Andai direnung jauh hampir 40 tahun kebelakang, seorang jagoh
sarjana Muslim yakni Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas, dalam syarahan
pengukuhan jawatan Professornya di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun
1972 telah menyelar suatu golongan berbunyi begini :
“Golongan pujangga dan penulis yang mensifatkan dirinya mewakili
sesuatu yang ‘baru’ dalam kesusasteraan Melayu-Indonesia sebenarnya terdiri
dari orang2 yang tiada benar mendalami kefahaman mengenai sifat2 asasi
kebudayaan Barat dan sifat2 asasi kebudayaan sendiri; orang2 yang dari segi
kebudayaan mewakili masharakat perpiggiran atau marginal society, yang
kedudukannya dalam kebudayaan tiada jelas tiada mendalam. Penganut2 golongan
inipun mereka yang terkeliru, yang kebanyakkanya terdiri dari masharakat bandar,
yang sungguhpun terpelajar
sedikit chara Barat tetapi tiada benar2 menyerapi kebudayaan Barat itu,
mahupun kebudayaan sendiri, dan dari itu nilai2 kebudayaan yang terbayang dalam
kesusasteraan ‘baru’ ini sebenarnya nilai2 yang dinilai oleh mereka yang keliru yang tiada dapat
membedakan yang benar dengan yang palsu... Jiwa 'baru' yang kononnya
terbayang dalam kesusasteraan kita sekarang, pada pendapat saya ditinjau dari
segi falsafah, tiada selaras
dengan sifat persendirian bangsa dan kebudayaan kita yang berdasarkan
kebudayaan Islam. Maka dari itu yang kononnya ‘baru’ inilah yang
membahayakan, yang ‘baru’ inilah yang mengandung nilai2 bibit kekeliruan yang membawa kepada mewujudkan satu
masharakat perpinggiran, yang tiada dapat menyelami jiwa ketimuran mahupun
kebaratan; yang chetek meraba2…”[1]
Dalam lapangan kesusasteraan Melayu, Prof Al-Attas menyelar
golongan baru ini lantaran chetek, keliru serta jahilnya mereka terhadap
kebudayaan sendiri, apatah lagi tentang kebudayaan Barat yang jauh begitu asing. Sehingga
ke hari ini, setakat yang saya tahu, belum pernah ada lagi penulis2 sastera
yang menolak secara ilmiah terhadap kritikan Prof Al-Attas ini. Malah, yang
bersetuju dan membenarkan kata2 Prof Al-Attas ini bukanlah sedikit
jumlahnya.
Saya agak tertarik dengan istilah "chetek meraba2" yang digunakan oleh Prof Al-Attas terhadap golongan tersebut. Istilah “ chetek meraba2” tersebut tepat dalam membayangkan hakikat secara maknawi golongan tersebut. Malah istilah tersebut berkait dengan sudut keilmuaan.
Ilmu itu seringkali ditamthilkan sebagai cahaya yang menerangi kegelapan (kejahilan) dalam jiwa seseorang insan. Hal ini diterangkan oleh Imam Sa’d al-DÄ«n Mas’ud b. ‘Umar al-TaftazanÄ« yang menjelaskan bahawa “sifat yang dengannya perkara yang disebut itu menjadi nyata terang pada diri yang memilikinya” (al-’ilm…huwa sifah yatajalla biha al-madhkur li-man qamat hiya bihi).
Menurut Mohd. Zaidi Ismail (2009), dalam tradisi keilmuan Islam, proses mengetahui yang merupakan suatu proses kemajuan diri insan bermula dari yang perkara-perkara yang sedia jelas diketahui, dan dengan bantuan serta panduan tersebut, dia maju menuju ke arah lingkungan yang masih gelap, kabur, atau belum diketahui.
Hal ini berbeza dengan soal golongan yang chetek meraba2. Chetek pada pemikiran itu sebenarnya ketiadaan upaya memahami sesuatu perkara bermula dari asal sehingga ke hujungnya. Kelemahan ini menjadikan seseorang tidak mampu menangkap sesuatu masalah dengan tepat dan jauh sekali mampu untuk menawarkan jalan penyelesaian apatah lagi untuk menyelesaikannya.
Jika dilihat pula pada istilah 'meraba2',pada kebiasaannya, perlakuan tersebut merujuk kepada keadaan seseorang yang cuba mendapatkan sesuatu dalam keadaan yang samar, ragu, keliru. Ini kerana sesuatu perkara yang ingin dicapainya masih tidak diketahui dimana letak duduknya yang sebenar.
Dalam hal yang lain, meraba2 juga boleh difahami melalui perbuatan seseorang yang berada didalam kegelapan. Gelap bukanlah keadaan yang membayangkan pada 'ruang' yang nyata tetapi juga pada soal abstrak seperti hati. Bukankah Allah SWT dalam Al-Quran berfirman : “bukan matamu yang buta, tetapi hati mu di dalam dada”.
Apa yang lebih jelas, golongan 'yang chetek meraba2' ini sebenarnya merujuk kepada golongan yang tiada mempunyai keupayaan akal yang cerdas dalam menanggapi sesuatu permasalahan; dan dengan itu akhirnya menjebakkan mereka ke ruang kegelapan yang jauh dari sinar keilmuan sehingga mereka terpaksa 'meraba2' mencari jalan keluar.Inilah yang cuba disedarkan oleh Prof Al-Attas terhadap golongan yang berlagak ‘baru’ tetapi sebenarnya hanya mengulangkembali sifat yang hampir 200 tahun dahulu telah ketara ada.
Oleh itu, tamthilan Prof Al-Attas ini bukanlah suatu tomahan yang kasar dan tidak berasas. Malah ia dirumus berdasarkan konteks keilmuan. Hujahan Prof Al-Attas ini sebenarnya suatu kritikan keras supaya kesedaran akan peri pentingnya tanggungjawab menegakkan rukun keilmuan Islam itu perlu ditegakkan dalam lapangan kesusasteraan Melayu.
Penegasan Prof Al-Attas itu sungguh benar dan ia telah pun menjadi
kenyataan. Malah, 'golongan baru' yang tiada tercherap akan kebudayaan Barat
itu akhirnya bukanlah membantu membangunkan sastera Melayu menjadi lebih
gemilang, malah mereka telah mengeruhkan keadaan sastera Melayu dengan kejahilan
dan semangat bebal yang berpanjangan.
Apa yang disimpulkan oleh Prof Al-Attas itu telah membuatkan
banyak warga sastera terhiris dan terdiam seribu bahasa sambil kepalanya
mengangguk2 membenarkannya. Dalam pengajian di peringkat tertinggi, hal ini terserlah
nyata. Kebudayaan "chetek meraba2" telah pun diperpanjangkan kepada
pelajar dan mereka menjadi mangsa kebodohan dan kejahilan 'golongan baru' yang
begitu angkuh dan ego. Kenyataan A. Wahab Ali dibawah ini telah membenarkan apa
yang dikatakan oleh Prof Al-Attas sejak dari dahulu lagi tentang 'golongan
baru' ini.
“Di Barat, telah banyak timbul teori dan pendekatan baru dalam
pengkajian kesusateraan. Di antara kami ada yang amat obses denagn
perkembangan-perkembangan itu alalu dengan rakusnya menerapkan teori demi teori
dan pendekatan demi pendekatan yang paling baru sehingga timbul anggapan bahawa
tanpa teori dan pendekatan baru maka pengajian kesusasteraan moden itu tidak
lagi bermakna. Masalah yang timbul bagi obsesi teori kesusasteraan Barat ialah
ke mana hendak kita bawa pengajian kesusateraan Melayu moden kita? Ini dari
segi falsafah. Barkaitan pula dengan itu dari segi pengajaran ke mana hendak
kita bawa mahasiswa kita? Apakah kita hendak mengajarkan teori demi teori Barat
dengan melupakan hakikat kesusasteraan kita? Masalah yang paling rumit lagi
teori kesusasteraan itu banyak dan luas. Kita selalu amat obses dengan teori
paling baru dan ingin mengajarkannya kepada mahasiswa. Di sini mahasiswa
menjadi korban. Untuk mendapatkan ilmu mengenai teori yang terbaru, kita perlu
mengajarkan teori-teori yang lama sebab yang baru itu ada kaitannya dengan yang
lama. Jadi dengan teori yang banyak itu bagaimana hendak diajarkan kepada
mahasiswa sedangkan masa dan jumlah mata kuliah yang diambil oleh mahasiswa
terlalu terhad. Masalah lain lagi yang timbul ialah kerana terlalu mengajarkan
teori mahasiswa dan mahaguru kehilangan penguasaan data sastera mutakhir.
Mungkin juga mahasiswa hanya sempat membaca dua atau tiga buku satera Melayu.
Masa selebihnya pula digunakanoleh mahasiswa untuk memahami teori baru itu yang
semuanya berasaskan buku-buku sastera dari Barat. Yang paling menrungsingkan
pula, dapat saya akui pemahaman teori-teori Barat itu pada setengah-setengah
pesyarah kami bukanlah pemahaman yang mendalam secara total melainkan pemahaman
secara 'tahi kambing terurai sebutir-butir lalu bermain dengannya.' Yang timbul
dari keadaan itu ada diantara kami bermain dengan teori sesperit anak kecil
leka bermain dengan butir-butir tahi kambing. Kesannya timbulllah sarjana yang
bukan menulis karya ilmiah tetapi menulis karya kewartawanan dan separuh ilmiah
yang bermain dengan teori. Mahasiswa yang lahir pula mahasiswa yang kebingungan
dan impotent. Mereka tidak menguasai teori (apa lagi buku-buku teori itu
kebanyakannya dalam bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa Eropah yang lain) yang
tidak pula menguasai data kesusasteraan Melayu moden itu sendiri.”
Kenyataan A. Wahab Ali ini jelas menyerlahkan kefahaman bahawa yang sedang dilakukan dalam sastera Melayu ini adalah suatu jenis penjenayahan
untuk membodohkan anak muda Melayu yang naif. Inilah rupacita golongan baru
yang tidak pernah belajar untuk menginsafi diri bahawa mereka sebenarnya tiada
berpengetahuan mendalam tentang sastera Barat dan kemudiaannya berpura-pura
tahu akan kebudayaan Barat. Hawa nafsu merajai mereka. Demi melangsungkan
kedudukan dan kuasa mereka, mereka mula mengkritik sesiapa yang membawa cobaan
untuk mengganggu-gugat kebodohan mereka. Ini sudah berlaku lebih lama dan contohnya boleh dilihat di sini.
Dan akibatnya, golongan baru ini masih begitu banyak di sana sini.
Bagi yang telah sedar, secara tidak langsung, tergalas dibahu mereka akan
tanggungjawab serta ikhtiyar memperbaiki diri terlebih dahulu dan kemudiannya
mengubah segala kemungkaran yang jelas di depan mata. Kesusasteraan Melayu
perlu kembali dicerahkan. Malapnya, sudah lama dan begitu ramai yang masih
hidup “chetek meraba2”!!!