Saya duduk berseorangan di kedai
kopi. Saya lebih gemar memilih sunyi dan bersendiri kerana mahu memberi ruang
kepada diri saya membaca dan merenung sedikit. Pada kebiasaannya saya akan
bertemankan secangkir kopi, bahan bacaan, dan senyuman. Saya akan memilih kedai
yang paling ramai tidak dilawati orang kerana ia memberikan saya ruang. Ya,
saya perlukan ruang untuk lari dari penipuan masyarakat disekeliling saya.
Cukuplah dengan membaca, kopi dan tersenyum sewaktu merenungfikir, itulah
bahagia yang sekejap saya perolehi.
Kali ini, saya memilih suratkhabar
sebagai peneman. Saya jarang membeli suratkhabar kerana disitulah penipuan
boleh mengganggu fikiran saya. Jika ada keperluan yang mendesak, saya hanya
pergi ke perpustakaan dan membacanya disana. Tetapi hari ini, saya membelinya
untuk mengetahui suatu perkara yang penting. Penting kerana ia subjek yang
melingkari kehidupan saya. Dengan subjek itu saya belajar, dan subjek itulah
saya mengajar. Pendidikan. Itulah subjeknya. Dan lebih khusus, saya cenderung
dengan bahasa dan sastera melayu.
Khabar dari suratkhabar itu
menyatakan perubahan dalam pendidikan berlaku lagi. Agendanya besar. Beberapa
perkara dalam pendidikan digarisbawahi dan rencana dasar ini telah dilakukan
dengan tertib. Maksud saya, ada suatu kumpulan yang berusaha membentuknya. Dan
kumpulan tersebut dari kalangan mereka yang “siuman”. Kebiasaannya idea dari
sejumlah sang akademik membayangi rencana ini. Ia agenda yang dirancang, dan ia
bukanlah suatu kebetulan seperti anak kecil yang jatuh ketika lari. Kita tahu,
setiap rancangan memerlukan kesepakatan. Yang pasti bukan kesepakatan ego
kerana ego orang akademik besar dan sukar diruntuhkan walaupun mereka salah
lagi keliru. Kesepakatan ini dari subjektif menjadi objektif. Tatacara sebegini
di dalam Islam telah lama dipraktikkan. Para ahli dan ulama’ berhimpun
menyatakan pandangan peribadi atau ijtihad dan kemudiannya disimpulkan menjadi
suatu ijma’. Ijma’ tersebut harus dihormati dan dipegang oleh sekalian umat.
Tetapi lain halnya dengan rencana pendidikan tadi. Saya percaya yang menjadi
panel bukanlah yang ahli atau ulama’. Oleh itu ia bukanlah mutlak dan rencana
itu masih boleh dipertikaikan atas kelemahannya dimana-mana.
Saya menghirup kopi dan terus
menekuni khabar itu. Saya terhenti seketika dari membaca. Ada sesuatu yang menarik
pada kopi saya. Pada mulanya hangat, kini berubah menjadi suam. Dan saya tahu,
ia akan menjadi sejuk pabila tiba masanya. Saya berfikir dan merenung minuman
saya dalam-dalam. Ada perkara yang menarik perhatian saya. Pertama, dari panas,
ia berubah menjadi suam. Dari suam, ia akan berubah menjadi sejuk. Jika ia
dipanaskan kembali, ia akan panas dan jika ditambahkan ais, ia akan sejuk
(bukan keadaan sejuk yang pertama) dan menyegarkan. Perubahan pada sifat pada
kopi saya itu membawa saya kepada suatu perkara. Dari suatu perkara, sesuatu
sifat itu boleh berubah kepada suatu sifat yang lain, yang memberikan suatu
konsep yang baharu. Yang menjadi pertanyaan saya, adakah perubahan akan terus
berlaku? Tidak, kerana keadaan kopi saya tidak akan menjadi panas kembali dan
tidak akan menjadi sejuk jika tidak ditambah ais. Maka, saya katakan perubahan
itu bertahap dan ia akan berhenti pada suatu takahnya.
Kesimpulan itu saya pegang dan saya
akui benarnya kerana diluar kedai itu terdapat sebatang pokok. Pokok apabila
sampai ke tahap matangnya, ia berhenti untuk tumbuh (ini asal kata bagi
pertumbuhan). Mana ada pokok yang meninggi hingga mencium dada langit? Ada,
pokok itu pokok imaginasi, seperti yang diceritakan dalam Jack and Beanstalk.
Tetapi kita tidak harus keliru antara imaginasi dan intelektual. Lukisan boleh
lahir daripada imaginasi yang kuat serta kreativiti juga. Namun, lukisan bukan
suatu perkara intelektual. Jika lukisan kita katakan satu perkara yang
berintelektual, maka orang purba yang tinggal di gua itu berintelektual.
Kesimpulan ini kurang siuman dan bakal mengundang lebih banyak kekeliruan.
Sekarang, bagaimana pula dengan
pendidikan? Samakah ia dengan kopi saya tadi? Adakah perubahan yang baharu
menuju kepada suatu tujuan akhir yang tetap? Perkara yang mendasar untuk
dinilai adalah, apakah perubahan ini membawa kebaikan dan adakah ia membawa
manfaat atau sebarang “nilai yang kekal dan mutlak”. Apa yang saya perhatikan,
perubahan yang dilakukan bersifat sementara dan ia menuju kepada suatu masa
yang ditetapkan; belum sempat menuju kepada masa yang ditetapkan, ombak
perubahan yang baharu datang semula. Perubahan yang baharu inilah antara salah
satu ombak yang menghempas pantai pendidikan kita sekali lagi. Pada maklumat
tadi, jangkamasa yang dirancangtetapkan mengambil masa yang agak panjang. Saya
percaya, jika perubahan yang melibatkan jangka masa yang panjang, sudah pasti
berdiri atas nilai yang universal dan mutlak bagi mengelak ombak perubahan
datang ditengah-tengah perlaksanaan. Adakah ia benar perubahan kali ini berdiri
pada nilai universal yang mutlak? Saya akan rungkai ia pada masa minum kopi di
lain tempat. Ia suatu yang besar dan saya perlukan ruang yang lebih luas untuk
itu.
Kopi saya berubah lagi. Suamnya kini
semakin beransur hilang. Ia berubah sekali lagi. Tetapi ia tetap kopi. Adakah
ini bermaksud ia kemutlakan itu wujud? Memang benarkah terdapat nilai yang
mutlak dan benar sepanjang zaman? Saya teringat perdebatan antara Mortimer J.
Adler dan Bertand Russell dalam suatu seminar di mana Adler cuba mempertahankan
bahawa memang terdapat nilai yang mutlak tetapi sayangnya Russell tidak mampu
menangkis jawab premis Adler. Malah Adler mengatakan bahawa Russell hanya
berjenaka bodoh dikhalayak ramai kerana tidak mampu menumbangkan hujahnya.
Kemudiannya, Adler dicabar pula oleh seorang rakan Bertand Russell Saya tidak
ingin panjangkan soal perdebatan itu kerana ia boleh dibaca melalui tulisan
Adler di dalam Reforming Education: The Opening of the American Mind.
Cuma apa yang ingin saya katakan, seorang yang bukan Muslim percaya bahawa
adanya nilai yang mutlak dan tidak berubah-ubah. Bagaimana dengan kita?
Saya melipat suratkhabar itu dan
saya merasakan cukup dengannya. Saya mahu berfikir. Saya merenung kembali
perjalanan akademik saya dalam bidang pendidikan. Saya diajarkan banyak perkara
tetapi hampir kesekaliannya tidak berma’na. Saya terimbas kembali saat belajar
di ijazah pertama. Pabila tamat menuju ke pengakhiran pengajian dalam bidang
pendidikan, saya bertanya kepada ramai rakan. Apakah yang kau perolehi selama
ini; bersediakah kau menjadi alim yang bijaksana; benarkah kau telah menguasai
disiplin ilmu yang benar untuk kau ajarkan kepada muridmu; sanggupkah kau
memegang amanah ilmu yang dipertanggungjawabkan atasmu kelak; dan pelbagai
lagi. Jawapannya yang saya terima, rata-rata mereka masih keliru tentang
matlamat mereka diajar dan belajar. Mereka bagaikan kotak yang sedang dicop
dengan tulisan “guru”, “pendidik”, “cikgu’ dan lain-lain dan kemudiannya kotak
itu kosong bakal dipenuhi dengan isian. Isian itu bukan ditentukan oleh mereka,
tetapi oleh insan yang berkepentingan.Tetapi bukan semuanya begitu,sungguh pun
banyak.
Sejak itu, saya tahu, ada kerosakan
dan kelompangan yang sangat besar dalam pendidikan. Waktu itu, saya berusaha
mencarinya. Saya tahu terdapat sarjana yang telah menghuraikan perkara ini
sejak dahulu lagi. Namun kini, saya hanya mahu tahu apa matlamat pendidikan
sebenarnya? Mengapa rakan-rakan saya dari pelbagai bidang pendidikan menjadi
sekian rupa hingga hilang daya untuk mengetahui apa matlamat mereka terjun ke
dalam bidang pendidikan dan kemudiannya menjadi guru? Saya ditakdirkan berada
lebih lama di bidang pendidikan, pada peringkat yang lebih tinggi. Maka usaha
saya berterusan hingga kini. Saya berjumpa pelbagai rupa insan akademik dalam
bidang pendidikan dan bukan pendidikan. Saya bertanya bagi mencari
jawapan. Ternyata kekeliruan dan kejahilan pada rakan-rakan saya
sebenarnya diwarisi dari pensyarah mereka yang datang dari pelbagai lapangan. Mereka
juga sebenarnya jahil dan tidak tahu menahu langsung tentang matlamat
pendidikan. Selama ini, mereka berpura-pura dengan sedikit keberanian dihadapan
kelas, untuk berdusta dan kemudiannya berlagak seolah-olah berilmu. Mereka
telah berlaku khianat atas amanah ilmu yang dipertanggungjawabkan atas diri
mereka. Mereka jugalah yang akhirnya mengelirukan murid mereka sehingga ramai
yang terkorban menjadi mangsa kekeliruan. Tidakkah mereka berasa bersalah
sedikit pun? Itu mereka perlu jawab dan paling penting mereka wajib perbetulkan
kesilapan mereka.
Saya merenung pada soal matlamat.
Matlamat mesti membayangkan soal hala tuju. Mustahil seseorang itu berbicara
tentang matlamat tetapi mengenepikan sama sekali soal hala tuju. Ia dua perkara
yang tidak boleh dipisahkan. Secara mudahnya, jika kita renung akan ma’na
matlamat itu, maka tertayang dalam fikiran kita tentang satu perkara yang
dirancang untuk dicapai. Maka ia juga membayangkan satu tujuan dan kita
berusaha mencapainya. Saya percaya matlamat tidak boleh bersifat sementara
kerana ma’na asalinya tidak membenarkan ia bersifat demikian. Ia mesti kekal
dan mutlak. Tidak berubah-ubah sifatnya. Dan dengan tinjaun akal, maka saya
percaya saya sudah sedar akan apa itu matlamat pendidikan. Ia mesti kekal dan
berpenghujung, bukan sebuah persinggahan. Tetapi betulkah?
Ya, matlamat itu pasti. Dan ia tidak
boleh bersifat kabur dan ia mesti jelas. Dari mana asal istilah matlamat ini?
Matlamat berasal daripada perkataan alamat. Bukankah alamat ini suatu yang
biasa bagi setiap insan sehari-hari. Alamat membayangkan petanda dan suatu
perkara yang mempunyai tanda. Ia juga sering dirujuki sebagai suatu tanda
peringatan. Kita boleh faham secara jelas alamat itu adalah tanda yang
membekaskan ingatan. Sebagai contoh, alamat rumah seseorang sudah menayangkan
kepada kita sebagai tanda pada sesuatu tempat. Ia terletak pada suatu ruang.
Itu jelas. Ini mengisyaratkan bahawa alamat sesuatu tempat itu menjadi tanda
yang boleh diingati kedudukannya kerana ia bersifat menetap. Sebagai contoh
yang lebih khusus, saya mahu menuju ke suatu tempat. Pastinya saya sudah tahu
ke mana arah tujuan yang saya akan pergi kerana saya telah mempunyai alamatnya
dan yang paling penting, tempat tersebut sudah pasti berada di sana. Maka,
pabila saya pergi ke sana, maka saya akan sudah pasti akan menjumpai tempat itu
berdasarkan pengenalan dan pengetahuan saya akan dimana tempat tersebut berada.
Ini bermakna tempat yang saya tujui itu mutlak menetap di sana. Ia tidak boleh
berubah-ubah.
Begitu juga dengan matlamat, ia
sewajarnya membayangkan suatu keadaan yang tidak boleh berubah kerana ia lahir
dari matlamat. Bayangkan kalau ia berubah, maka satu keadaan yang menghairankan
lagi membingungkan akan berlaku. Contohnya, saya sampai ke tempat yang saya
ingin tuju. Lebih tepat, saya mencari sebuah kedai kopi. Tetapi kedai kopi
tersebut tidak ada disitu. Maka saya akan berasa pelik dan hairan.Dengan rasa
yang bingung dan keliru, sudah pasti saya akan bertanya kepada penduduk yang
berada disitu satu persatu bagi kedai kopi terseubt. Maka saya akan berpusing-pusing
untuk bertanya. Ada sesuatu yang boleh diperhatikan pada proses pertanyaan saya
itu. Nanti saya kemukakan. Yang pasti, alamat tidak benar akan membuat saya
hilang arah dan punca. Saya akan keletihan dalam pencarian. Maka, betullah kata
Guru saya, “tiada gunanya saya ke Mekah, kalau kedudukan Mekah sering berubah”.
Saya mencicip kopi yang sedikit
pahit. Saya menarik nafas dan terus berfikir. Maka, setiap matlamat itu harus
menuju ke arah suatu yang tetap. Sebagai seorang Islam, maka matlamat akhir
kehidupan adalah mencari keredhaan Allah SWT dan mencapai kebahagiaan di
akhirat kelak. Bukankah kita telah diingatkan berulangkali bahawa dunia ini
tempat tumpangan yang sementara dan akhiratlah kekal selama-lamanya? Maka
matlamat pendidikan kita haruslah menuju ke arah mencapai kebahagian di akhirat
tanpa menafikan kebahagiaan di dunia juga perlu dicapai. Kita tidak boleh jatuh
ke lembah ekstrim. Apabila kita mengatakan bahawa matlamat pendidikan itu
menuju ke arah kebahagiaan di akhirat, bukanlah bermaksud menolak aspek
keduniaan seterusnya. Ini hujah yang sangat lemah. Kita boleh menjawab dengan
mudah. Aspek keduniaan juga diutamakan dalam Islam dengan melihat pada soal
solat. Kita solat (termasuk juga ibadah yang lain) di dunia, bukan di akhirat.
Di akhirat, segala perilaku serta amal kita dihitung disana. Maka, tak
hairanlah Imam Al-Ghazali menyatakan “orang yang bijak akan memilih dua
daripada satu”.
Renung akal saya tidak terhenti
kepada soal alamat sahaja. Saya terus bertanya. Alamat datang dari istilah apa
pula? Alamat berpuncasal dari istilah alam. Dan alam itu juga merupakan akar kata
bagi ilmu. Takrifan tentang alam dan ilmu itu sebagai tanda bukanlah asing
dalam Islam. Ia telah dihuraikan oleh banyak sarjana. Maka tiada pertentangan
antara istilah alamat, alam dan ilmu. Sekarang saya sedar, matlamat bukan
sahaja bersifat mutlak tetapi ia juga membayangkan pada soal ilmu. Tak
hairanlah seseorang yang mempunyai banyak pengALAMan itu mempunyai banyak ilmu.
Orang tua selalu berpesan, belajar dari mereka yang berpengalaman. Dan pesan
itu kini membuat saya semakin sedar akan ma’nanya. PengALAMan bukanlah
semata-mata suatu pengetahuan tentang tatacara yang telah dilakukan oleh
seseorang insan yakni latihan yang berulangkali tanpa berpandukan ilmu yang
benar. PengALAMan itu merupakan latihan amali dan rohani seseorang terhadap
sesuatu perkara yang berdasarkan ilmu. Tanpa ilmu, pengalaman hanya akan
menjadi latihan memperkasakan tubuh bukan rohani.
Saya memejam mata, dan saya berasa
sesuatu yang segar dalam kefahaman saya. Betapa sesuatu matlamat itu tidak
boleh sementara dan berubah-ubah, dan diturut serta dengan ilmu yang benar.
Saya juga tersedar, mengapa selama ini, perubahan pendidikan yang saya jelakan
diatas sering berlaku. Rupanya ia sama seperti proses saya mencari alamat
tersebut. Mereka salah memahami pada soal matlamat dan akhirnya mengundang
kecelakaan yang dahsyat dalam pendidikan. Mereka berpusing-pusing mencari arah
dan hala tuju yang sebenar. Maka tidak hairanlah proses mencari itu telah
membawa mereka mengubah dan terus mengubah dasar pendidikan kerana tiada
matlamat yang jelas. Walhal ia telah ada, cuba mereka menafikannya. Mereka
telah menafikan hak akhirat sebagai satu matlamat sebenar lalu menggantikannya
dengan matlamat yang menuju kebodohan dan kecelakaan buat sekalian umat.
Dan sekarang saya harus bertanya,
adakah matlamat pendidikan itu benar-benar sama dengan apa yang saya taakul
kan? Atau bertentangan sama sekali. Atau saya mungkin salah? Itu mustahil.
Kerana apa yang saya bayangkan itu sememangnya jelas dan menimbulkan keyakinan
pada saya. Yakin tidak boleh berdiri tanpa ilmu dan begitu juga sebaliknya.
Tetapi, mengapa kebanyakan pensyarah tidak cuba mendekatkan murid-muridnya
dengan Islam dan aspek akhirat? Akhirnya, saya yakin dengan kesimpulan yang
saya buat, mereka juga keliru dan tidak tahu menahu tentang matlamat
pendidikan. Mereka zalim pada amanah mereka. Sebenarnya bukan mereka tidak mahu
memikirkan hal ini, cuma mereka tidak layak dan tidak mampu untuk memikirkan
perkara yang begitu senang untuk difikirkan. Merekalah pemimpin palsu yang
tidak menjelaskan perkara yang benar kerana mereka tidak tahu apa itu
kebenaran. Kebenaran adalah relatif pada mereka. Itulah jalan mudah bagi
mengelakkan mereka menjelaskan seseuatu perkara dengan sebenar-benarnya. Mereka
menyerahkan tafsiran kepada soal persendirian. Merekalah guru palsu yang
senantiasa menipu dan minta dihormati. Kasihan mereka.
Saya bangun dan dengan tidak
sengaja, saya terlanggar cawan kopi lalu ia tumpah pada suratkhabar saya. Sayu
pula sebab dari akhbar itu saya peroleh maklumat yang memungkinkan saya
merenung panjang tadi. Tetapi saya tiada pilihan dan sayu itu segera hilang
kerana keyakinan telah mengatasinya. Saya yakin bahawa matlamat pendidikan yang
tertayang di dalam akhbar itu bukanlah matlamat yang saya ta'kulkan. Saya buang
suratkhabar itu dan saya terus membayar harga kopi. Saya berlalu pergi untuk
kembali ke ruang yang menyesakkan tetapi dengan senyuman. Kerana bersama saya
ada matlamat yang telah berubah rupacita ma'nawinya.
3 ulasan:
Salam perkenalan. Ziarah meneguk ilmu.
Salam perkenalan buat saudara juga. Semoga ada manfaatnya.
Your Affiliate Money Making Machine is ready -
And making money with it is as easy as 1---2---3!
This is how it all works...
STEP 1. Input into the system which affiliate products the system will advertise
STEP 2. Add some PUSH BUTTON traffic (it LITERALLY takes 2 minutes)
STEP 3. Watch the system explode your list and sell your affiliate products all on it's own!
Do you want to start making profits???
You can test-drive the system for yourself risk free...
Catat Ulasan