Rabu, 30 Disember 2009

PESANAN BUAT GURU

Tahniah buat rakan-rakan saya yang telah berjaya mendapat penempatan di sekolah sebagai guru. Mereka harus hadirkan rasa bersyukur dalam diri kerana mendapat nikmat yang dikurinakan Allah dalam perjalanan hidup yang sekejap ini. Buat rakan-rakan yang menjadi mangsa kepada sistem, janganlah dibuang terus keyakinan hidup. Banyak lagi perkara yang boleh dilakukan. Sekurang-kurangnya gagal ditempatkan itu juga nikmat dari-Nya. Hanya Allah sahaja yang tahu segalanya.

Seperti yang telah ditanzilkan oleh Allah SWT dalam surah al-Asr, dimana kita perlu berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran. Kebenaran haruslah menjadi tunjang kehidupan. Begitulah kepada insan yang bergelar guru atau pendidik. Apa yang dinyatakan oleh pendidik seharusnya benar dan tidak menimbulkan keraguan atau kekeliruan di dalam fikiran pelajar. Jika tidak dibahaskan dengan mendalam sesuatu perkara, maka perkara tersebut akan membeliti fikiran murid menjadi lingkaran yang sia-sia.

Dan pasti, apabila murid itu membesar kelak, dia akan sedar apa yang telah diajarkan oleh gurunya dahulu. Apabila dia merungkai dan menemui apa yang diajarkan kepadanya dahulu suatu yang sia-sia, maka dia akan mula sedar bahawa yang sia-sia itu datang daripada gurunya yang dihormati dahulu. Ketika itu, mungkin perasaan hormat akan mula mencair dan penyesalan yang tak terhingga timbul kerana gurunya bukanlah seorang guru sebenarnya.

Dalam buku Pro Wan Mohd Nor, Penjelasan Budaya Ilmu, saya melihat ada sesuatu yang harus dikongsikan bersama :

Aurangzeb (m. 1707 Masihi) memarahi bekas gurunya yang telah gagal mengajarkannya pada waktu kecil ilmu-ilmu yang berguna untuknya sebagai pemimpin. Aurangzeb adalah pimpinan besar terakhir Kerajaan Mughal di India yang kuat berpegang kepada ajaran agama, adil, dan banyak membuat perubahan yang membina. Oleh sebab kandungan kata-kata beliau kepada salah seorang gurunya yang tidak bertanggungjawab ini penting, maka penulis menterjemahkan sebanyak yang mungkin :

Apakah tidak menjadi kewajipan bagi guruku untuk mengajarku ciri-ciri penting setiap negara di dunia, kekayaan dan kekuatannya, kaedah peperangannya, akhlaknya, agamanya, corak kerajaannya serta arena kepentingannya; dan dengan pembacaan bahan sejarah secara berterusan guru (seharusnya) memberikan kefahaman kepadaku tentang sejarah negara-negara, kejayaannya dan kejatuhannya... Jauh daripada mengajarku sejarah manusia secara menyeluruh, aku tidak langsung mempelajari daripada mu tentang datuk nenekku dan pengasas penting kerajaan ini... serta kebolehan mereka sehingga berjaya menakluki jajahan luas...


... Ya kamu telah membuatkanku menghabiskan waktu memperlajari hipotesis dan sistem pemikiranmu (yang tidak berguna). ...Jika kamu telah mengajarku satu falsafah yang melatih akal untuk berfikir dengan baik, dan ,elatihnya tidak mahu rasa cukup kecuali dengan hujah yang jitu, jika kamu mengajar sesuatu yang boleh mempertingkatkan jiwa dan memperkuatnya dalam menghadapi arus kehidupan dengan sederhana; yakni tidak angkuh dalam kejayaan dan tidak hina dalam kegagalan; jika kamu mengajarku sifat manusia;membiasakan diriku dengan prinsip utama, dan memberikan kepadaku pemahaman yang tinggi dan menyeluruh tentang alam raya serta perjalanannya- jika ini falsafah yang kamu ajarkan kepadaku, aku seharusnya berhutang budi kepadamu lebih daripada Iskandar Zulkarnain berhutang budi kepada Aristotle...

Demikianlah kandungan kata Aurangzeb yang melahirkan kekecewaan terhadap gurunya yang hanya membazirkan masanya dengan perkara tidak mendatangkan ma'na dalam hidupnya. Bagaimana Aurangzeb telah mempertikaikan apa yang telah dilakukan oleh guru-gurunya yang terdahulu. Saya percaya pertikaian ini timbul kerana kesedaran dalam dirinya bahawa gurunya tidak mengajar tentang ilmu yang sewajarnya malah lebih menerapkan sistem pemikiran yang keliru. Lihatlah juga bagaimana Aurangzeb seperti dalam keadaan yang dahagakan ilmu. Beliau sangat menyanjung ilmu dan kekuatan akal yang boleh membentuk jiwa dalam melawan arus kehidupan.

Kisah ini seharusnya dijadikan pengajaran kepada insan yang bergelar atau memilih untuk menjadi guru. Jangan biarkan anak murid hanya berasa kecewa dengan apa yang telah mereka pelajari. Hanya dengan pendidikan yang bermutu sahaja akan membimbing mereka ke arah yang benar. Dengan kebenaran sahaja pelajar akan mempelajari sesutu perkara ke arah kesempurnaan.

Ini bukanlah bermakna bahawa pendidikan agama sahaja yang harus ditekankan kepada pelajar hingga mengabaikan disiplin ilmu yang lain untuk mencapai kebenaran. Tetapi hal agama menjadi tunjang utama dan disiplin ilmu yang lain menjadi rantingan kepada agama itu sendiri. Saya kira semua guru harus tahu bahawa tanggungjawab mereka bukanlah mudah kerana setiap apa yang diajarkan kepada anak murid itu memberi kesan yang mendalam. Jika racun yang diberi, maka matilah anak murid itu serta-merta, tetapi jika madu yang dikongsikan, anak murid akan menikmati kemanisannya sepanjang hidup.

Saya juga masih di dalam proses belajar. Saya juga sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar diberikan laluan untuk menuju jalan pencarian ilmu yang benar. Apabila membaca kandungan kata Aurangzeb itu, maka saya mulai sedar bahawa saya juga seharusnya memperbaiki diri saya agar tidak menjadi pendidik yang hanya akan bergelumang dengan kutukan anak murid akibat daripada kejahilan saya sendiri. Setiap insan WAJIB membebaskan diri daripada ikatan kejahilan!

Saya juga sangat berharap agar guru-guru saya kini tidak lagi menerapkan fahaman yang keliru, dangkal, pincang, tidak berma'na dan langsung tidak membantu meningkat daya kefahaman yang lebih tinggi tentang kehidupan yang bersandar kepada Islam. Jika itu yang berlaku, Saya tidak teragak-agak memilih untuk bermufarakah dengan guru saya dan mencari kebenaran pada guru yang lebih faham dan jelas tentang erti kehidupan ini. Saya berpegang bahawa jika saya punya anggota yang telah terkena barah, lebih baik dipotong sahaja daripada biarkan barah itu meresapi dan merebak ke seluruh anggota badan.

Saya bukan bodoh sombong. Saya bukan angkuh. Saya menganggap bahawa pendidik bagaikan cahaya. Dia akan menerangi kegelapan anak muridnya. Tetapi jika dia sendiri gelap dan tidak tahu bagaimana mahu mendapatkan cahaya, untuk apa lagi membiarkan diri saya dalam gelap. Oleh itu guru harus tahu dimana kewajiban yang dia perlu ada. Apa yang perlu diterapkan dan apa yang tidak perlu diterapkan. Tidaklah bermakna semua guru itu sentiasa benar. Dan tidak bermakna juga guru itu sentiasa salah. Tetapi perkara yang harus diingat ialah anak-anak murid bukan bodoh dan mereka boleh menilai dua perkara yang sangat berbeza, iaitu betul dan benar.

Wassalam.

Isnin, 28 Disember 2009

ILMU : SUATU INGATAN

Seorang yang menyanjung ilmu tidak akan berlaku biadap dan kurang ajar samada sebelum, semasa atau mendalami sesuatu bidang ilmu itu sendiri. Jika dia memilih untuk menjadikan bidang ilmu sebagai medan kekayaan duniawi atau kemegahan peribadi, janganlah diteruskan hasrat itu kerana perbuatan itu sia-sia malah membawa kerosakan pada waktu mendatang. Percayalah.

Saya kira saya perlu berkongsi tentang sesuatu ingatan yang sangat terkesan pada peribadi saya dengan apa yang diingatkan oleh Ibn Hazm :

Menuntut ilmu dengan tujuan mengumpul harta adalah cita-cita yang sangat sempit kerana harta dapat diperoleh dengan lebih mudah dan cepat daripada (memperolehnya) melalui peningkatan ilmu, iaitu dengan menyertai orang orang yang berkuasa atau dengan melibatkan diri dalam urusan hartanah atau perniagaan. Malah, seorang yang jahil lebih berjaya dalam urusan tersebut berbanding dengan seorang ilmuwan. Jika inilah keadaannya, menuntut ilmu untuk mendapatkan kekayaan adalah rumit dan berbahaya kerana si penuntut akan menambah dua keaiban besar : pertama dia telah meninggalkan jalan yang lebih dekat dengan memilih jalan yang lebih berduri yang melibatkan usaha lebih dan kurang manfaatnya (untuk tujuannya); kedua dia telah menggunakan perkara tertinggi (iaitu ilmu, penulis) yang membezakannya daripada reptilia dan haiwan bagi memperoleh batu-batu yang dia tidak tahu bila batu-batu ini akan meninggalkannya dan sebaliknya....Manfaat menuntut ilmu untuk kegunaan duniawi hanya sedikit, dan pada keseluruhannya, mempunyai keuntungan kecil... Hakikatnya, seseorang yang memperoleh ilmu yang tinggi dan memperalatkannya untuk kekayaan dan tidak untuk tujuan sebenarnya akan mengalami penyakit (kerohanian) yang tidak berubat, keburukan sepenuhnya dan kerugian yang menghancurkan.

Ringkas dan mudah memahaminya apa yang cuba disampaikan oleh Ibn Hazm kecuali bagi mereka yang sudah buta mata hatinya. Ingatan sedemikian rupa sangat penting bagi mereka yang menganggap dunia ilmu ini sebagai landasan kekayaan kecuali bagi mereka yang mahu memenuhi dirinya dengan kekayaan rohani dan mahu menikmati kemaduan ilmu sejati.

Oleh itu, saya kira kita perlu mendukung ilmu sebagai suatu kegiatan yang tidak dicemari dengan nafsu dunia dan kebinatangan. Dukunglah ilmu yang berma'na, bukan sekadar sementara sifatnya.

Jika engkau dapati kebenaran itu berpecah dua atau seterusnya, maka selidikilah dengan cermat serta teliti dan percayalah bahawa dimana berdirinya kebenaran, kepalsuan tumbuh disebelahnya.

Ahad, 27 Disember 2009

DUA PENGEMBARA DAN PENGUTIP SAMPAH

Alkisah, terdapat dua orang pengembara yang membanting usaha untuk ke dunia Barat demi mahu keluar dari kelompok manusia yang tertutup mindanya di kampungnya yang jauh terpencil. Tujuannya tiadalah berbeza. Mengembara melihat dunia luar dan mencari sesuatu yang baru dalam kehidupan sebagai bekal bagi mengharungi masa depan. Mereka meninggalkan janji untuk mengubah fikiran masing-masing ke arah yang lebih baik sebelum berangkat.

Tiadalah tersangka oleh mereka bahawa dunia Barat sememangnya menjanjikan sesuatu yang di luar dugaan mereka. Pelbagai perkara datang dan pergi. Mereka diuji dengan dugaan yang maha dahsyat. Kelekaan terhadap duniawi. Kealpaan yang pada akar umbi. Soal pujuk rayu yang menggugahkan jiwa. Kelicikan manusia dengan penuh daya helah. Kerakusan kuasa menindas dan sebagainya.

Pengembara I menyatakan dia sangat seronok dengan pengalaman hidup begitu. Dia belajar banyak perkara menerusi pengalamannya. Pengalaman yang begitulah dikatakan kehidupan yang sebenarnya. Melalui pengalaman itulah dia menyatakan dia memperolehi ilmu. Lalu dia menulis sesuatu sebagai perkongsian kepada khalayak. Segala pengalaman perit yang dialaminya dijadikan sebagai rempah utama dalam menghasilkan tulisannya. Maka terhasillah, tulisan yang menjadi bacaan khalayak.

Dia sedar masyarakat di sekelilingnya sudah dicandui oleh budaya hedonisme. Jika terlalu didaktik maka dia tidak akan dapat memancing minat masyarakat untuk membaca tulisannya. Oleh itu dia memilih untuk mengajar sambil berhibur. Itu cara yang difikirnya layak untuk masyarakatnya.

Berbeza dengan pengembara II, dia merasakan apa yang dialaminya bersama dengan pengembara I itu sebagai kekeliruan yang hadir dalam kalangan masyarakat Barat. Lalu dia tidak akan mudah menerima apa yang dilihatnya sebagai pengalaman kehidupan apatah lagi menanggapi hal demikina sebagai ilmu pengetahuan. Dia menolak kehidupan masyarakat Barat yang rata-rata langsung memilih hiburan sebagai pelepasan tekanan kepada kehidupan. Kebebasan yang menjadi pegangan dunia Barat sememangnya tiada langsung membawa kepada hikmah melainkan kecelakaan semata-mata.

Pengembara II tetap mengatakan bahawa perlu dikenalpasti segala yang lebih utama dan penting. Bukan semua perkara yang memeritkan itu adalah ilmu. Perlu diletakkan sesuatu itu wajar pada tempatnya. Jika sesuatu itu adalah sumber utama, maka di ataslah tempatnya. Jika tidak, selayaknya di bawah atau kalau perlu dibuang sahaja agak tidak menjadi racun dalam kehidupan.

Dan kini, kedua-duanya insan ini berada di hadapan saya. Masing-masing saling bercakaran pendirian. Menyatakan masing-masing berada di tempat yang benar. Saya terus ditengah-tengah. Dalam perhitungan masih berterusan. Saya terus memerhati sahaja. Dan pada satu tika itu, saya menarik tangan pengembara II dan berlalu pergi. Saat saya pergi meninggalkan Pengembara I dalam keadaan terpingga-pingga, saya berkata kepadanya :


"SAYA TIDAK AKAN MENJADI PENGUTIP SAMPAH".....


Selasa, 10 November 2009

ARGUMENTASI

Proses kehidupan sosial tidak lari daripada berhadapan dengan pertembungan idea dan pendapat. Inilah yang dikatakan proses alamiah. Proses pembentukan perlakuan atau apa sahaja perbuatan akan bermula dengan proses kognitif tanpa menafikan proses intuisi juga memberi sumbangan yang signifikan.

Berhadapan dengan idea dan pendapat yang berlegar di medium filosofikal membawa sekali pertembungan dengan idiosinkrasi seseorang individu. Landskap pemikiran yang berlainan posisi itu akan hadir. "Hitam" dan "Putih". Maka terhasillah pergelutan atau penggeseran dalam mencari sesuatu maklumat. Maka terlahir perkara yang merumitkan. Warna "kecelaruan" bertompok merata. Kadang kala keseimbangan hilang sementara. Itu lebih sofiskated.

Terdapat pandangan yang mengatakan dalam beragumentasi, kita mencari sepakat dan pandangan kolektif. "Hitam" dan "Putih" sudah bukan perkara pokok. Kekeruhan harus dijernihkan. Maka lahir warna "Kelabu". "Kelabu" terjelma selepas proses argumentasi yang lebih sihat serta rasional. Itulah warna yang disepakati. Namun ia harus dilihat dengan teliti. "Kelabu" yang terhasil juga belum berdiri dengan warna sifat yang sendiri. Terlebih "Hitam" membentuk "Kelabu Pekat" dan terlebih "Putih" menghasilkan "Kelabu Cair".

Argumentasi mampu mencairkan "Hitam" dan "Putih". Lalu tercipta warna yang baru. Bancuhan idea yang cuba dimurnikan menghasilkan sesuatu boleh dikatakan kesepakatan. Inilah yang cuba dicari apabila perbincangan dilakukan. Benarkah "Kelabu" itu betul-betul sepakat? Betul-betul kolektif? Mungkin ya. Mungkin tidak. Mungkin juga "Kelabu" sebenarnya tidak wujud. Ia adalah sekadar benih daripada hujahan simplistik yang lebih cenderung untuk tidak mahu menegakkan kebenaran. Mereka memilih jalan tengah untuk menjadi seorang eskapisme.

Bagaimana pula jika "Hitam" itu sememangnya perkara benar dan "Putih" itu perkara yang bathil. Pertemuan dua sifat ini akan menghasilkan momentum yang kuat. Salah satu mesti menang dan yang tersungkur harus akur. Pilihlah "Hitam" atau "Putih". Jangan seretkan kekeliruan hingga muncul warna "Kelabu". Itulah kecelakaan paling dahsyat dalam beragumentasi. Pemilihan itu satu kemestian dan penolakkan itu bukan bererti radikal. Itulah keberanian. Saat itulah kepalsuan sudah ditelanjangkan.

Saya teringat kata Anbakri dalam bukunya " Kita ini seperti batu dan batu, bergesellah dengan kuat, untuk menimbulkan api yang marak, bukan untuk MEMBAKAR tetapi untuk menerangi KEGELAPAN". Itulah sebaiknya. Saya yakin.


Rabu, 1 Julai 2009

PERCAYA, FAHAM DAN YAKIN

Membaca penyelidikan berkaitan dengan sejarah Islam memang menyeronokkan. Seakan membawa kita kembali ke zaman silam yang penuh dengan keistimewaan yang telah jauh memisahkan landskap pemikiran kita sekarang. Penyelongkaran oleh sarjana-sarjana yang membuat kajian untuk mengembalikan kebenaran sememangnya perlu agar perkara yang haqq dapat ditemui semula.

Ilmu sejarah dapat digunakan bagi menyelesaikan satu persoalan dalam sejarah tamadun manusia. Inilah peranan ilmu sejarah yang membimbing manusia untuk kembali berfikir dan mengasosiasikan dengan konteks milieu. Ilmu sejarah merangsang minat ingin tahu, mengajak kita berfikir bagi mendalami sesuatu kejadian yang boleh diteladani atau sebaliknya. Ringkasnya, ilmu sejarah ini penting dan berperanan memberi makna dan erti kepada kita sebagai refleksi untu kemajuan tamadun pada masa akan datang.

Membaca buku ‘Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain’ memang memberi pengetahuan yang luas tentang sejarah. Penulisan buku ini juga dilihat sebagai satu usaha murni bagi membongkar sejarah silam, dan sekiranya diterima oleh banyak pihak, maka penulisan ini telah merungkai satu polemik sejarah yang berkurun lamanya menjadi tanda tanya. Buku ini juga membolehkan anda kembali melakukan retrospeksi terhadap apa yang sebenarnya berlaku dan boleh saya katakan mampu mengheret pembaca melakukan introspeksi terhadap perjalanan hidup manusia sebagai khalifah di muka Allah SWT.

Jika saudara berminat, saudara boleh sahaja dapat di kedai-kedai buku berhampiran. Di dalamnya terdapat pelbagai sejarah yang mungkin telah tertimbus lantaran dimanipulasikan oleh pihak lain. Namun, saya tidak bertujuan memerikan apa yang terdapat dalam buku ini. Cuma saya suka berkongsi tentang apa yang telah ditimbulkan oleh penulis berkaitan percaya dan faham. Tidaklah dikonstruksikan secara luas dalam buku ini tentang ‘percaya’ dan ‘faham’. Hanya berkaitan pada kisah Nabi Ibrahim. Namun, pada saya, sedikit sahaja sudah membawa kita ke alam pemikiran yang merimba.

Di bawah ini terdapat cuplikan daripada buku tersebut tentang percaya dan faham yang pada saya agak menarik untuk diamati;

Antara banyak-banyak kisah Nabi Ibrahim yang dapat diambil iktibar, penulis mahu berkongsi mengenai peristiwa apabila Nabi Ibrahim meminta Allah supaya menunjukkan kepadanya bagaimana sesuatu yang mati itu dihidupkan . Maka Allah bertanya, apakah beliau tidak percaya? Lalu beliau menjawab, sudah tentu tetapi hanya supaya beliau lebih memahami.

Maka Allah memerintahkan beliau supaya mengambil empat jenis burung iaitu merak, ayam jantan, merpati dan helang. Selepas itu, beliau perlu menyembelih keempat-empat ekor burung itu dan cincang dagingnya lalu diletakkan pada empat bukit yang berbeza. Kemudian beliau memanggil burung itu kesemuanya. Maka ketika itu Nabi Ibrahim menyaksikan bagaimana Allah menyatukan tulang-belulang mereka lalu diselaputi dengan daging dan akhirnya diliputi oleh kulit dan ditumbuhkan bulu. Maka berterbanganlah mereka ke arah Nabi Ibrahim.

Daripada kisah itu, kita mendapat sekurang-kurangnya dua pengajaran. Pertama adalah berdasarkan kiasan empat ekor burung yang dicincang-cincang dagingnya itu. Ia membawa erti yang pada burung-burung tersebut terdapat sifat yang keji. Kita sebagai manusia perlu memelihara diri daripada sifat tersebut.

Contohnya, jika dirujuk pada burung merak, ia memiliki sifat sombong dan bangga diri disebabkan kecantikan bulunya yang berwarna-warni hingga dapat menarik perhatian sesiapa yang melihat. Maka kita perlu menjauhi sifat sedemikian. Bagi sifat buruk ayam jantan pula adalah kegilaannya mengawan tanpa mengira masa dan tempat. Sikap buruk itu perlu kita hindari.

Seterusnya, burung merpati mempunyai sifat paling digemari dalam kalangan masyarakat sedunia iaitu malas. Sekiranya diperhatikan, burung merpati adalah burung yang paling lewat mencelikkan mata pada waktu pagi sedangkan burung-burung yang lain sudah pun sibuk bekerja keras. Akhir sekali adalah keburukan sifat burung helang yang suka menyambar. Ini dapat dikiaskan kepada sikap sesetengah orang yang gemar mencuri termasuklah ‘menyambar’ hak orang lain, meragut barang individu lain, merampas harta bukan miliknya dan yang seangkatan dengannya.

Pengajaran yang kedua pula dapat kita lihat adalah sikap Nabi Ibrahim yang sudah beriman, namun masih berusaha memahami sesuatu dengan lebih mendalam lagi. Maka, terdapat suatu perbezaan ketara antara ‘kepercayaan’ dan ‘kefahaman’. Ini bermaksud terhasil dikotomi antara percaya dan faham pada sesuatu perkara. Contohnya, apakah kita percaya kepada al-Quran? Maka jelas jawapannya adalah ya. Tetapi, apakah kita memahami al-Quran? Penulis berpandangan, kita tentu memberikan jawapan yang berbeza daripada sebelumnya. Pendek kata, kita perlu berusaha secara berterusan bagi mengkaji pembentangan kebenaran daripada al-Quran setelah kita beriman dengannya.

Pada saya, penelitian tersebut memang teliti dan membawa kesan kepada kehidupan. Alam yang terbentang luas membawa makna yang begitu luas. Tidaklah Allah ciptakan sesuatu makhluk itu sia-sia dan tidak membawa apa-apa pengertian dalam kehidupan kita. Renungan terhadap sesuatu kejadian ini perlu dilakukan sebagai pemangkin kepada kehidupan yang membawa kesinambungan pemikiran akal yang sihat dan mencetuskan spiritual yang tinggi dalam konteks percaya dan faham.

Dalam kehidupan percaya itu membawa makna secara terus kepada beriman. Bukanlah semata-mata percaya di tahap pengetahuan. Tetapi perlulah diikuti dengan penyerahan sebulat hati nurani terhadap perkara yang kita percaya. Hal ini menyentuh dimensi kerohanian dan spritualitas yang menjadi teras kepada kepercayaan tersebut. Penyerahan seluruh jiwa raga itu membuktikan keimanan yang sungguh-sungguh tanpa ragu-ragu. Jika keraguan timbul biar pun sedikit maka kepercayaan itu belum mencapai pada tahap yang sempurna.

Usaha Nabi Ibrahim itu dilihat sebagai bukti manusia yang sentiasa melengkapkan dirinya konteks keilmuan. Walaupun kepercayaan sudah sebulat hati, namun Nabi Ibrahim berusaha untuk memahami sesuatu itu dengan sangat mendalam. Kedalaman itu membawa kepada ketelitian. Setelah dibuktikan, barulah Nabi Ibrahim benar-benar faham. Saya percaya bahawa kefahaman itu telah menimbulkan satu lagi aspek yang lain iaitu keyakinan. Keyakinan itu puncak kepada suatu kepercayaan dan kefahaman. Itulah petanda bahawa tahap itu merupakan tahap yang paling asas untuk membentuk aspek kejiwaan serta keperibadian yang utuh.

Pada zaman ini, anak-anak disuruh belajar membaca al-Quran, tetapi sayangnya tidak pernah untuk diajak untuk memaknai kandungan al-Quran itu sendiri. Kepercayaan sebenarnya perlu diikat dengan kefahaman agar kerangka asas pemikiran itu kukuh dan tidak longgar. Setelah kerangka pemikiran yang berasaskan tauhid itu sudah kejap, maka tiada masalah dalam merungkaikan satu masalah. Mudah untuk kita mengklasifikasikan sesuatu ilmu atau idea itu berada di tahap mana dan di mana perlu diletakkan atau dibuang terus dalam kehidupan.

Begitu juga dengan kisah burung-burung yang menjadi kiasan itu. Harus dijadikan iktibar. Inilah peranan sejarah dalam memberikan pengajaran dalam kehidupan seharian. Sayangnya, pemimpin kita hari ini tidak mahu melihat kepada sejarah. Lebih sayang, malas untuk membaca. Mahu membina masyarakat intelektual. Tetapi dasar negara langsung tidak menyentuh aspek keintelektualan. Malah memacukan negara ke arah hedonisme semata-mata.

Dan bila kita melihat tentang kemelut PPSMI, apakah memang pemimpin kita tidak percaya dan faham sekaligus yakin bahawa bahasa Melayu bukan sahaja sebagai bahasa ilmu dan komunikasi dalam sistem pendidikan, malah menjadi sebagai mekanisme penyatuan masyarakat majmuk dalam mencapai kehidupan yang harmoni. Tidakkah mereka perlu menyelak sejarah tentang kehebatan dan keagungan bahasa Melayu yang menjadi alat kepada penyampaian agama Islam di tanah Melayu ini dan mengubah kebudayaan dan sosioekonomi ke arah yang selesa seperti yang kita nikmati kini?

Kadang kala saya terfikir bahawa pemimpin kita ini sudah melengkapkan diri sebagai merak, ayam jantan, burung merpati dan helang dalam mentadbir negara ini. Astagfirullah…

Khamis, 11 Jun 2009

BANTAHAN PPSMI

Persatuan Ulama’ Malaysia Menyampaikan Memorandum Membantah PPSMI kepada Majlis Raja-Raja Melayu

Prof. Abdul Rahman Awang, Tuan Hj. Azmi Abul Hamid, dan Tuan Haji Ghani Shamsuddin

Prof. Abdul Rahman Awang, Tuan Hj. Azmi Abul Hamid, dan Tuan Haji Ghani Shamsuddin


Pagi tadi Persatuan Ulama’ Malaysia menyampaikan MEMORANDUM MUAFAKAT ULAMA’ MANSUHKAN PPSMI.

Majlis tersebut berlangsung di pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, di Jalan Belamy, Kuala Lumpur.

Memorandum tersebut diterima oleh Tan Sri Dato’ YM Engku Ibrahim bin Engku Ngah, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, bagi pihak Majlis Raja-Raja Melayu.

Dengan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu

Dengan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu

Persatuan Ulama’ memohon agar memorandum yang mengandungi bantahan terhadap PPSMI itu dapat dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu.

Persatuan Ulamak Malaysia diwakili oleh Tuan Ustaz Abd. Ghani Samsuddin (pengerusi SHURA) dan Tuan Prof. Ustaz Dr. Abdul Rahman Awang (ahli SHURA).

Delegasi itu juga diiringi oleh tokoh-tokoh penting Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), Tuan Dr. Shahrir Md. Zain (Timbalan Pengerusi GMP), Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan (Naib Pengerusi GMP), dan Tuan Hasni Abas (Setiausaha GMP).

Teks penuh memorandum tersebut, dan senarai penama yang menanda tangani dokumen tersebut adalah seperti berikut:

MEMORANDUM MUAFAKAT ULAMA’ MANSUHKAN PPSMI

dipanjangkan kepada

MAJLlS RAJA-RAJA MELAYU

Melalui

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

Segala puji hanya untuk Allah Rabbul ‘Alamin, Yang Maha Pengasih, Yang telah mengajar Al Quran, Dia menciptakan insan, mengajarnya al bayan, Dia mencipta semua dengan segala aturannya agar insan tidak merosakkan keseimbangan, supaya ditegakkan kesimbangan itu dengan adil dan tidak mengurangi keseimbangan yang telah disusun dengan peraturan-Nya.

Selawat dan salam untuk junjungan kekasih-Nya Rasulullah s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan seluruh sahabatnya, yang menjadi qudwah hasanah untuk seluruh insan, membawa rahmat untuk sekalian alam, membawa petunjuk dari zulamat kepada nur yang menerangkan, membebaskan perhambaan insan kepada makhluk kepada pengabdiaan hanya kepada Allah, yang mengangkat semua kaum dari Zillah kepada kekecemerlangan I’zzah Islam.

MENYEDARI bahawa KDYMM Raja-Raja Melayu turut prihatin mengenai status Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan sesuai dengan peruntukan dalam Akta Bahasa Kebangsaan dan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan;

MEMAHAMI bahawa bahasa mempunyai kaitan langsung dengan persoalan falsafah dan pegangan hidup seseorang Muslim;

MEMAHAMI bahawa dengan pemisahan agama daripada bahasa akan membawa implikasi besar kepada kaum Muslimin dari sudut pandangan hidup Islam yang berasaskan Tauhid;

MENGINSAFI bahawa kepentingan penggunaan bahasa dalam Islam ada kaitan dengan makna yang boleh memberi kesan kepada nilai dan prinsip asas dalam kehidupan seseorang Muslim;

MENELITI bahawa fungsi bahasa sangat jelas kepentingan dan kedudukannya dalam pengembangan dan penyampaian risalah Islam;

MENGISAFI betapa sekularisasi bahasa akan membawa kepada sekularisasi kehidupan kaum kerangka berfikirnya terhadap tassawur Islam yang benar dan murni;

MENGHAYATI betapa bahasa Melayu telah melalui sejarah Islamisasi yang tersendiri sejak kedatangan Islam di alam Melayu, oleh kerana itu ia telah menjadi bahasa yang terpilih untuk membentuk pegangan hidup Islam dalam kalangan ratusan juta kaum Melayu di nusantara ini;

MENERIMA bahawa Bahasa Melayu mempunyai kedudukan yang istimewa dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa Kebangsaan Negara ini;

MENGAMBIL perhatian serius bahawa perlaksanaan PPSMI (Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) sejak tahun 2003, telah menjejaskan status dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan Negara;

MENYESALI PPSMI telah dilaksanakan dengan secara tergesa-gesa tanpa penelitian yang lebih terperinci dan tanpa mengambil pandangan balas dari ahli cendekiawan dan ilmuan Islam;

MEMANDANG serius bahawa perlaksanaan PPSMI telah memberi kesan negatif dalam jangka masa pendek mahupun dalam jangka masa panjang kepada tahap prestasi pelajar-pelajar di kawasan luar Bandar;

MEMBERI perhatian berat kepada perlaksanaan PPSMI yang telah mengetepikan segala usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang berkeupayaan tinggi untuk mendidik anak bangsa khasnya dan warga negara amnya;

MEMAHAMI bahawa perlaksanaan PPSMI oleh pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia tidak mengambil kira segala hujah ilmiah berdasarkan undang-undang, sejarah, kesan sosio-budaya, pembinaan jati diri dan tamadun bangsa, yang telah dibentang oleh pelbagai ahli pakar dan ahli akademik dalam Negara;

MENGESAHKAN beragama Islam dan bertutur dalam bahasa Melayu ada kaitan dengan ta’rif seorang Melayu mengikut Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dan ini bermakna keserasian Bahasa Melayu dengan KeIslaman bangsa Melayu tidak dapat dipisahkan;

MEMPERAKUI bahawa DYMM Raja-Raja Melayu mempunyai keperihatinan yang tinggi serta mempunyai pengaruh yang besar terhadap status dan pemeliharaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan; dan

Maka kami sebagai golongan agama yang prihatin terhadap sebarang hal ehwal yang ada kaitan dengan kedudukan Islam dan kaum Muslimin di Negara ini, berpendirian:

1. MENOLAK perlaksanaan PPSMI dalam sistem pendidikan Negara;

2. MEMBANTAH penerusan perlaksanaan PPSMI kerana ia menjejaskan kedudukan bahasa Melayu yang sudah diangkat martabatnya sebagai bahasa ilmu dan sekaligus bahasa Islam;

3. MENEGASKAN bahawa dalil agama untuk mengembalikan pengajaran sains dan matematik kepada bahasa Melayu sangat kuat kami sandarkan kepada nas-nas naqli berikut:

Merujuk kepada Surah al-Rum, ayat 22 bermaksud:

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya adalah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.”

Surah Ibrahim, ayat 4 bermaksud:

“Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya), Juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Menggunakan bahasa yang dapat menerangkan dan memahamkan konsep dan falsafah kebenaran adalah matlamat utama kenapa Al-Quran menggunakan bahasa ibunda Arab sebagai pengantar untuk menjelaskan makna dan intisari ajaran Islam kepada bangsa Arab.

Surah Asy-Syura, ayat 7 bermaksud:

“Dan demikianlah Kami wahyukan Al-Quran kepadamu dalam bahasa Arab, agar engkau memberi peringatan kepada penduduk ibukota (Makkah) dan penduduk (negeri-negeri ) di sekelilingnya serta memberi peringatan tentang Hari berkumpul (Qiamat) yang tidak diragukan adanya. Segolongan masuk syurga dan segolongan masuk neraka.”

Bahawa bahasa yang tidak tercemar dengan makna dan faham yang terlepas dari konsep ketauhidan Allah dan membolehkan mesej asas Islam mengenai Ketuhanan disampaikan adalah punca kenapa Al-Quran memilih bahasa Arab sebagai bahasa pengantar. Lantaran itu Bahasa Melayu yang telah sarat melalui proses Islamisasi adalah bahasa yang paling wajar dijadikan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan Negara untuk menjayakan proses pembinaan tamadun Islam dalam masyarakat Malaysia.

Surah Yusuf, ayat 2 bermaksud:

“Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa Al-Quran berbahasa Arab, agar kamu mengerti.”

Surah Toha, ayat 113 bermaksud:

“Dan demikian Kami menurunkan Al-Quran dalam bahasa Arab dan Kami telah menjelaskan berulang-¬ulang di dalamnya sebahagian dari ancaman agar mereka bertaqwa atau agar (Al-Quran) itu memberi pengajaran bagi mereka.”

Surah Az Zumar, ayat 27-28 bermaksud:

“Dan sungguh telah Kami buatkan dalam Al-Quran ini segala macam perumpamaan bagi manusia agar mereka dapat pengajaran, iaitu Al-Quran dalam bahasa Arab, tiada ada kebengkokan (di dalamnya) agar mereka bertaqwa.”

Surah Fussilat, ayat 2-3 bermaksud:

“(Al-Quran ini) diturunkan dari Tuhan Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Kitab yang ayat¬ayatnya dijelaskan bacaan dalam bahasa Arab untuk kaum yang mengetahui.”

Surah Al-Zukhruf, ayat 3 bermaksud:

“Demi kitab (Al-Quran) yang jelas, Kami jadikan Al-Quran dalam bahasa Arab agar kamu mengerti.”

Semua ayat-ayat ini menjelaskan betapa bahasa ada kaitan dengan mesej risalah Islam yang disampaikan kepada manusia. Manakala bahasa Melayu yang sarat dengan konsep Islam dari Al-Quran diketepikan penggunaannya dalam pengembangan ilmu, maka kesan sekularisasi bahasa yang telah berlaku dalam sejarah pengembangan bahasa Inggeris yang sangat dipengaruhi oleh sejarah sekularisasi agama Kristian akan mempunyai impak kepada masyarakat Melayu Islam di Negara ini.

Oleh itu, Kami:

MENDESAK supaya pelaksanaan PPSMI hendaklah diberhentikan dan penggunaan bahasa Melayu kembali digunakan sebagai bahasa pengantar dalam semua matapelajaran kecuali dalam pengajaran bahasa yang lain, di seluruh institusi pendidikan di semua peringkat.

MENUNTUT agar kerajaan mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu untuk membentuk tamadun tinggi dalam masyarakat, sementara memberi ruang untuk pelajar mempelajari pelbagai bahasa lain untuk meningkatkan keupayaan menguasai pelbagai ilmu dari sumber bahasa yang lain.

MENDESAK agar tulisan jawi kembali diperkasakan dalam sistem pendidikan Negara termasuk mengalakkan urusan rasmi menggunakan tulisan jawi sebagai identiti negara.

MENEGASKAN bahawa pengajaran bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan kaedah dan pendekatannya, namun bukan dengan cara mengetepikan bahasa Melayu sebagai pengantar matapelajaran seperti yang dilaksanakan dalam PPSMI masakini.

MENGGESA supaya penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar hendaklah diperundangkan dan dikuatkuasakan dalam semua sektor Negara sama ada awam mahupun swasta.

MENEGASKAN bahawa pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia tidak boleh berdaleh dengan alasan pencapaiaan UPSR, PMR mahupun SPM untuk menjadi asas untuk meneruskan atau memberhentikan perlaksanaan PPSMI.

MENDESAK supaya pihak kerajaan tidak menggunakan dalil mencapai kemajuan bertaraf dunia sebagai alasan untuk meneruskan PPSMI kerana hujah ini sudah muktamad ditolak oleh perbandingan dan bukti dengan pelbagai Negara lain yang tidak mengutamakan bahasa Inggeris untuk mencapai kemajuan sesuata bangsa dan Negara.

MENGGESA agar seluruh warga pendidik dan waris pelajar-pelajar di semua institusi pendidikan Negara agar bersama bersatu untuk membantah pelaksanaan PPSMI.

KAMI DENGAN INI MENANDATANGANI MEMORANDUM ULAMA’ “MANSUHKAN PPSMI” INI SEBAGAI PENDIRIAN KAMI UNTUK MEMBELA MARTABAT BAHASA MELAYU DALAM SISTEM PENDIDIKAN DAN PENTADBIRAN NEGARA:

1. Ustaz Abdul Ghani Samsuddin (Pengerusi, SHURA)
2. Datuk Dr. Abdul Samad Mohamed Said (Sasterawan Negara)
3. Datuk Ustaz Abu Bakar Cik (Pengerusi, Asian Federation Muslim Youth)
4. Hj. Mohd. Azmi Abdul Hamid (Presiden TERAS Pengupayaan Melayu)
5. Dr. Abdul Rahman Awang (Ahli Lembaga SHURA)
6. Encik Hasni Abas (Setiausaha, GMP)
7. Prof. Shahrir Mohamad Zain (Timbalan Pengerusi, GMP)
8. Prof. Emeritus Abdullah Hassan (Naib Pengerusi, GMP)
9. Puan Ainon Mohd (AJK, GMP)
10. Ustaz Wan Ahmad Tarmiz Aziz (Pengerusi Persatuan Ponyokong Sekolah Agama Rakyat)
11. Kassim Muhamad (Aktivitis, GMP)
12. Muhammad Faisal Abdul Aziz (Naib Presiden, PKPIM)
13. Mohd. Saifullah b. Mohd Zulkifli (Aktivis, PKPIM)
14. Abu Qassim Nor Azmi (Aktivis, PKPIM)
15. Ustaz Yusuf Mahmud (YDP, Persatuan Ulama’ Kedah)
16. YB Datuk Mahfuz Omar (Pengerusi, Inst. Pemb. dan Pengemblengan Komuniti – IMPAK)
17. Che Shamsuddin Othman – Dinsman (Pengerusi, PAKSI)
18. Hj. Mohammad Salleh Bakar (Ketua Penerangan TERAS)
19. Ustaz Hafiz Mustaffa Lubis (YDP Angkatan Belia Islam Malaysia, Kedah)
20. Uztaz Abu Khair Ayub (Maahad Tarbiyyah Islamiah, Derang, Kedah)
21. Dr. Khairuddin Datuk Abdul Malik (Pengerusi JAMA’IY)
22. Dr. Zaini Hamzah (Pengerusi, TERAS, Wilayah Persekutuan)
23. Dr. Syed Jamaluddin Syed Ali (Timb. Pengerusi TERAS, Selangor)
24. Ustaz Zulkifli Ibrahim (Timbalan Pengerusi JAMA’IY)
25. Ustaz Khairul Mustafa (Setiausaha, Persatuan Ulama’ Malaysia Wilayah Persekutuan)
26. Prof Madya Dr. Wan Salim Mohd Nor (YDP, Persatuan Ulama’ Malaysia, Pulau Pinang)
27. Ust. Awaluddin Jefry (YDP, Persatuan Ulama’ Malaysia, Johor)
28. Ustaz Dr. Arshad Taib (Ulama’ Perlis)
29. Ustazah Fauziah Thani (bekas Pengetua, Sekolah Menengah Agama Alawiyyah, Perlis)
30. Dr. Fadhlullah Jamil (Pengerusi, WADAH P. Pinang)
31. Datuk Abdul Halim Kader (YDP Persatuan Ulama’ Malaysia)
32. Hj. Hussin Ismail (Pengerusi, Yayasan Amal)
33. Dr. Abdul Rahman Ahmad (Pengerusi Wadah Pencerdasan Ummah, Kedah )
34. Ustazah Masadah Sajadi (Pengerusi, Majlis Bertindak Wanita Islam Malaysia)
35. Ustaz Tahir Ali (Ahli, Lembaga TERAS)
36. Hj. Ismail Wan Teh (Naib Pengerusi, WEHDAH)
37. Hj. Mutalib Rawther (Pengerusi, TERAS, Pulau Pinang)
38. Ustaz Muhammad Nabigh bin Abu Samah Al-Hashimi (Jabatan Pendidikan Islam UiTM)
39. Uztaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (Setiausaha, Institiut Penyelidikan dan Pengembangan Syariah, Malaysia – ISRA)
40. Dr. Kamaruzaman Yusuf (Ahli Ilmuan Islam UKM)
41. Ustaz Wahab (Muhammadiah Internasional)
42. Encik Kamal Syukri (Timbalan Presiden, Persatuan Linguistik Malaysia)
43. Encik Salman Siddiqiy Mohd Azmi (Jaringan Pemuda TERAS Nasioanal)
44. Ustazah Fatimah Ahmad (Pengerusi SALIMAH – TERAS)
45. Ustaz Azmi Bahari (Ketua Kurikulum dan Koperasi Maahad Tarbiah Islamiah, Perlis)
46. Hj. Jaafar Daud (Timbalan Pengerusi, TERAS Perlis)
47. Ustaz Mohd Shahimi bin Abdul Kemali (Pendidik MADI, Perlis)
48. Ustaz Rashid Muhammad (WADAH, Pahang)
49. Ustaz Abdul Wahab Nor Al-Haj (Ahli JawatanKuasa Pergerakan Pemerkasaan Tulisan Jawi PERAWI-TERAS)
50. Ustaz Khairuddin At Takiri ( Pengetua Darul Fuqaha, Bandar Baru Bangi)
51. Ustaz Abdul Sattar (Pendidik MADI, Perlis)
52. Shah Rizan Sazali (Pengerusi Ummah Aid)
53. Ustaz Kamaruddin Kassim (Pengerusi, Persatuan PRIHATIN)
54. Aziz bin Man (Pengerusi, Persatuan Kebajikan Warga Desa)


P/S: Rencana ini dipetik dari laman web Prof. Emiritus Abdullah Hassan

Selasa, 9 Jun 2009

MENCARI HANTU


Menonton kisah tiga sekawan mencari hantu dalam segmen Pemburu Hantu di media penyiaran beberapa hari lalu memang terasa malu dan menimbulkan kesedihan. Kasihan sungguh melihat mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk membuktikan kewujudan hantu di salah satu tanah perkuburan dengan menggunakan bahan teknologi yang canggih. Akhirnya, setelah bekerja keras. Buktinya hanya bunyi angin dan penipuan yang memantulkan kebodohan mereka. 

Persoalan yang benar-benar menikam benak saya, mengapa mereka tidak buktikan sahaja adanya malaikat dengan alat teknologi mereka itu? Buktikanlah walhal malaikat paling dekat dengan kita dan sentiasa mencatat apa sahaja perbuatan kita. Malaikat juga abstrak. Malaikat juga boleh menjelma dalam apa jua bentuk dengan kehendak Allah SWT. Saya tidak faham atas dasar apa mereka merekonstruksikan cerita itu untuk tatapan masyarakat. Langsung tidak rasional!!!

Mengapa drama atau filem seperti ini diberi ruang untuk paparan umum? Mengapa tidak disiarkan program-program yang mengasah intelektual? Yang lebih menghairankan, drama seperti itu mengisi ruang waktu perdana. Masyarakat diindoktrinasikan dengan kefahaman pemujaan roh hingga membentuk paradigma yang negatif. Dalam realiti aktual, tidak dapat dinafikan ada di antara masyarakat lebih takut hantu daripada Allah SWT. Tidakkah pengarah drama atau filem memikirkan kesan ini? Apakah keuntungan yang diperolehi pihak penerbitan berbaloi dengan terbentuknya paradigma sebegini dalam masyarakat?

Zaman animisme sudah lama kita tinggalkan. Kita manusia yang dah jauh ke hadapan hanya mampu menjenguk zaman itu dengan akal yang sangat sihat dan rasional yang dilandasi oleh agama Islam. Pemujaan terhadap benda (samada konkrit atau abstrak), perkara atau roh yang boleh mendatangkan kepada kepercayaan ini ditentang sama sekali dalam Islam. Amalan atau kepercayaan ini dianggap syirik (nyata atau halus) kepada Allah SWT. 

Secara keseluruhan, keterpisahan period itu dalam weltanschuauung  alam Melayu digarisi dengan kemasukan pengaruh Hinduisme. Dan selepas itu segala yang berkaitan dengan kedua-dua period itu tertolak selepas digarisi dengan sempadan agama Islam sebagai ad Din. Jadi, soal khurafat atau segala perkara yang tahyul ini tidak lagi wujud selepas kedatangan Islam ke Tanah Melayu. 

Dalam Islam, kita perlu tahu alam ghaib itu wujud, tetapi kita tidak diminta untuk percaya kepada mereka. Perkataan "percaya" dalam konteks ini membawa maksud beriman. Sebagaimana kita dalam rukun Iman. Percaya ke Allah SWT membawa maksud beriman dengan Allah SWT dan konsep ini sama dengan lima rukun Iman yang seterusnya. Jadi, tiada alasan untuk percaya (beriman) kepada hantu dalam kontek zaman ini. 

Semakin hari, semakin banyak kisah seram yang menyisipkan kepercayan kepada pemujaan roh dan semangat itu di jadikan tema dalam drama atau filem. Mungkin agaknya pengarah filem sudah ketandusan idea. Kalau alasan bahawa cerita begitulah pilihan masyarakat, saya rasa mereka sudah gila. Media seharusnya bersifat selektif dalam menyiarkan paparan kepada masyarakat. 

Pihak media tahu mereka adalah mekanisme yang paling ampuh untuk memberi maklumat dan pengetahuan kepada khalayak penonton. Namun, atas nama keuntungan, mereka mengetepikan segalanya demi kepentingan individual semata-mata. Ini bukan soal pilihan masyarakat. Ini soal pendirian dan pegangan yang boleh dicairkan dengan kefahaman yang nampak mudah tetapi kesannya besar dalam agama. 

Mungkin kita sudah kembali semula ke alam animisme. Kembali ke alam pemujaan dan kepercayaan kepada semangat dan roh. Teknologi dibina untuk memajukan pemikiran dan peradaban masyarakat dengan membantu dari pelbagai sudut kehidupan. Tapi teknologi yang dibina telah disalahgunakan untuk membawa ke alam kemunduran dan kesesatan. Kasihan. Berhentilah menyokong dan melihat drama dan filem sebegini. Langsung tidak mendatangkan manfaat. Mudah-mudahan kita semua masih berada dibawah cahaya kebenaran dan tidak dipesongkan perjuangan kepada agama dan bangsa. 

Ahad, 7 Jun 2009

SEEKOR TIKUS DAN KEHIDUPAN

i.
Saya dan beberapa orang kawan ke sebuah pusat membeli belah beberapa hari yang lalu. salah seorang kawan saya mengajak saya melihat tikus kecil yang comel katanya. Dia tertarik dengan kecomelan tikus tersebut. Dia terus membeli dua ekor tikus yang kecil berserta dengan rumah dan semua kelengkapan untuk menjaga haiwan peliharaannya yang baru. Saya bertanya kepadanya, kenapa terburu-buru membeli tikus itu hanya atas dasar comel. Dia tersenyum dan menjawab "Entah, aku pun tak tahu. Yang penting aku suka". Saya terus kehairanan dan terpinga-pinga.

ii.
Saya pergi minum bersama rakan saya. Saya bertanya bagaimana tikus kecil yang dibelinya tempoh hari. Dia gembira dan terus bercerita dengan penuh semangat tentang tikusnya itu. Setelah dia letih bercerita, saya bertanya kepada dia. "Hairankan dunia ini, di rumah kau bukan tak ada tikus? Malah kau bunuh pula. Letak racun. Letak gam tikus. Tapi tikus di Shoping Complex kau beli pula. Siap belikan rumah dan siapkan segalanya. Aku hairanla" Dengan bersahaja dia menjawab, " Tikus di rumah lain. Tikus tu kotor dan tak cantik. Tak jinak. Hodoh lagi. Eii, geli aku". Saya menjawab. "Kenapa kau tak tangkap dan mandikan dia. Nanti bersihlah. Soal cantik itu perkiraan kedua. Yang cantik tak semestinya diluar. Kalau nak jinak, ikut teori pelaziman Pavlov pun boleh. Setiap rangsangan akan menimbulkan gerak balas. Yang penting nyawa. Nyawa itulah kehidupan. Kenapa kau bunuh tikus itu?". Kawan saya acuh tak acuh mendengarnya. Dia menjawab, "Tapi tikus dirumah itu kotor dan boleh menyebabkan penyakit. Asik menyelongkar je kat rumah aku. Semalam habis dapur mak aku. Berterabur semuanya. Mana aku tak bunuh". Saya tertawa dalam hati sendiri. "Agaknya rumah kau yang kotor, tak dibersihkan dengan betul dan kau salahkan tikus bawa penyakit dan kotorkan rumah kau. Aneh betul dunia ini." Kami meneruskan perbualan dan tiba-tiba seekor tikus berlari dicelah-celah longkang dan terus masuk ke dalam lubang dan entah ke mana.

Rabu, 3 Jun 2009

KEKECEWAAN YANG MENIKAM MATA



Musim cuti persekolahan dah pun bermula. Jadi, selaku guru praktikal, saya tidak diminta untuk menyertai dan menggerakkan apa-apa aktiviti di sekolah. Alhamdulillah. Saya boleh menarik nafas panjang dan boleh menumpukan kepada beberapa perkara yang saya kira penting. dan yang paling bermakna, saya dapat melarikan diri daripada kesakitan, kepedihan dan kekecewaan yang terpaksa saya rasakan apabila melihat bahasa saya dipukul, dihenyak-henyak dan disisihkan sekali lagi di hadapan mata.

Tahniah kepada pihak pentadbir sekolah kerana menggiatkan usaha untuk menggunakan ruang dan kapasiti sekolah untuk menyuntik spritualitas dan ilmu pengetahuan melalui papan tanda. Itulah satu usaha yang baik dan perlu dilakukan. Melalui papan tanda juga proses tarbiyah berlaku secara senyap tanpa memerlukan proses pengajaran dan pembelajaran. Proses secara senyap inilah yang berbisa sebenarnya. Pelajar akan diindoktrinasikan secara halus melalui medium bahasa akan nilai-nilai dan ilmu tentang sesuatu perkara.

Namun, saya tidak tersangka. Saya berhadapan dengan kekecewaan sekali lagi. Sebelum masuk ke bilik guru, saya perlu melihat papan tanda baru siap dipasang yang sepatutnya tertulis dengan bahasa Melayu, namun sebaliknya berlaku. Jika bahasa Arab tidak mengapalah, bersesuaian dengan aliran sekolah tapi mengapa bahasa Inggeris menjadi pilihan. Mengapa tidak bahasa Melayu sebagai sokongan (terjemahan) kepada bahasa Arab itu sendiri? Pedih mata, hati, jiwa dan segalanya. Lebih-lebih lagi sebagai guru bahasa Melayu di sekolah. Hampir di setiap bangunan sekolah (tidak termasuk bahagian asrama) tergantung papan tanda seperti gambar diatas. Kasihan dan sedih sungguh melihat perkara tersebut.



Saya tertanya-tanya, atas alasan apa bahasa Inggeris lebih perlu digunapakai pada papan tanda tersebut? Apakah pihak pentadbir ini sudah tidak nampak kehebatan bahasa Melayu dalam membantu membangunkan intelektual pelajar? Apakah bahasa Melayu sudah tidak signifikan lagi dalam konteks pendidikan kini? Adakah bahasa Inggeris memang bahasa paling berkesan untuk mencerapkan pelajar dengan ilmu? Kalau ya jawapannya, mengapa dalam mesyuarat mengambil masa yang sangat lama untuk meneliti kelemahan pelajar dalam bidang bahasa Inggeris? Pelbagai persoalan timbul, dan saya ajukan kepada semua ketua panatia bahasa Melayu tentang perkara tersebut. Yang lebih memeranjatkan apabila dia sendiri tidak tahu tentang perkara tersebut dan hal ini telah menimbulkan kemarahan di hati para guru bahasa Melayu. Apa yang jelas, pihak pentadbir sekolah tidak mengambil kata sepakat dalam membuat sesuatu perkara yang boleh membawa kesan kepada bahas Melayu itu sendiri.

Ini tidak bermakna saya benci secara total kepada bahasa Inggeris, tetapi meminjam kata Dato' Baha Zain, "Bahasa Melayu dijunjung, bahasa inggeris dikendung". Mudah dan bermakna bukan pernyataan tersebut. Disinilah bermulanya kehancuran bahasa Melayu itu sendiri jika pihak pentadbir sekolah tidak mempunyai semangat cintakan bahasa Melayu. Apatah lagi mempunyai ketekalan dalam memperjuangkan dan memartabatkan bahasa ibunda itu sendiri. Itu baru sahaja soal papan tanda. Belum disentuh tentang pelbagai perkara lagi. Soal keterpinggiran ini sebenarnya sudah lama berlaku. Cuma berlaku secara evolusi.

Soal bahasa Melayu, bukan soal main-main. Ini soal pembangunan intelektual manusia dan ummah. Begitu juga tamadun. Sebab itu saya bersetuju jika PPSMI itu bukan sekadar soal remeh temeh, itu soal supra. Bukan supranasional tetapi supraglobal. Mengheret maruah dan nasib tamadun Melayu itu sendiri di mata dunia. Jadi, alam pendidikanlah sebagai lapangan pertama perlu dilihat dengan teliti. Jangan sampai hanyir sekularisme itu sampai dan menceroboh lalu mebunuh paradigma para pelajar tentang pentingnya bahasa dalam kehidupan sejagat.

Saya kira mungkin dengan bercakap dengan hemah dan sopan itu tidak lagi mendatangkan kesan. Mungkin perlu sedikit radikal. Jadi bagaimana ya? Perlukah memilih jalan untuk menjadi vandalisme? Ya. Mungkin itulah sebaiknya. Biarlah tergadai material lalu hancur dan rosak kerana ia boleh dibina dengan lebih maju lagi pada masa mendatang. Tetapi jika sekali tergadai bahasa, kesannya tidak tertebus dengan air mata berdarah sekalipun. Percayalah.

Selasa, 26 Mei 2009

KENAPA SPEAKER KAU ROSAK ???

"Sungipppp! Ada siaran menarik ni. Cuba kau pasang siaran radio PENIPU FM. Kawan aku beritahu sekejap lagi ada siaran menarik" jerkah Tangok dari dalam biliknya.

" Isu pasal apa tu? Menarik sangat ke?" tanya Sungip

" Isu bahasa Melayu. Isu supraglobal ni. Kena dengar ni. Kita kan ada orang Melayu sejati" Tangok menjawab.

" Ishhh..ok.ok.ok. Kena dengar ni. " kata Sungip sendiri

Tangok datang ke bilik Sungip. Sungip terus mengalihkan siarannya kepada PENIPU FM. Dan terus mendengar dengan teliti syarahan dari seseorang yang entah dia pun tak pernah kenal dan tahu.

Kita orang Melayu mesti bersatu untuk membentuk perpaduan. Perjuangan penulis mesti di angkat. Isu bahasa tidak boleh dipandang remeh tetapi isu PPSMI tidak perlulah dititikberatkan sangat. Itu hal remeh. Lagipun idea PPSMI memang dari seorang pemimpin yang bagus bla bla bla.. Tiba-tiba sahaja radio berbunyi keriuk yang sangat bising dan sangat menjengkelkan.

"Ehh..kenapa radio aku ni. Aleh-aleh  jadi begini? Mengapa siarannya putus-putus pula. Aneh betul lah." Sungip mendengus dan marah.

"Aduhh. Potong stimla. Peliklah aku. Macam mana boleh jadi begini? Ini mesti speaker radio kau ni rosak. Maklumlah radio lama kan. Yang kau beli speaker radio lama kenapa? Itulah nak murah sangat. Inilah padahnya! " marah Tangok sambil mengetuk speaker berkali-kali.

Tiba-tiba siaran tadi muncul kembali. Sungip dan Tangok berpandangan dan tersenyum. Belum senyum mereka lepas dari muka, siaran itu kembali terputus. Kemudian muncul semula. Terputus kembali. Muncul. Terputus. Muncul. Terputus. Kemudian speaker semakin mengeluarkan bunyi yang bingit dan pelik.

" Sah dah. Speaker kau memang dah biol dan rosak!. Buang jelah. Sebelum buang, mari aku persembahkan libasan aku" kata Tangok dengan kemarahan yang teramat sangat. Tangok terus membuat sepakan ke atas speaker rosak tersebut.
Dummmm...pranggggggg!!! Speaker radio Sungip bergolek lantaran amarah Tangok tadi. Berkecai dan berderai.

" Aduhh, sakitnya hati aku ni. Menyesal aku pilih speaker ini. Membazir sahaja. Tak boleh berbakti langsung" Sungip bermonolog sendiri.

PPMN 2009: PERTEMUAN IDEALISME SEGAR

Perhimpunan penulis Muda Nasional kali ke-2 yang telah diadakan pada 22-24 Mei 2009 sememangnya satu anjuran kolektif yang cukup bermakna. Perhimpunan kali ini telah menampilkan muka-muka penulis muda yang baru di ranah perjuangan sastera tanah air. Syabas dan tahniah buat semua persatuan, badan atau organisasi terutamanya PENA yang telah membanting tulang dan bekerjasama dalam usaha untuk membangunkan dunia penulisan nasional.

Kemelut tentang sekat ukur atau limitasi yang diberikan kepada golongan penulis muda dan penulis tua itu mungkin menimbulkan sedikit pertikaian di kalangan penulis nasional. Ada juga segelintir penulis yang serius memandang dikotomi itu. Seolah-olah ada hitam dan putih. Kadang kala menimbulkan pergeseran pendapat dan peribadi. Namun, perincian tentang dikotomi umur itu tidak pula pernah jelas dah rinci. Tapi pada pandangan saya, soal umur hanya angka dan tidak pernah sesekali memisahkan hubungan seseorang penulis dengan aktiviti tulisan apatah lagi dengan persekitarannya. Jadi pemisahan itu mungkin sekadar memudahkan penelitian dan pembicaraan terhadap skop penulis nasional yang skalanya terlalu luas dan lebar.

Hadir di PPMN 2009 memang saat yang bermakna. Di sanalah, saya melihat rakan-rakan yang rata-ratanya tidak dikenali masih segar dan bernafsu dengan idea dan semangat. Pembentangan kertas kerja juga dilihat relevan dengan temanya "Perjuangan Penulis Muda: Arah dan Cabaran". Tema ini sememangnya sangat relevan untuk dijadikan pangkal perbicaraan dan argumentasi di PPMN 2009. Di sinilah, boleh dikatakan pertemuan idealisme yang segar berlaku. Maklumat dan idea yang dibawa ketengah oleh pembentang memang bernas. Namun kadang kala masih ada juga yang boleh dipertikaikan.

Bertemu dengan rakan baharu juga merupakaan saat yang menggembirakan. Saya sering membaca tulisan Arif Atan di media cetak khususnya, dan di PPMN 2009 ini saya dapat bertemu dengannya dan bertukar pandangan tentang beberapa perkara. Begitu juga dengan saudara Ali Atan (penyoal yang aktif di dalam dewan), seorang yang ramah dan berfikiran terbuka. Di sinilah kami mengenal peribadi, bertukar pandangan, beramah mesra dan mencari idea-idea yang baru dalam pandangan kolektif dalam bidang sastera khususnya. Pendapat yang segar dan bernas inilah yang membangkitkan nafsu intelektual saya. Begitu juga dengan kawan-kawan yang lain yang turut hadir di sana. Salam perkenalan buat semua rakan-rakan baharu.

Perhimpunan seperti inilah yang membuatkan dunia sastera tanah air semakin teguh dan bersinar. Bukanlah bermakna dengan berhimpun sahaja bidang sastera itu terangkat menjulang tinggi. Namun, pertemuan ini membingkiskan bibit persaudaraan yang akan menghasilkan pertemuan dan pertukaran pandangan tentang dunia sastera. Mungkin dari situlah tercetusnya ilham untuk terus berkarya dan mengangkat intelektualisme mengikut kecenderungan dan aliran masing-masing.

Saya sering berdoa semoga kita akan dipertemukan sekali lagi di lain pertemuan. Mudah-mudahan PPMN 2009 ini memberi suntikan untuk penulis muda untuk terus berkarya. Sekalung tahniah sekali lagi buat semua pihak yang bertanggungjawab dalam melihat secara serius kepentingan penglahiran penulis muda di persada seni tanah air.

Sabtu, 11 April 2009

LMPK : SELANGKAH TERSASAR, BURUK PADAHNYA...

Hampir beberapa bulan saya tidak mengemaskini blog saya lantaran beberapa perkara yang perlu saya hadapi untuk menghadapi cabaran yang mendatang. Saya perlu perkemaskan diri dengan persiapan yang cukup dan ampuh agar setiap langkah saya sentiasa berada di jalan yang benar. Saya terlepas beberapa perkara yang menarik dalam milieu di negara ini. Dari soal bahasa, pertukaran pucuk pimpinan, pergelutan siasah yang tidak pernah akan habis dan bermacam-macam lagi. Ini membuatkan saya agak kecewa. Namun saya percaya walaupun sehelai daun yang gugur ke muka bumi ini semuanya atas ketentuan Allah SWT dan saya perlu akur atas perkara yang berlaku.

Latihan Mengajar Praktikum dan Kaunseling (LMPK). Itulah perkara yang membawa saya ke lembah yang paling takut dan menjadikan saya semakin berhati-hati. Saya terasa seakan mahu pergi berperang dan perlu menyiapkan pelbagai kelengkapan agar tidak tersungkur di medan peperangan kelak. Dalam hati ini, mungkin inilah perjuangan permulaan bagi seorang pendidik. Barangkali juga inilah pengukur kebolehupayaan seseorang untuk dinilai samada layak untuk menjadi pendidik atau tidak. Jadi, kami dinasihatkan agar bersiap sedia untuk dicampak ke negeri bersejarah dengan membawa kegusaran hati yang mendalam. 

Saya pernah menyuarakan pendapat kepada beberapa orang rakan tentang kegusaran dan kerisauan yang berculang-caling di dada ini, mereka nyata bersetuju dengan fikiran saya. Rupanya kami berkongsi rasa yang sama. tetapi bagaimana agaknya ingin melampiaskan kegusaran ini? Saya juga tidak tahu. Tetapi saya terfikir sejenak, mengapa saya perlu gusar, takut, risau dan merintih nasib sendiri kerana saya yang memilih haluan untuk menjadi begini. Suka atau tidak suka , itu bukan pokok persoalannya. Apa yang penting, saya dan rakan-rakan yang lain perlu bersama-sama melakukan satu transformasi dan revolusi ke atas diri sendiri untuk mengubah nasib anak bangsa yang sudah perlu dikembalikan pemikiran mereka ke landasan yang benar. Kekacauan dan kekeliruan dalam sistem pendidikan kini mengheret kami ke gelanggang kesulitan lantaran perlu bekerja keras mengubah 'pemikiran beku' anak bangsa yang telah diindoktrinasikan dengan bancuhan kerangka pendidikan yang dangkal. 

Persiapan dari segi fizikal, material, rohani, intelektual dan sebagainya perlu diberi perhatian agar menghadapi segalanya dengan penuh mutmainnah dan mardiyah. Teringat pada nasihat pensharah kami, Dr. Roselan kepada saya, " Setelah lama bermain dengan teori, kini kami perlu mempraktikkannya dan yang paling penting belajar bagaimana mahu mengurus manusia dengan baik ". Frasa 'mengurus manusia' itu benar-benar membawa saya ke pelbagai sudut pemikiran. Apakah sebenarnya yang perlu diurus pada manusia itu? Peribadi atau perlakuannya? Bagaimana pula dengan cara berfikir dan menanggap sesuatu perkara? Adakah itu juga perlu dititikberatkan dalam mengurus manusia? Adakah benar seperti yang diperkatakan kebanyakan orang, mengurus lembu sekandang lebih mudah dari mengurus seorang manusia?.

Tetapi saya yakin bahawa peribadi seseorang itulah perkara utama yang harus dilihat baik-baik. Benar kata HAMKA dalam bukunya bertajuk Peribadi, " Dua puluh ekor kerbau pedati, yang sama gemuknya sama kuatnya, sama pula kepandaiannya menghela pedati, tentu harganya pun tidak pula berlebih berkurang. tetapi 20 orang manusia yang sama tingginya, sama kuatnya, belum tentu sama "harganya". Sebab bagi kerbau tubuhnya yang berharga. Bagi manusia peribadinya. " Ini tidaklah bermakna bahawa cara fikiran dan interpretasi seseorang boleh ditolak ketepi hingga memandang peribadi semata-mata. Cara seseorang berfikir juga perlu diuruskan agar tiada kesilapan menggunakan kerangka pemikiran yang bertunjangkan agama Islam. Peribadi itu perlu menjadi induk dan disokong kuat oleh gaya pemikiran (subordinat) seseorang individu itu sendiri bagi melahirkan insan yang berketrampilan.

Ahh, belum lagi melangkah ke alam pendidik, tetapi gambaran dan bayangan tanggungjawab yang perlu digalas sudah memenuhi ruang akal. Namun, semua itulah dugaan yang perlu saya dan rakan-rakan terima. Allah SWT telah berfirman dalam al-Quran, ' Allah tidak mentaklifkan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya' (al-Baqarah :286). Sememangnya itu wajar dan bersesuaian dengan kemampuan diri saya dan rakan-rakan. Namun, dalam kerisauan dan kegusaran saya ini, ada juga rakan-rakan yang tidak cakna tentang perkara itu. Dengan tenang mereka berkata, "Alah mudah saja, kita ajar je. Kita kan dalam latihan. Nama pun latihan mengajar. Kalau salah itu perkara biasa dan nanti ada orang betulkan la". 

Saya tidak terperanjat dengan beberapa rakan saya itu. Memang ada rasionalnya. Tetapi mendidik bukan seperti bekerja di kilang. Kalau tersalah mungkin barang yang dihasilkan kurang sempurna dan boleh dibuang begitu sahaja. Bagaimana pula dengan mendidik anak bangsa. Jika tersalah mengasuh dan memberi didikan, bolehkan dibuang begitu sahaja seperti barangan tadi. Bayangkan, sekali kita memberi pemahaman yang salah kepada pelajar, pastinya akan diingati dan dijadikan contoh oleh pelajar. Barang kali lebih ditakuti, pelajar akan mengamalkan hingga ke akhir hayat tentang perkara itu. Ini kerana jika seorang guru memukul anak muridnya hingga lebam, kesannya akan hilang sekejap sahaja. Lain pula jika seorang guru menghentak akal anak muridnya dengan sesuatu idea, natijahnya idea itu akan berbekas sampai ke akhir hayat mereka. Percayalah. 

Ingatlah wahai rakan. Tidak semudah itu untuk membuat kesilapan. Tunjuk ajar dan bimbingan memang sangat diperlukan. Tetapi tidak perlu hingga sampai membuat silap barulah meminta tunjuk ajar. Janganlah kita tersalah asuhan dan didikan. Takut yang musnah adalah anak bangsa kita sendiri. Merekalah harapan kita pada masa akan datang dan janganlah membinasakan sedikit kenikmatan mereka di alam persekolahan. Marilah kita hadirkanlah kasih sayang dalam diri kerana daripada sifat itulah, kita cuba meletakkan empati kepada anak murid. Mudah-mudahan Setiap perjuangan saya dan rakan-rakan akan sentiasa diberkati-Nya. Mari kita kejutkan semangat membara yang sudah lama tidur dalam diri. Kita balutkan dengan kain kecekalan dan selendang ketabahan. Selamat berjuang dan meratah nasib sendiri di dunia yang serba cabaran. 

Mungkin ada sedikit bekalan kata yang boleh dibawa oleh saya dan rakan-rakan untuk ke medan perjuangan kelak. Semoga kata-kata penyair Iqbal ini menjadi senjata untuk membina kemandirian yang utuh, " Orang yang berwatak kuat, yang menguasai diri sendiri akan menikmati setiap nasib yang datang kepadanya. Jika dunia ini tak selaras dengan hasratnya, dia akan menggempur langit angkasa ".

Sabtu, 7 Mac 2009

BERJUANGLAH MAHASISWA!!!

Saya pulang ke kota ilmu dengan tergesa-gesa kerana mahu turut serta dalam Malam Kenduri Puisi anjuran junior saya di Rumah Pena. Saya pergi seorang diri sahaja. Walaupun agak terlambat, tapi majlis masih lagi hangat dengan bacaan puisi daripada banyak pihak. Sempat saya menghubungi saudara Hasmora untuk turut serta pada malam itu. Dia menyatakan dia akan datang tetapi mungkin lambat sedikit kerana ada urusan yang perlu dibereskan.
Syukurlah adik-adik junior dapat menjayakan majlis ini dengan baik. Mudah-mudahan usaha menggiatkan aktiviti sastera ini diteruskan dan yang lebih penting ia dilakukan dengan ikhlas tanpa ada paksaan atau sekadar melakukan demi kepentingan peribadi (???). Nyata juga terlihat kelibat Pak Arbak Othman. Kami berbual dan berjenaka tentang tenaga orang tua dengan orang muda. Ramai juga penggiat sastera yang hadir di sana antaranya saudara Aminhad, Naffi Mat, Rahimidin Zahari, dan Lutfi (sekadar menyebut beberapa nama).

Bacaan puisi malam itu seakan membuat saya tidak sabar menanti hari esok. Semasa menghayati bacaan puisi, saya sempat berbual dan bertanya kepada Dato' Baha Zain tentang rapat umum pada esok hari. Katanya, perlu lihat kepada keadaan dan jangan bertindak terburu-buru. Jangan terlalu maju kehadapan. Baca suasana dan persekitaran. Dato' Baha percaya beribu-ribu pejuang akan terus maju ke istana negara esok walaupun telah diharamkan berhimpun di sana. Di akhir perbualan kami, Dato' Baha sempat bertanya ramaikah mahasiswa yang akan turun dari UPM? Saya hanya tersenyum dan menjawab mungkin ramai dan mungkin sedikit bilangannya.

Pertanyaan Dato Baha Zain itu benar-benar memukul fikiran saya. Teringat akan penglibatan mahasiswa nanti. Bukankah sejarah di Indonesia telah membuktikan bahawa golongan mahasiswa ini merupakan kelompok yang telah menumbangkan kerajaan diktator Suharto pada suatu masa dahulu. Nyata suara mahasiswa bukan suara terpinggir dan sia-sia. Saya berharap agar mahasiswa dan rakan-rakan dari UPM akan terus bangkit dan berjuang menentang dasar PPSMI yang langsung tidak menguntungkan mana-mana pihak kecuali manusia yang buta sejarah dan ketamadunan bangsa.

Teringat juga saya sajak SN Usman Awang dalam buku Keranda 152 ada menyatakan ikrar pelajar tentang kesediaan untuk dibakar dadanya. Ahh, gelombang mahasiswa dahulu dan kini mungkin berbeza. Jika dahulu gelombangnya beralun-alun, kini hanya berkadar rata sahaja. Malah boleh dikatakan hanya segelintir sahaja mahasiswa yang berani menongkah arus demi menyatakan kebenaran dan mencabar kepalsuan. Yang selebihnya, pemikiran mereka telah dikudakan oleh pihak tertentu.
Buat mahasiswa yang masih tergantung roh Melayu dalam diri, majukanlah diri ke istana negara esok. Sama-sama kita memanifestikan penentangan terhadap sistem pendidikan yang telah dinodai oleh pengkhianat bangsa. Semoga perjuangan nanti membawa titik perubahan hingga mampu mencelikkan mata lapisan masyarakat bahawa mahasiswa kini tidak lagi berdiam diri dan tidak membiarkan sesekali bahasa dan bangsa menjadi mangsa atas kebebalan pemimpin Melayu itu sendiri.

Ayuh, teruskan perjuangan buat sekalian mahasiswa. Juga buat teman dan sahabat. Mari kita abadikan kasih dan cinta kepada bahasa yang sedang dihitung hayatnya. Jumpa di sana.


MAHASISWA
(Dari khemah Pemogokan)

Mahasiswa dari kota tanah air
bangunlah!
angkat matamu dari buku
lampaui dinding lampaui tembok
semua menunggu
mengajakmu
bersama ke tengah jalan raya kota.
Lihat betapa temanmu telah berdiri di sini
sebarais dengan kami
para buruh dan petani di Jalan Sungai Besi
sederap belajar dari hidup berani.
Lepaskan tangan halus kekasih di tasik
atau bersamanya berjalan ke Parlimen
kerana tenagamu dengan ilmu di dada
akan merombak erti hidup sebuah negara.

(Usman Awang, 1961)

Jumaat, 6 Mac 2009

DOA DAN RESTU

Jarang sekali ibu meleraikan ikatan kepercayaan di dadanya tentang rapat umum yang berlaku di mana-mana. Mungkin atas alasan ketidakpercayaan atau pun dibayangi kebimbangan yang kuat terhadap keselamatan lantaran situasi dan kesannya. Sejak dari dahulu lagi ibu tidak pernah menggalakkan dan menyukai anaknya menyertai atau mendekati mana-mana rapat umum. Jangan kata mahu meminta kebenaran untuk menyertai, malah menyebut tentang perkara itu juga boleh mengundangkan sungutan yang panjang.

7 Mac 2009. Ya, tarikh yang bakal melakar sejarah di tanah ini. Mengingkatkan kembali pesan dan peribadi ibu, saya berbelah bahagi. Saya yakin ibu tidak akan melayan permintaan saya. Mustahil saya dapat hadirkan diri di sana. Namun, jika saya pergi tanpa pengetahuannya seakan saya membelakanginya. Saya perlu restu dan doa darinya. Seminggu sudah saya kandungkan perasaan ini dalam diri. Mahu atau tidak, saya perlu zahirkan perasaan ini. Sangat perlu.

Lantas, semasa pulang ke rumah. Saya langsung terus berkata dengan jujur dan penuh harapan. Saya tenung matanya. Bonda kaget. Riak wajahnya berubah serta-merta. Saya seakan sudah mendapat jawapan yang saya sudah jangka dari dahulu lagi. Tiada rundingan. Tiada perbicaraan. Noktah. Pastinya jawapan yang diberikan akan menenggelamkan seluruh harapan. Saat itu, saya seakan mengharap matahari tegak berdiri pada malam hari. Boleh juga dikatakan seperti mahu menghadirkan tulang ke lidah. Dan pertanyaan itu tergantung begitu sahaja.

Semasa makan malam, bonda menghuraikan segalanya. "Kau sudah besar, nak. Sekian lama ibu membesarkan kau bukan dengan kekerasan mahupun keangkuhan. Malah dengan penuh kelembutan, kesabaran serta kasih sayang. Kau belajar juga sudah tinggi berbanding ibu. Ibu yakin akalmu pasti sudah bijak menangkap yang mana hitam, yang mana putih. Andai jalan itu yang kau pilih, pastinya ia datang dari akal yang waras dan sihat. Dan kalau itulah kata hatimu, pergilah. Hanya doa yang dapat aku beri.Jagalah perlakuan. Jagalah tutur kata. Berhimpunlah dengan sopan. Jangan melakukan kekasaran. Jangan sesekali kau keterlaluan. Elakkan kebencian. Ibu yakin kau pergi atas nama kasih sayang pada bahasa, bangsa dan agamamu. Tegakkanlah rukun bangsa dan budaya. Ingat, sejak dari kecil ibu mahu kau mendahului yang lain. Pastikan kau dihadapan dan terus maju. Dan jangan sesekali menyesal atas perbuatanmu!"

Sebak saya menelan butir-butir bicara daripada bonda. Ya Allah, Engkau makbulkan doaku. Syukurlah. Untuk sekian kalinya ibu mengikat saya dengan restu ke tempat yang dibencinya satu tika dahulu. Di atas meja makan itu, hati saya berbicara " Tunggulah pengkhianat bangsa, aku akan maju disana bersama doa dan restu ibuku!"

Jumaat, 20 Februari 2009

ALANGKAH SEDIHNYA

Maka bersyarahlah seorang pensharah dengan hebatnya dan gahnya di hadapan khalayaknya. Memberikan cerita yang muluk-muluk sifatnya. Berserta retorik sihir yang memukau semua penontonnya. Menceritakan semua hal seolah mengetahui semuanya dengan jelas dan nyata. Memerihalkan sesuatu dengan terperinci walaupun bukan dalam bidang kepakaran. Gayanya memang seperti aktor yang sangat memikat dan berjaya. Hujahan demi hujahan dimuntahkan olehnya. Penontonnya diam sahaja. Artikulasi yang berbau pelbagai fahaman juga dikeluarkan menambahkan lagi kehebatannya di hadapan penonton. Dia sangat bangga dan berasa sangat cerdik bersyarah di hadapan si bodoh yang berdiam diri. Penontonnya tidak pernah menanyakan sekeping soalan sekalipun malah hanya sekadar mengangguk-angguk kepalanya. Itulah yang mereka buat tanda fokus pada syarahan. Pensharah itu bangga melihat anggukan tersebut. Nyatalah mereka faham dan menyukai syarahanku. Tiba-tiba seorang penonton berbisik kepada rakannya, "Alangkah sedihnya, pensharah itu sebenarnya dilihat tolol dan bangang oleh si bodoh yang cerdik mengangguk berpura-pura". Deraian ketawa antara mereka berdua memancung syarahan dan suasana dewan. Syarahan terhenti. Semua mata memandang mereka berdua. Akhirnya, seluruh penonton juga ketawa. Sejak hari itu, apabila pensharah itu masuk untuk bersyarah. Mereka ketawa sekuatnya.

Isnin, 16 Februari 2009

TERIMA KASIH PARA CELAKA


Terima kasih buat sekalian celaka
yang membiarkan bahasaku meraba-raba 
dalam siang hari
mencari tempat berlindung
di buminya sendiri

Ahad, 15 Februari 2009

PILIHLAH IKUT KEMAHUANMU

i.
Saya berbicara bersama beberapa orang rakan di sebuah restoran. Namun perbualan saya terganggu dengan perasaan kurang selesa. Seorang wanita yang begitu seksi berjalan membelakangi meja makan kami. Bajunya nipis dan menampakkan tubuh badan yang menggiurkan. Kulitnya putih dan gebu. Saya bertanya kepada rakan, "Mengapa gadis itu berpakaian macam tak cukup kain?". Rupanya rakan saya juga sedang memerhatikannya. Rakan saya menjawab begini "Biasalah, fesyen dan keinginan hati untuk menjadi tarikan dan tumpuna ramai. Sekarang zaman dah moden. Suka hatilah nak pakai baju apa". Tiba-tiba gadis seksi datang menghampiri lalu menyertai kami. Rupa-rupanya wanita itu adalah rakan kepadda kawan saya. Dia menghampiri dan duduk di meja kami. Kami meneruskan perbualan seperti biasa. Seorang rakan kami bertanya kepada gadis itu, "Mengapa kau seksi sangat?". Gadis itu menjawab "Seksi ke macam ni? Aku penah pakai lagi seksi lah. Ini biasa sahaja." Saya agak kaget dengan jawapannya. Dengan nada yang agak perlahan dan sopan, rakan saya menjawab "Barangkali kita lupa orang sekeliling memerhatikan kita. Engkau mengenakan baju yang nipis dan telus hingga menampakkan susuk tubuh badan. Barangkali begitulah orang melihat iman yang membaluti dirimu, sebagaimana nipisnya kain yang membaluti tubuhmu". Gadis itu tunduk dan tidak semena-mena berlari sambil mengoyakkan pakaiannya hingga telanjang. Kasihan.

ii.
Saya diam sahaja. Perbalahan itu terus hangat antara seorang malaikat dan seorang iblis. masing-masing mempertahankan diri masing-masing. Malaikat berkata "Apa bezanya kau dengan perempuan yang telanjang di hadapan manusia lain?". Iblis segera menjawab "Telanjang itu bogel. Bogel tu orang gila sahaja yang buat. Kau jangan nak samakan aku dengan perempuan yang telanjang". Ahh, hati kecil saya ketawa. Mahu saja saya mencelah tapi tak mengapalah. Saya percaya malaikat takkan tunduk dengan iblis. "Baik, jika begitu kau apa?" tanya malaikat. "Sama seperti yang lain" jawab iblis. "Maksudnya, sama seperti perempuan telanjang?" malaikat segera bertanya kembali. "Tak! Tak! Tak! Tidak sama sekali. Kau ini memang bodoh." iblis berkata. Keadaan hening seketika. Malaikat dan iblis memandang ke arah saya. Saya sengaja buang pandangan ke tempat lain. Kononnya tidak mahu ambil tahu tentang pergaduhan mereka. Sebenarnya teruja juga melihat kesudahannya. "Sudahlah. Aku malas nak layan kau. Takkan berubah walau bawa imam sekampung dari syurga bagi nasihat. Pada aku buka aurat tu satu kesalahan besar. Walaupun yang terdedah dari tubuh kau itu sedikit sahaja, tiada beza dengan perempuan yang telanjang. Tetap sama. Tetap bukak aurat. Kau tergolong daripada kelompok yang sama. Faham!" kata malaikat dengan sedikit nada marah. Lantas malaikat mengibarkan sayapnya lalu terbang dan hilang di celah awan. Dan saya melihat iblis ketawa. Dengan tidak semena-mena saya lihat tubuhnya terpokah satu persatu. Pantas saya berlalu pergi. Dari jauh saya dengar pekikan dahsyat...TIDAKKKK!!!!

Selasa, 10 Februari 2009

SEBALIK SEBUAH PEMBERIAN

[Ku nukil saat engkau tersenyum]

Aku tidak memerlukan sejambak bunga
yang kau pisahkan dari kehidupannya
hingga lahir makna kematian
atas nama sebuah pemberian

Sahabatku,
belajarlah menghargai ciptaan
dari sekilas bayang-bayang diri
dan segenggam pengalaman batinmu
waktu itu kau akan lebih mengenali
harga dirimu sendiri
di kota kehidupan yang memperagakan
kedaulatan
kehormatan
dan
maruah
yang sukar dibeli dengan nilai
kepalsuan mahupun kejahilan.

Zarif Hassan
Serdang

Rabu, 4 Februari 2009

PEREMPUAN DAN SEBUAH PERTIMBANGAN

Ahh, pekat malam semakin menjalar di dada langit. Usai mengerjakan solat aku berbaring sambil melihat kipas yang berpusing. Angin kipas itu seakan mengulit aku menerawang sambil membawa sekuntum senyuman. Aku terpukul dengan pertanyaan seorang rakan tak lama dahulu. "Takkan masih sendiri dan biarkan bicara hati kau tak berteman?". Waktu itu aku hanya tersenyum. Mahu sahaja aku jerit padanya begini "Mana mungkin!". Tapi kata-kata itu seakan terperangkap di dada aku yang kosong dan sunyi ini. Setelah gagal bercinta, aku akur dengan bisa kelemahan cemburu dalam diri. Aku juga akur dengan perpisahan dalam erti sebuah perkenalan. Bagaimana bisa aku sembunyikan tusukan kasih dan sayang yang menghambat perasaanku setiap waktu. Lebih-lebih lagi bila aku menghadapi kesunyian dan keresahan. Kadang kala aku hairan bagaimana kawan-kawanku begitu mudah mencairkan serta merobohkan cinta seorang wanita dengan permainan kata-kata dan janji. Begitu mudah sekali.

Aku mungkin insan yang tidak dikurniakan bakat bermain kata di hadapan wanita. Apatah lagi mempunyai pedang keberanian yang boleh memancung jantung wanita hingga darahnya bersatu dengan darahku. Sedang asyik aku memikirkan nasib kasih sayangku yang terkurung sepi, satu bisikan melintasi sukmaku. "Kau masih punya kekasih yang setia denganmu. Tuhanmu tidak pernah lekang menyayangi dirimu jika kau sentiasa menumpahkan kasih setiamu terhadap-Nya. Lontarkanlah kasih yang bersarang itu kehadapan-Nya. Kau akan dilimpahi nikmat cinta yang tak akan pernah pudar atau lusuh dimakan masa dan waktu". Bisikan itu benar-benar membelah aku ke muara pertimbangan. Kejap benar tusukan bisikan itu ke lubuk jantungku. Tiba-tiba sajak pensharahku, Shamsudin Othman menyeberangi lautan jiwaku :

PERCAKAPAN KEPADA SEORANG PENCURI CINTAKU

Cukuplah dengan derita kehilangan ini
aku sudah tidak sanggup lagi menanggung kerinduan
yang terhukum oleh kelicikanmu
mendustai kemudian mencuri jantungku.

Duhai kau pencuri yang tidak berdosa
yang kau miliki hanyalah jantungku
cintanya telah lama kuserahkan kepada Tuhan.

Ahhh, mendalam maksud sajak ini. Mungkin pesnharahku ini pernah merasai apa yang aku rasakan kini. Tapi tak mengapa. Dia punya keberanian dan kekuatan. Aku? Adakah aku akan terus penjarakan sahaja kasih yang meruntun di dada seorang lelaki? Perempuan oh perempuan. Desakan kali ini benar-benar memanggil aku membuat pertimbangan, agar tiada lagi parut yang akan memilih untuk berpangkal di hatiku!

MALAM YANG MENGGENTIS HATI MELAYUKU

I
Tempoh hari, saya menghadiri malam baca puisi sempena Palestin di rumah PENA. Seperti yang saya jangka, jemputan pastinya ramai. Sesampai disana, Tn. Hj. Sham meminta saya dan beberapa orang kawan membantu krew TV9 untuk menolak sebuah van yang terbenam tayarnya dalam becak. Saya sempat bertanya kepada Tn. Hj. Sham samada dia akan mendendangkan puisinya atau tidak. Dia menjawab "Saya tak baca. Ramai orang VIP baca malam ni". Saya menunggu juga puisi marah yang romantis dan puitis darinya. Selain Tn. Hj. Sham, saya tertunggu bacaan puisi panas dari saudara Khalid. Saya sememangnya menunggu bacaan darinya.


Entahlah mengapa saya benar-benar menunggu sajaknya malam itu. Yang pasti nada keras, lantang, protes dan berani itu benar-benar memikat hati ini. Mungkin juga kerana puisinya bersifat jujur hingga melangkah segala ketakutan dan ancaman dari mana-mana pihak. Itu yang membuat saya gemar mendengarnya membaca puisi. Tetapi apa yang lebih penting pada saya, apa yang perlu diteliti dengan baik-baik, dalam-dalam ialah tentang perkara pokok yang ingin disampaikan seorang penyair. Cuba amati fragmen puisi saudara Khalid malam itu :

Palestin,
aku lebih dulu terkubur dan dihilangkan
harga kedaulatan bangsa dan negara Melayuku
bukan Israel atau Yahudi seperti yang menjadi musuhmu
tapi oleh bangsaku sendiri
yang bertakhta dan berkuasa
membenarkan Melayu dihilangkan dan dilenyapkan
bersama Tanah Melayunya.
Arghhhhh.. Babi!


Nah, lihatlah bait puisinya. Terus tepat menikam dan memberi tumbukan padu ke hati Melayu sendiri. Terus-terang sekali. Soal bangsa, hak, bahasa dan tamadun disebatikan dalam puisinya. Inilah pernyataan yang berani. Syabas sudara Khalid. Mungkin babi haram untuk dimakan, tetapi barangkali enak juga dijamu dan dihidang dengan kata buat si durjana. Kadang kala saya terfikir, adakah saudara Khalid mempunyai keperibadian yang berani dan berterus-terang seperti kata-katanya dalam puisi. Saya tidak mengenali sudara Khalid dengan rapat. Tetapi saya pernah mendengar bicara daripada seorang rakan sastera, katanya jika mahu melihat keperibadian seorang penyair, lihatlah puisinya. Mungkin ada benarnya kata rakan saya itu.

II
Segelintir kenalan saya pernah berkata, orang sastera ini hanya hidup dengan bayang-bayang dan mimpi. Hanya bijak berbicara, mengatur buah kata, menyulam dan menukangi cerita yang imaginasi sifatnya. Lebih baik menjadi manusia sains yang telah menyumbang kepada teknologi dan pembangunan moden kini. Mungkin ada benarnya. Mungkin juga yang berkata itu tak punya mata. Terpulang pada kalian untuk melakukan andaian atau telahan. Namun, saya masih teringat sewaktu kuliah pertama saya dengan Prof. Ibrahim Salleh di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi sewaktu semester pertama dahulu. Dia pernah menyebut begini bunyinya "Dunia telah membuktikan bahawa hanya orang sastera yang layak memimpin dunia, orang sains hanya layak untuk bekerja". Benarkah? Sejauh mana kebenarannya? Tunggu dan lihat sahajalah. Hal ini semestinya akan memberi kesan terhadap perkembangan sosiobudaya masyarakat, sejarah dan tamadun Melayu itu sendiri selepas bahasa Melayu pada hari ini dilipat, dihimpit, disepakterajang, dilambung-lambung, dihenyak-henyak dan dipijak-pijak oleh bangsa sendiri. Buatlah tebakan atau telahan kalian sendiri tentang nasib sebuah ketamadunan bangsa MELAYU pada masa hadapan.

Sabtu, 31 Januari 2009

SAJAK BUAT KENALAN !!!

[Aku titipkan sajak pendek ini buat kawan-kawan dan kenalan yang menyindir tentang 'kepandiranku' yang mengasihi dan menyayangi bahasa bangsaku (bahasa Melayu). Terima kasih buat sekalian kawan-kawan dan kenalan yang berjiwa dunia, yang mengajar aku erti sebuah perhubungan yang menyakitkan!]


JANGAN !!!

Jangan
jangan biarkan
kesombongan jiwa bangsamu
meresap angkuh ke tali halus hatimu
kerana itulah perangkap kandang hatimu
itulah jua racun bisa benakmu
penyuntik bagi keruntuhan bangsa
bangsa yang membela bahasa!


Zarif Hassan
Jalan Masjid India, KL

Khamis, 29 Januari 2009

MALAM PUISI ' DI BAWAH LANGIT GAZA '

Sukacita dimaklumkan bahawa Akademi Yayasan Salam dan TV9 dengan kerjasama Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) akan menganjurkan MALAM BACA PUISI PALESTIN : DI BAWAH LANGIT GAZA. Butiran majlis adalah seperti di bawah :

Tarikh : 1 Februari 2009 (Ahad)

Masa : 8.00 malam hingga 11.00 malam

Tempat : Halaman Rumah PENA

Semua hidupan yang bernyawa dan mempunyai secebis perasaan terhadap apa yang berlaku terhadap milieu di Palestin di jemput untuk hadir bagi menjayakan majlis di samping menghulurkan bantuan melalui kutipan dana menerusi Tabung NSTP untuk Gaza.

Sekian. Selamat berpuisi. Jumpa di sana. Insha-Allah.

Isnin, 26 Januari 2009

AKU MAHU MATI !!!

i.
Anak muda itu kelihatan murung di tepi padang. Dia membungkam sepi. Salah seorang daripada rakannya duduk di sebelahnya. Lalu dia bertanya, "Mengapa kau kelihatan murung dan seakan tak mahu bersama kami bermain di padang?". Anak muda itu tunduk dan tidak segera menjawab. Kemudian dia membuang pandangannya ke arah langit yang terbentang luas. "Entahlah, aku fikir, aku mahu mati!". Rakannya benar-benar tersentak dan terdiam. Sejurus kemudian, dia tertawa kecil. "Apa kau fikir mudah untuk mati? Kau fikir mati boleh dibeli dengan wang ringgit atau harta keluargamu? Kau fikir mati itu seperti pisang goreng yang boleh dibeli di kedai Mak Lijah ke? Dengan tikaman tepat sebuah belati ke jantungmu juga belum tentu membawa kepada kematian!". Dia bingkas bangun dan berlalu pergi meninggalkan rakannya keseorangan.

ii.
Sedang bumi bermandikan matahari. Anak muda itu berlari mendapatkan ibunya di dapur. "Ibu, aku mahu mati!", ujar anak muda itu. Ibunya diam dan merenung tepat ke arah mata anaknya. "Benar kau mahu mati?" tanya ibunya. Anak muda itu menganggukkan kepalanya. Ibunya bertanya lagi, "Selepas kau mati, ke mana mahu kau pergi? Dan di mana dan dengan siapa mahu kau tinggal? Dan apa yang mahu kau buat waktu itu?. Anak itu terpingga-pingga mendengarkan pertanyaan ibunya. Ibunya tersenyum dan mengusap-usap kepala anaknya lalu diciumnya beberapa kali. Satu bisikan ibu tertancap ke hatinya, "Ibu mengerti, kau sedang mencari sesuatu yang belum tertunai. Fikirkan dan selidiki. Ibu tidak mampu memberi kesempurnaan dalam erti pencarian. Masuklah ke dalam dirimu. Kau akan ketemui sesuatu yang sangat berharga".

iii.
Seminggu selepas itu, anak muda itu ditemui mati dengan belati yang tepat menikam ke arah jantungnya. Dia mati sambil mengenggam nota yang berdarah. "Maafkan aku ibu dan ayah. Maafkan aku juga sahabat. Ini bukan kehendakku. Tanganku yang menikam diriku dengan belati ini. Bukan juga atas kemahuanku. Aku sekadar patuh pada ketentuan dan pada guruku yang sentiasa berpesan serta menasihati muridnya agar sentiasa memenuhi impian peribadi. Jika tiada dapat dipenuhi, maka kamu akan menemui kegagalan.Dari dahulu, aku mempunyai impian. Aku sangat ingin memiliki bulan. Aku tidak pernah menyebutnya di hadapan ibu mahupun ayah. Apatah lagi terhadap guru dan yang akrab. Lalu aku berusaha menjolok bulan setiap malam agar ia gugur ke pangkuanku. Aku cemburu melihat bulan menjadi pujaan setiap manusia, para kekasih dan si pungguk. Sepatutnya bulan itu menjadi milikku. Aku mahu bulan itu sentiasa milikku. Nyata, aku temui kegagalan pada setiap usahaku. Oleh itu, aku mahu mati. Maafkan aku".