Rabu, 21 Disember 2011

NASIHAT

Membaca Ayyuhal Walad karangan Imam Al-Ghazali sangat mendamaikan hati. Banyak mutiara nasihat yang boleh perolehi jika ditekuni dengan cermat. Betapa tulisannya ringkas, tetapi padat dengan kata-kata yang mampu menyegarkan semula rohani peribadi pembacanya.

Buku tersebut merupakan himpunan jawapan balas Imam Al-Ghazali terhadap soalan-soalan yang diajukan oleh seorang muridnya - yang sangat mencintainya - melalui sepucuk surat. Melalui jawapan Imam Al-Ghazali, kita mengerti ia bukan sekadar nasihat yang peribadi sifatnya yakni tertakluk kepada anak muridnya sahaja, malah ia menyeluruh dan katanya itu berdaya membekas di seluruh hati sesiapa sahaja yang menekuninya.

Salah satu nasihat yang benar-benar memukul saya saat Imam Al-Ghazali mengisahkan tentang sebuah hadith yang telah disaring oleh Imam As Syabili r.a. yang diujarnya terkandung segala ilmul awwalin (ilmu orang yang terdahulu) dan ilmul akhirin (ilmu segala orang yang kemudian). Imam As Syabili r.a. dikhabarkan telah berkhidmat kepada empat ratus orang guru dan membaca empat ribu buah hadith sebelum beliau memilih sebuah hadith daripada bilangan tersebut, dan benar-benar mengamalkannya. Diwasiatkan hadith tersebut oleh Rasulullah SAW kepada salah seorang sahabatnya; bermakna demikian :

Bekerjalah untuk duniamu sekadar mana engkau akan tinggal di dalamnya. Dan beramallah untuk akhiratmu sekadar mana engkau akan berada di sana. Dan beramallah kepada Allah sekadar mana engkau berhajat kepada-Nya. Dan buatlah sebarang amalan yang akan memasukkan engkau ke dalam api neraka sekadar mana engkau sabar menahan seksaannya.


Bagi diri yang kerdil ini, sesungguhnya hadith ini begitu membawa erti yang besar. Terencana keterangkuman menyeluruh dari perihal alam dunia membibit ke alam yang Akhir. Hati yang besar akan sedar kemampuannya, dan begitulah sebaliknya. Pilihan itu bergantung juga kepada ehsan dan rahmat Allah SWT. Pilihlah ikut keberdayaan peribadi, selayaknya dimana kita mahu usahakan dan ikhtiyarkan sebagai bekalan saat terbangkit dari mimpi, yang selepas itu barulah kita menemui realiti haqiqi.

Tiada ulasan: