Rabu, 3 Jun 2009
KEKECEWAAN YANG MENIKAM MATA
Musim cuti persekolahan dah pun bermula. Jadi, selaku guru praktikal, saya tidak diminta untuk menyertai dan menggerakkan apa-apa aktiviti di sekolah. Alhamdulillah. Saya boleh menarik nafas panjang dan boleh menumpukan kepada beberapa perkara yang saya kira penting. dan yang paling bermakna, saya dapat melarikan diri daripada kesakitan, kepedihan dan kekecewaan yang terpaksa saya rasakan apabila melihat bahasa saya dipukul, dihenyak-henyak dan disisihkan sekali lagi di hadapan mata.
Tahniah kepada pihak pentadbir sekolah kerana menggiatkan usaha untuk menggunakan ruang dan kapasiti sekolah untuk menyuntik spritualitas dan ilmu pengetahuan melalui papan tanda. Itulah satu usaha yang baik dan perlu dilakukan. Melalui papan tanda juga proses tarbiyah berlaku secara senyap tanpa memerlukan proses pengajaran dan pembelajaran. Proses secara senyap inilah yang berbisa sebenarnya. Pelajar akan diindoktrinasikan secara halus melalui medium bahasa akan nilai-nilai dan ilmu tentang sesuatu perkara.
Namun, saya tidak tersangka. Saya berhadapan dengan kekecewaan sekali lagi. Sebelum masuk ke bilik guru, saya perlu melihat papan tanda baru siap dipasang yang sepatutnya tertulis dengan bahasa Melayu, namun sebaliknya berlaku. Jika bahasa Arab tidak mengapalah, bersesuaian dengan aliran sekolah tapi mengapa bahasa Inggeris menjadi pilihan. Mengapa tidak bahasa Melayu sebagai sokongan (terjemahan) kepada bahasa Arab itu sendiri? Pedih mata, hati, jiwa dan segalanya. Lebih-lebih lagi sebagai guru bahasa Melayu di sekolah. Hampir di setiap bangunan sekolah (tidak termasuk bahagian asrama) tergantung papan tanda seperti gambar diatas. Kasihan dan sedih sungguh melihat perkara tersebut.
Saya tertanya-tanya, atas alasan apa bahasa Inggeris lebih perlu digunapakai pada papan tanda tersebut? Apakah pihak pentadbir ini sudah tidak nampak kehebatan bahasa Melayu dalam membantu membangunkan intelektual pelajar? Apakah bahasa Melayu sudah tidak signifikan lagi dalam konteks pendidikan kini? Adakah bahasa Inggeris memang bahasa paling berkesan untuk mencerapkan pelajar dengan ilmu? Kalau ya jawapannya, mengapa dalam mesyuarat mengambil masa yang sangat lama untuk meneliti kelemahan pelajar dalam bidang bahasa Inggeris? Pelbagai persoalan timbul, dan saya ajukan kepada semua ketua panatia bahasa Melayu tentang perkara tersebut. Yang lebih memeranjatkan apabila dia sendiri tidak tahu tentang perkara tersebut dan hal ini telah menimbulkan kemarahan di hati para guru bahasa Melayu. Apa yang jelas, pihak pentadbir sekolah tidak mengambil kata sepakat dalam membuat sesuatu perkara yang boleh membawa kesan kepada bahas Melayu itu sendiri.
Ini tidak bermakna saya benci secara total kepada bahasa Inggeris, tetapi meminjam kata Dato' Baha Zain, "Bahasa Melayu dijunjung, bahasa inggeris dikendung". Mudah dan bermakna bukan pernyataan tersebut. Disinilah bermulanya kehancuran bahasa Melayu itu sendiri jika pihak pentadbir sekolah tidak mempunyai semangat cintakan bahasa Melayu. Apatah lagi mempunyai ketekalan dalam memperjuangkan dan memartabatkan bahasa ibunda itu sendiri. Itu baru sahaja soal papan tanda. Belum disentuh tentang pelbagai perkara lagi. Soal keterpinggiran ini sebenarnya sudah lama berlaku. Cuma berlaku secara evolusi.
Soal bahasa Melayu, bukan soal main-main. Ini soal pembangunan intelektual manusia dan ummah. Begitu juga tamadun. Sebab itu saya bersetuju jika PPSMI itu bukan sekadar soal remeh temeh, itu soal supra. Bukan supranasional tetapi supraglobal. Mengheret maruah dan nasib tamadun Melayu itu sendiri di mata dunia. Jadi, alam pendidikanlah sebagai lapangan pertama perlu dilihat dengan teliti. Jangan sampai hanyir sekularisme itu sampai dan menceroboh lalu mebunuh paradigma para pelajar tentang pentingnya bahasa dalam kehidupan sejagat.
Saya kira mungkin dengan bercakap dengan hemah dan sopan itu tidak lagi mendatangkan kesan. Mungkin perlu sedikit radikal. Jadi bagaimana ya? Perlukah memilih jalan untuk menjadi vandalisme? Ya. Mungkin itulah sebaiknya. Biarlah tergadai material lalu hancur dan rosak kerana ia boleh dibina dengan lebih maju lagi pada masa mendatang. Tetapi jika sekali tergadai bahasa, kesannya tidak tertebus dengan air mata berdarah sekalipun. Percayalah.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Ah, cukup malu sekolah agamapun masih tidak jelas tentang isu bahasa ini. Adakah mereka memandang belajar ilmu dalam bahasa apapun sama sahaja. Adakah mereka lupa dan alpa bagaimana barat menjalankan proses terjemahan besar-besaran ilmu ke bahasa mereka melalui beberapa peringkat yang kebanyakan ilmunya daripada Muslim sendiri. Adakah mereka memandang sepi dengan penerapan budaya dan pemikiran barat yang membebas dalam setiap ilmu. Tidak sedarkah mereka bahawa barat pasti telah mengikis nilai-nilai Islam itu sendiri dalam seluruh ilmu yang mereka terjemahkan. Tidak malukah mereka memijak bumi menjunjung langit di tanah air sendiri warisan bangsa dipandang sepi. Ternyata bangsa sendiri masih tidak yakin dengan bahasanya sendiri.....Ada baiknya mereka sekalian berpindah sahaja ke barat menetap di barat bertutur bahasa barat hidup seperti barat.
Catat Ulasan