Sebelum itu, tentang development tadi, apakah Prof setuju yang dari segi teknologi misalnya, kita terus maju dan maju, tidak ada batasnya?
Sains dan teknologi ini kita mesti buat seimbang. Tidak boleh dia jalan sendiri sahaja, kerana semuanya satu. Macam kita katakan tadi hakikatnya kedua-duanya satu. Bukan ada dua hakikat. Falsafah dualisme Barat memang selalu melihat sesuatu itu bermakna dua. Satu yang zahir satu yang batin. Padahal zahir dan batin itu satu, hanya ada dua aspek. Bukan dualisme. Itu satu hakikat, dua aspek. Kita pun satu hakikat dua aspek, satu rohaniah dan satu lagi jasmaniah. Jadi, takkanlah hendak kita lupakan yang satu lagi. Semuanya satu realiti. Kita tidak mengutuk yang jasmaniah, kita tidak mengatakan yang jasmaniah ini bohong dan tidak berguna. Tidak. Yang jasmaniah ini pun hakikat juga. Hanya kita lihat ini satu aspek daripada hakikat, dan ada aspek lain lagi. Kedua-duanya mesti seimbang. Dan kita mesti letakkan masing-masing pada tempatnya, supaya jangan kita jadi keliru, dan akhirnya menempuh kerugian yang amat besar pada diri kita. Mahu tidak mahu pada akhirnya insan akan berfikir tentang dirinya, sebab akhirnya masyarakat dan sebagainya tidak akan dapat juga menempuh semua itu. Tidak ada orang boleh menyelamatkan dia.
Di barat, oleh kerana fahaman tragedi tadi, mereka sudah suntuk jalan. Ke mana sahaja mereka pergi tak mahu berhenti, tak mahu tenteram, kerana ketenteraman sudah dinafikan, dan dia takut akan ketenteraman. Dengan cara itu dia terfikir-fikir soal nasib diri sendiri. Jadi supaya fikiran itu dihilangkan, fikirnya, lebih baik kita sibuk dalam hal-hal dunia, dan kita anjurkan semua manusia dalam dunia supaya ikut cara kita. Jadi, kita boleh rasa lebih selesa sedikit. Dan apabila semua mengikut, kita katakan bahawa itu universal. Padahal itu bukan universal, itu cuma dibuat-buat. Nilai-nilai yang disebut universal sekarang bermaksud nilai sekular ini, banyak yang tidak universal. Orang Barat yang mendakyahkan begitu. Jadi, harus kita nafikan. Universal bukan begitu maknanya. Universal ertinya sama dianuti oleh semua, dan juga yang absolute; maksudnya yang tidak menempuh perubahan. Tetapi sekular berkata tidak begitu. Dia mengatakan bahawa nilai universal itu ialah yang sama semua, dan yang sama semua ini pun akan berubah di masa depan. Dan perubahan sahaja yang dikatakan sama berlaku di mana-mana, sebab itu dikatakannya universal. Jadi, banyak masalah yang kita hadapi. Sebab itulah apabila kita hendak menubuhkan institut, saya katakan objektif yang pertamanya ialah hendak memberikan takrif-takrif yang betul tentang hal-hal ini, berdasarkan agama kita.
Jadi, kita kembali kepada persoalan freedom. Freedom itu maksudnya kebebasan. Apabila dianalisis perkataan itu, apa makna freedom dalam bahasa Inggeris? Freedom maksudnya keadaan bebas. Bebas daripada apa? Mereka tidak jelas bebas daripada apa. Ertinya, bebas daripada undang-undang yang menyekat kehendak yang natural, misalnya. Maknanya, agama ini semuanya menyekat. Banyak ahli falsafah Barat mengatakan, kerana God maka kita jadi tidak bebas – ini tak boleh, itu tak boleh, ini kena buat, itu kena buat. Jelaslah yang dimaksudkan dengan freedom itu ialah bebas daripada hal dan nilai yang absolute dan final. Mahu ikut cara yang dikatakan natural. Going back to nature itu jadi seperti binatang. Itu yang saya katakan, manusia sudah dijadikan seperti binatang. Sebaliknya, kebebasan itu pada kita bermaksud kebebasan diri yang rohaniah daripada ugutan diri yang jasmaniah. Kita akan mengatakan kita bebas apabila kita dapat mengawal hawa nafsu jasmaniah kita. Tetapi dia berkata tidak. Dia berkata free itu maknanya free mengikut hawa nafsu jasmaniah. Sebab itu dia mengatakan negara kita ini low level freedom.
Apa yang patut kita jawab ialah “ya”. Dalam konteks kamu tentulah kamu lihat kami ini low level of freedom, tetapi dalam konteks kami, kami melihat kamu sebenarnya tidak mengamalkan kebebasan, tetapi apa yang kamu buat ialah kezaliman terhadap diri sendiri. ini bukan freedom, sebab itu mereka akan menerima padah dan akibatnya nanti. Mereka bukan tidak sedar ini. Mereka tahu, sebab itu mereka kata oh ini memang nasib manusia begini. Tragedi. Dalam sastera pun mereka sengaja mendakyahkan bahawa memang nasib manusia tidak akan mencapai kesenangan, kesejahteraan, kebahagiaan. Dia hanya menghadapi ranjau sepanjang jalan (nanti Shahnon marah pula). Memang betul nasib manusia begitu, dalam al-Quran juga disebut demikian, tetapi ada jalan keluar. “Innal insaana lafi khus-rin” – sesungguhnya insan ini dalam keadaan rugi habis-habisan. Itulah tragedi. “Illallaziina aamanu wa a’minus saalihaat” – melainkan orang yang beriman dan beramal salih. Maknanya, iman itulah jalan keluar daripada kerugian tersebut. Tetapi mereka menafikan itu, dan mereka memilih jalan tragedi.
Jadi, kalau saya bercakap fasal rohaniah, tidak bermakna saya duduk diam sahaja, dan tidak develop. Kita mesti ada keseimbangan dan cara-cara yang betul berasaskan agama. Freedom mereka itu tidak boleh kita terima. Kita harus menganalisis semua perkara ini. Kalau tidak nanti kita ikut sahaja semuanya – free, free, free. Dan penulis kita pun menulis tentang freedom. Betul tak? Jadi, ini semua karut. Kita tidak boleh ikut orang-orang itu. Mereka sendiri tahu bahawa mereka tidak ada kesejahteraan dalam hidup. Saudara kalau lama tinggal di Barat, saudara akan tahu – kosong, betul-betul macam tragedi. Sedangkan kita menganggap itu semua natural, bukan problem. Kita faham yang ini hanya sementara. Kita faham ada hakikat kita yang tidak akan mati, dan akan terus menempuh development ataupun evolusi kita di alam rohaniah, bukan di sini. Mereka tukarkan evolusi rohaniah itu ke sini, jadikan sekular. Kerana itulah dia tolak. Dan kerana itu dikatakan kita mesti change, change. Karl Marx yang mengatakan itu, dia berkata, “If you want to make people change, change the environment.” Ini yang mereka buat. Mereka nak paksa orang supaya berubah, mereka ubah keadaan sekelilingnya. Dia buat itu, dia buat ini sehinggakan sekarang, terutama di Amerika, banyak keluarga sudah rosak, sudah hancur. Tidak ada keluarga lagi. Semua orang jadi individu. Masing-masing. Macam binatang. Untuk sementara, beranak begitu begini, apabila sudah besar masing-masing terbang. Masing-masing jadi orang asing. Dan kita pun sekarang sudah mula mengikut cara itu, cara hidup kondominium dan sebagainya.
Dalam Islam soal keluarga ini tidak boleh hilang, kerana keluarga adalah satu soal yang suci, sacred. Keluarga adalah sebahagian daripada dasar agama, tidak boleh dipecah-pecahkan. Walaupun kita terpaksa hidup di sana sini, tetapi itu jangan rosak. Oleh sebab itu, kita tidak boleh membiarkan orang berbuat sesuka hati, dengan alasan kebebasan. Bebas tidak bermakna you have free sex, free this, free that, everything free, everything equal. No! itu bukan kebebasan. Itu kezaliman. Itu bukan freedom of choice. Dalam Islam istilah yang biasa digunakan sebagai padanan bagi freedom of choice itu ialah “ikhtiar”. Perkataan ikhtiar dalam bahasa Arab berasaskan huruf kha-ya-ra, khair, yang bermakna “baik”. Jadi, ikhtiar tidak bererti freedom of choice. Ertinya yang sebenar ialah freedom of choice for the better – kebebasan memilih yang lebih baik. Kalau kita memilih yang buruk, itu maknanya kita tidak mengamalkan kebebasan memilih. Dan untuk mengamalkan kebebasan memilih kita mesti ada pengetahuan tentang apa yang baik dan apa yang buruk. Kalau tidak bagaimana kita memilih yang baik? Jadi, apabila kita memilih yang baik, itu dikatakan kebebasan. Tetapi kalau kita memilih yang buruk, itu bukanlah kebebasan. Itu zalim. Sebab itu Nabi Adam a.s mengaku, “Innadzalamna anfusana”, kerana dia tidak mengamalkan kebebasan memilih apabila mendengar hasutan iblis, sama ada memilih yang ini atau yang itu. Kerana mendengar hasutan iblis dia telah melanggar perintah Tuhan. Selepas itu dia sedar, dan dia berkata “Innadzalamna anfusana” – sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami sendiri. itu bukan freedom of choice, itu kezaliman. Tetapi banyak orang berfikir kebebasan itu maknanya memilih satu antara dua, dengan tidak memikirkan yang mana betul dan yang mana salah. Mengamalkan kebebasan ialah memilih jalan yang benar. Memilih jalan yang tidak benar itu sebenarnya kezaliman. Ini mesti dijelaskan.
Kalau saya bertanya kepada saudara sekarang, adakah yang kita bincangkan ini semua sekali bukan perkara yang penting, yang patut kita semua tahu, apalagi sekarang dalam keadaan pesat membuat banyak perubahan dan hendak menuju ke arah memperbaiki keadaan itu. Bukankah ini penting? Bukankah saudara tidak dengar di mana-mana walaupun ada banyak pusat ilmu, pusat agama, dan lainnya? Mereka tidak menyebut perkara ini. Mereka tidak berbincang tentang perkara ini. Mereka tidak sedar bahawa ini perkara asas yang orang patut tahu, dan jangan berkhayal-khayal tulis drama, tulis novel, dan sebagainya tetapi mesej ini semua tidak ada langsung. Sebaliknya mesej dan nilai-nilai kebebasan fahaman Barat itu yang banyak diterapkan.
Sekarang ini, oleh sebab kesilapan golongan tertentu, misalnya mereka menafikan kebanyakan authority melainkan authority mereka sahaja; sebaliknya ada authority yang diberikan kepada rakyat. Dia tidak sedar bahawa mengikut faham Islam, rakyat tidak ada authority, kecuali authority untuk memilih pemimpin. Itu memang authority rakyat. Tetapi rakyat tidak ada authority berkenaan hal-hal ilmu. Dalam hal-hal ilmu, kita tidak kemukakan kepada rakyat untuk menyelesaikan masalah. Sekarang dibuat begitu. Misalnya suratkhabar, apabila ada masalah dia tanya kepada rakyat, dan siarkan dalam surat khabar, katanya inilah yang rakyat mahu. Dia jadikan rakyat yang buat keputusan apa yang mereka mahu, sedangkan rakyat jelata biasanya tidak mempunyai banyak ilmu, sebab itu mereka buat salah, dan kadang-kadang mereka juga mahukan yang salah, jadi, orang-orang yang berilmu ini ada tugasnya, sekurang-kurangnya memberi nasihat dan bimbingan. Tetapi syaratnya mesti ada authority. Kalau authority dihapuskan dan disamaratakan semua, jadi tidak ada authority; akhirnya rakyat mengambil authority, lalu mereka timbulkan macam-macam perkara, tak mahu itu tak mahu ini, mereka mahu itu mahu ini, sehingga akhirnya semua perkara tidak terjawab dengan betul, dan akhirnya jadi masalah. Orang boleh buat apa sahaja yang mereka suka.
Sebenarnya orang banyak salah faham, mereka fikir kita maksudkan authority itu orang tidak boleh menyoal dan sebagainya. bukan itu, tetapi masyarakat harus sedar bahawa ada orang yang mempunyai kelebihan lebih banyak daripada yang lain. Dalam al-Quran pun terdapat banyak ayat yang menerangkan perkara ini. Ertinya mereka harus menghormati dan mengikuti nasihat-nasihat orang berilmu. Mereka tidak harus berkata “Oh, sekarang kita semua sama, kita ada human right, kita semua ada hak masing-masing untuk membuat keputusan”. Saudara hendak didik anak-anak begitu? Nanti dia akan berkata, “Saya ada my own individual right. Sekarang umur saya 18 (21?), saya ada hak mengundi. I don’t have to follow you anymore.” Bercakap dengan ibu bapa macam itu. Dalam kata lain, inilah yang merosakkan keluarga. Kepupusan authority berlaku dalam keluarga, kemudian di peringkat negara berlaku di kalangan rakyat.
Jadi, sebenarnya masalah kita banyak. Kita baru singkapkan sikit-sikit. Tetapi kalau saudara faham saudara akan sedar betapa perkara ini menyeluruh, dan semuanya kait-mengait. Akar umbi semuanya dalam soal itu, development, freedom, keadilan. Sebab itu saya berharap. Insya-Allah, satu hari nanti kita dapat memberikan public lecture macam ini, dengan harapan ia akan membuat orang berfikir, dan menjadi lebih bertanggungjawab. Fikir dahulu sebelum membuat sesuatu. Dan ini tentu akan menjadi lebih bertanggungjawab. Fikir dahulu sebelum membuat sesuatu. Dan ini tentu akan membawa manfaat. Institut lain tidak ada yang berbuat begini. Mereka sendiri keliru.
Saya teringat pada kira-kira tahun 1968 begitu, waktu saya menjadi Dekan Fakulti Sastera Universiti Malaya, ada demonstrasi yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa. Pimpinannya bukan Muslim. Demonstrasi itu telah menimbulkan masalah dan saya diminta supaya tolong menyelesaikannya. Masalah itu timbul asal usulnya daripada Fakulti Ekonomi. Suatu hari ada pelajar datang dengan motosikal. Dia meletakkan motosikalnya di tempat parking lot kereta profesor. Apabila profesor itu datang, dia lihat motosikalnya telah disingkir jauh. Dia marah. Dia ambil batu lalu dicalarkannya kereta itu. Apabila profesor keluar dan melihat keretanya begitu, dia marah, siapa yang buat ini? Jadi, akhirnya masalah itu melarat-larat sehingga ramai pelajar jadi marah, sampai mereka buat demonstrasi.
Apabila saya diminta tolong menyelesaikan masalah itu, saya panggil wakil persatuan. pelajar itu pun datang ke bilik saya. Dia datang itu pun dengan cara yang garang sedikit. Hisap rokok. Saya kata, "Jangan hisap rokok." Dia tak mahu ikut. Akhirnya saya terpaksa jadi macam sarjan mejar, dan dengan gaya perintah saya kata " Stop smoking. Put it down." Dengan cara seperti itu dia terperanjat sikit, dia berhenti merokok. "Sit down." saya perintah lagi. Dia duduk, tetapi dia angkat kaki sebelah. saya kata, "Put your foot down." Dia ikut. Lepas itu saya pun bertanya kepadanya sebab-sebabnya. Dia berkata, "Are we not equal?" Saya mengatakan, "Who told you that we are equal?" Dia berkata, "That's what we are taught."
Jadi ini, yang salah itu siapa? Profesor-profesor itu yang mengajar mereka begitu. Saya diam. Lepas itu saya berkata lagi, "No. We are not all equal. That's all wrong teaching." "Oh, no." jawabnya. "We are all equal. We are all human being ..." dan macam-macam lagi, "So why can't I put my motorcycle there?" Saya katakan, "No, we are not equal. I'll prove it now. Now you take my place, you become the Dean of Art, and let me get your book, I'll attend your lectures. You give my lectures." Dia teragak-agak. saya berkata lagi, "Do it now!" Akhirnya dia berkata, "No Sir, I can't do that." "Ha, therefore we are not equal," kata saya.
Lepas itu saya panggil profesor dan lain-lainnya, saya katakan kepada mereka, Why are you teaching nonsense? Itu semua salah kamu, bukan salah pelajar. Jadi inilah dia, dalam institusi pengajian pun mereka keliru dalam perkara ini. Mereka mengajar macam-macam perkara karut. Dan jangan fikir sekarang sudah tidak ada lagi yang macam itu. Masih, tetap. Secara ikhlas, dalam hal ini kita mempunyai banyak musuh. Kita bukan hendak hentam mereka, kita hendak betulkan. Tetapi ada yang mentafsirkan kita menyerang kedudukan dia. Itu terpulanglah. Jadi, akhirnya kita terpaksa bercakap kepada orang ramai, supaya mereka faham, dan memberi kita peluang meletakkan perkara-perkara pada tempat yang betul.
Sekarang orang selalu sebut tentang kebangkitan semula Islam. Bagaimana pandangan Prof?
Kebangkitan biasanya mengalami banyak peringkat. Yang sekarang ini saya tidak anggap sebagai kebangkitan. Ini masih dalam keadaan keliru. Macam orang bangun tidur lama. Serupa itulah. Bukan kebangkitan. Sebab kadang-kadang ada macam mengigau. Semua yang kita sebut berdasarkan ilmiah menjadi slogan. Islamization, Islamization, Islamization – slogan. Tak ada makna. Kalau kita tanyakan apa itu Islamization? … hari ini pun dalam suratkhabar saya lihat ada digunakan perkataan itu – Program Islamisasi … Apa itu Islamisasi? Mereka gunakan istilah Islamisasi dengan begitu longgar, jadi slogan. Islamisasi bukan sekadar bentuk luaran, tetapi dari dalam, dan merangkumi banyak perkara lagi. Kalau saudara baca buku Islam and Secularisme kita cuba menjelaskan dan memberikan definisi kepada semua perkaraini. Tidak mudah. Banyak orang tidak memahaminya. Kebangkitan semula … Banyak sangat slogan. Bahkan baru-baru ini mereka berbincang dengan mengenai Malek Bennabi, dengan penerbitan buku dan sebagainya. Padahal apa yang dia kata itu mungkin sudah 30 tahun ketinggalan, tetapi orang masih … Itu menunjukkan orang-orang itu pun sama macam itu fikirannya. Apa yang Malek Bennabi kata? Apanya yang begitu hebat? Jadi, banyak yang dirangkum rambang begitu sahaja. bercampur aduk. Kacau sana kacau sini, jadi tak betul.
Misalnya mereka suka berkata, “Kita mesti kembali kepada al-Quran”. Itu pun slogan juga. Kalau ditanyai mereka, “Apa yang di dalam al-Quran yang kamu hendak kembali kepadanya? Ayat mana yang kamu maksudkan?’ tidak ada gunanya mengatakan, “Oh, orang Islam akan berubah hanya apabila mereka mengubah diri mereka.” Sudah berapa tahun mereka mengulangi kata-kata itu? Mungkin sudah beratus tahun, sejak bermulanya zaman moden. Teapi mereka tidak beritahu apa yang hendak ditukarkan itu. Dia berkata “Ubah, kamu mesti ubah diri kamu.” Tetapi apabila kita tanyakan, “Apa yang nak diubah ni? “Oh, ha … begitu begini … Betul tak? Mereka tidak sedar bahawa apa yang kita buat ini sebenarnya memberi definisi kepada perkara-perkara itu – apa benda yang harus di ubah. Apa yang tak berubah dan apa yang harus diubah. Apabila kita kata balik kepada al-Quran, apakah ayat-ayat yang dimaksudkan?
Kita bercakap mengenai ilmu pengetahuan, mengenai epistemologi, psikologi, ini semua sekali banyak, tetapi mereka tak sedar. Susah. Apa yang kita cakapkan kadang-kadang tak difahami dalam zaman sekarang ini, sebab mereka sudah balik 30 tahun dulu. Kemudian ada yang bercakap tentang Muslim colonization, mereka gunakan perkataan colonisability. Orang-orang sains sosial memang biasa membuat istilah-istilah yang mengagumkan, tetapi tidak ada makna, macam Shakespeare kata. “Full of sound and fury, signifying nothing.” Inilah dia. Perkataan panjang yang mereka suka sebut berulang-ulang dalam dewan kuliah akademik. Diulang macam satu penemuan baru. Colonisability mengikut maksud dia itu, orang Islam telah meletakkan keadaan mudah dijajah. Apa itu? Slogan lagi. Itu kita sudah tahu, macam kita tahu kalau makan nasi kamu gunakan tangan. Itu tak perlu apa … itu bukan penemuan besar.
Apa yang kita mahu tahu ialah orang Islam mudah dijajah? Tentu ada kelemahannya. Dan kita beri jawapannya. Kelemahannya kerana kerosakan ilmunya. Itu bukan jawapan mereka. Tidak ada seorang pun yang berkata begitu, selama seratus tahun lebih itu. Jadi, ahli-ahli sains sosial ini buat istilah baru, colonisability, mereka fikir itu satu penemuan besar. Jadi macam dalam cerita Hans Christian Anderson. Dua orang yang menjadi tukang jahit itu, yang pergi ke satu negeri … mereka itu penipu sebetulnya. Dia sampai dalam negeri itu dia buka kedai, dia letak kaca besar dalam bilik itu, dia buat macam dia sedang menjahit satu macam pakaian indah. Orang pun lihat, tetapi tidak nampak apa-apa. Apabila orang melihat dia diam sahaja, dikatakannya benda ini halus, tidak boleh dilihat dengan mata. Dan orang yang melihat itu hendak mengatakan tidak mahu percaya pun tidak berani, takut dikatakan bodoh pula nanti. Macam orang-orang seniman sekarang ini! Dia lukis begini-begini semua orang kata itu mesti ada makna begitu-begini. Jadi terpaksa mengaku, “Yes, indeed,” sampai kepada raja. Akhirnya ada menteri kata kepada raja, “Tuanku mesti pakai pakaian ini pada hari pertabalan.” Akhirnya ada seorang budak kecil yang menjerit kerana dia melihat raja berjalan tidak pakai baju, telanjang. Barulah orang sedar. Jadi, apakah kita perlu menunggu seorang budak kecil untuk memberitahu kita apa yang hendak buat?
Dalam kebudayaan dan sastera pun kita banyak meniru orang Barat. Saya tidak mengatakan kita jangan buat cara-cara baru atau bentuk-bentuk baru dalam penulisan. Kalau hendak membuat bentuk-bentuk baru pun sekurang-kurangnya mesti berdasarkan sesuatu yang kukuh, yang ada dalam tradisi kita, agama kita, kebudayaan kita, atau dalam tamadun kita. Yang mana yang baik daripada tamadun lain kita ambil, kalau tidak ada pada kita. Yang kekeliruan janganlah kita ambil. Di Barat itu mereka menganggap kehidupan ini absurd. Apatah lagi orang-orang Existentialist. Orang-orang kita pula meniru, dengan tidak memahami. “Aku ini binatang jalang,” katanya. Wah, begitu masyhur. Kamu sudah jadi binatang begitu. Tetapi mengapa kita mesti terima itu? Yang membesar-besarkan Chairil Anwar ini sebenarnya sarjana-sarjana Belanda. Apabila Chairil berkata, “Aku ini binatang jalang.” Mereka mengatakan, “Ha, inilah orangnya yang akhir telah sampai kepada pengalaman seperti kita. Oleh itu, dialah a great man.”
Dengan berkata begitu juga sebenarnya sudah merupakan satu insult kepada Tuhan, yang telah mencipta manusia sebagai makhluk-Nya yang termulia. Kamu mengatakan kamu binatang. Itu tidak menghormati Tuhan. Mereka tidak sedar itu. Sebahagian daripada seniman kita terikut-ikut begitu, dengan tidak sedar. Mereka bukan sahaja tidak tahu tentang agama, bahkan ada yang menyerang agama sendiri. saudara fikir kita akan berdiam diri dalam perkara ini? Kita tak boleh diam.
1 ulasan:
If you're trying to lose weight then you need to try this brand new personalized keto meal plan diet.
To create this service, certified nutritionists, personal trainers, and chefs joined together to develop keto meal plans that are efficient, convenient, money-efficient, and satisfying.
From their grand opening in January 2019, 100's of people have already remodeled their figure and health with the benefits a certified keto meal plan diet can provide.
Speaking of benefits: clicking this link, you'll discover eight scientifically-certified ones given by the keto meal plan diet.
Catat Ulasan