Pabila berhadapan dan berhubung dengan seseorang, tiada terlepas pula seseorang itu akan melakukan penilaian terhadap orang yang sedang dihadapinya. Penilaian tersebut pastinya sangat relatif bergantung kepada pandangan alam yang menjadi pegangan seseorang itu. Mungkin ada yang menilai orang lain hanya dari sudut luaran seperti cara pemakaian, fizikal, penampilannya; malah tiada terlepas seseorang menilai dari sudut keperibadian seperti ilmu, adab, perilaku dan sebagainya.
Perbahasan tentang penilaian ini seandainya dilanjutkan akan pergi ke sempadan wilayah yang lebih luas lagi. Apatah lagi apabila berhadapan dengan seseorang yang tidak dikenali. Namun, perkara pokok daripada setiap penilaian itu yang boleh disimpulkan ialah adakah penilaian yang dilakukan itu membantu kita untuk memperbaiki diri dan hubungan sesama manusia atau akhirnya mencampakkan kita ke jurang kehinaan - atas dasar sombong dan angkuh terhadap ketinggian diri jika dibandingkan dengan seseorang yang lain - atau sebaliknya.
Dalam hal ini, Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali r.a (m.1111), dalam kitabnya Bidayatul Hidayah, telah menunjukkan jalan bagaimana kita perlu membuat suatu rangka penilaian terhadap seseorang insan, yang akhirnya berupaya membantu kita menilai kembali jiwa peribadi dan menjadikan kita berupaya untuk menjauhi sikap ujub, riak, takabur, sombong dan angkuh, yang timbul akibat kealpaan.
Imam Al Ghazali menjelaskan :
"Dan sebaiknya hendaklah seseorang mengetahui bahawa orang yang sebenarnya baik itu ialah orang yang baik di sisi Allah dan masalah ini tidak ada siapa yang mengetahuinya kerana ia tertakluk kepada 'Khatimah' (akhirnya umur seseorang) maka i'tiqadmu di dalam dirimu bahawa engkau lebih baik daripada orang lain adalah berpunca daripada kejahilan semata-mata. Sepatutnya janganlah engkau melihat kepada seseorang kecuali engkau melihat bahawa ia adalah lebih baik di sisi Allah daripada engkau dan ia mempunyai beberapa kelebihan atas dirimu. Maka jikalau engkau melihat orang yang lebih muda daripadamu maka hendaklah engkau berkata (di dalam hati) "Budak ini belum pernah lagi membuat maksiat kepada Allah sedangkan aku sudah banyak berbuat maksiat maka tidak syak lagi bahawa ia lebih baik daripadaku". Dan apabila engkau melihat orang yang lebih tua daripadamu maka hendaklah engkau berkata : "Orang yang ini menyembah Allah lebih dahulu daripadaku, maka tidak syak lagi bahawa ia lebih baik daripadaku." Dan apabila engkau melihat orang yang alim maka hendaklah engkau berkata : "Orang alim ini telah dikurniakan dakan kepadanya bermacam-macam pemberian yang tidak dikurniakan kepadaku dan ia telah sampai ke martabat yang aku tidak sampai kepadanya dan ia mengetahui perkara yang tidak aku ketahui maka betapa aku sama dengannya." Dan apabila engkau melihat orang yang jahil maka hendaklah engkau berkata : '"Orang yang jahil ini berbuat maksiat akan Allah dengan kejahilannya tetapi aku mengerjakan maksiat beserta dengan ilmuku maka Allah akan berhujah ke atas diriku dan aku belum tahu lagi bagaimana aku akan mengakhiri kehidupanku ini." Dan apabila engkau melihat orang yang kafir maka hendaklah engkau berkata : "Aku belum tahu lagi boleh jadi nanti ia masuk Islam lalu ia mengakhiri hidupnya dengan 'husnul khatimah' (mati dalam keadaan yang baik atau beriman) dan dengan sebab dia masuk Islam ia telah keluar daripada dosa-dosanya seperti keluarnya sehelai rambut daripada bancuhan (adunan) roti sedangkan aku - wal iya zubillah (mudah-mudahan Allah memelihara kita) boleh jadi berubah menjadi sesat setelah mendapat petunjuk maka aku menjadi kafir dan kehidupanku akan diakhiri dengan 'su-ul khatimah' (mati dalam keadaan kafir) maka orang kafir ini pada hari kiamat nanti akan dikumpulkan bersama dengan orang-orang yang muqarrabin sedangkan aku akan diseksa di dalam api neraka." Nauzubillahi min zalik.
Begitulah mutiara nasihat Imam Al Ghazali yang sewajarnya menjadi panduan bagi seluruh umat dalam meladeni dan menilai orang perseorangan. Semoga kita mendapat manfaat dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian yang senantiasa mencabar dengan godaan nafsu yang jauh lebih besar daripada godaan syaitan!