I
Tempoh hari, saya menghadiri malam baca puisi sempena Palestin di rumah PENA. Seperti yang saya jangka, jemputan pastinya ramai. Sesampai disana, Tn. Hj. Sham meminta saya dan beberapa orang kawan membantu krew TV9 untuk menolak sebuah van yang terbenam tayarnya dalam becak. Saya sempat bertanya kepada Tn. Hj. Sham samada dia akan mendendangkan puisinya atau tidak. Dia menjawab "Saya tak baca. Ramai orang VIP baca malam ni". Saya menunggu juga puisi marah yang romantis dan puitis darinya. Selain Tn. Hj. Sham, saya tertunggu bacaan puisi panas dari saudara Khalid. Saya sememangnya menunggu bacaan darinya.
Entahlah mengapa saya benar-benar menunggu sajaknya malam itu. Yang pasti nada keras, lantang, protes dan berani itu benar-benar memikat hati ini. Mungkin juga kerana puisinya bersifat jujur hingga melangkah segala ketakutan dan ancaman dari mana-mana pihak. Itu yang membuat saya gemar mendengarnya membaca puisi. Tetapi apa yang lebih penting pada saya, apa yang perlu diteliti dengan baik-baik, dalam-dalam ialah tentang perkara pokok yang ingin disampaikan seorang penyair. Cuba amati fragmen puisi saudara Khalid malam itu :
Palestin,
aku lebih dulu terkubur dan dihilangkan
harga kedaulatan bangsa dan negara Melayuku
bukan Israel atau Yahudi seperti yang menjadi musuhmu
tapi oleh bangsaku sendiri
yang bertakhta dan berkuasa
membenarkan Melayu dihilangkan dan dilenyapkan
bersama Tanah Melayunya.
Arghhhhh.. Babi!
Nah, lihatlah bait puisinya. Terus tepat menikam dan memberi tumbukan padu ke hati Melayu sendiri. Terus-terang sekali. Soal bangsa, hak, bahasa dan tamadun disebatikan dalam puisinya. Inilah pernyataan yang berani. Syabas sudara Khalid. Mungkin babi haram untuk dimakan, tetapi barangkali enak juga dijamu dan dihidang dengan kata buat si durjana. Kadang kala saya terfikir, adakah saudara Khalid mempunyai keperibadian yang berani dan berterus-terang seperti kata-katanya dalam puisi. Saya tidak mengenali sudara Khalid dengan rapat. Tetapi saya pernah mendengar bicara daripada seorang rakan sastera, katanya jika mahu melihat keperibadian seorang penyair, lihatlah puisinya. Mungkin ada benarnya kata rakan saya itu.
II
Segelintir kenalan saya pernah berkata, orang sastera ini hanya hidup dengan bayang-bayang dan mimpi. Hanya bijak berbicara, mengatur buah kata, menyulam dan menukangi cerita yang imaginasi sifatnya. Lebih baik menjadi manusia sains yang telah menyumbang kepada teknologi dan pembangunan moden kini. Mungkin ada benarnya. Mungkin juga yang berkata itu tak punya mata. Terpulang pada kalian untuk melakukan andaian atau telahan. Namun, saya masih teringat sewaktu kuliah pertama saya dengan Prof. Ibrahim Salleh di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi sewaktu semester pertama dahulu. Dia pernah menyebut begini bunyinya "Dunia telah membuktikan bahawa hanya orang sastera yang layak memimpin dunia, orang sains hanya layak untuk bekerja". Benarkah? Sejauh mana kebenarannya? Tunggu dan lihat sahajalah. Hal ini semestinya akan memberi kesan terhadap perkembangan sosiobudaya masyarakat, sejarah dan tamadun Melayu itu sendiri selepas bahasa Melayu pada hari ini dilipat, dihimpit, disepakterajang, dilambung-lambung, dihenyak-henyak dan dipijak-pijak oleh bangsa sendiri. Buatlah tebakan atau telahan kalian sendiri tentang nasib sebuah ketamadunan bangsa MELAYU pada masa hadapan.
3 ulasan:
Khas buat anak didikku,
Ingatlah bahawa jalan yang kita pilih ini likunya tidak sama seperti liku-liku batu. Likunya adalah derita dan kecewa. Di depan kembara kita ada sungai yang airnya penuh tuba; ada jalan yang alurnya penuh duri berbisa; dan ada udara yang berbaur sengketa.
Seperti juga benua-benua yang lain, pejuang kepada bangsanya sering dianggap jumud, kolot dan tidak maju.
Telanlah semua itu meski pahit kerana di dalamnya ada kemanisan yang nikmat.
Salam dan selamat meneruskan perjuangan.
Salam... Teruna Zarif,
Ketika aku duduk dan menonton penuh asyik tapi sempat sms anda.. sebenarnya ada kekaguman luarbiasa kpd penyair ini.. dan selepas usai deklamasinya itu.. beliau ke bangku dekat denganku dan desisnya - huh.. panas.. panas... agak2nya bgmana kalau aku deklamasi begitu, mungkin juga mahu terbakar baju.. huhu
Salam perjuangan bahasa dan sastera.
Tuan Guru Sham,
Pesanan tuan ini kembali mengingatkan saya terhadap sepotong ayat al-Quran (al-Baqarah, 42) bermaksud "Dan janganlah kamu campuradukkan yang haqq dengan yang bathil dan jangan kamu sembunyikan yang haqq itu sedang kamu mengetahuinya."
Walaupun kepayahan dan keperitan menegakkan perkara yang haqq itu sememangnya sukar dan saya yakin kebenaran akan melewati batas perjuangan yang meletakkan haqq pada tempatnya. InsyAllah tuan guru.
Salam jejka Hasmora,
disebabkan saudara selalu berjaket, mungkin masih sempat menutupi tubuh badan dengan jaket walaupun baju di dalam dah hangus dan rentung!!!
hahahaha
Catat Ulasan