Jumaat, 14 Mei 2010

PERTANYAAN YANG JAUH DARI JAWABAN

Aku Bimbang, khuatir

Aku sungguh bimbang sekali
bahawa umat kita tidak akan bangkit lagi
bukan kerana tiada pemimpin berwibawa di setiap ladang
bukan kerana pertumbuhan ekonomi tidak cemerlang
bukan kerana suasana politik yang tiada aman
bukan kerana rakyat jelata malas berusaha siang malam

Aku khuatir umat kita tidak akan bangkit lagi
Kerana pemimpin berwibawa di setiap bidang tidak didengarkan
Suara mereka yang berani-benar tentu tidak menyedapkan
Cadangan mereka mengislahkan perkara mengambil masa
Bukan untuk cepat mencari untung mengira laba
Bukan juga untuk memenangi pilihan raya `kan tiba
Bukan untuk menagih liputan media massa
Hanya inginkan kejayaan berkekalan
Mandapat keredhaan di dua kehidupan

Aku khuatir umat kita tidak akan bangkit lagi
Kerana pertumbuhan ekonomi cemerlang tidak digunakan
Untuk mengukuh akhlak tinggi di peringkat atasan
Yang mudah berubah dengan longgokan kekayaan
Yang takkabur lalu merendah bidang tidak menguntungkan

Aku takut umat yang tidak akan bangkit lagi
Walau ekonomi melambung tinggi
Untukku sibuk membeli saham menjual budi
Anggap sekolah, madrasah tidak bererti jika gagal meningkat gaji
Universiti tidak dinilai secara insani, hanya patuh nafsu industri
Yang sering berubah mengikut pasaran
Pasaran berubah mengikut perasaan

Aku bimbang walaupun suasana politik negitu aman
Rakyatku sentiasa ditakutkan dengan cerita khayalan
Tidak berani menyata kata walau hak didustakan selalu
Tidak sanggup membuka mata walau muka diconteng melulu
Tidak malu membuat fitnah walau berada di pintu Kaabah
Tidak gentar pada al-haaq kerana takut hilang anugerah.

Aku bimbang umatku tidak akan bangkit lagi
Kerana malas selalu diganjari
Kerana pandai memuji tinggi
Kerana terlalu tunduk mematuhi
Tanpa mengira ajaran amaran Ilahi
Tanpa mengikut undang-undang negeri
Ulama dapat dibeli, hakim dapat ditakuti.

Bagaimana kita akan bangkit semula melawan musuh
Jika ayam jantan yang senang berkokok setiap subuh
Membuka mata bangsa, menjernihkan yang lama keruh
Di potong lidahnya, disepak terajang si anak bodoh?

Aku sungguh bimbang kita akan terus begini
Kerana puyuh pentadbir diangkat mengawal helang ilmi
Tata-cara sekolah rendah diguna-pakai di universiti tinggi
Kaedah mengurus wang dipertuhankan, dianggap suci
Diguna membangun insan, menilai sumbangan ulama dan Nabi

Kita akan terus begini seribu tahun lagi
Kerana tabiat buruk membazir sentiasa diulangi:
Suka merungkai semula ikatan yang telah diikat kejap
Membuka kembali tenunan halus nan telah lama siap
Menebang pokok Meranti tinggi, rendang dan tegap
Semata-mata keranan benci, dengki dan hasad!

Bagaimana kita akan bangkit semula
Memimpin dunia mendapat syurga?
Jika ibu-bapa pintar melahir anak cuma
Jika pelajar hanya mahu lulus periksa dan cari kerja
Jika guru, pensyarah kehilangan arah
Ilmu terpaku di dada ijazah
Jika peniaga bermain politik, bertuhankan laba
Ahli politik memperniaga prinsip dan akhlak segala
Jika cendiakiawan Cuma mengikut dan membuat komentar –
Cekap mengubah fakta, meminda makna, mengejar kuasa
Adam akan menyesal
Dan Iblis kenduri besar.

Wan Mohd Nor Wan Daud
Mutiara Taman Adabi

Komentar

Puisi ini dilihat mungkin lahir atas kebimbangan Prof Wan terhadap masalah umat yang semakin getir sejak dahulu lagi. Hari demi hari, masalah umat Islam semakin mencabar. Lihat sajalah hari ini, yang haram menjadi halal, soal pemimpin yang pragmatik, isu pluralisme, isu kebiadaban pihak tertentu yang mempermainkan kalimah Allah, pendidikan yang semakin jauh terpisah dengan keagamaan, dan banyak hal lagi yang terpaksa kita sumbatkan ke telinga umat Islam hari ini.

Puisi Prof. Dr. Wan Mohd Nor ini betul-betul menghenyak minda saya. Saya membacanya berkali-kali. Terus dan terus membaca. Ada sesutu yang terkesan dengan akal budi saya. Kemudian saya alihkan bacaan saya pada nukilan-nukilan puisi beliau yang lain. Ternyata ada kekuatan makna yang ingin disampaikan kepada khalayak pembaca. Makna yang ingin disampaikan bukanlah perkara yang remeh tetapi permasalahan asasi sebenarnya kalau diteliti dengan cermat.
Secara keseluruhannya, saya katakan puisi ini berbentuk satu gesaan atau peringatan. Pemaparan permasalahan yang berlaku dalam umat Islam kini yang khususnya menyentuh dimensi keagamaan, keilmuan, kepimpinan politik, dan ekonomi. Sanjak ini seperti pedang dengan pelbagai mata. Tajamnya, sukar digambarkan. Dalam gesaan terkandung sindiran dan kutukan keras lagi tajam yang pastinya akan membuat pihak-pihak tertentu yang terhiris akan merasakan pedihnya. Pedihnya bukan sahaja meluka tubuh tetapi meresap ke pangkal kalbu. Inilah kalau bahaya bahasa jika digunakan dengan betul dan adil, disusun dengan jelas, akan membawa kesan makna yang “luar biasa” sekali sifatnya.

Dan usai saya membaca puisi ini berkali-kali, ada soalan yang menerpa saya? Mengapa puisi begini tidak dimasukkan ke dalam antologi teks kesusasteraan Melayu di sekolah? Adakah sanjak ini tidak bagus? Adakah sanjak ini tidak mencapai “tahap” yang ditetapkan oleh pihak KPM? Mungkinkah sanjak ini terlalu tinggi untuk pemikiran remaja yang berumur 17 tahun? Adakah sebab Prof. Wan tidak pernah menang mana-mana peraduan mengarang yang dianjurkan?

Pada pandangan saya, sajak ini jauh lebih memberi makna berbanding beberapa sajak yang terkandung dalam antologi teks tersebut. Kalau tidak percaya, himpunkanlah pakar penganalisis puisi dan buatlah perbandingan. Keputusannya, sudah boleh dijangka. Bukan saya mahu memenangkan mana-mana individu, tetapi jika kita berlaku adil, maka hasilnya jauh lebih sempurna dari sekarang.
Mungkin juga Prof Wan tidak berminat agar karyanya digunakan untuk teks di sekolah (aneh juga bunyinya!), jadi mungkin Prof Wan tak menghantar antologinya untuk dinilai. Tetapi tidak adakah inisiatif dari pihak yang memilih untuk memilih karya yang benar-benar berkualiti untuk bacaan pelajar di sekolah? Saya kira karya Prof Wan adalah satu contoh, tetapi saya percaya ramai lagi karya yang lebih layak sebenarnya tercatat dalam buku teks tersebut.

Saya percaya pemilihan karya bukan kerja main-main kerana kesannya boleh mengubah orentasi pemikiran pelajar bahawa pembelajaran kesusasteraan Melayu penting dalam kehidupan arus perdana kini. Tekslah perkara yang akan ditatap, dihadam, diratah oleh pelajar setiap hari sepanjang sesi persekolahan mereka. Jika karya yang kurang berkualiti maka tatapan, hadaman dan ratahan pelajar juga jadi kurang kualiti.

Ada beberapa pihak yang pernah saya temui berkata janganlah terlalu serius tentang teks yang dipilih (soalan jenis apakah ini?). tidakkah mereka sedar bahawa teks yang digunakan pelajar bukan sekadar bahan maujud yang kaku, malah teks itu melambangkan worldview sastera tanah air kini. Jadi, apa yang jelas, sudah termaktub dalam sejarah negara bahawa sistem pendidikan di negara ini pernah mengakui bahawa teks itu berkualiti untuk dijadikan sebagai bahan bacaan pelajar di sekolah.

Malah jika difikirkan lebih luas, sesiapa saja termasuk yang berkecenderungan terhadap kesusasteraan Melayu atau bukan, boleh membaca teks yang digunapakai dalam sistem pendidikan kini. Bagus atau tidak, anda sendiri boleh nilai dengan membeli dan membaca buku tersebut. Anda akan tahu sendiri sejauh mana kekuatan karya yang dikatakan “layak” terlukis dalam sejarah sistem pendidikan kesusasteraan negara kita.

Saya akan terus bertanya dan berfikir sambil menangani beberapa hal dalam pendidikan kesusasteraan Melayu yang berkait terus dengan karya atau teks. Saya sudah selesai membaca hampir kesemuanya teks sastera Melayu yang digunakan di sekolah, dan saya dipagut pertanyaan. Pertanyaan paling dahsyat yang pernah menimpa saya, apakah bidang kesusasteraan Melayu akan datang akan terkubur!!!

Saya akan terus berfikir dan bertanya kepada sesiapa yang punya jawapan kepada pencarian saya.

1 ulasan:

Blogger berkata...

As claimed by Stanford Medical, It is in fact the SINGLE reason women in this country get to live 10 years longer and weigh an average of 42 pounds less than us.

(Just so you know, it has totally NOTHING to do with genetics or some secret-exercise and EVERYTHING to do with "HOW" they are eating.)

BTW, What I said is "HOW", not "WHAT"...

TAP this link to determine if this easy questionnaire can help you discover your real weight loss potential