Sabtu, 26 Jun 2010

RENUNGAN DALAM MENITI PERJALANAN

Sejak di bangku sekolah menengah, saya agak rajin membaca cerpen dan novel. Pada waktu itu saya tiada berkecenderungan untuk membaca puisi. Yang kerap kali saya dengar puisi adalah puisi ciptaan Usman Awang, Guru O Guru, itu pun kerana setiap tahun di bacakan di pentas khalayak pada Hari Guru. Saya pernah juga membaca satu kumpulan puisi (saya terlupa siapa pengarangnya) dan saya tidak berminat kerana tidak faham akan apa yang cuba disampaikan. Mungkin kerana saya tidak mempunyai pemahaman yang kuat untuk menganalisis sesebuah karya puisi. Jadi saya lebih cenderung untuk memilih cerpen dan novel pada ketika itu.

Saya masih ingat kumpulan cerpen yang pertama saya baca ialah Doa Kerana Kebenaran, pengarangnya Burhanuddin CD. Dan novel pertama ialah Laungan Kebebasan, cerita berkisarkan tentang perjuangan Nelson Mandela. Kedua-duanya menarik minat saya untuk terus membaca karya sastera. Sejak itu, saya sering meminjam cerpen atau novel untuk bawa pulang ke rumah. Ada juga yang tak sempat dikembalikan kerana sudah rosak teruk akibat tertumpah kopi di atasnya. Hinggalah saya masuk ke universiti, saya masih terus meminati membaca karya sastera.

Saya bukanlah individu yang datang dari latar belakang sastera. Cuma saya meminati sastera. Saya juga tidak didedahkan dengan pembelajaran secara serius berkaitan sastera sewaktu di sekolah kecuali komsas. Apabila berpeluang masuk ke universiti, saya baru didedahkan dengan pembelajaran sastera yang lebih dalam. Barulah saya tahu bahawa sastera ini luas rupanya. Tiadalah hanya sekadar pada karya kreatif sahaja. Ada juga berbentuk serius seperti kritikan sastera. Di universiti juga saya mula menghadam karya kreatif berbentuk puisi dan pelbagai cabang yang lain. Saya mula seronok apatah lagi terdapat banyak bahan bacaan yang lebih luas di perpustakaan universiti.

Korpus bacaan yang terbuka luas membuatkan saya tertanya-tanya. Mengapa begitu banyak karya kreatif dihasilkan di merata dunia? Adakah menulis karya kreatif ini penting hingga menarik ramai individu untuk menulis karya kreatif? Saya sendiri tidak mampu menjawab pertanyaan sendiri. Saya berfikir mustahil saya mampu membaca semua karya kreatif dan menghabiskan hidup saya dengan membaca karya kreatif. Oleh itu saya mula bersifat selektif. Saya mula menyelak nama-nama besar sahaja. Saya mula membaca secara serius karya-karya mereka. Saya mula lihat ada sedikit "kekuatan" berbanding karya yang ada di jual di Petronas atau kedai-kedai buku biasa.

Walaupun terdapat "kekuatan" tetapi masih menimbulkan kekeliruan apabila saya membaca. Saya pernah ajukan kekeliruan saya kepada arwah Prof Othman Kelantan sewaktu mengajar saya tetapi jawapannya masih tidak memuaskan hati saya. Sejak itu saya mula mencari "pemikiran" tentang sesebuah karya. Saya mula menyelak kritikan terhadap karya sastera. Saya mula berminat dengan bidang kritikan sastera. Saya mula membaca lebih banyak tentang kritikan sastera. Dan saya terdedah dengan pelbagai teori yang kadang kala begitu payah untuk memahaminya.

Terdapat banyak gaya dan sudut pandang yang digunakan dalam mengkritik. Saya mula membuka jendela minda untuk belajar teori-teori yang digunapakai dalam bidang kritikan. Nyata perkara tersebut menuntut masa dan ketekunan yang dalam. Pada tahun kedua di universiti, saya berpeluang duduk di dalam kelas Dr. Zariat. Subjek yang saya ambil Teori dan Kritikan Sastera. Saya kira ini peluang saya untuk memahami disiplin kritikan sastera dengan lebih baik.

Sebelum masuk ke kelas Dr. Zariat, saya pernah membaca karya Prof Naquib Al-Attas yakni Islam dalam Sejarah dan kebudayaan Melayu. Saya agak pening membaca buku itu pada awalnya kerana gaya bahasanya lain daripada buku yang biasa saya baca. Oleh itu saya tidak habiskan pembacaan saya terhadap buku tersebut.

Dalam kelas Dr. Zariat, beliau sering menyebut nama Prof. Naquib. Saya kira mungkin Prof Naquib ini pasti hebat orangnya. Saya akui saya tiadalah mengakui autoriti Prof Naquib sebelum itu. Habis sahaja kelas, saya mula mendapatkan kembali buku Islam dalam Sejarah Kebudayaan Melayu. Rupanya buku itu memang mengandung pemikiran yang hebat sekali. Sejak itu, saya mula menjejaki karya Prof. Naquib dan mula membacanya hingga sekarang. Karya beliau Islam and Secularisme ternyata memberangsangkan. Jelas Prof Naquib memang seorang ilmuwan yang luar biasa. Syukurlah saya dipertemukan dengan bahan bacaan yang begitu. Sangat berfaedah dan menguntungkan saya dalam mencari kerangka faham yang utuh untuk meneruskan ranjau dalam kesusasteraan Melayu yang masih dalam penerokaan saya.

Saya agak mengkagumi cara Dr. Zariat memecah dan merungkaikan sesuatu permasalahan dengan kemas dan menyakinkan. Saya akui saya tertarik dengan kekemasan cara hujahannya. Saya berazam menuntut kekemasan cara berfikir begitu. Dari situlah saya mula belajar banyak perkara dengan lebih jelas dan teratur. Saya juga akui Dr. Zariat banyak membantu saya untuk memahami dunia sastera yang luas itu dengan menggenakan kerangka faham yang betul agar tiada ksilapan dalam pemahaman.

Saya juga mula kenal dengan Gagasan Persuratan Baru janaan Mohd Affandi Hassan. Saya cuba memahami PB dengan serius. Ternyata PB juga dijana Affandi dengan baik dan saya kira apa yang dianjurkan oleh beliau itu mahu membawa masyarakat kita kembali kepada tradisi Islam yang jauh sudah terpisah. Mahu menghidupkan kembali tradisi persuratan Islam. Saya mula membaca kritikan Prof. Ungku Maimunah dan Dr. Zariat dan membandingkan dengan kritikan yang lain. Nyata lebih bertenaga dan memberikan kejelasan dalam penghuraian. Saya mula berminat dengan cara penghuraian dan penjelasan mereka menulis kritikan.

Sepanjang pengalaman saya membaca karya kreatif, sememangnya banyak penulis tersangkut dengan ideologi yang tidak langsung membawa faedah malah ada yang menyesatkan akidah sama sekali!!! Saya kira saya sudah banyak membuang masa dengan membaca karya kreatif yang picisan selama ini. Baguslah juga saya mengambil pendirian untuk bersikap selektif. Jimat masa dan tenaga. Tiada terbuang dengan membaca novel yang tebal tetapi rupanya khayalan yang merugikan.

Kini saya mula faham akan adanya keretakan, rekahan dan ketempangan dunia sastera. Mungkin benar kata rakan saya, apa yang orang sastera boleh buat sekarang ini? Hidup dengan cerita angan-angan dan khayalan? Baca puisi sampai kering air liur untuk mangsa Palestin? Saya tiada termampu menjawab soalan saudara buat masa kini. Insha-Allah saya akan cuba buat sesuatu dalam dunia pendidikan sastera kelak. Mudah-mudahan renungan ini membawa saya ke jalan kejayaan yang tidak menyimpang dari kebenaran, keadilan dan kebaikan.

2 ulasan:

kak ila berkata...

asslamualaikum.
wah, hebat pemilihan bahan bacaan saudara. patut pun saudara memilih jeriji kasih utk dikaji. Tapi jgn kecewa jika JK tidak seperti yg digembar gemburkan. JK hanya percubaan akak dalam melunasi kerja penulisan khas utk remaja.

Zarif Hassan berkata...

Waalaikumsalam

Insha-Allah Kak, saya cuba mengkaji dengan seadilnya. Harap dapat berlapang dada dengan segala kritikan yang saya cuba lunasi.