Khamis, 6 Jun 2013

YANG CHETEK MERABA2

Andai direnung jauh hampir 40 tahun kebelakang, seorang jagoh sarjana Muslim yakni Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas, dalam syarahan pengukuhan jawatan Professornya di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1972 telah menyelar suatu golongan berbunyi begini :

“Golongan pujangga dan penulis yang mensifatkan dirinya mewakili sesuatu yang ‘baru’ dalam kesusasteraan Melayu-Indonesia sebenarnya terdiri dari orang2 yang tiada benar mendalami kefahaman mengenai sifat2 asasi kebudayaan Barat dan sifat2 asasi kebudayaan sendiri; orang2 yang dari segi kebudayaan mewakili masharakat perpiggiran atau marginal society, yang kedudukannya dalam kebudayaan tiada jelas tiada mendalam. Penganut2 golongan inipun mereka yang terkeliru, yang kebanyakkanya terdiri dari masharakat bandar, yang sungguhpun terpelajar sedikit chara Barat tetapi tiada benar2 menyerapi kebudayaan Barat itu, mahupun kebudayaan sendiri, dan dari itu nilai2 kebudayaan yang terbayang dalam kesusasteraan ‘baru’ ini sebenarnya nilai2 yang dinilai oleh mereka yang keliru yang tiada dapat membedakan yang benar dengan yang palsu... Jiwa 'baru' yang kononnya terbayang dalam kesusasteraan kita sekarang, pada pendapat saya ditinjau dari segi falsafah, tiada selaras dengan sifat persendirian bangsa dan kebudayaan kita yang berdasarkan kebudayaan Islam. Maka dari itu yang kononnya ‘baru’ inilah yang membahayakan, yang ‘baru’ inilah yang mengandung nilai2 bibit kekeliruan yang membawa kepada mewujudkan satu masharakat perpinggiran, yang tiada dapat menyelami jiwa ketimuran mahupun kebaratan; yang chetek meraba2…”[1]

Dalam lapangan kesusasteraan Melayu, Prof Al-Attas menyelar golongan baru ini lantaran chetek, keliru serta jahilnya mereka terhadap kebudayaan sendiri, apatah lagi tentang kebudayaan Barat yang jauh begitu asing. Sehingga ke hari ini, setakat yang saya tahu, belum pernah ada lagi penulis2 sastera yang menolak secara ilmiah terhadap kritikan Prof Al-Attas ini. Malah, yang bersetuju dan membenarkan kata2 Prof Al-Attas ini bukanlah sedikit jumlahnya. 

Saya agak tertarik dengan istilah "chetek meraba2" yang digunakan oleh Prof Al-Attas terhadap golongan tersebut. Istilah “ chetek meraba2” tersebut tepat dalam membayangkan hakikat secara maknawi golongan tersebut. Malah istilah tersebut berkait dengan sudut keilmuaan. 

Ilmu itu seringkali ditamthilkan sebagai cahaya yang menerangi kegelapan (kejahilan) dalam jiwa seseorang insan. Hal ini diterangkan oleh Imam Sa’d al-DÄ«n Mas’ud b. ‘Umar al-TaftazanÄ« yang menjelaskan bahawa “sifat yang dengannya perkara yang disebut itu menjadi nyata terang pada diri yang memilikinya” (al-’ilm…huwa sifah yatajalla biha al-madhkur li-man qamat hiya bihi). 

Menurut Mohd. Zaidi Ismail (2009), dalam tradisi keilmuan Islam, proses mengetahui yang merupakan suatu proses kemajuan diri insan bermula dari yang perkara-perkara yang sedia jelas diketahui, dan dengan bantuan serta panduan  tersebut, dia maju menuju ke arah lingkungan yang masih gelap, kabur, atau belum diketahui. 

Hal ini berbeza dengan soal golongan yang chetek meraba2. Chetek pada pemikiran itu sebenarnya ketiadaan upaya memahami sesuatu perkara bermula dari asal sehingga ke hujungnya. Kelemahan ini menjadikan seseorang tidak mampu menangkap sesuatu masalah dengan tepat dan jauh sekali mampu untuk menawarkan jalan penyelesaian apatah lagi untuk menyelesaikannya. 

Jika dilihat pula pada istilah 'meraba2',pada kebiasaannya, perlakuan tersebut merujuk kepada keadaan seseorang yang cuba mendapatkan sesuatu dalam keadaan yang samar, ragu, keliru. Ini kerana sesuatu perkara yang ingin dicapainya masih tidak diketahui dimana letak duduknya yang sebenar. 

Dalam hal yang lain, meraba2 juga boleh difahami melalui perbuatan seseorang yang berada didalam kegelapan. Gelap bukanlah keadaan yang membayangkan pada 'ruang' yang nyata tetapi juga pada soal abstrak seperti hati. Bukankah Allah SWT dalam Al-Quran berfirman : “bukan matamu yang buta, tetapi hati mu di dalam dada”.

Apa yang lebih jelas, golongan 'yang chetek meraba2' ini sebenarnya merujuk kepada golongan yang tiada mempunyai keupayaan akal yang cerdas dalam menanggapi sesuatu permasalahan; dan dengan itu akhirnya menjebakkan mereka ke ruang kegelapan yang jauh dari sinar keilmuan sehingga mereka terpaksa 'meraba2' mencari jalan keluar.Inilah yang cuba disedarkan oleh Prof Al-Attas terhadap golongan yang berlagak ‘baru’ tetapi sebenarnya hanya mengulangkembali sifat yang hampir 200 tahun dahulu telah ketara ada.

Oleh itu, tamthilan Prof Al-Attas ini bukanlah suatu tomahan yang kasar dan tidak berasas. Malah ia dirumus berdasarkan konteks keilmuan. Hujahan Prof Al-Attas ini sebenarnya suatu kritikan keras supaya kesedaran akan peri pentingnya tanggungjawab menegakkan rukun keilmuan Islam itu perlu ditegakkan dalam lapangan kesusasteraan Melayu. 

Penegasan Prof Al-Attas itu sungguh benar dan ia telah pun menjadi kenyataan. Malah, 'golongan baru' yang tiada tercherap akan kebudayaan Barat itu akhirnya bukanlah membantu membangunkan sastera Melayu menjadi lebih gemilang, malah mereka telah mengeruhkan keadaan sastera Melayu dengan kejahilan dan semangat bebal yang berpanjangan. 

Apa yang disimpulkan oleh Prof Al-Attas itu telah membuatkan banyak warga sastera terhiris dan terdiam seribu bahasa sambil kepalanya mengangguk2 membenarkannya. Dalam pengajian di peringkat tertinggi, hal ini terserlah nyata. Kebudayaan "chetek meraba2" telah pun diperpanjangkan kepada pelajar dan mereka menjadi mangsa kebodohan dan kejahilan 'golongan baru' yang begitu angkuh dan ego. Kenyataan A. Wahab Ali dibawah ini telah membenarkan apa yang dikatakan oleh Prof Al-Attas sejak dari dahulu lagi tentang 'golongan baru' ini.  

Di Barat, telah banyak timbul teori dan pendekatan baru dalam pengkajian kesusateraan. Di antara kami ada yang amat obses denagn perkembangan-perkembangan itu alalu dengan rakusnya menerapkan teori demi teori dan pendekatan demi pendekatan yang paling baru sehingga timbul anggapan bahawa tanpa teori dan pendekatan baru maka pengajian kesusasteraan moden itu tidak lagi bermakna. Masalah yang timbul bagi obsesi teori kesusasteraan Barat ialah ke mana hendak kita bawa pengajian kesusateraan Melayu moden kita? Ini dari segi falsafah. Barkaitan pula dengan itu dari segi pengajaran ke mana hendak kita bawa mahasiswa kita? Apakah kita hendak mengajarkan teori demi teori Barat dengan melupakan hakikat kesusasteraan kita? Masalah yang paling rumit lagi teori kesusasteraan itu banyak dan luas. Kita selalu amat obses dengan teori paling baru dan ingin mengajarkannya kepada mahasiswa. Di sini mahasiswa menjadi korban. Untuk mendapatkan ilmu mengenai teori yang terbaru, kita perlu mengajarkan teori-teori yang lama sebab yang baru itu ada kaitannya dengan yang lama. Jadi dengan teori yang banyak itu bagaimana hendak diajarkan kepada mahasiswa sedangkan masa dan jumlah mata kuliah yang diambil oleh mahasiswa terlalu terhad. Masalah lain lagi yang timbul ialah kerana terlalu mengajarkan teori mahasiswa dan mahaguru kehilangan penguasaan data sastera mutakhir. Mungkin juga mahasiswa hanya sempat membaca dua atau tiga buku satera Melayu. Masa selebihnya pula digunakanoleh mahasiswa untuk memahami teori baru itu yang semuanya berasaskan buku-buku sastera dari Barat. Yang paling menrungsingkan pula, dapat saya akui pemahaman teori-teori Barat itu pada setengah-setengah pesyarah kami bukanlah pemahaman yang mendalam secara total melainkan pemahaman secara 'tahi kambing terurai sebutir-butir lalu bermain dengannya.' Yang timbul dari keadaan itu ada diantara kami bermain dengan teori sesperit anak kecil leka bermain dengan butir-butir tahi kambing. Kesannya timbulllah sarjana yang bukan menulis karya ilmiah tetapi menulis karya kewartawanan dan separuh ilmiah yang bermain dengan teori. Mahasiswa yang lahir pula mahasiswa yang kebingungan dan impotent. Mereka tidak menguasai teori  (apa lagi buku-buku teori itu kebanyakannya dalam bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa Eropah yang lain) yang tidak pula menguasai data kesusasteraan Melayu moden itu sendiri.”

Kenyataan A. Wahab Ali ini jelas menyerlahkan kefahaman bahawa yang sedang dilakukan dalam sastera Melayu ini adalah suatu jenis penjenayahan untuk membodohkan anak muda Melayu yang naif. Inilah rupacita golongan baru yang tidak pernah belajar untuk menginsafi diri bahawa mereka sebenarnya tiada berpengetahuan mendalam tentang sastera Barat dan kemudiaannya berpura-pura tahu akan kebudayaan Barat. Hawa nafsu merajai mereka. Demi melangsungkan kedudukan dan kuasa mereka, mereka mula mengkritik sesiapa yang membawa cobaan untuk mengganggu-gugat kebodohan mereka. Ini sudah berlaku lebih lama dan contohnya boleh dilihat di sini. 

Dan akibatnya, golongan baru ini masih begitu banyak di sana sini. Bagi yang telah sedar, secara tidak langsung, tergalas dibahu mereka akan tanggungjawab serta ikhtiyar memperbaiki diri terlebih dahulu dan kemudiannya mengubah segala kemungkaran yang jelas di depan mata. Kesusasteraan Melayu perlu kembali dicerahkan. Malapnya, sudah lama dan begitu ramai yang masih hidup “chetek meraba2”!!!

Tiada ulasan: