Khamis, 28 November 2013

KOMSAS DALAM PENDIDIKAN BAHASA MELAYU

Dalam kerangka kurikulum kebangsaan, mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) diletakkan sebagai salah satu daripada mata pelajaran teras dan wajib bagi seluruh pelajar di peringkat sekolah rendah dan menengah. Pada tahun 2000, terdapat perubahan pada mata pelajaran BM dengan perlaksanaan Komponen Sastera (KOMSAS). Secara jelasnya, KOMSAS menjadi suatu unsur yang wajib dipelajari oleh semua pelajar lantaran ia di'sepadu'kan dalam mata pelajaran BM.

Walau pun hal ini sudah banyak dibahaskan, hal ini sebenarnya masih relevan untuk dibincangkan lantaran saya memikirkan ada kefahaman asas yang mudah untuk difahami tetapi telah disalahtanggapi oleh ramai pihak tentang peranan KOMSAS ini. 


Pelaksanaannya sememangnya membangkitkan pelbagai reaksi; ada yang bersetuju dan wujud juga pandangan yang menentang. Namun secara peribadi, saya sama sekali tidak bersetuju dengan kemasukan KOMSAS dalam mata pelajaran BM. Untuk memberikan hujah tentang pendirian saya, adalah lebih baik saya mulakan dengan beberapa pertanyaan penting. 


Apa itu KOMSAS? Dan perlukan ia di'sepadu'kan di dalam mata pelajaran BM?


KOMSAS sebenarnya merujuk kepada 'komponen sastera' yang berasal daripada perihal pembikinan cerita atau naratif. Secara mudahnya, komponen sastera merujuk kepada tema dan persoalan, watak dan perwatakan, plot, latar, sudut pandangan, gaya bahasa dan lain-lain lagi. 


Dalam konteks kesusasteraan per se, kesemua unsur ini merupakan unsur-unsur yang boleh difahami melalui kerangka pendekatan formalistik atau lebih dikenali sebagai pendekatan struktur penceritaan. 


Sebelum KOMSAS dizahirkan menjadi suatu unsur pembelajaran, pendekatan formalistik ini sebenarnya merupakan kerangka yang terlebih dahulu diaplikasikan sebagai kerangka pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran kesusasteraan Melayu Tingkatan IV dan V (KM). Oleh itu, perangkaan kurikulum KM sejak 1984 sehingga kini masih menggunapakai pendekatan formalistik ini sebagai kerangka asas dalam menjayakan kurikulum KM.


Jika diteliti sukatan pelajaran KM, pemberatan fokus hasil pembelajaran sememangnya menggunapakai aspek formalistik. Aspek formalistik di dalam kurikulum KM ditukarganti istilahnya dengan 'aspek sastera'. Malah, hampir keseluruhan hasil pembelajaran bertumpu kepada soal penganalisisan aspek sastera seperti tema, watak dan perwatakan, plot, latar, gaya bahasa dll terhadap teks-teks sastera seperti novel, cerpen, puisi, dan sebagainya.  


Dengan itu, dapat difahami bahawa KOMSAS yang ditawarkan itu sebenarnya merupakan intipati kepada kerangka kurikulum mata pelajaran KM.  


Timbul pertanyaan lain, mengapa mahu dibawakan pendekatan struktur@formalistik - yang sekian lama digunakan bagi mata pelajar KM - ke dalam mata pelajaran BM? Sedangkan mata pelajaran BM mempunyai matlamat, objektif dan kerangka kurikulumnya yang tersendiri.


Kita boleh menebak bahawa kemasukan KOMSAS ke dalam mata pelajaran BM dimungkinkan kerana pihak kerajaan berusaha untuk mendedahkan bahan sastera - seperti novel, cerpen, puisi dll - secara menyeluruh disemua peringkat bermula dari Tingkatan I hingga V. Selain itu, perlaksanaan KOMSAS ini juga dilihat mampu menggendurkan ketegangan desakan daripada pelbagai pihak yang mahu mata pelajaran KM diwartakan sebagai mata pelajaran wajib dalam kerangka kurikulum kebangsaan.


Namun, jangan terlupa bahawa apa pihak yang sememangnya mempunyai kepentingan untuk mengaut keuntungan melalui proses pemilihan teks. Ini kerana setiap teks yang terpilih menjanjikan jumlah pulangan wang yang lumayan ke kocek mereka dan penerbit!


Apa yang perlu dipertegaskan, perancangan untuk melaksanakan KOMSAS dilihat tidak membantu menyelesaikan masalah malah memberikan lebih banyak bebanan kepada guru dan pelajar.  

Dengan kemasukan KOMSAS dalam BM, maka secara tidak langsung, wujud dua kurikulum yang perlu dilaksanakan oleh para guru. Dalam masa yang sama, guru-guru BM perlu mengajar segenap aspek kebahasaan; dan guru BM juga terpaksa mengajar aspek formalistik. Dengan itu, proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran BM menjadi tidak berfokus dan tiada haluannya.


Hal ini menjadi lebih rumit lantaran wujudnya kekangan masa oleh para guru yang diperuntukkan masa yang nisbah tidak wajar dengan kurikulum yang terlalu luas. Selain itu, bebanan guru yang diluar kelas juga perlu diambil kira dalam hal-hal sebegini.  


Tambahan pula, bebanan terpikul dibahu para pelajar semakin bertambah lantaran mereka perlu membaca terlalu banyak sekali teks sastera. Bayangkanlah bagi seorang pelajar yang mengambil mata pelajaran BM dan mata pelajaran KM pada sewaktu tingkatan IV dan V perlu membaca sebanyak 4 buah novel, 29 cerpen, 11 drama, 58 sajak, 32 puisi tradisional dan 14 prosa tradisional. Bilangan ini belum ditambah dengan jumlah teks sastera dalam mata pelajaran bahasa Inggeris pula.


Akhirnya, untuk memudahkan cara mereka, guru dan pelajar tidak lagi membaca buku teks yang menjadi sumber primer malah hanya memusatkan perhatian kepada buku huraian dan panduan yang dijual dipasaran. 


Jadi, pada tahap ini adakah wajar KOMSAS di'sepadu'kan dalam mata pelajaran BM?

Jawapannya sudah pasti tidak. Saya kira pertimbangan memasukkan KOMSAS dalam BM adalah silap. Apa yang sebenarnya berlaku adalah kesilapan dalam menanggapi hal2 yang asas. 


Saya amat bersetuju dengan usaha pihak kerajaan untuk mendedahkan bahan bacaan sastera Melayu. Itu usaha yang baik. Akan tetapi teks yang perlu didedahkan juga perlu melepasi suatu 'kriteria khusus' demi menjaga kualitinya sejajar dengan matlamat pendidikan. 


Namun saya sama sekali tidak bersetuju apabila pendedahan itu merangkumi soal KOMSAS. Ini kerana teks sastera yang didedahkan kepada para pelajar sewajarnya berfungsi untuk memperkukuhkan kefahaman; memperkaya-luaskan perbendaharaan kata sebagai cara untuk menguasai bahasa Melayu dengan lebih baik dalam kalangan pelajar. 


Itulah tahap dan batas teks sastera itu digunakan. Jika kita memahami hal ini dengan jelas, maka kita akan sedar bahawa pendidikan bahasa Melayu makin dihimpit dan tidak diberikan ruang untuk didedahkan melalui pendidikan dengan sempurna. 

Dalam erti kata lain, kemasukkan KOMSAS yang sibuk diperjuangkan oleh so called 'pejuang sastera' ini sebenarnya sedang menghimpit dan merencatkan perkembangan dan kesempurnaan proses perlaksanaan pendidikan BM.

Jelas sekali KOMSAS ini membangkitkan permasalahan yang besar. Walaupun sudah diwajibkan, namun hal ini menuntut untuk difikirkan dan dinilai semula perlaksanaannya.


Dalam masa sibuk memperjuangkan bahasa dan sastera, akhirnya apa yang sedang dilakukan oleh mereka yang terlibat dengan proses ini sebenarnya menepati dengan pepatah Melayu yakni "seperti tikus membaiki labu"!!!


Fikirkanlah. 
 

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

thanks gan infonya !!!

www.bisnistiket.co.id