Sabtu, 6 Disember 2008

MENGENAL AKAN DIRI

Mengenal akan diri
seakan ada yang bersembunyi
dibalik sangkar jiwa dan rohku
aku keliru dengan kemahuan
aku terhimpit oleh keterpaksaan

Mengenal akan diri
seakan ada yang menyelimuti
pada dinginnya kelembutan
serta hangatnya kerakusan
membatu di puncak nafsuku

Mengenal akan diri
seakan ada yang membaluti
pegangan dan kehormatanku
hingga pudar citra rasa
yang memaknai erti pendirian

Mengenal akan diri
mengikat aku pada hakikat kepastian
kehidupan adalah bahtera perjuangan
menuju pengabdian


Zarif Hassan
Serdang
3.50 pagi

Khamis, 4 Disember 2008

SEPUCUK SURAT BUAT GURU

[Ku tulis dengan sepenuh hati sebagai suatu renungan akal, yang kadang-kala dibayangi penuh dengan perasaan]

Assalamualaikum wbt.

Salam sejahtera buat guruku, semoga senantiasa sihat atas kehendak-Nya. Sejuta penghargaan padamu, yang selalu mengajar saya tentang erti ketekunan, kesabaran, kegigihan, jujur, ikhlas dan berpegang kuat pada buhul agama dalam menjejaki dan meneroka keluasan makna ilmu. Namun, dalam perjalanan mencari erti dan nilai ilmu hakiki, terkadang saya tergelincir dan jatuh. Itu sememangnya lumrah, juga satu kepastian yang nyata. Kepastian yang sudah dijanjikan-Nya buat sekalian makhluk yang bernyawa. Setiap perjuangan pasti diselitkan dengan dugaan dan cabaran. Jika terkadang saya terlampau dalam melewati batas-batas perkara itu. Maaf saya pinta, keampunan saya harapkan.

Benar kata Hamka, ‘emas tak setara dengan loyang, sutera tak sebangsa dengan benang’. Begitulah tinggi rendah ukuran pengalaman dan kehebatan antara guru dan anak didiknya. Tidak akan pernah setara walau diukur dengan sekeping kertas yang meletakkan pangkat dan darjat. Apatah lagi jika mahu diukur dengan nilai sebuah ilmu. Jauhnya tak terjangka. Tiada terhitung taranya. Ilmu kami ini ibarat semangkuk air tawar yang dicurahkan ke dalam lautan yang mahaluas. Guru tempatnya di atas dan disanjung. Bukan kerana kehebatan berkata, bukan juga kerana bentuk paras rupanya, tapi kerana nilai ilmu yang tiada peri. Itulah hakikat yang perlu diakui tanpa perlu diragui.

Terima kasih wahai guru. Mengajar kami agar menyanjung ilmu. Ternyata kemarahanmu itu tanda kebodohan kami, keberanganmu tanda kebiadapan kami, dan kejengkelanmu itu tanda kami sudah hilang nilai jati diri. Tapak tangan yang kerdil ini saya luaskan, saya panjatkan doa kesyukuran pada Ilahi. Masih ada insan yang punya hati yang luhur dan ikhlas menegur dan membina saya agar sedar bahawa hati ini sudah jauh tidak terarah. Itulah erti ilmu yang sebenar dalam kehidupan nyata. Semoga guru senantiasa berada dalam lindungan keberkatan-Nya atas pengorbanan yang tidak pernah meminta pada secebis balasan dan ihsan.

Guruku, ilmu itu satu yang perlu ada pada tiap-tiap diri insan. Ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Jika ia jatuh ke tanah yang tandus, tumbuhlah ia kerana ilmu kerdurjanaan, kedustaan, dan penuh kepalsuan. Tetapi jika ia jatuh kepada tanah subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, kejujuran dan keterpujian. Saya pohon agar jangan dibiarkan ia jatuh ke tanah yang tandus. Biarlah ia subur dan mekar di tanah-tanah yang suci ini. Ajari dan berikanlah kami tentang ilmu yang haq dan pasti. Biar ia subur pada kemudian hari. Supaya anak bangsa terbela dan tidak tercela atas nilai-nilai ilmu itu nanti.

Guru, saya juga insan yang mengerti hati dan budi. Guru telah banyak bertanam budi pada hati anak-anak bangsa ini. Ucap apa lagi yang mampu kami beri. Kata apa lagi yang mampu kami kongsi atas kegembiraan ilmu yang tersemai pada dada dan kotak fikiran ini. Hanya ucapan terima kasih dan doa kami sahaja yang mampu mengiringi. Dan itu hanyalah sekecil penghargaan yang tidak terlawan dengan pemberian ilmu daripada seorang guru. Tidak pernah bisa melangkaui walau sekelumit ilmu yang dihamparkan buat saya dan rakan-rakan. Akhir kata, saya jika suatu tika dahulu, pernah tercalit barang sedikit kemarahan, kebencian, keberangan, kelukaan, kedukaan dan setara dengannya pada hati nuranimu, saya pohon agar diikat kesemuanya dan dibuang jauh-jauh dari hatimu agar keberkatan itu sentiasa erat mendampingi kami. Terima kasih atas segalanya guru. Doakan kami menemui sinar pada hari depan yang cerah seperti dijanjikan oleh-Nya. Insha-Allah.

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki,
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

Selasa, 25 November 2008

SECEBIS BICARA

Melihat kembali kepada akar kehidupan, secara fitrahnya manusia akan tidak akan dipisahkan daripada bidang keilmuan. Pencarian dan penerokaan ilmu dalam dunia sarwajagat memerlukan penelitian dan pemerhatian yang mendalam. Tuntutan menekuni sesuatu disiplin ilmu menjadi perkara yang utama dan pastinya tuntutan ilmu yang haqq (benar) perlu mendasari hati nurani setiap insan. Apa yang nyata, Islam sudah menyediakan garis-garis serta batas-batas dalam menuntut ilmu yang hakiki. Pemilihan mekanisme yang betul akan meletakkan kerangka pemikiran pada satu landasan yang tepat agar tidak terpesong dari jalan kebenaran.

Terjahan kepelbagaian bentuk ilmu yang kini bukan sahaja mampu mencengkam corak pemikiran masyarakat, malah mengubah sama sekali budaya dan gaya kehidupan seharian berkiblatkan kepada sesuatu bangsa atau negara lain. Transformasi keperibadian yang terbentuk hasil daripada alihan pemikiran yang diterima akan menghasilkan masyarakat atau bangsa yang pudar identiti dirinya. Hasilnya, lahirlah masyarakat yang mempunyai pelbagai jalur dan gaya pemikiran dan peribadi hingga tiada pegangan yang kompak dalam membangunkan tamadun bangsanya sendiri. Sedar atau tidak, ini semua bermula dengan pengetahuan yang dibina oleh segolongan pemikir yang tujuan asasnya hanya untuk merobohkan keperibadian sesuatu bangsa itu. Inilah perkara yang paling merugikan jika timbul kekeliruan dalam menanggapi sesuatu pemikiran dan idea.

Mungkin ada di antara kita sering buat bena tak bena dan kerap kali keliru tentang pengertian ilmu, yang nyata sekali membawa maksud yang tinggi nilainya dalam kehidupan. Kekeliruan yang timbul kerana penilaian bertumpukan kepada sumber dan asas yang dangkal. Hal ini boleh memesongkan pegangan seseorang itu terhadap sesuatu bidang ilmu itu sendiri. Terpanggil saya untuk berkongsi pengertian ilmu menurut pandangan Imam Ghazali dalam bukunya Pembebas Dari Kesesatan terjemahan Abdullah bin Nuh seperti yang dinyatakan berikut :

"Erti ilmu yang sesungguhnya itu ialah tersingkapnya sesuatu dengan jelas, sehingga tak ada lagi ruangan untuk ragu-ragu, tak mungkin salah atau keliru; tak ada di hati tempat untuk itu. Keamanan dari bahaya salah atau keliru harus diperkuat dengan keyakinan demikian rupa sehingga andaikata disangkal oleh seorang yang sakti, yang misalnya dapat merubah tongkat menjadi ular, namun demikian itu tak akan menimbulkan ragu-ragu sedikit pun juga terhadap keyakinan tadi. Apa yang diketahui bila tidak seperti di atas, dan apa pun yang aku yakini, bila tidak seyakin itu, maka yang demikian bukanlah ‘ilmu’ yang patut menjadi pegangan dan tidak ada rasa aman di dalamnya. Dan setiap ilmu tidak memberi rasa aman demikian, bukanlah ilmu yang yakin"

Lihatlah pengertian ilmu yang dikemukan oleh Imam Ghazali ini dengan mata hati, bukan dengan fikiran yang telah dinodai dengan titik hitam. Kadang kala saya juga tidak faham, mengapa begitu mudah untuk kita meletakkan sesuatu nilai ilmu atau menyamakannya dengan ilmu yang tidak selayaknya dipanggil ilmu. Itu suatu perbuatan yang langsung tidak sepatutnya berlaku dalam konteks kemajuan pemikiran pascamoden kini. Mungkin, inilah detik bermulanya era pembangunan masyarakat dan bangsa yang mula membunuh tamadun ilmu itu sendiri. Sungguh menyedihkan.

Bingkisan kata ini saya letakkan di meja belajar saya. Termenung saya memikirkan, bentuk ilmu yang bagaimana harus saya pilih buat bekalan di dunia dan di akhirat kelak? Keamanan dan keyakinan ilmu yang bagaimana saya perlu saya dampingi dalam menerokai erti kedewasaan? Adakah saya akan tersesat dalam hutan ilmu yang merimba? Saya yakin, inilah permulaan bagi setiap pengembaraan dan perjalanan dalam mencari erti ilmu sebenar. Pencarian yang ditemani dengan perjuangan berani pastinya akan membawa kepada sebuah kejayaan.

Dengan tenang saya buka lembaran kitab suci al-Quran, Allah berfirman dalam surah Ali-Imran, ayat 8 yang antara lain bermaksud:

"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau berikan petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engaku; kerana Engkaulah Maha Pemberi (kurnia)"

Aku senantiasa berharap lindungan dan keredhaan-Mu dalam perjalanan mencari diri. Lindungilah aku dari ilmu yang tidak bermanfaat dan hindarilah aku dari jalan kesesatan.