Heraclitus (504 S.M) percaya bahawa perubahan atau pengaliran sentiasa berlaku
dan ia merupakan ciri asas atau ciri asli alam ini. Pendapat Heraclitus ini
sebenarnya bergantung kepada soal pandangan zahir terhadap alam. Padanya, semua
perkara dan benda bergerak dan berubah dan tiada yang kekal. Tiada yang menetap
diam begitu sahaja.
Nyata pandangan Heraclitus bertentangan dengan pandangan Parmenides yang
menjelaskan bahawa ia langsung tidak percaya kepada apa yang dilihat melainkan
kepada kebenaran akal sahaja yakni rasionalisme. Ini kerana Parmenides
beranggapan perubahan sebenar tidak wujud dan tiada benda yang berubah menjadi
suatu benda yang lain.
Walaupun begitu, pandangan Heraclitus lebih diraikan kerana keadaan sekeliling
sememangnya berubah menuturi keadaannya asalinya. Secara hakikatnya, perubahan
merupakan gerak daya dalam sesuatu perkara yang menuju kepada suatu bentuk
konsep berdasarkan konteks yang ditanggapi. Soal perubahan lebih mendapat
tempat dalam pemerhatian dan dibahaskan dari pelbagai penjuru kefahaman
lebih-lebih lagi dalam konteks kemodenan kini. Tambahan pula ia diasosiasikan
dengan perihal kemajuan dan pembangunan yang seringkali melibatkan soal
material dan soal rohani juga tiada kurang juga dibicarakan.
Berbalik pada pandangan Heraclitus itu, Heraclitus telah sampai kepada idea
bahawa semua asas alam ini adalah perubahan dengan memerhatikan pengaliran air
di sungai. Akhirnya dari daya pemerhatiannya, Heraclitus mengungkapkan "it
is impossible to step twice into the same stream" atau "adalah
mustahil untuk memijak atau melangkah dua kali ke dalam sungai yang sama".
Dengan kata lain, jika seseorang memasukkan kakinya ke dalam sungai kali
pertama, dan kemudia mahu memasukkan kakinya buat kali kedua; maka celupan kedua
itu tidak sama dengan celupan pertama kerana air di dalam sungai sentiasa
mengalir dan mustahil celupan pertama akan mengenai pada air yang sama pada
celupan kedua. Maka sebab itulah Heraclitus menyatakan bahawa semua benda
berubah dan tiada yang menetap kekal.
Maka fahaman ini merasuk jauh ke dalam kalbu manusiawi. Semua perkara perlu
berubah dan terus bergerak. Maju dan terus maju. Jika berada di takuk lama atau
mengamalkan kaedah yang lama dianggap lapuk dan kolot. Dan fahaman ini bukanlah
hidup di tamadun Yunani malah berkembangluas dan kemudiannya dihidupkan kembali
oleh ahli falsafah lain seperti Epicurus, Thommas Hobbes, Hume, Jeremy Bentham
dan John Stuart Mill yang berkait rapat dengan soal keseronokan dan Hedonisme.
Dalam disiplin sastera juga, barah ini telah lama hinggap dan membunuh
kefahaman ramai pengarang dan sasterawan.
Soal pengaruh fahaman Heraclitus ini tiada perlu dinafikan tetapi persoalan
yang perlu ditanyakan adalah, benarkah fahaman itu benar? Adakah semua perkara
perlu diubah agar dilihat cocok dengan situasi semasa? Kalau diterima pakai
fahaman itu, maka soal rohani juga harus diubah setiap masa. Benarkah iman dan
iktiqad diri perseorangan Muslim harus diubah setiap masa agar sesuai dengan
konteks semasa? Mustahil kerana ia boleh mendatangkan kufur sama sekali dalam
pandangan alam Islam.
Seperti yang telah disentuh tadi, perubahan juga berkait rapat dengan soal
pembangunan. Prof Wan Mohd Nor Wan Daud telah menanggapi soal pembangunan ini
dengan kritis sekali. Dengan mendalami soal memahami perubahan yang membawa
kepada pembangunan, Prof Wan telah melihat dari sisi pertentangan ma'na
pembangunan itu sendiri iaitu kemunduran atau mundur. Dalam hal ini, Prof Wan
terus menyelar bahawa kemunduran itu bukanlah satu perkara yang negatif ataupun
tidak baik, malah ia kadangkala memberikan kebaikan. Sebagai contoh, beliau
menyatakan bahawa air pasang dan surut, kedua-duanya baik dalam keadaan
tertentu. Begitu juga dengan dalam peperangan dan acara sukan, mengundur itu
merupakan salah satu teknik , helah atau rancangan dalam menuju kemenangan.
Sebagai tambahan, jika kita dapat memerhati tumbuh-tumbuhan, apabila ia sudah
matang ia akan berhenti dari 'membangun' dan membesar. Begitulah keadaannya
bahawa setiap yang bertentangan dengan perubahan itu bukanlah suatu tidak baik.
Fahaman Heraclitus ternyata mentah dan dangkal sama sekali. Hanya dengan
memerhatikan sungai yang mengalir itu lalu mencetuskan fahaman perubahan itu
bukanlah suatu yang membanggakan. Ada banyak perkara yang perlu ditanya. Yang
paling asas, ke mana benda yang berubah dan mengalir itu hendak menuju? Apakah
matlamatnya? Apa yang perlu diubahnya? Harus juga ingat, perubahan akan membawa
bersama soal perubahan nilai dan fungsi jika tiada kena pada tempatnya. Dan
paling penting, jika perubahan mahu dilakukan, persoalan yang perlu ditanyakan,
adakah kita sudah menyiapakan diri dan bersedia untuk menghadapi perubahan
tersebut?
Perbahasan Heraclitus tentang perubahan bukanlah suatu yang konteks penghujahan
yang kukuh dan ia boleh dijawab dengan hujah yang lebih menyakinkan. Cuba kita
alihkan pandangan kepada awan dan bertanya, mengapa awan bergerak? Awan
bergerak sebenarnya disebabkan belakangnya terdapat tabir langit yang menetap.
Kalau tabir langir tidak menetap, maka kita tidak akan lihat awan itu bergerak.
Dua benda yang sama-sama bergerak tidak akan kelihatan. Contoh lain seperti
kereta bergerak. Kereta bergerak kerana jalanraya menetap dan tidak
berubah-ubah setiap masa. Sebab itu boleh kelihatan akan kereta itu bergerak.
Jika jalanraya bergerak dan berubah-ubah dan kereta bergerak, maka tiada
pergerakan yang jelas kita akan lihat.
Sama seperti sungai, sungai mengalir dan berubah kerana ada tebing yang
menetap. Ini bermakna kefahaman Heraclitus itu salah dan tidak betul.
Heraclitus hanya lihat sungai tanpa melihat konteks keseluruhannya. Dari satu
bahagian kecil ia membesarkan menjadi sesuatu yang besar. Dan kesalahan yang
paling besar adalah penerimaan idea perubahan Heraclitus yang kecil itu sebagai
suatu yang besar dan disanjung tinggi. Jelas sekali menjengkelkan.
Kefahaman perubahan Heraclitus ini berkembang dan mustahil ia tidak merasuk ke
dalam disiplin sastera. Peniruan konsep dan idea dari Barat bukanlah suatu yang
asing dalam konteks di Malaysia. Bukannya tidak boleh dicontohi apa yang baik,
tetapi daya penyaringan itu menjadi daya yang terpenting bukan sekadar
memborong sesuka rasa. Soal peniruan bukanlah suatu yang baharu dan persoalan
mimesis ini sudah ditimbulkan perbahasannya sejak Plato dan Aristotle lagi.
Seperti yang saya katakan dalam sastera juga fahaman ini diterima pakai oleh
sasterawan. Begitu banyak pengakuan yang boleh dilihat dari tulisan
autobiografi sasterawan sendiri dan telah hadir sekian banyak soal perubahan
nilai yang terlimpat dalam kandungan tulisan sasterawan negara.
Inilah golongan penjiplak yang menjadi penyambung tradisi Barat
yang telah banyak mengelirukan kefahaman kesusasteraan itu sendiri dengan
menyatakan perubahan itu sebagai suatu yang alamiah.
Tak perlu dideretkan pelbagai contoh. Yang paling jelas idea ini dapat dilihat dalam sajak A. Samad Said diberi tajuk Ombak. Sajaknya pendek dan berbunyi begini :
Ombak yang menjamah
kakiku
sekali
takkan
dapat
kukenali
lagi.
*Dipetik disini
Kalau Heraclitus menggunakan sungai , A. Samad Said menggunakan ombak. Jelas sekali peniruan ini diamalkan oleh A. Samad Said dan dengan yakin, beliau sendiri mengakui mempraktikkan konsep peniruan ini apabila beliau menyatakan bahawa "seseorang penulis terpaksa meminjam dan menyalin daripada kehidupan". Ombak sebagai simbol perubahan yang digunakan oleh Pak Samad itu jelas sekali membayangkan betapa dia juga menyanjung soal relativisme nilai yang boleh dilihat dalam karya yang masyhur iaitu Salina. Maka jika sesiapa yang membaca Salina akan mendapati perubahan nilai yang tidak menentu hala dan jika bolehlah dilihat pada laporan panel anugerah sastera yang menyatakan "Daripada segi inilah beliau membawa pembaharuan kerana beliau lebih suka membawa aliran-aliran Barat seperti realisme atau naturalisme (dan realisme baru kemudiaannya seperti dalam Langit Petang atau Daerah Zeni), dan mengisahkan segala peristiwa sebagai pemerhati yang terperinci, daripada sebagai moralist yang memberikan penilaian peribadinya terhadap watak-watak dan kisah-kisan mereka"
Jika diteliti sajak A. Samad Said itu, mungkin terdapat tanggapan lain yang menyatakan bahawa sesuatu peluang itu tidak akan muncul untuk kali kedua. Tetapi dari sudut perlambangan ada logiknya jika ditanyakan mengapa 'ombak'? Mengapa tidak istilah lain yang memberi kefahaman yang lebih sesuai dengan soal peluang atau sesuatu perkara yang bermanfaat boleh disimbolkan digunakan bagi memperlihatkan kefahaman sebegitu. Ombak sememangnya sering dikaitkan dengan keganasan. Dayanya jelas bertenaga menuturi fitrah alam sehingga mampu menenggelamkan dan memamah daratan yang luas.
Apa yang lebih jelas, kefahaman berkaitan sajak A. Samad Said ini sangat dekat dengan konsep yang direnungkan oleh Heraclitus. Jika ada pihak yang menyangka sajak itu ringkas dan padat makna, maka janganlah terus diperbodohkan dengan mainan kata kerana dari segi kandungannya ia telah dahulu diutarakan oleh Heraclitus. Sama ada ia kebetulan atau ia telah dijiplak, ia boleh ditanya sendiri kepada sasterawan tersebut dan dalam mengakhiri hal ini saya kemukan suatu pantun yang saya cuplik dari nukilan Prof Wan Mohd Nor Wan Daud :
Cupak dalam pemberasan
Letak
peti dalam perahu
Nampak
tiada terkesan
Dalam
hati siapa yang tahu
Wallahu'alam.