Selasa, 27 Disember 2011

AHLI NUJUM - KHABAR SUFI


Telah sampai akan daku suatu perkhabaran akan kisah kelompok sufi yang memberi manfaat buat diriku, yakni perihal ahli nujum. Ku khabarkan semula kisahnya supaya menjadi teladan buat mereka yang mahu merenungfikir akan dirinya dan buat sekalian insan yang sering menggantung ketentuan nasib dirinya pada jangkaan orang yang bergelar hamba (ahli nujum), yakni gelaran yang terpakai buat dirinya jua. Beginilah kisahnya :

Dikhabarkan terdapat seorang ahli nujum yang handal menilik akan suatu perkara yang sering melibat nasib pada sekalian orang yang datang menemuinya. Suatu hari, masuk akan ahli nujum itu ke rumahnya dan terlihat akan dia seorang yang asing didalam rumahnya, seraya dia memarahi dan mencerca akan orang asing itu. Sementelah itu, timbullah persengketaan dan perkelahian yang besar diantara mereka yang tiada titiknya. Dengan tidak semena-mena, muncul seorang alim yang soleh yang melewati perkarangan rumah dan menyaksikan perkelahian yang besar itu. Lantas si alim berbicara : Bagaimana kau tahu akan apa yang terjadi pada ketentuan dan apa yang terencana di langit, sedang kau langsung tiada tahu akan siapa pun yang masuk hinggap ke dalam rumahmu!


Sekianlah kisah yang wajar diberi renungan, apakah bisa ahli nujum yang sering diletakkan percaya pada suatu perkara, yang mahu diyakini keputusannya, meletakkan soal yakin sebagai permulaan langkahnya dalam memberi kata jawab kepada si penanya? Berapakah pula daya sifat ahli nujum bersemayam dibalik jubah orang berpengetahuan, yang akhirnya memberi jawab pada sangka dan andai semata-mata zaman ini? Jawablah dengan manfaat ehsan Tuhan yang mengurniakan Kitab suci sebagai panduan dan ditimbang kena pada akal dan ikhtiyar; lanjutnya melayakkan doa sebagai senjata. Selebihnya kau pulangkanlah pergantungan kepada si Perencana Alam Agung yang tersembunyi sekalian rahsia yang tiada temui jawabnya biarpun dalam renungfikirmu berkali-kali.

Tiada ulasan: