Rabu, 28 Disember 2011

MURID DAN KEHENDAK


Berkehendaklah ku berbicara akan suatu perkara yang telah sampai pada fahamku akan pertelingkahan hingga membibit iri dan benci, yang jelas puncanya dari suatu ketidakserasian faham akan suatu perkara. Hal itu merujuk pada lingkaran faham bersabit istilah murid, pelajar dan mahasiswa.

Yang sering ditelingkah itu melibat akan sosok tubuh diri perseorangan yang menuntut ilmu atau mencari akan sesuatu pengetahuan dari diri perseorangan yang lain, yakni yang lebih ahli atau sedia dimaklumi sebagai Guru atau Mursyid. Sekian yang diamati, bahasan mengajak tumpu pada soal pemisahan ketara antara murid, pelajar dan mahasiswa; yang berasbab atas beberapa perkara seperti umur, tingkat daya faham, persekitaran suasana tempat menuntut ilmu. Maka dikatanya pula murid buat sekian kanak-kanak kecil; pelajar pula bagi yang sedang meningkat dewasa; mahasiswa merangkap penuntut di gerbang institut tinggi.


Itulah yang sering didendangkan maka tertanamlah akan faham pemisahan itu dan disebarkan serata mulut dan akal yang menerimanya sekian luasnya yang akhirnya hinggap jua ia ke pendengaran dan fahamku. Bukankah kita diajar tiada menerima sesuatu buta-buta tanpa kejelasan dan penerangan yang jelas dan benar sifatnya? Bukankah diajar jua berfikir, kalau bukan berkali-kali, biarlah sekali pun tiada mengapa. Lantas terfikir akan perkara itu, bertanyalah akan akal yang apakah ini terjadi dalam suasana silam, penuh gemilang tradisi ilmunya?


Sudah tersedia maklum, dalam tradisi Islam, diri perseorangan yang menuntut ilmu daripada seorang Guru diberi gelar murid. Tiadalah muncul perkiraan batas umur dan masa apatahlagi suasana sekitar tempat murid menuntut ilmu; selayaknya apa jua keadaan dan merata tempatnya ia tetap digelar murid. Tiada juga tertayang dalam tradisi Islam, akan pernah seorang kanak-kanak yang menuntut dengan seorang guru digelar murid dan pabila meningkat dewasa ia bergelar pelajar atau mahasiswa biarpun masih menekuni ilmu dari seorang Guru.


Maka sekarang ditanya, mengapa istilah murid dipakai sekian lama akhirnya ia diterangkan hanya kena pada kanak-kanak yang kecil dan mentah sifatnya? Ternyata budaya mengeratpisah sesuatu perkara, telah merasuk jauh ke dalam pangkal fikir hingga meriakkan kekabutan fikir dan kebingungan faham yang tiada boleh bersatu di titik akhirnya. Walhal, diri perseorangan itu tetap sama jua yang berbezanya kedalaman faham bergantung pada usaha dan kemampuan diri perseorangan murid itu jua; dan semuanya terbatas atas kurniaan Ilahi.


Jika dilihat dari akar kata, istilah murid berasal dari bahasa Arab yakni i-r-d atau irada, yang salah satu dari ma'nanya adalah kehendak atau keinginan. Sifat tabii insan itu melayakkan ia berkehendak atau berkeinginan akan suatu perkara mengikut cenderung peribadi. Keinginan insan ini boleh disebut tiada berbatas dan berkesudahan pada umumnya; pada khususnya keinginan perlu terhala menuturi panduan agama Mutlak Sempurna. Kadangkala keinginan yang besar, tiada pula seiring dengan qudrah atas kelemahan insan jua. Berbeza ia dengan Tuhan Alam Sarwajagat, Yang Maha Kuasa, yang iradah dan qudrah yang seiring, sehala, mutlak; sebagaimana termaklum benar akan faham Kebesaran Allah Azzawajalla; pabila Dia berkehendak atas sesuatu maka terjadi akan suatu itu; seperti mana akan faham yakin istilah Qun Fayaqun.


Seraya difahami akan istilah murid itu membawa maksud diri perseorangan yang berkehendak atau berkeinginan dipenuhi keazaman dalam mendapatkan sesuatu perkara dari seorang Guru atau Mursyid; yakni ilmu. Begitulah demikian daya didukung seorang murid yang datang menuntut ilmu yang akhirnya memberi insaf dan sedar yang berpanjangan akan dirinya sebagai abd (hamba) Allah dan dengan ilmu yang benarlah memulangkan semula segala kefahaman murid itu kepada segala sumber ilmu yang Mutlak yakni Tuhan Sekalian Alam Raya.


Tiadalah muncul akan musykil mengapa tradisi memberitahu betapa perih keadaan diri perseorangan murid itu pergi berkelana menempuh duga, berdepan nestapa semata menghadap tunduk pada yang ahli, yakni Guru yang berwibawa semata-mata kehendaknya yang tinggi dalam mencari sebutir ilmu. Betapa pula sampai akan khabar perihal adab murid berhadapan sang Guru; ikhlasnya tiada terperi; terkawal akan budi pekerti; daya tekun tinggi; dijauh pula akan cemar bagi syarat menjadi murid yang benar-benar sejati. Demikianlah singkat rupa peribadi murid dalam contoh tradisi yang benar-benar berkehendak akan ilmu dari sang Guru; yang ilmunya bermata rantai membibit kena pada Guru Agung Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam!


Maka jika seorang Guru melihat diri perseorangan murid sebagai seorang yang benar-benar berkehendak akan ilmu; ajarilah akan suatu yang bermanfaat -bukan manfaatnya ditafsir pada duniawi belaka - pada alam duniawi sewajarnya dan kelebihan diletak kena pada alam yang Mutlak sebagai tujuan ilmu itu tercipta. Janganlah dimatikan segera akan kehendak dan keazaman murid dengan kejahilan diri; janganlah dipasang jerat kekeliruan bagi yang berkehendak, nescaya terpadamlah segera daya kehendaknya kerana letih putus asa mencari yang pasti dan teguh yang sebenarnya ia sudah ada dihadapan mata; bawalah murid bersama ke puncak tertinggi sehingga tertangkaplah akan murid segala yang peri masalah dari pangkal hingga ke hujungnya. Maka terbayanglah akan faham Guru tiada dapat menyua sia-sia pada diri perseorangan murid yang mahu menuntut ilmu lalu ladeni murid sewajarnya mengikut adab seorang Guru.


Begitu hendaknya bicara singkat pada faham diri kerdil, supaya dapat memberi sedikit jelas akan pertelingkahan yang diamati, pada perkara yang dipisah-pisah, rupanya tiada membuah faham yang betul. Penyimpangan istilah ini kiranya menjebak akan faham pada pemisahan ketat yang tiada berkesudahan. Kiranya bicara penyimpangan istilah ini sudah tersedia maklum dalam salah satu hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam; dan pelbagai perbahasan ulama silam yang sering memberi ingat tentang penyimpangan istilah dari istilah yang tepat; supaya waspada akan kelompok tahrif al-ghaaliin yang merupakan antara perosak ilmu yang benar. Jikalau tiada tepat faham ini, sudilah ditegur akan diri dengan selayaknya sebagai seorang yang penuh daya ingin belajar dari kesalahan diri yang kerdil ini.

1 ulasan:

Zalisa Maz berkata...

Kenyataan saudara tentang ciplak di blog saya itu amat mengejutkan. Karya saudarakah yang diciplak itu? Mwngapa tidak hubungi penerbit atau editor akhbar tersebut?