Selasa, 10 November 2009

ARGUMENTASI

Proses kehidupan sosial tidak lari daripada berhadapan dengan pertembungan idea dan pendapat. Inilah yang dikatakan proses alamiah. Proses pembentukan perlakuan atau apa sahaja perbuatan akan bermula dengan proses kognitif tanpa menafikan proses intuisi juga memberi sumbangan yang signifikan.

Berhadapan dengan idea dan pendapat yang berlegar di medium filosofikal membawa sekali pertembungan dengan idiosinkrasi seseorang individu. Landskap pemikiran yang berlainan posisi itu akan hadir. "Hitam" dan "Putih". Maka terhasillah pergelutan atau penggeseran dalam mencari sesuatu maklumat. Maka terlahir perkara yang merumitkan. Warna "kecelaruan" bertompok merata. Kadang kala keseimbangan hilang sementara. Itu lebih sofiskated.

Terdapat pandangan yang mengatakan dalam beragumentasi, kita mencari sepakat dan pandangan kolektif. "Hitam" dan "Putih" sudah bukan perkara pokok. Kekeruhan harus dijernihkan. Maka lahir warna "Kelabu". "Kelabu" terjelma selepas proses argumentasi yang lebih sihat serta rasional. Itulah warna yang disepakati. Namun ia harus dilihat dengan teliti. "Kelabu" yang terhasil juga belum berdiri dengan warna sifat yang sendiri. Terlebih "Hitam" membentuk "Kelabu Pekat" dan terlebih "Putih" menghasilkan "Kelabu Cair".

Argumentasi mampu mencairkan "Hitam" dan "Putih". Lalu tercipta warna yang baru. Bancuhan idea yang cuba dimurnikan menghasilkan sesuatu boleh dikatakan kesepakatan. Inilah yang cuba dicari apabila perbincangan dilakukan. Benarkah "Kelabu" itu betul-betul sepakat? Betul-betul kolektif? Mungkin ya. Mungkin tidak. Mungkin juga "Kelabu" sebenarnya tidak wujud. Ia adalah sekadar benih daripada hujahan simplistik yang lebih cenderung untuk tidak mahu menegakkan kebenaran. Mereka memilih jalan tengah untuk menjadi seorang eskapisme.

Bagaimana pula jika "Hitam" itu sememangnya perkara benar dan "Putih" itu perkara yang bathil. Pertemuan dua sifat ini akan menghasilkan momentum yang kuat. Salah satu mesti menang dan yang tersungkur harus akur. Pilihlah "Hitam" atau "Putih". Jangan seretkan kekeliruan hingga muncul warna "Kelabu". Itulah kecelakaan paling dahsyat dalam beragumentasi. Pemilihan itu satu kemestian dan penolakkan itu bukan bererti radikal. Itulah keberanian. Saat itulah kepalsuan sudah ditelanjangkan.

Saya teringat kata Anbakri dalam bukunya " Kita ini seperti batu dan batu, bergesellah dengan kuat, untuk menimbulkan api yang marak, bukan untuk MEMBAKAR tetapi untuk menerangi KEGELAPAN". Itulah sebaiknya. Saya yakin.


5 ulasan:

Sham al-Johori berkata...

aduh, aduh... pening...pening.. gua tak faham lu tulis apa?

Lady~int berkata...

biasala bahasa tahap tinggi kot..hehe

Zarif Hassan berkata...

Tuan Dosen,
tak mengerti itu biasa..seperti kita tak mengerti akan suatu perkara yang kita sendiri lakukan tanpa jawapan.

Tanpa Nama berkata...

Saya masih ingt perbincangan semasa kuliah. Pensyarah pernah mengajak kami berbincang tentang istilah "Kelabu" ini. Pendapat saya, yang "hitam", atau yang "putih"; kedua2nya berada pada dua 'extreme'yang secara terang dan nyata, amat berbeza.

Apabila dikaitkan dengan argumentasi tentang undang-undang Tuhan, maka yang "hitam" kekal hitam, yang "putih" kekal putih; terpulang pada tafsiran individu tentang yang mana haqq atau bathil.

Namun, (ini pendapat sendiri, mungkin dari pemikiran yang dangkal, tapi harap tuan sudi menerima. He he) terbitnya istilah "kelabu" (saya harus setuju dengan tuan, tentang "kelabu pekat" atau "kelabu cair") tidak dapat dielakkan; terutama apabila bercakap tentang undang-undang ciptaan manusia.

Manusia yang mencipta undang-undang tersebut tidaklah sempurna, maka tidak semestinya undang-undang tersebut benar-benar sempurna. Yang saya maksudkan sebagai undang-undang di sini boleh dikaitkan terutamanya dengan 'societal rules'. Manusia mudah menilai, ada kalanya terlalu mudah menilai. Dan meletakkan hukum; dia bersalah..dia berdosa (mungkin akibat tidak patuh kepada "hitam-putih" ciptaan masyarakat). Dan tidak memberi peluang andai yang bersalah sudah kembali ke pangkal jalan.

Saya fikir, to a certain extent, "kelabu" itu perlu wujud sebagai memberi 'kelonggaran' kepada situasi tertentu. Teringat pesan ibu, 'ikut hati, mati; ikut kata, binasa'. Pada akhirnya, pertimbangan perlu dibuat secara wajar, bukan setakat bijak.

~Yang masih belajar.

Zarif Hassan berkata...

Tanpa Nama,

Pertimbangan yang wajar itu perlu kepada sesuatu rujukan yang benar. Pertimbangan yang bijak selalunya bersalingkait dengan apa yang difikirkan benar. Kebenaran itu tiada bertukar warna. Tiada pula percampuran.

Seperti duit syiling, kalau dilambung, maka dia akan jatuh ke satu muka. Tiada akan berdiri di tengah-tengah.