Rabu, 28 Disember 2011

MURID DAN KEHENDAK


Berkehendaklah ku berbicara akan suatu perkara yang telah sampai pada fahamku akan pertelingkahan hingga membibit iri dan benci, yang jelas puncanya dari suatu ketidakserasian faham akan suatu perkara. Hal itu merujuk pada lingkaran faham bersabit istilah murid, pelajar dan mahasiswa.

Yang sering ditelingkah itu melibat akan sosok tubuh diri perseorangan yang menuntut ilmu atau mencari akan sesuatu pengetahuan dari diri perseorangan yang lain, yakni yang lebih ahli atau sedia dimaklumi sebagai Guru atau Mursyid. Sekian yang diamati, bahasan mengajak tumpu pada soal pemisahan ketara antara murid, pelajar dan mahasiswa; yang berasbab atas beberapa perkara seperti umur, tingkat daya faham, persekitaran suasana tempat menuntut ilmu. Maka dikatanya pula murid buat sekian kanak-kanak kecil; pelajar pula bagi yang sedang meningkat dewasa; mahasiswa merangkap penuntut di gerbang institut tinggi.


Itulah yang sering didendangkan maka tertanamlah akan faham pemisahan itu dan disebarkan serata mulut dan akal yang menerimanya sekian luasnya yang akhirnya hinggap jua ia ke pendengaran dan fahamku. Bukankah kita diajar tiada menerima sesuatu buta-buta tanpa kejelasan dan penerangan yang jelas dan benar sifatnya? Bukankah diajar jua berfikir, kalau bukan berkali-kali, biarlah sekali pun tiada mengapa. Lantas terfikir akan perkara itu, bertanyalah akan akal yang apakah ini terjadi dalam suasana silam, penuh gemilang tradisi ilmunya?


Sudah tersedia maklum, dalam tradisi Islam, diri perseorangan yang menuntut ilmu daripada seorang Guru diberi gelar murid. Tiadalah muncul perkiraan batas umur dan masa apatahlagi suasana sekitar tempat murid menuntut ilmu; selayaknya apa jua keadaan dan merata tempatnya ia tetap digelar murid. Tiada juga tertayang dalam tradisi Islam, akan pernah seorang kanak-kanak yang menuntut dengan seorang guru digelar murid dan pabila meningkat dewasa ia bergelar pelajar atau mahasiswa biarpun masih menekuni ilmu dari seorang Guru.


Maka sekarang ditanya, mengapa istilah murid dipakai sekian lama akhirnya ia diterangkan hanya kena pada kanak-kanak yang kecil dan mentah sifatnya? Ternyata budaya mengeratpisah sesuatu perkara, telah merasuk jauh ke dalam pangkal fikir hingga meriakkan kekabutan fikir dan kebingungan faham yang tiada boleh bersatu di titik akhirnya. Walhal, diri perseorangan itu tetap sama jua yang berbezanya kedalaman faham bergantung pada usaha dan kemampuan diri perseorangan murid itu jua; dan semuanya terbatas atas kurniaan Ilahi.


Jika dilihat dari akar kata, istilah murid berasal dari bahasa Arab yakni i-r-d atau irada, yang salah satu dari ma'nanya adalah kehendak atau keinginan. Sifat tabii insan itu melayakkan ia berkehendak atau berkeinginan akan suatu perkara mengikut cenderung peribadi. Keinginan insan ini boleh disebut tiada berbatas dan berkesudahan pada umumnya; pada khususnya keinginan perlu terhala menuturi panduan agama Mutlak Sempurna. Kadangkala keinginan yang besar, tiada pula seiring dengan qudrah atas kelemahan insan jua. Berbeza ia dengan Tuhan Alam Sarwajagat, Yang Maha Kuasa, yang iradah dan qudrah yang seiring, sehala, mutlak; sebagaimana termaklum benar akan faham Kebesaran Allah Azzawajalla; pabila Dia berkehendak atas sesuatu maka terjadi akan suatu itu; seperti mana akan faham yakin istilah Qun Fayaqun.


Seraya difahami akan istilah murid itu membawa maksud diri perseorangan yang berkehendak atau berkeinginan dipenuhi keazaman dalam mendapatkan sesuatu perkara dari seorang Guru atau Mursyid; yakni ilmu. Begitulah demikian daya didukung seorang murid yang datang menuntut ilmu yang akhirnya memberi insaf dan sedar yang berpanjangan akan dirinya sebagai abd (hamba) Allah dan dengan ilmu yang benarlah memulangkan semula segala kefahaman murid itu kepada segala sumber ilmu yang Mutlak yakni Tuhan Sekalian Alam Raya.


Tiadalah muncul akan musykil mengapa tradisi memberitahu betapa perih keadaan diri perseorangan murid itu pergi berkelana menempuh duga, berdepan nestapa semata menghadap tunduk pada yang ahli, yakni Guru yang berwibawa semata-mata kehendaknya yang tinggi dalam mencari sebutir ilmu. Betapa pula sampai akan khabar perihal adab murid berhadapan sang Guru; ikhlasnya tiada terperi; terkawal akan budi pekerti; daya tekun tinggi; dijauh pula akan cemar bagi syarat menjadi murid yang benar-benar sejati. Demikianlah singkat rupa peribadi murid dalam contoh tradisi yang benar-benar berkehendak akan ilmu dari sang Guru; yang ilmunya bermata rantai membibit kena pada Guru Agung Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam!


Maka jika seorang Guru melihat diri perseorangan murid sebagai seorang yang benar-benar berkehendak akan ilmu; ajarilah akan suatu yang bermanfaat -bukan manfaatnya ditafsir pada duniawi belaka - pada alam duniawi sewajarnya dan kelebihan diletak kena pada alam yang Mutlak sebagai tujuan ilmu itu tercipta. Janganlah dimatikan segera akan kehendak dan keazaman murid dengan kejahilan diri; janganlah dipasang jerat kekeliruan bagi yang berkehendak, nescaya terpadamlah segera daya kehendaknya kerana letih putus asa mencari yang pasti dan teguh yang sebenarnya ia sudah ada dihadapan mata; bawalah murid bersama ke puncak tertinggi sehingga tertangkaplah akan murid segala yang peri masalah dari pangkal hingga ke hujungnya. Maka terbayanglah akan faham Guru tiada dapat menyua sia-sia pada diri perseorangan murid yang mahu menuntut ilmu lalu ladeni murid sewajarnya mengikut adab seorang Guru.


Begitu hendaknya bicara singkat pada faham diri kerdil, supaya dapat memberi sedikit jelas akan pertelingkahan yang diamati, pada perkara yang dipisah-pisah, rupanya tiada membuah faham yang betul. Penyimpangan istilah ini kiranya menjebak akan faham pada pemisahan ketat yang tiada berkesudahan. Kiranya bicara penyimpangan istilah ini sudah tersedia maklum dalam salah satu hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam; dan pelbagai perbahasan ulama silam yang sering memberi ingat tentang penyimpangan istilah dari istilah yang tepat; supaya waspada akan kelompok tahrif al-ghaaliin yang merupakan antara perosak ilmu yang benar. Jikalau tiada tepat faham ini, sudilah ditegur akan diri dengan selayaknya sebagai seorang yang penuh daya ingin belajar dari kesalahan diri yang kerdil ini.

Selasa, 27 Disember 2011

AHLI NUJUM - KHABAR SUFI


Telah sampai akan daku suatu perkhabaran akan kisah kelompok sufi yang memberi manfaat buat diriku, yakni perihal ahli nujum. Ku khabarkan semula kisahnya supaya menjadi teladan buat mereka yang mahu merenungfikir akan dirinya dan buat sekalian insan yang sering menggantung ketentuan nasib dirinya pada jangkaan orang yang bergelar hamba (ahli nujum), yakni gelaran yang terpakai buat dirinya jua. Beginilah kisahnya :

Dikhabarkan terdapat seorang ahli nujum yang handal menilik akan suatu perkara yang sering melibat nasib pada sekalian orang yang datang menemuinya. Suatu hari, masuk akan ahli nujum itu ke rumahnya dan terlihat akan dia seorang yang asing didalam rumahnya, seraya dia memarahi dan mencerca akan orang asing itu. Sementelah itu, timbullah persengketaan dan perkelahian yang besar diantara mereka yang tiada titiknya. Dengan tidak semena-mena, muncul seorang alim yang soleh yang melewati perkarangan rumah dan menyaksikan perkelahian yang besar itu. Lantas si alim berbicara : Bagaimana kau tahu akan apa yang terjadi pada ketentuan dan apa yang terencana di langit, sedang kau langsung tiada tahu akan siapa pun yang masuk hinggap ke dalam rumahmu!


Sekianlah kisah yang wajar diberi renungan, apakah bisa ahli nujum yang sering diletakkan percaya pada suatu perkara, yang mahu diyakini keputusannya, meletakkan soal yakin sebagai permulaan langkahnya dalam memberi kata jawab kepada si penanya? Berapakah pula daya sifat ahli nujum bersemayam dibalik jubah orang berpengetahuan, yang akhirnya memberi jawab pada sangka dan andai semata-mata zaman ini? Jawablah dengan manfaat ehsan Tuhan yang mengurniakan Kitab suci sebagai panduan dan ditimbang kena pada akal dan ikhtiyar; lanjutnya melayakkan doa sebagai senjata. Selebihnya kau pulangkanlah pergantungan kepada si Perencana Alam Agung yang tersembunyi sekalian rahsia yang tiada temui jawabnya biarpun dalam renungfikirmu berkali-kali.

Jumaat, 23 Disember 2011

MENGAPA TIDAK TERUS MINUM DARI KENDINYA?

Rencana ini dipetik daripada sumber ini.
________________________________________

Tertarik dengan satu risalah yang saya terima daripada seorang rakan. Risalah tersebut menceritakan sebuah kisah berkenaan pertemuan seorang pemuda yang mengaku bahawa dia adalah pengikut ajaran Salaf dengan seorang Kiyai @ Tuan Guru di sebuah pesantren di Indonesia.

Apa yang menarik tentang kisah ini ialah bagaimana sikap seorang guru ketika memberi didikan kepada seorang yang datang menempelak dan mencemuhnya. Sabar, setia mendengar setiap yang diluahkan dan pelbagai sikap yang baik yang patut diteladani oleh para pendakwah sekarang daripada Kiyai tersebut. Inilah manhaj sebenar Ahlussunnah Wal Jamaah . Tidak melenting malah memberikan peluang kepada mereka untuk berbicara.

Sikap pemuda yang mengaku mengikut ajaran Salaf ini juga patut diteladani dalam satu aspek iaitu mendengar kembali apa yang diterangkan oleh Kiyai tersebut dan mengakui bahawa dirinya ada melakukan kesalahan. Berbeza dengan sikap pemuda-pemuda sekarang yang mengaku bahawa mereka adalah pengikut ajaran Salaf , yang langsung tidak mahu menerima pandangan orang lain malah  menuduh bahawa para ulama sekarang banyak membawa Bid’ah dan sebagainya.

Benarlah kata para ulama  :
  

 Di sini saya akan mengolah semula cerita tersebut sebagai panduan kepada kita semua. Kisahnya begini :

Suatu hari, datang seorang pemuda ke sebuah Pesantren di Indonesia bertujuan untuk bertemu dengan Kiyai di Pesantren tersebut. Maka berlakulah dialog di antara pemuda dan Kiyai di ruang tamu rumah Kiyai itu.

Pak Kiyai : Silalah duduk anak muda, siapa namamu dan dari mana asalmu?

Pemuda : Terima kasih Pak Kiyai. Nama saya Abdullah dan saya berasal dari Kampung Seberang.

Pak Kiyai : Jauh kamu bertandang ke sini, sudah tentu kamu punya hajat yang sangat besar. Apa hajatnya mana tahu mungkin saya boleh menolongmu?

Pemuda tersebut diam sebentar sambil menarik nafasnya dalam-dalam.

Pemuda : Begini Pak Kiyai, saya datang ke sini, bertujuan ingin berbincang beberapa permasalahan dengan Pak Kiyai. Pendeknya, permasalahan umat Islam sekarang. Saya ingin bertanya, mengapa Kiyai-Kiyai di kebanyakan pesantren di Indonesia, dan Tuan-Tuan Guru di Malaysia serta Pattani dan Asia umumnya sering kali mengajar murid-murid mereka dengan lebih suka mengambil kalam-kalam atau pandangan para ulama? Seringkali saya mendengar mereka akan menyebut : “ Kata al-Imam al-Syafiee, kata al-Imam Ibn Ato’illah al-Sakandari, Kata al-Imam Syaikhul Islam Zakaria al-Ansori dan lain-lain”

Mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah ? Bukankah lebih enak kalau kita mendengar seseorang tersebut menyebutkan “ Firman Allah taala di dalam al-Quran, Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam di dalam hadis itu dan ini?”

Ulama-ulama itu juga punya kesalahan dan kekurangan. Maka mereka juga tidak lari daripada melakukan kesilapan. Maka sebaiknya kita mengambil terus daripada kalam al-Ma’sum iaitu al-Quran dan al-Sunnah.
Pak Kiyai mendengar segala hujah yang disampaikan oleh pemuda tersebut dengan penuh perhatian. Sedikitpun beliau tidak mencelah malah memberikan peluang bagi pemuda tersebut berbicara sepuas-puasnya. Sambil senyuman terukir di bibir Pak Kiyai, beliau bertanya kepada pemuda tersebut,

Pak Kiyai : Masih ada lagi apa yang ingin kamu persoalkan wahai Abdullah?

Pemuda : Setakat ini, itu sahaja yang ingin saya sampaikan Pak Kiyai.

Pak Kiyai : Sebelum berbicara lebih lanjut, eloknya kita minum dahulu ya. Tiga perkara yang sepatutnya disegerakan iaitu hidangan kepada tetamu , wanita yang dilamar oleh orang yang baik maka disegerakan perkahwinan mereka dan yang ketiga si mati maka perlu disegerakan urusan pengkebumiannya. Betul kan Abdullah?

Pemuda : Benar sekali Pak Kiyai .

Pak Kiyai lalu memanggil isterinya bagi menyediakan minuman pada mereka berdua. Maka beberapa detik selepas itu minuman pun sampai di hadapan mereka.

Pak Kiyai : Silakan minum Abdullah.

Sebaik dipelawa oleh Pak Kiyai, maka Abdullah pun terus mengambil bekas air tersebut lalu menuangkan perlahan-lahan ke dalam cawan yang tersedia.

Pak Kiyai terus bertanya : Abdullah, kenapa kamu tidak terus minum daripada bekasnya sahaja? Kenapa perlu dituang di dalam cawan?

Pemuda : Pak Kiyai, mana bisa saya minum terus daripada bekasnya. Bekasnya besar sekali. Maka saya tuang ke dalam cawan agar memudahkan saya meminumnya.

Pak Kiyai : Abdullah, itulah jawapan terhadap apa yang kamu persoalkan sebentar tadi. Mengapa kami tidak mengambil terus daripada al-Quran dan al-Sunnah? Ianya terlalu besar untuk kami terus minum daripadanya. Maka kami mengambil daripada apa yang telah dituang di dalam cawan para ulama. Maka ini memudahkan bagi kami untuk mengambil dan memanfaatkannya.

Benar kamu katakan bahawa mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah. Cuma persoalan kembali ingin saya lontarkan kepada kamu. Adakah kamu ingin mengatakan bahawa al-Imam al-Syafie dan para ulama yang kamu sebutkan tadi mengambil hukum selain daripada al-Quran dan al-sunnah? Adakah mereka mengambil daripada kitab Talmud atau Bible?

Pemuda : Sudah tentu mereka juga mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah.

Pak Kiyai : Kalau begitu, maka sumber pengambilan kita juga adalah daripada al-Quran dan al-Sunnah cuma dengan kefahaman daripada para ulama.

Pak Kiyai : Satu lagi gambaran yang ingin saya terangkan kepada kamu. Saya dan kamu membaca al-Quran, al-Imam al-Syafie juga membaca al-Quran bukan?

Pemuda : Sudah tentu Pak Kiyai.

Pak Kiyai : Baik, Kalau kita membaca sudah tentu kita ada memahami ayat-ayat di dalam al-Quran tersebut bukan? Al-Imam al-Syafie juga memahami ayat yang kita bacakan. Maka persoalannya , pemahaman siapa yang ingin didahulukan? Pemahaman saya dan kamu atau pemahaman al-Imam al-Syafie terhadap ayat tersebut?

Pemuda : Sudah tentu pemahaman al-Imam al-Syafie kerana beliau lebih memahami bahasa berbanding orang zaman sekarang.

Pak Kiyai : Nah, sekarang saya rasa kamu sudah jelas bukan? Hakikatnya kita semua mengambil daripada sumber yang satu iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Tiada seorang pun yang mengambil selain daripada keduanya. Cuma bezanya, kita mengambil daripada pemahaman terhadap al-Quran dan al-Sunnah tersebut daripada siapa? Sudah tentu kita akan mengambil daripada orang yang lebih dalam ilmu dan penaakulannya. Ini kerana mereka lebih wara’ dan berjaga-jaga ketika mengeluarkan ilmu.

Kamu tahu Abdullah, al-Imam al-Syafie radhiyallahu anhu pernah ditanya oleh seseorang ketikamana beliau sedang menaiki keldai , berapakah kaki keldai yang Imam tunggangi?

Maka al-Imam al-Syafie turun daripada keldai tersebut dan mengira kaki keldai tersebut. Selesai mengira kaki keldai berkenaan, barulah al-Imam menjawab : “ Kaki keldai yang aku tunggangi ada empat”. Orang yang bertanya tersebut merasa hairan lalu berkata “ Wahai Imam , bukankah kaki keldai itu sememangnya empat, mengapa engkau tidak terus menjawabnya?” al-Imam al-Syafiee menjawab : “ Aku bimbang, jika aku menjawabnya tanpa melihat terlebih dahulu, tiba-tiba Allah taala hilangkan salah satu daripada kakinya maka aku sudah dikira tidak amanah di dalam memberikan jawapan”

Cuba kamu perhatikan Abdullah, betapa wara’nya al-Imam al-Syafie ketika menjawab persoalan berkaitan dunia. Apatah lagi kalau berkaitan dengan agamanya?

Al-Imam Malik radhiyallahu anhu pernah didatangi oleh seorang pemuda di dalam majlisnya di Madinah al-Munawwarah. Pemuda tersebut mengatakan bahawa dia datang daripada negeri yang jauhnya 6 bulan perjalanan daripada Madinah. Pemuda itu datang untuk bertanyakan satu masalah yang berlaku di tempatnya.

Al-Imam Malik radhiyallahu anhu, mengatakan bahawa “Maaf, aku tidak pandai untuk menyelesaikannya”
Pemuda tersebut hairan dengan jawapan Imam Malik, dan dia bertanya : “Bagaimana aku akan menjawab nanti bilamana ditanya oleh penduduk tempatku?”

Maka kata al-Imam Malik : “Katakan kepada mereka bahawa Malik juga tidak mengetahui bagaimana untuk menyelesaikannya”

Allah... Cuba kamu lihat Abdullah betapa amanahnya mereka dengan ilmu. Berbeza dengan manusia zaman sekarang yang baru setahun jagung di dalam ilmu sudah mendabik dada mengaku bahawa seolah-olah mereka mengetahui segalanya.

Pemuda : MasyaAllah, terima kasih Pak Kiyai atas penjelasan yang sangat memuaskan. Saya memohon maaf atas kekasaran dan keterlanjuran bicara saya .

Pak Kiyai : Sama-sama Abdullah. Semoga kamu akan menjadi seorang yang akan membawa panji agama kelak dengan ajaran yang benar InsyaAllah.

Khamis, 22 Disember 2011

MADAH DAN NASIHAT ZA'BA


Maka berbicaralah akan Za'ba :

"Isi dan gaya bahasa yang didapati pada karangan-karangan ini saya sedari ialah isi dan gaya bahasa yang sudah lapuk dan basi pada ukuran "Pujangga-pujangga" Muda kita daripada angkatan baharu sekarang. Tetapi itu tidaklah menjadi hal kepada saya : kerana tiap-tiap sudah tua pengot tentulah tidak laku lagi kepada "Orang Muda" yang memang tabiatnya lekas terpesona oleh benda-benda yang baharu dan muda belia seperti dirinya pula. Walaupun begitu, ini ialah isi dan gaya kepunyaan saya, bukan meniru orang. Diharap mereka yang muda-muda ini akan bergiat mengadakan yang lebih baik lagi - yang tidak akan lapuk dan basi selama-lamanya walaupun apabila mereka sendiri telah tua dan sampai gilirannya mencapai taraf lapuk dan basi pula!

Bagaimanapun maka dengan segala sifat kekurangan dan kecacatan tulisan-tulisan ini mudah-mudahan akan ada juga guna dan faedahnya sebanyak sedikit didapati dari celah-celah lapuknya dan basinya itu, sekurang-kurangnya kepada mereka yang masih percaya akan pengajaran pantun :


Tikar pucuk tikar mengkuang
tempat menyembah Raja Melayu
ikan busuk jangan dibuang
buat perencah si daun kayu"

Rabu, 21 Disember 2011

NASIHAT

Membaca Ayyuhal Walad karangan Imam Al-Ghazali sangat mendamaikan hati. Banyak mutiara nasihat yang boleh perolehi jika ditekuni dengan cermat. Betapa tulisannya ringkas, tetapi padat dengan kata-kata yang mampu menyegarkan semula rohani peribadi pembacanya.

Buku tersebut merupakan himpunan jawapan balas Imam Al-Ghazali terhadap soalan-soalan yang diajukan oleh seorang muridnya - yang sangat mencintainya - melalui sepucuk surat. Melalui jawapan Imam Al-Ghazali, kita mengerti ia bukan sekadar nasihat yang peribadi sifatnya yakni tertakluk kepada anak muridnya sahaja, malah ia menyeluruh dan katanya itu berdaya membekas di seluruh hati sesiapa sahaja yang menekuninya.

Salah satu nasihat yang benar-benar memukul saya saat Imam Al-Ghazali mengisahkan tentang sebuah hadith yang telah disaring oleh Imam As Syabili r.a. yang diujarnya terkandung segala ilmul awwalin (ilmu orang yang terdahulu) dan ilmul akhirin (ilmu segala orang yang kemudian). Imam As Syabili r.a. dikhabarkan telah berkhidmat kepada empat ratus orang guru dan membaca empat ribu buah hadith sebelum beliau memilih sebuah hadith daripada bilangan tersebut, dan benar-benar mengamalkannya. Diwasiatkan hadith tersebut oleh Rasulullah SAW kepada salah seorang sahabatnya; bermakna demikian :

Bekerjalah untuk duniamu sekadar mana engkau akan tinggal di dalamnya. Dan beramallah untuk akhiratmu sekadar mana engkau akan berada di sana. Dan beramallah kepada Allah sekadar mana engkau berhajat kepada-Nya. Dan buatlah sebarang amalan yang akan memasukkan engkau ke dalam api neraka sekadar mana engkau sabar menahan seksaannya.


Bagi diri yang kerdil ini, sesungguhnya hadith ini begitu membawa erti yang besar. Terencana keterangkuman menyeluruh dari perihal alam dunia membibit ke alam yang Akhir. Hati yang besar akan sedar kemampuannya, dan begitulah sebaliknya. Pilihan itu bergantung juga kepada ehsan dan rahmat Allah SWT. Pilihlah ikut keberdayaan peribadi, selayaknya dimana kita mahu usahakan dan ikhtiyarkan sebagai bekalan saat terbangkit dari mimpi, yang selepas itu barulah kita menemui realiti haqiqi.