hujah golongan Islam Liberal dengan jelas dan baik sekali.

Melalui pengaruh modenisme dan pascamodenisme, kebenaran hakiki mula tercabar. Dr. Khalif Muamar juga mendedahkan cara pemikiran individu atau golongan postmodenisme yang terpengaruh dengan Derida yang terkenal dengan wacana dekonstruksi. Juga perihal pluralisme agama yang ditimbulkan oleh Nurcholish Majid yang melihat agama-agama lain sebagai jalan yang sama-sama sah untuk mencapai "kebenaran" yang "Sama". Dr. Khalif Muamar juga mendedahkan beberapa individu Muslim yang mendukung fahaman ini seperti Prof. Osman Bakar. Dan yang terbaru kita boleh lihat dengan jelas melalui teks ucapan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang mendukung fahaman pluralisme. Membaca buku ini akan membuatkan kita lebih jelas dengan cara sudut pandangan hidup golongan ini.

Penulis juga telah membuka laluan keilmuan yang luas untuk pembaca berfikir dengan lebih kritis dan dalam untuk melihat ancaman-ancaman yang dibina oleh Barat melalui golongan Islam Liberal. Buku ini saya kira bersifat attacker dan defensif, dalam masa menyerang dan pada masa yang sama defensif. Attacker bukanlah bermaksud menyerang dengan hawa nafsu dan tidak berasas, bukan juga kerana kebencian terhadap agama lain, tetapi untuk mengoyakkan selimut kepalsuan yang telah menyelimuti umat Islam kini, yang terus lena dibuai mimpi. Defensif bukanlah sebab pengecut, bukanlah kerana Islam ini tetapi mempertahankan kesucian Islam agar tidak terus dikotori oleh fahaman-fahaman yang mengelirukan kadangkala membawa kepada kehancuran hidup. Kedua-duanya (attacker dan defensif) bersepadu atas nama kebenaran dan kemuliaan Islam.

Sampai di pertengahan pembacaan, tiba-tiba buku ini seakan membawa saya kembali menjengah zaman-zaman muda yang penuh dengan kelalaian dan kejahilan. Saya pernah berkawan dengan beberapa orang rakan, bergaul dengan golongan yang menggelarkan mereka sebagai punk(peace punk?, hardcore punk?, anarcho punk?). Saya boleh simpulkan bahawa mereka sudah bertuhankan kepada hak (bukan kebenaran, tetapi hak untuk memilih). Melalui fahaman humanisme yang pekat, mereka perjuangkan kedamaian, perjuangkan kesetaraan, (equality) dan mereka jelas sekali tidak mahu dikawal atau mereka tiada percaya kepada Tuhan (Against All Authority) yang didukung oleh fahaman anarki. Dan tak keterlaluan, ada yang mengaku bahawa mereka atheis.

Percayalah, golongan muda seperti ini banyak dan bertaburan di Malaysia. Berselindung atas label underground. Mereka dibayangi dengan pengaruh Barat yang kuat. Sekarang baru saya jelas. Sesuatu fahaman datang bukanlah saja-saja. Rupanya menggendong makna yang sarat hingga boleh mengubah pandangan alam individu. Melalui buku ini, saya melihat dengan jelas apa yang telah berlaku 10-12 tahun yang lepas, ia sudah mula berakar di generasi muda dan ia tidak akan terhenti. Golongan ini akan merosakkan lebih ramai generasi muda akan datang. Semoga Allah mengampuni mereka dan mereka berusaha membebaskan diri dari kejahilan dan kesesatan.

Setelah habis membaca, saya juga mula faham dengan jelas keadaan kesusasteraan Melayu kini yang semakin ditusuki dengan fahaman sekularisme, humanisme, femenisme dan pelbagai lagi . Fahaman-fahaman tersebut diborong membabi buta tanpa faham dengan jelas dan teliti dari Barat. Nyata, segelintir orang sastera sukakan kebebasan berpendapat untuk menghasilkan sesuatu yang "baru". Kononnya dengan lesen kepengarangan mereka boleh menulis sesuka hati. Ini sikap kebinatangan dan hawa nafsu yang tinggi jika penulis mengamalkan kebebasan berkarya tanpa menyumbang hasil yang bermanfaat, berhikmah dan benar menurut Islam. Mereka menulis hanya untuk mendapatkan nama, berseronok, kepuasan sendiri tanpa memikirkan kesan-akibat pada masyarakat.

Mustahil untuk saya katakan bahawa buku ini terlalu bagus atau sempurna, tetapi buku ini pada saya, telah membuka ruang yang lebar untuk mencari "kebenaran" dewasa kini, di samping menjadikan saya lebih berhati-hati untuk menerima fahaman dari Barat, dan menjadi lebih teliti melalui pembacaan. Terima kasih kepada Dr. Khalif Muamar atas tulisan beliau yang berma'na. Mungkin saya agak terlewat membaca buku ini, tetapi saya yakin masih ramai lagi yang tidak membacanya. Tak rugi memperolehinya. Jauh berkualiti daripada novel-novel setebal bantal di pasaran. Percayalah. Semoga kita mendapat manfaat daripada bacaan kita semua. Insha-Allah.

5 ulasan:

ali atan berkata...

Khalif Muammar itu, maksud akku bukunya, tidaklah memberikan apa-apa sangat ppun bagi aku. Bagi aku sebuah kitab kuning lebih bermakna daripada buku ulasannya tentang falsafah2 itu. faham2 barat atau bertentang dgn Islam itu mudah sahaja didepani dengan faham asas--asas agama dan praktikalnya sekaligus namun vital iman itulah yang amat sukar dipertahankan.

ali atan berkata...

Menurut Khalif Muammar, "Menjadikaann pandangan Islam dan bukan pandangan alam Barat sebagai landasan pemikiran. Dengan kejelasan pandangan alam ini seorang Muslim tidak akan menerima sepenuhnya (pro) atau menolak sepenuhnya (anti) modeniti dan Sains Barat. Sikap a priori dari dua sudut yang bertentangan ini perlu dijauhi. HLM 282,Atas Nama Kebenaran Edisi Kedua. Cuba kau renung kembali generalisasi kau terhadap kesusasteraann Melayu sama ada yang bercorak tradisi sehingga bercorak semasa. Apakah kau sudah meletakkannya diatas timbangan yang disediakan oleh Khalif Muammar. Dan kalau aku, aku menolak pesimis dan memandang segala-galanya negatif.

Zarif Hassan berkata...

Ali,

Bagi kau mungkin tak berma'na, tetapi mungkin pada aku berbeza. Aku menghargai sumbangan yang telah Khalif Muamar lakukan. Itu salah satu ibadah dari segi ilmiah. Lebih baik dari membaca novel-novel sasterawan. Setuju?

Pada aku mungkin kau sedikit silap dengan mengukur nilai "berma'na" kitab kuning dengan buku yang telah Khalif Muamar tangani. Kitab kuning dan buku ANK tak akan sama dari segi tujuan dan objektif walaupun ditunjangi dengan kebenaran dan kesucian Islam. Aku rasa kau nampak bukan.

Bukak Risalah tulisan Prof al-Attas, "Seperti juga dalam ilmu peperangan kau harus mengenali siapakah dia seterumu itu; di manakah letakknya kekuatan dan kelemahan tenaganya; apakah helah dan tipu muslihatnya bagi mengalahkanmu; bagaimanakag cara dia menyerang dan apakah yang akan diserangnya; dari jurusan manakah akan serangan itu didatangkan; siapakah yang membantunya, baik dengan secara disedari ataupun tidak disedari-dan sebagainya ini, maka begitulah kau akan lebih insaf lagi memahami nasib serta kedudukan Islam dan kau sendiri dewasa ini apabila penjelasan mengenai seterumu itu dipaparkan terlebih dahulu.(hlm. 9)

Kalau kita mempunyai asas yang kuat, tetapi tidak kenal seteru kita pun bahaya juga. Syaitan akan terus menggoda kita bro.

Pendekatan terbaik adalah pendekatan al-wasatiyahwa al i'tidal. Aku tidak generalisasi kepada tradisi. Jelas aku melihat kepada kesusasteraan kini. Kesusasteraan tradisi yang mencerminkan karya persuratan memang sudah terbukti memberi kebaikan.

Tapi sastera kini macam mana? Moden? Berbeza bukan? Surah al-Baqarah ayat 42 dah jelas. AKu kira aku masih dalam proses belajar tetapi sekarang aku sedikit jelas dengan keadaan sasatera yang sudah sekular. Takkan sekular pun kau nak pandang positif?

Soalnya, memang negatif sudah ada. oleh itu wujud pesimis. Garis antara yang haq dan bathil dan jelas. Aku menolak kebebasan berkarya yang diamalkan oleh sesetengah penulis. Aku kira kau dah faham dengan konsep ikhtiyar bukan?

Jadi mesti ada perkara yang boleh beri manfaat dari luar dan kita perlu Islamisasikan.

Hanya Allah tahu segalanya.

ali atan berkata...

Petikan daripada buku Khalif Muammar itu, sebenarnya ialah faham yang pada akhlakiahnya benar dan boleh dituruti. Kita bukan memusuhi Barat apa yang kita perlu buat ialah menapisnya. Keunggulan ciptaan Barat sebagai tandaNya kpd kita yang bertauhid ini untuk menggunakan segala potensi akal fikiran dan digabungkan dengan potensi qalbu untuk mencipta dan mencipta. Sekadar sebuah khatimah.

Zarif Hassan berkata...

Memang kita tak pernah musuhi Barat. Permasalahan sebenar bukan permusuhan antara islam dan Barat, tetapi lebih pada keprihatinan pemikir-pemikir Muslim daam memastikan kemurnian agama islam dipertahankan.

Untuk emmeprtahankan kita menolak dan menapis semua dari Barat. Sebab tu aku masih bersetuju dengan pendekatan PB yang menganjurkan semua pengarang agar tidak menulis mengikut perkara yang tidak bagi manfaat pada masyarakat.