Jumaat, 22 Januari 2010

KONSEP & KONTEKS

Sewaktu saya dan Lutfi bersosial menuju ke kedai buku tempoh hari, persoalan konsep dan konteks ini terselit dalam perbualan kami. Perbualan kami mengenai konsep dan konteks ini mungkin agak cetek kerana hanya lontaran pandangan peribadi antara kami. Namun, perihal itu menarik hati saya untuk dibawa ke alam fikir.

Memahami sesuatu perkara yang mudah sebenarnya sukar. Konsep dan konteks. Dua perkara yang mudah. Saya kira semua orang boleh bercakap tentang perkara tersebut. Namun, sejauh mana untuk memahami dua perkara ini dengan lebih jelas dan faham, itulah yang menjadi masalah bagi saya.

Kadangkala saya juga berpusing dan keliru dengan konsep dan konteks. Bila dita'akul dengan lebih cermat, banyak persoalan yang timbul. Apakah sebenarnya konsep? Konteks pula bagaimana? Adakah sifatnya bersepadu? Perlukah dibezakan? Yang mana akan datang dahulu? Yang mana harus menjadi sumber utama? Adakah konsep akan mengalami transformasi menjadi konteks dalam beberapa hal?

Betulkah semua perkara akan akan menjadi konsep? Sesuatu idea atau pengamatan yang terbentuk secara fizikal dalam ruangan minda mampu menjadi konsep dan terus menjadi pegangan kepada kerangka tersebut. Namun masih ada yang menjadi tanda tanya, bagaimanakah pula dengan sifat konsep itu sendiri, adakah objektif, subjektif, relatif atau mutlak? Bolehkah berdiri dengan megah tentang sesuatu konsep sahaja?

Begitu juga dengan konteks. Dalam erti kata yang mudah, konteks merujuk kepada sesuatu latar belakang atau keadaan yang mampu dihubungkaitkan dengan sesuatu yang perkara. Memahami konteks bukanlah juga perkara yang mudah. Malah tidak boleh langsung mengetepikan perihal sosiobudaya dan aspek etnografi.

Perihal konteks juga terlalu luas dan lebar. Bolehkah disempitkan konteks dalam menghubungkaitkan dengan sesuatu konsep? jika demikian, adakah akan lahir diskriminasi atau bias dalam menerapkan konsep terhadap sesuatu konteks? Jadi perlukah melihat konteks dahulu barulah berbicara tentang konsep?

Melihat ke dalam diri, saya melihat diri hanyut dan berpusing-pusing dalam arus konsep dan konteks yang menggila. Saya masih dalam proses membetulkan kerangka pemikiran melalui pembacaan dan pena'akulan kendiri. Saya harap suatu hari proses ini akan meneguhkan kerangka pemikiran saya dan membantu saya untuk terus berfikir dengan lebih jelas serta teliti. Saya juga berharap mampu menghasilkan buah fikiran yang matang lagi enak dinikmati oleh insan lain.

Sebelum saya akhiri entri ini, tiba-tiba terlintas dalam fikiran saya, Siapakah yang mencipta konsep dan konteks ini? Dan saya terus berfikir, berfikir dan berfikir...

Tiada ulasan: