Selasa, 9 Jun 2009

MENCARI HANTU


Menonton kisah tiga sekawan mencari hantu dalam segmen Pemburu Hantu di media penyiaran beberapa hari lalu memang terasa malu dan menimbulkan kesedihan. Kasihan sungguh melihat mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk membuktikan kewujudan hantu di salah satu tanah perkuburan dengan menggunakan bahan teknologi yang canggih. Akhirnya, setelah bekerja keras. Buktinya hanya bunyi angin dan penipuan yang memantulkan kebodohan mereka. 

Persoalan yang benar-benar menikam benak saya, mengapa mereka tidak buktikan sahaja adanya malaikat dengan alat teknologi mereka itu? Buktikanlah walhal malaikat paling dekat dengan kita dan sentiasa mencatat apa sahaja perbuatan kita. Malaikat juga abstrak. Malaikat juga boleh menjelma dalam apa jua bentuk dengan kehendak Allah SWT. Saya tidak faham atas dasar apa mereka merekonstruksikan cerita itu untuk tatapan masyarakat. Langsung tidak rasional!!!

Mengapa drama atau filem seperti ini diberi ruang untuk paparan umum? Mengapa tidak disiarkan program-program yang mengasah intelektual? Yang lebih menghairankan, drama seperti itu mengisi ruang waktu perdana. Masyarakat diindoktrinasikan dengan kefahaman pemujaan roh hingga membentuk paradigma yang negatif. Dalam realiti aktual, tidak dapat dinafikan ada di antara masyarakat lebih takut hantu daripada Allah SWT. Tidakkah pengarah drama atau filem memikirkan kesan ini? Apakah keuntungan yang diperolehi pihak penerbitan berbaloi dengan terbentuknya paradigma sebegini dalam masyarakat?

Zaman animisme sudah lama kita tinggalkan. Kita manusia yang dah jauh ke hadapan hanya mampu menjenguk zaman itu dengan akal yang sangat sihat dan rasional yang dilandasi oleh agama Islam. Pemujaan terhadap benda (samada konkrit atau abstrak), perkara atau roh yang boleh mendatangkan kepada kepercayaan ini ditentang sama sekali dalam Islam. Amalan atau kepercayaan ini dianggap syirik (nyata atau halus) kepada Allah SWT. 

Secara keseluruhan, keterpisahan period itu dalam weltanschuauung  alam Melayu digarisi dengan kemasukan pengaruh Hinduisme. Dan selepas itu segala yang berkaitan dengan kedua-dua period itu tertolak selepas digarisi dengan sempadan agama Islam sebagai ad Din. Jadi, soal khurafat atau segala perkara yang tahyul ini tidak lagi wujud selepas kedatangan Islam ke Tanah Melayu. 

Dalam Islam, kita perlu tahu alam ghaib itu wujud, tetapi kita tidak diminta untuk percaya kepada mereka. Perkataan "percaya" dalam konteks ini membawa maksud beriman. Sebagaimana kita dalam rukun Iman. Percaya ke Allah SWT membawa maksud beriman dengan Allah SWT dan konsep ini sama dengan lima rukun Iman yang seterusnya. Jadi, tiada alasan untuk percaya (beriman) kepada hantu dalam kontek zaman ini. 

Semakin hari, semakin banyak kisah seram yang menyisipkan kepercayan kepada pemujaan roh dan semangat itu di jadikan tema dalam drama atau filem. Mungkin agaknya pengarah filem sudah ketandusan idea. Kalau alasan bahawa cerita begitulah pilihan masyarakat, saya rasa mereka sudah gila. Media seharusnya bersifat selektif dalam menyiarkan paparan kepada masyarakat. 

Pihak media tahu mereka adalah mekanisme yang paling ampuh untuk memberi maklumat dan pengetahuan kepada khalayak penonton. Namun, atas nama keuntungan, mereka mengetepikan segalanya demi kepentingan individual semata-mata. Ini bukan soal pilihan masyarakat. Ini soal pendirian dan pegangan yang boleh dicairkan dengan kefahaman yang nampak mudah tetapi kesannya besar dalam agama. 

Mungkin kita sudah kembali semula ke alam animisme. Kembali ke alam pemujaan dan kepercayaan kepada semangat dan roh. Teknologi dibina untuk memajukan pemikiran dan peradaban masyarakat dengan membantu dari pelbagai sudut kehidupan. Tapi teknologi yang dibina telah disalahgunakan untuk membawa ke alam kemunduran dan kesesatan. Kasihan. Berhentilah menyokong dan melihat drama dan filem sebegini. Langsung tidak mendatangkan manfaat. Mudah-mudahan kita semua masih berada dibawah cahaya kebenaran dan tidak dipesongkan perjuangan kepada agama dan bangsa. 

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

back to jahiliyah ...

D'Rimba berkata...

Mereka teruja dengan hantu. HOHOHO.......Lama-lama kitapun berperangai hantu......

Zarif Hassan berkata...

Awang,
jahanam akal anak bangsa sekarang. Islam datang menyinari kegelapan. Mereka cuba nak memadamkan pula kecerahan itu. Dunia dah terbalik betul.

Amran,
Hantu macam dalam cerpen Burhanudin CD tak mengapa. Membawa perubahan. Takut jadi hantu bungkus, terus bungkus dan melingkup. hehehe

Tanpa Nama berkata...

loh, persoalan ghaib ini menarik, sbb itu ditelevisyenkan...dan harus diingat, antara kesebab musabab televisyen dicipta adalah untuk membawa unsur hiburan, maka program sedemikian ada unsur hiburan...gue tidaklah menyokong cuma memahami hakikat sebahagian fungsi tv dan peranannya dalam mengatur hidup masyarakat.