Isnin, 28 Disember 2009

ILMU : SUATU INGATAN

Seorang yang menyanjung ilmu tidak akan berlaku biadap dan kurang ajar samada sebelum, semasa atau mendalami sesuatu bidang ilmu itu sendiri. Jika dia memilih untuk menjadikan bidang ilmu sebagai medan kekayaan duniawi atau kemegahan peribadi, janganlah diteruskan hasrat itu kerana perbuatan itu sia-sia malah membawa kerosakan pada waktu mendatang. Percayalah.

Saya kira saya perlu berkongsi tentang sesuatu ingatan yang sangat terkesan pada peribadi saya dengan apa yang diingatkan oleh Ibn Hazm :

Menuntut ilmu dengan tujuan mengumpul harta adalah cita-cita yang sangat sempit kerana harta dapat diperoleh dengan lebih mudah dan cepat daripada (memperolehnya) melalui peningkatan ilmu, iaitu dengan menyertai orang orang yang berkuasa atau dengan melibatkan diri dalam urusan hartanah atau perniagaan. Malah, seorang yang jahil lebih berjaya dalam urusan tersebut berbanding dengan seorang ilmuwan. Jika inilah keadaannya, menuntut ilmu untuk mendapatkan kekayaan adalah rumit dan berbahaya kerana si penuntut akan menambah dua keaiban besar : pertama dia telah meninggalkan jalan yang lebih dekat dengan memilih jalan yang lebih berduri yang melibatkan usaha lebih dan kurang manfaatnya (untuk tujuannya); kedua dia telah menggunakan perkara tertinggi (iaitu ilmu, penulis) yang membezakannya daripada reptilia dan haiwan bagi memperoleh batu-batu yang dia tidak tahu bila batu-batu ini akan meninggalkannya dan sebaliknya....Manfaat menuntut ilmu untuk kegunaan duniawi hanya sedikit, dan pada keseluruhannya, mempunyai keuntungan kecil... Hakikatnya, seseorang yang memperoleh ilmu yang tinggi dan memperalatkannya untuk kekayaan dan tidak untuk tujuan sebenarnya akan mengalami penyakit (kerohanian) yang tidak berubat, keburukan sepenuhnya dan kerugian yang menghancurkan.

Ringkas dan mudah memahaminya apa yang cuba disampaikan oleh Ibn Hazm kecuali bagi mereka yang sudah buta mata hatinya. Ingatan sedemikian rupa sangat penting bagi mereka yang menganggap dunia ilmu ini sebagai landasan kekayaan kecuali bagi mereka yang mahu memenuhi dirinya dengan kekayaan rohani dan mahu menikmati kemaduan ilmu sejati.

Oleh itu, saya kira kita perlu mendukung ilmu sebagai suatu kegiatan yang tidak dicemari dengan nafsu dunia dan kebinatangan. Dukunglah ilmu yang berma'na, bukan sekadar sementara sifatnya.

Jika engkau dapati kebenaran itu berpecah dua atau seterusnya, maka selidikilah dengan cermat serta teliti dan percayalah bahawa dimana berdirinya kebenaran, kepalsuan tumbuh disebelahnya.

2 ulasan:

Sham al-Johori berkata...

anak muridku,
sebelum memilih untuk bermufarakah fahamilah dulu erti dan nikmat kegelapan. Ibnu Kaldum dalam teks 'Mukadimah'nya menjelaskan bahawa orang buta tidak pernah dapat menikmati keindahan cahaya. Oleh itu, untuk menuju kepada pencerahan ilmu, seseorang itu perlu melalui kegelapan (merujuk kepada keperitan memahami falsafah ilmu). Pendapat Aurangzeb yang memarahi gurunya bukan cara terbaik untuk dicontohi. Dia (Aurangzeb) yang saya kenal adalah 'musang berbulu ayam'. Dia menolak hikmah al-Ghazali dan sunni. Dia hebat di mata dunia tetapi mati di dalam kekosongan dan kedaifan ukhrawi. Singkatnya dia macam mahathirlah.

Berguru kepalang ajar,
dapat rusa berbelang kaki;
berguru kepalang ajar,
bagai bunga kembang tak jadi.

Hehehehehe. Selamat menjadi guru dan pelajar yang cekal.

Zarif Hassan berkata...

Tuan guru,

Mufarakah yang saya maksudkan bukan hubungan sesama insan, tetapi lebih kepada cara mentaakulrenung tentang tatacara kehidupan.

Saya berpendapat pencarian ilmu itu tiadalah perlu mengalami keperitan kecuali ilmu yang dipilih tidak langsung membawa ma'na.

Pendapatr Aurangzeb itu mungkin hanya sebagai satu bilah sudut pandang. Kesannya itu perlu cermat diteliti. Memarahi guru bukanlah budaya yang baik, tetapi apa yang Aurangzeb mungkin menyatakan kekesalan beliau.

Sebab itu budaya hormat kritis iu perlu menjadi pegangan setiap pelajar pelajar. Kita tidak boleh menjadi seorang yang xenophobia..


Ternyata apa yang seorang anak murid juga perlu kritis dalam menanggapi sesuatu perkara. Tidak bermaksud dia tidak boleh berlainan arah dengan gurunya.

Aristotle pernah berkata; "Kita menghormati Plato, tetapi kita lebih hormat kepada kebenaran".

Sebab itu saya percaya dalam gelanggang ilmu, matlamat utama adalah untuk mencari kebenaran. Para sarjana harus memainkan peranan penting dalam merungkaikan kepalsuan.

Pukul beduk solat subuh,
tuntutan suci kejutkan tidur,
jangan diaduk juang yang sungguh,
dengan pencuci yang bawa luntur.

Keh keh keh...Semoga sentiasa diberikan jalan kebenaran..InsyAllah..