Saya tertarik dengan jawaban balas rakan saya itu. Kita memahami
bahawa pusat membeli belah yang dibangunkan pemaju matlmatnya mencari
keuntungan. Untuk memaksimumkan keuntungan, pemaju perlu ada strategi yakni
menyediakan kemudahan prasarana yang terbaik disamping perkhidmatan yang
sedapat mungkin memenuhi kepuasan pelanggan agar pelanggan berasa selesa untuk
berbelanja seklaigus menarik lebih ramai lagi pelanggan. Ini bermakna soal
menyediakan ruang kebersihan peribadi (baca : tandas) perlu diutamakan dan seharusnya
ia percuma dan tiada dikenakan bayaran dalam menggunakannya. Ini bermakna ada
syarat untuk menggunakannya yang ditetapkan oleh sesuatu pihak.
Ya, syarat. Dalam konteks diatas, perkara yang perlu difahami
bahawa adanya prasyarat dan syarat itu sendiri. Prasyarat adalah bayaran
manakala syarat adalah garis panduan yang ditetapkan kepada pengguna dalam
menggunakan sesuatu perkara. Sebagai contoh lain, A mahu membeli telefon
genggam. Prasyarat bagi Ali untuk membeli telefon idamannya adalah dengan menyediakan
duit secukupnya sebagai bayaran kepada peniaga. Dan selepas memiliki telefon, A
perlu mematuhi syarat atau garis panduan penggunaan telefon berdasarkan
maklumat dalam buku manual pengguna yang dibekalkan. Itu bagi melayakkan Ali
tahu dan memahami bagaimana fungsi telefonnya itu.
Jadi, prasyarat adalah perkara yang penting dan perlu diutamakan.
Kemudian memenuhi syarat sebagai keberkesanan memahami sesuatu sistem itu.
Kedua-dua perkara ini bukan sahaja berlaku pada contoh di atas, malah ia berlaku
dalam semua perkara termasuklah soal pengetahuan, kefahaman dan ilmu. Semua
perkara itu sebenarnya mempunyai prasyarat dan syarat tersendiri yang perlu
dimaklumi batas dan had maknawinya.
Bagi mereka yang sering melepak di kedai kopi, barangkali mereka
pernah berbicara akan suatu subjek yang begitu asing dan tidak difahami.
Mungkin kita juga menghadapi perkara yang sama bila mendengar bicara rakan kita
tentang sesuatu topik/konsep/istilah yang begitu asing dan tidak pernah
didengari sebelum ini. Mungkin juga perkara itu baru bagi kita dan sukar untuk
difahami. Kadangkala kita cuba memahaminya tetapi masih juga tidak mampu.
Akhirnya kita terpaksa diam dan tidak mencampuri perbicaraan itu. Mengapa jadi
begitu?
Jawapannya ada
dalam soal prasyarat dan syarat itu sendiri. Tetapi prasyarat bagi memahami
bicara yang tidak difahami itu bukan dengan bayaran (baca : wang) tetapi dengan
adanya butir-butir maklumat dan kefahaman tentang sesuatu perkara. Sebagai
contoh, kita mengandaikan terdapat dua orang mekanik kereta yang arif lagi luas
pengalaman dalam pekerjaannya. Mekanik kereta (A) berbual tentang komponen
kereta dengan seorang mekanik kereta yang lain (B). Maka B tiada masalah untuk
memahami perbicaraan A kerana dia mempunyai maklumat berkenaan komponen kereta
itu juga. Maka perbualan itu tidak berlaku kesenjangan atau pertentangan. B
dapat memahami maklumat A dengan baik. Jika hadir seorang petani (C) yang
sememangnya tidak mengetahui tentang hukum hakam bidang automatif
ditengah-tengah perbicaraan mereka, maka C pastinya terpingga-pingga kerana
tidak mempunyai pengetahuan dan maklumat tentang subjek yang dibicarakan. Maka,
tak hairanlah jika C tidak akan berbual dan diam sahaja atau lebih berani dia
akan bertanya soalan kepada A dan B untuk memahami subjek perbicaraan mereka.
Waktu di sekolah
dahulu, antara cerita yang masyhur adalah kisah Isaac Newton dan buah epal. Cikgu saya memberitahu
tentang hukum graviti dengan mengaitkan kisah ini. Newton dikatakan sedar akan
adanya hukum graviti apabila sebiji epal jatuh ke atas kepala. Dari soal itu,
dia mengamati bahawa adanya tarikan graviti yang menarik epal untuk jatuh ke
bumi. Dari pemgamatannya dia membuat penyelidikan lanjut berkait dengan hukum
graviti.
Dalam peristiwa
itu, kita perlu bertanya beberapa persoalan. Adakah setiap buah epal yang jatuh
ke atas tubuh seseorang itu yang membangkitkan kesedaran? Adakah epal perkara
yang perlu diperhatikan? Kalau di Malaysia, jika Newton melepak di kebun
durian, barangkali Newton akan ditimpa durian dan Newton boleh mati! Jadi bukan
buah soal. Daya tarikan itu yang menjadi subjek penelitian Newton. Tetapi benarkah
daya jatuh epal itu sekonyong-konyong dengan mudah membuatkan Newton tahu akan
adanya hukum graviti? Kalau begitu, Newton bukanlah yang pertama tahu tentang
hukum graviti kerana sebelum Newton telah ramai pemetik epal yang pernah
ditimpa epal sewaktu di ladang epal!!! Tapi tiada seorang pun dalam ramainya
pemetik epal itu sedar akan adanya hukum graviti waktu epal jatuh ke atas
mereka. Mengapa Newton boleh sedar adanya graviti?
Prasyarat. Ya.
Prasayarat pengetahuan atau sering disebut prerequisite
knowledge. Yang pasti Newton sudah punya prasyarat pengetahuan atau
maklumat berkaitan tentang graviti. Maka sebab itu Newton boleh sampai kepada
bahawa adanya daya tarikan graviti pada epal itu. Hal ini tidak berlaku pada si
pemetik epal kerana mereka tidak mempunyai maklumat berkaitan graviti. Oleh
itu, keadaan itu tidak dapat dihubungjalinkan dengan konsep graviti. Newton
mampu melakukannya. Maka sebab itu prasyarat pengetahuan memerlukan kita
mempunyai - paling tidak pun sedikit - maklumat berkaitan sesuatu perkara agar
dapat digabungjalinkan untuk menimbulkan kefahaman. Para pemetik epal tadi
tidak ambil pusing tentang hukum graviti bukan kerana dia tak tahu konsep
bahawa epal akan jatuh ke bumi tetapi sebab ia tiada maklumat asas kepada
konsep graviti.